Kiranya
semua ini hanyalah tingkah mu
untuk menewas orang yang kau panggil musuh
apakah engkau sudah lupa
Dia telah lebih dahulu
menewas
dengan meragut bahagia mu?
Kiranya ini semua
hanyalah helah mu memerangkap ku
apakah engkau sudah lupa
Dia terlebih dahulu
telah memperlahan langkah mu
dengan kesakitan demi kesakitan
dan engkau tersungkur akhirnya
ditikam dari belakang
ah! pedih mu dapat ku rasa
sebenarnya
aku cukup simpati dengan mu
tapi percayalah
semua itu adalah ubat pahit dari Nya
kepada mu
yang kurang rasa kurang timbangan
terhadap kami yang kesakitan dan kelukaan
lalu dipalitkan pula kedukaan dalam hidup mu
supaya engkau tahu
bukan hak mu menghukum orang lain
Wednesday, December 31, 2008
Tersungkur Engkau
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 6:30 AM 0 comments
Tuesday, December 30, 2008
Kisah Tukang mandrem
Seperti biasa, postings saya mengenai cerita Nadia baru-baru ini menimbulkan riaksi. Saya dihubungi oleh seorang wanita yang mengenalkan dirinya sebagai Maya dan bercerita tentang apa yang terjadi kepadanya. Kisah beliau tidak banyak bezanya dari cerita Nadia, Ika dll. Tapi sedikit creepy kerana banyaknya episdod si tukang mandrem yang rupanya diupah oleh orang-orang tertentu untuk mengawal dan mengacau kehidupannya. Suatu ketika dulu saya bukannya percaya sangat tentang cerita begini, tetapi bila mengenangkan quran pun banyak kali menyebut tentang perbuatan sihir saya percaya tentang kewujudannya(rujuk Surah Yunus!).
Ok Maya adalah seorang wanita yang mengajar di sebuah sekolah di KL. Dan dia baik dengan seorang kaunselor disekolahnya yang dianggap sebagai abang angkatnya. Namanya Faizal. Setiap kali Maya ada masalah dengan suaminya seorang eksekutif di sebuah korporat, Faizal lah tempat dia mengadu hal, apalagi kerana mereka juga mempunyai hubungan kekeluargaan walaupun jauh. Maya amat mempercayai Faizal dan sedikit pun tidak menyangka bahawa abang angkatnya ini boleh melakukan perkara yang paling tidak patut terhadapnya. Selepas beberapa tahun mengajar bersama, Faizal ditawarkan jawatan tinggi di jabatan lain yang amat penting dengan akses yang mudah kepada ramai VIP, tokoh korporat, orang politik dll. Kepakarannya dalam bidang kaunseling merupakan kekuatannya. Tuah badan Faizal si abang angkat Maya!
Pun begitu, mereka masih mempunyai hubungan baik dan setiap kali Maya bermasalah dia akan menalipon Faizal dan mereka akan bertemu untuk sesi kaunseling. Apa yang tidak diketahui oleh Maya ialah Faizal menaruh perasaan kepadanya dalam diam-diam dan menunggu masa Maya jatuh ke tangannya. Pun begitu, mereka tidak selalu bertemu kerana masing-masing sibuk dengan kerja dll. Maya juga mencari mekanisme lain untuk mengatasi masalahnya dan melalui seorang ustazah teman rapatnya di sekolah dia semakin mendekatkan diri dengan agama. Dan entah kenapa ustazah kawannya sering mengajarkan dia ayat-ayat quran menentang ilmu sihir dan menyuruh dia mengamalkannya. Pada sangkaan Maya, itu semua adalah kerana dia mengsyaki keluarga suaminya yang kerap menggunakan bomoh dan ada 'pusaka' dalam keluarga mereka seperti yang diceritakan oleh pak cik suaminya kepada Maya sendiri.
Tetapi ada perkara pelik berlaku kepada Maya bila dia mula mendekatkan diri kepada agama. Entah macam mana, 'instinct' atau firasat Maya menjadi semakin kuat dan dia tahu apa yang akan berlaku sebelum perkara itu berlaku. Malah dia dapat membaca fikiran, perasaan dan niat seseorang yang rapat kepadanya. Dan jika orang itu mempuyai niat yang tidak baik kepadanya, Maya akan merasa resah dan kadang-kadang fobia serta memberitahu orang tersebut jangan buat begitu dan begini kepadanya kerana sesuatu yang buruk akan menimpa orang tersebut kalau ia terus berbuat demikian kepada Maya. Dan sememangnya perkara tersebut akan berlaku mengikut pemerhatian Maya. Banyak kali dia melihat sendiri macam-macam berlaku kepada berbagai orang di sekelilingnya yang kemudian diketahui telah melakukan perkara yang tidak sepatutnya kepadanya. Al Quran mengatakan ilmu Allah Taala itu amat luas dan Dia memberikan kelebihan kepada orang yang dipilih Nya. Seperkara yang diketahui oleh ramai kawan-kawannya ialah Maya mempuyai perwatakan yang lurus bendul kadang-kadang dan sering diambil kesempatan oleh orang disekelilingnya. Maya juga tidak boleh tengok orang lain berada dalam kesusahan dan kalau mengetahuinya, pasti dia akan membantu apa yang terdaya. Tetapi seringkali kebaikan dan keikhlasan Maya disalah-erti dan dia dipergunakan. Dia dididik begitu agaknya kerana Maya datang dari keluarga yang kuat agama dan ada ulamak terkenal dalam kalangan anggota keluarganya.
Berbalik kepada cerita Faizal, setelah bersara dari jawatannya dia tiba-tiba menghubungi Maya yang sedang dalam proses hendak bercerai dengan suaminya setelah perkahwinan itu tidak dapat diselamatkan lagi. Entah macam mana Faizal mengetahui bahawa Maya berada dalam situasi yang sukar! Tetapi Maya tidak mengindahkan semua itu kerana yang penting baginya adalah menghadapi kehidupan baru dengan aanak-anaknya. Beberapa kali selepas bercerai, Maya bertemu dan rapat dengan berbagai orang yang berminat kepadanya, tetapi macam-macam perkara berlaku. Hubungannya dengan sesiapa juga yang mendekatinya sentiasa 'panas' dan sering bergaduh tanpa sebab kadang-kadang. Apalagi bekas suami Maya berada dalam keadaan 'overdrive' berkempen sana sini untuk menunjukkan kepada semua orang bahawa Maya ini bermasalah dengan dirinya bukan kerana suaminya yang tak betul! Apa yang tidak diketahui oleh Maya ialah ada ahli keluarganya yang bersekutu dengan bekas suaminya dan juga Faizal untuk 'mengajar' Maya tentang kehidupan!! Malah atas kepentingan orang tertentu, ramai lagi orang lain yang terlibat dan mengupah si tukang mandrem ini untuk mengawal dan 'mengurung' Maya supaya tidak jatuh ke tangan orang lain. Dan ini ada kaitan dengan kedudukan Maya yang datang dari keluarga ulamak terkenal tersebut. Macam cerita The Firm juga la ni. Tapi versi lain. Versi yang melibatkan yang natural dan supernatural!
Hanya setelah melalui berbagai perkara pelik dan tidak masuk akal kadang-kadang, barulah Maya tahu yang dia disihir oleh abang angkatnya! Dan setelah mengorek cerita tentang Faizal barulah dia tahu Faizal menggunakan ilmu hitam untuk menguasai orang lain supaya suka dan mengikut cakapnya.Itulah kelebihan Faizal yang menjadikannnya dicari oleh semua orang besar dan kecil. Perbuatan Faizal memang diketahui oleh ramai orang tetapi mereka yang terdesak dan tidak kuat imannya akan jatuh ke tangan kaunselor yang licik dan amat berpengaruh di pejabatnya. Tetapi Maya akhirnya dapat menjejaki rahsia dan kelicikan abang angkatnya yang sebenarnya ditamatkan perkhidmatannya di jabatan lamanya sebelum dia bersara awal. Sebabnya? Disiplin. Faizal diketahui mempunyai hubungan sulit dengan ramai wanita sewaktu bertugas di Malaysia Timur dan mempunyai anak luar nikah dengan seorang wanita tempatan di sana. Dan tujuannya mendekati Maya ialah untuk mengambil kesempatan terhadapnya dari segi kewangaan dll yang boleh memberi keuntungan kepadanya. Faizal yang sudah biasa hidup berpeleseran dan berfoya-foya di luar rumah mahu meneruskan stail kehidupannya dan memerlukan wang yang banyak untuk berbuat demikian.
Kesian Maya, orang yang amat dipercayainya selama ini adalah orang yang paling tidak boleh dipercayai. Pun begitu, nasib baik Maya menyedarinya dan sempat menjauhkan diri daripada abang angkat yang tidak layak menjadi abang angkat langsung. Mungkin itu sebabnya Allah Taala memberikan kelebihan ilmu kepada Maya yang tidak diberikan kepada orang lain. Allahuakbar.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 7:27 PM 0 comments
Monday, December 29, 2008
PAOLO BERTOLIN: FESTIVAL FILEM ADALAH UNTUK FILEM
OLEH
SITI RUQAIYAH HASHIM
Sewaktu Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 (KLIFF)Baru-baru ini saya sempat berbual panjang dengan Paolo Bertolin ko-ordinator Venice Film Festival (VFF) bahagian Sinema Asia yang turut serta berada di Kuala Lumpur. Sejak tahun lalu Paolo tidak ketinggalan menyertai KLIFF dan orang yang bertanggung-jawab membawa filem Mamat Khalid Kala Malam Bulan Mengambang ke Venice Film Festival. Paolo juga bertindak untuk Udine Film Festival dan percakapan dengan beliau menghurai banyak persepsi serta salah faham tentang kriteria pemilihan filem-filem Asia di beberapa festival filem di Eropah termasuk di Cannes dan juga Berlin yang merupakan festival paling berprestij dan berwibawa dan tertua di dunia.
Berikut adalah interviu saya (SRH) dengan beliau yang diadakan selepas KLIFF 2008 berakhir.
SRH: Apakah kriteria yang dipakai dalam pemilihan filem ke Festival di Venice seperti yang diketahui dan dipraktis?
Paolo: Secara amnya bagi festival besar seperti Venice, Cannes dan juga Berlin yang mengadakan pertandingan, saya perlu katakan tiada kriteria yang menentukan filem mana yang masuk dan yang mana tidak boleh masuk. Tiada peraturan ketat yang dipakai melainkan filem yang telah dibuat tayangan perdananya lebih dari satu tahun sebelum festival tidak boleh diterima.
Contohnya baru ini Festival Filem Venice diadakan pada bulan September dan ada satu filem dari Hungary yang telah ditayangkan sebelum tahun 2007 telah tidak diterima. Begitulah antara peraturan yang digunapakai.
Peraturan lain ialah jika sesuatu filem itu telah diterbitkan dalam DVD di negara asalnya juga tidak layak dipilih ke festival walaupun ditayangkan dalam masa kurang dari setahun dari tarikh festival. Tentang tema, kandungan dll aspek perfileman kita tidak kenakan apa juga peraturan.
Satu lagi ialah mengenai filem di bawah 30 minit dikira sebagai filem pendek dan pemilihannya dibuat oleh jawatan kuasa lain yang mengendalikan pertandingan filem pendek. Filem sederhana antara 30 minit hingga 1 jam dikira sebagai filem pendek juga dan tidak layak untuk masuk Festival Filem Venice. Jadi hanya kriteria umum saja yang ada.
SRH: Bagaimana dengan kandungan filem tersebut? Adakah faktor tertentu yang diambil kira?
Paolo: Bila kami menonton apa juga filem mungkin faktor yang menjadikan sesuatu filem itu releven di Venice, Berlin atau pun Cannes ialah kami melihat bagaimana riaksi audien festival terhadapnya?Dan juga bagaimana riaksi pihak media Itali dan antarabangsa terhadap filem tersebut? Apakah ia akan disukai atau diterima? Ianya menjadi masalah kadang-kadang menjadi kekangan juga. Kerana kadang-kadang filem dari latar-belakang budaya yang berbeza tidak begitu baik penerimaan dan apresiasinya oleh audien Itali, Perancis atau Jerman.
Kadang-kadang hanya kerana aspek kemahiran teknikalnya pun boleh menyebabkan filem itu ditolak oleh penonton atau media dan kami dapat rasakan filem yang mana tidak disukai oleh audien disebabkan oleh bagaimana filem itu dibuat dan bukan atas sebab lain.
SRH: Adakah ini berkaitan dengan isu serta sebab-sebab kontroversi di dalam sesebuah filem?
Paolo: Tidak juga. Tetapi lebih kepada filem itu tidak difahami dan tidak disukai dalam konteks yang tertentu. Contohnya beberapa tahun yang lalu, ada sebuah filem Filipina yang merupakan filem terbaik bagi tahun 2002/03 yang sangat populer tetapi di Venice audien dan media Itali tidak menerimanya. Ia kelihatan begitu buruk pembikinannya dari aspek teknikal bukan dari aspek penceritaan, tema dan plot. Hanya kelemahan teknikal. Dan ini akan meletakkan filem ini ditempat yang rendah bila dibandingkan dengan filem-filem Amerika Syarikat, Perancis dan dll. yang lebih baik dari segi teknikalnya.
Pada mulanya semua orang sedikit teruja dengan filem ini kerana popularitinya di Filipina. Tapi di Eropah, pengkritik filem pun tidak menerimanya kerana kelemahan tekniknya walaupun mereka ini tidak berapa faham dan biasa menonton filem-filem Filipina.
Perkara seperti ini amat penting. Saya akui, ianya merupakan kekangan yang mendiskriminasi industri kerana filem dari Filipina ini bukannya dari negara kaya seperti filem dari negara lain. Tetapi ianya sangat mustahak (aspek teknikal yang baik).
Pun begitu, teknologi baru digital sekarang menyama-ratakan filem dari semua negara di seluruh dunia. Dan bagi pembikin filem bebas yang tidak memerlukan bajet yang besar, sebuah filem yang baik akan menjadi filem yang baik.
Teknologi digital telah membawa kesama-rataan kepada semua pembikin filem di mata audien dan para perancang program festival. Dengan filem-filem digital, anda memahami bahawa ianya dibuat dengan bajet yang rendah diluar kebiasaan industri. Anda juga akan dapat mengapresiasi idea pembikin filem bebas, ketabahan dan kemahuan mereka yang tinggi dalam membuat filem walaupun dengan bajet yang rendah.
SRH: Dan dalam filem-filem ini, kreativiti amat bermakna dan mengatasi segalnya?
Paolo: Sememangnya begitu. Kreativiti menjadi keutamaannya. Ini termasuk dalam menilai dan membuat keputusan penjurian filem. Sekurang-kurangnya begitulah harapan saya, kerana kadang-kadang ia tidak jadi begitu. Teknologi ini telah meningkatkan peluang pembikin filem tertentu dari negara tertentu memasuki festival.
SRH: Anda menyebut tentang filem Filipina yang tidak berapa baik dari aspek teknikal yang telah ditolak. Bagaimana kalau dibandingkan dengan filem-filem Iran yang diterima di festival di Eropah? Adakah ianya dilihat dari kaca-mata yang sama kerana filem-filem Iran banyak yang telah menang di festival Eropah. ?
Paolo: Ya sudah tentu.Tapi dalam dua dekad yang lalu saya tak nampak filem-filem Iran yang menang di festival antara-bangsa kasar pembikinannya. Dalam kes filem-filem Iran ianya benar-benar dapat mengakses festival kerana ianya ‘bercakap’ kepada semua audien. Walau pun ianya sangat unik bila anda menonton filem Iran anda tahu dari mana ia datang . Dari pakaian dan kostum pelakon-pelakonnya sahaja anda sudah tahu ia filem Iran.
Jenis ceritanya juga sangat jelas mempamerkan ianya sangat universal dan jujur. Apabila nama-nama besar pengarah Iran seperti Kiorastami, Makhbalbaf, dll muncul di senario festival antara-bangsa mereka juga mempersembahkan cerita secara visual dalam erti kata menggunakan bahasa filem yang kuat. Inilah jenis seniman yang bukan saja boleh membawa cerita yang kuat dan bagus tetapi juga membuatnya dengan sinematik yang sangat menakjubkan.
Sebagai perbandingan,ianya seperti seorang pengarang yang menulis cerita yang hebat dan amat menyentuh dan ditulis dengan bahasa yang amat indah. Beginilah yang dilakukan oleh Kiorastami, Makhbalbaf dan Majid Majidi dll yang boleh membawa citra negara mereka dengan cara yang mudah dan bercakap kepada semua orang di seluruh dunia. Kerana akhirnya anda akan dapati semua manusia itu sama walau apa pun latar baudaya mereka. Bagaimana mereka berinteraksi antara satu sama lain, bagaimana mereka menderita,ketawa,menangis dll adalah sama saja walau di mana pun. Dan ini dilakukan dengan sinematik yang amat hebat, memberi inspirasi,kreatif dan sangat original. Juga sangat halus dan penuh dengan subtleteis dan ianya sangat penting.
SRH: Akhir sekali, apa harapan anda untuk menambahbaik KLIFF di masa yang akan datang?
Paolo: Yang paling saya harapkan ialah festival ini benar-benar memberi fokus untuk filem. Festival filem adalah untuk filem. Dan saya amat mahu melihat festival filem yang menyentuh audiennya. Dan ini termasuk festival filem tempatan. Kenapa anda perlu buat festival yang berrtanding antara satu sama lain? Kenapa perlu buat festival yang cuba menjadi seperti Cannes, Berlin ataupun Venice Asia? Kenapa tidak fikirkan festival digunakan sebagai alat untuk membantu industri nasional dan juga audien nasional?
(Interviu penuhnya akan dimasukkan dalam majalah Suara Baru edisi Januari).
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 6:37 AM 0 comments
Sunday, December 28, 2008
Pakatan Keadilan Rakyat apa sudah jadi?
Belum pun beralih hari kata orang kampung saya, orang-orang dalam Parti Keadilan Rakyat telah menunjukkan belang masing-masing. Hanya beberapa bulan yang lalu, Dt.Seri Anwar Ibrahim sibuk ke sana ke mari cuba mendapatkan Ahli-Ahli Parlimen BN menyeberangi Dewan Rakyat untuk membolehkan beliau menubuhkan kerajaan dan menjadi PM dan langkah beliau dikritik hebat bukan saja oleh BN tetapi juga banyak pihak dan menyifatkannya sebagai tidak beretika. Malah di kalangan Pakatan Rakyat sendiri, banyak pihak yang tidak merestui perbuatan beliau walaupun mereka berdiam diri mengenainya. Banyak pihak yang menyarankan Ahli Parlimen yang mahu menukar parti perlu meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi mereka supaya pilihan-raya kecil boleh diadakan untuk mendapatkan mandat baru yang sah sebagai benar-benar mewakili kehendak rakyat kawasan yang berkenaan.
Sejak beberapa hari yang lalu, ribut kecil sedang berlaku di kawasan Parlimen Kapar, Selangor kerana wakil dari PKR yang memenangi kawasan tersebut mahu keluar dari parti kerana beliau tidak gembira dengan cara Menteri Besar Selangor bertindak dan mentadbir negeri ini. Saya menjangkakan pasti mudah bagi wakil Kapar ini berbuat demikian kerana itulah prinsip demokrasi yang dipercayai oleh PKR dan ahli-ahli Pakatan Rakyat yang lain, kerana itulah yang hendak mereka lakukan kepada orang-orang BN beberapa bulan yang lalu . Membeli atau memujuk orang BN memasuki PR tidak melibatkan isu etika kerana ini namanya demokrasi. Tetapi tiba-tiba wakil Kapar diminta meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi parlimen atas dasar wakil tersebut telah dipilih atas tiket PKR/PR dan rakyat kawasan itu perlu memberikan mandat baru siapakah calon yang mereka mahu mewakili mereka. Kenapa perlu berbuat demikian? Bukankah wakil Kapar perlu diberi hak demokrasi beliau seperti yang mahu ditagih daripada ahli-ahli BN yang mahu menyertai PR? Sekali lagi ini menunjukkan sikap double standard pembangkang yang amat memualkan. Apa sudah jadi PKR/PR?
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 11:19 PM 0 comments
Thursday, December 25, 2008
Teresa Kok dan Saman RM30 juta
Saman YB Teresa Kok terhadap Utusan Malaysia dan Dato Chamil Wariya sangat menarik perhatian saya. Pun begitu tidak ramai yang mahu menganalisis situasi ini kerana takut kalau-kalau ia menjadi subjudice dan memberi kesan tertentu kepada kes mahkamah yang telah difailkan. Tanpa mahu melibatka diri saya dalam perkara-perkara teknikal kes ini, saya cuma ingin menyoal di mana letaknya prinsip demokrasi bersuara yang dilaung-laungkan oleh Teresa dan Parti DAP selama ini? Apakah cerpen tulisan Dato Chamil dengan tajuk YB J yang tersiar dalam Mingguan Malaysia sedikit waktu lalu tidak lebih merupakan hak seseorang menulis seperti yang dimahukannya dan tidak perlu dipersoalkan oleh orang lain? Bukankah DAP selama ini amat kuat memperjuangkan prinsip kebebasan bersuara jadi kenapa hak bersuara orang lain mahu disaman dan di 'intimidate' dengan tindakan mahkamah? Apa yang ditulis dalam cerpen tersebut tidak lebih daripada memanfaatkan lesen kreatif seseorang penulis. So whats the big deal? Sekali lagi Teresa dan DAP ternyata mengamalkan double standard yang paling jelas dan amat memualkan!
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 5:58 AM 0 comments
Wednesday, December 24, 2008
The Firm ala Malaysia!
Seperti yang dijangka postings mengenai kisah Ika baru-baru ini menarik perhatian ramai. Dan seperti biasa mereka tidak mahu dikenali dan tak berani memberi komen secara langsung kepada saya dalam ruang ini. Tetapi berbagai cara dilakukan untuk bercerita tentang berbagai kisah lagi. Seorang teman rapat saya dihubungi oleh seorang teman lama yang juga ada kisah yang nak dikongsi bersama. Jadi ini kisah kawan kepada kawan saya!
Namanya Nadia. Dan kisahnya masih pada 'broadband' yang sama- dibuli, dimanipulasi, diambil kesempatan, ditipu dan dipergunakan oleh saudara-mara, orang politik dan bekas suami. Ini sudah klise tapi ada twist yang cukup menarik. Nadia minta 'disiberkan' kisahnya supaya siapa yang makan cili api tu biarlah dia yang rasa pedasnya. Seperti Kay, Fiona dan Ika mereka menjadi mangsa kerana berdiam diri dan menderita kerana mereka cukup baik, tak mahu bising, mahu menjaga air muka keluarga dan tak mahu anak-anak menderita. Jadi mereka terpaksa memendam rasa bertahun-tahun dan cukup menderita. Mengikut kawan saya, Nadia menangis terisak-isak bila bercerita tentang kisahnya. Mengingatkan saya kepada kata-kata Ensieh Shah Hoesseini Pengarah Filem Iran yang saya temubual baru-baru ini bahwa 'luka itu tetap luka' sampai bila-bila!
Bagi mereka yang sering mengikuti kisah Mendiang Puteri Diana semasa hidupnya pasti masih teringat tentang istilah 'The Firm' yang digunakan oleh beliau bila bercakap tentang keluarga Di Raja disekelilingnya. Kisah Nadia juga lebih kurang begitu. Dia dikelilingi oleh saudara-mara yang terlibat dalam politik dan apa yang terjadi yang berlaku kepada Diana juga. Bercakap tentang sejarah yang berulang!!
Setelah bercerai dengan bekas suaminya, Nadia meneruskan kehidupan dengan dua orang anaknya yang sedang meningkat dewasa. Hasil dari tuntutan harta sepencarian dengan bekas suaminya, Nadia membeli rumah dan kereta untuk keperluan diri dan anak-anaknya dan cuba menceburkan diri dalam perniagaan. Nadia agak rapat dengan seorang sepupunya yang merupakan isteri kepada orang politik. Sebagai bekas pensyarah IPT Nadia agak luas pembacaannya, cerdik, berilmu dan seorang yang luas pengalamannya kerana banyak kali tinggal di luar negeri dan memang ramai yang menyedari aset dikepalanya yang bukan calang-calang tinggi intelligence nya. Sepupunya telah beberapa kali mahukan Nadia menjadi setia-usahanya. Mengenali sepupunya yang cukup domineering,manipulatif dan mesti mendapat apa yang dimahukannya tanpa menimbang perasaan dan keperluan orang lain, Nadia menolak permintaannya.
Pun begitu, Nadia masih mengekalkan hubungan baik dengan sepupunya dan sering memberikan pandangan serta pertolongannya tentang banyak perkara bila diperlukan. Apa yang tidak diketahui oleh Nadia ialah segala usahanya dalam perniagaan dan projek yang diperolehinya semuanya disabotaj oleh orang-orang disekelilingnya. Malah segala dana yang dijanjikan oleh orang tertentu pun dimanipulasi dan tidak diberikan seperti yang sewajarnya (walau pun surat telah dikeluarkan!).Bapa saudara Nadia (bapa sepupunya) yang pada mulanya berjanji mahu menyediakan dana untuk projek yang diperolehinya juga telah mendiamkan saja perkara tersebut setelah mendapat projek besar lain. Pada mulanya Nadia tidak mengetahui kenapa dana yang dijanjikan kepadanya tidak diberikan, tetapi setelah beberapa lama barulah dia faham. Seperti Diana, dia dikontrol oleh 'The Firm' di sekelilingnya. Mereka tidak mahu Nadia boleh berdikari dan berjaya tetapi mahu memastikan Nadia bergantung hidup dengan ehsan orang-orang tertentu.
Sebabnya? Ilmu dan kecerdikannya. Apalagi bila beliau mula menulis di surat khabar dan majalah tempatan. Bagi orang-orang tertentu, Nadia cukup bahaya bila dia bebas dan boleh berdikari. Jadi dia mesti duduk di bawah dan 'berkhidmat' kepada orang-orang tertentu yang takut kepada pemikirannya dan apa yang ditulisnya tidak seperti apa yang dimahukan oleh mereka!! Jadi, Nadia mesti dikontrol dan mesti dekat dengan orang-orang tertentu sahaja. Itulah sebab sepupunya yang disangkakan baik hati selama ini mahu dia menjadi setia-usaha peribadinya!! The Firm mahu memastikan Nadia tidak pergi ke mana-mana dan menjadi 'milik' mereka. Suatu perlanggaran hak asasi manusia yang cukup jelas dan hampir tidak terfikir boleh berlaku di negara ini. Pelik tetapi benar.Sebenarnya Nadia telah lama merasakan hidupnya dikontrol oleh orang-orang tertentu. Pastinya ada bos besar di sebalik semua ini. Dan bos besar ini cukup berkuasa dan mempunyai jaringan yang cukup luas dan boleh menggerakkan sesiapa juga sebagai jenteranya termasuk musuh-musuh politik mereka! Malah bekas suami Nadia dan kawan-kawannya juga menjadi sebahagian daripada jentera bos besar yang digerakkan untuk menyekat, memanipulasi dan mensabotaj kehidupan Nadia.
Berbagai perkara dilakukan terhadap Nadia dan anak-anaknya. Anaknya pernah diugut dengan diacukan pisau Rambo oleh 'perompak baik' yang mengambil 50% sahaja daripada wang dalam dompetnya. Menyimpan kunci kereta anaknya (bukan mencuri keretanya), memberikannya 20 sen kemudian menyuruh anaknya menalipon ke rumah untuk mengambil kunci kereta simpanan dari ibunya! Keretanya pernah dibuang minyak brek sebanyak 2 kali dalam masa 2 minggu berturut-turut dengan kesan tikaman yang jelas pada casing minyak tersebut. Nasib baik anak-anak Nadia yang memandu keretanya ketika itu tidak kemalangan walaupun hampir sangat! Cerita tayar kereta ditikam paku dan ice pick juga selalu berlaku. Malah kehidupan peribadi Nadia juga dikontrol. Dengan bantuan bekas suaminya yang tidak mahu Nadia berkahwin lain bila ada orang yang menunjukkan minat kepadanya, berbagai perkara dilakukan untuk memastikan Nadia tidak ke mana.
Kakak, sepupunya berkempen dan kadang-kadang ada orang tertentu yang disuruh 'memandrem' Nadia bila ada orang mendekatinya. Nadia kenal siapa orang itu dan tahu apa yang dilakukannya dan menjauhkan diri daripadanya. Semua manusia tidak cukup baik bagi Nadia. Si A begitu, si B pula begini. Ada sahaja yang tidak kena dan tidak sesuai di mata mereka. Tidak cukup dengan itu, anak Nadia juga dihasut supaya memusuhi ibunya jika Nadia berkeras dan mahu meneruskan niatnya untuk mengahwini seorang manusia yang dirasakanya cukup sesuai dengan dirinya!! Jadi seperti kisah Ika juga, berbagai perkara dilakukan termasuk menghasut dan menakutkan keluarga lelaki yang mahu mengahwini Nadia dengan fitnah, tohmah dan berbagai 'skendel' yang kononnya menyelubungi kehidupan Nadia yang tidak pernah pergi mana dengan siapa pun dan cukup kuat pegangan agama dan telah beberapa kali ke Mekah menunaikan haji dan umrah!! Sememangnya ada beberapa orang lelaki yang telah mendampinginya selepas beliau bercerai, tetapi hubungan Nadia tidak lebih dari 'suka' kepada orang itu dan tidak lebih dari itu dan tidak cukup lama bertahan kerana berbagai perkara berlaku kepada orang yang mendekatinya! The Firm means bussiness nampaknya.Patut perkara ini dilaporkan kepada SUHAKAM saja, tapi Nadia tak nak pulak atas sebab-sebab tertentu!
Pun begitu, Nadia mempunyai suatu kelebihan. Atau mungkin suatu sumpahan! Sesiapa yang membuat inaya kepada Nadia pasti akan mendapat balik berbagai musibah yang tidak dijangkakan. Entah kenapa boleh jadi begitu, mungkin Allah Taala nak menunjukkan kepada manusia-manusia The Firm ini bahawa mereka tidak boleh menjadi Tuhan dengan 'mengontrol' dan melakukan kezaliman kepada orang lain. Kadang-kadang dalam masa yang singkat tak dan beralih hari kata orang kampung saya, kenalah si Mamat tu! Nadia tak tahu bagaimana ini semua terjadi, tapi dia cukup ingat hadis Nabi Muhammad SAW yang mengatakan 'Doa orang-orang yang terinaya itu cukup dekat dan tidak ada dinding pemisahnya dengan Allah.' Dan Nadia cukup ingat juga tentang arwah ibunya yang sangat sedih dengan banyak perkara yang diperlakukan oleh The Firm kepadanya dan anak-anaknya sehingga dia pernah berdoa di depan Kaabah memohon Allah swt. menunjukkan jalan yang benar kepada orang-orang yang menzalimi Nadia dan cucu-cucunya dan mengembalikan kezaliman mereka kepada orang yang membuatnya. Kasih Ibu membawa ke syurga dan Nadia sudah pun melihat kebesaran Allah di hadapannya dari semasa ke semasa! Dan ini termasuklah kepada sepupu serta kakak-kakaknya yang menjadi sebahagian dari The Firm dengan berbagai cara. Jika tidak kena kepada mereka sesuatu mungkin berlaku kepada anak-anak mereka. Tapi Nadia cukup lembut hatinya dan dia yang fobia bila melihat ada orang yang cuba berbuat perkara yang tidak baik kepadanya. Mungkin Allah Taala lebih mengenali Nadia dari orang lain yang tidak habis-habis memfitnah dan menikamnya dari belakang, dan Dia mengawasi Nadia sepanjang masa. Alhamdullilah.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 1:00 AM 0 comments
Sunday, December 21, 2008
Fenomena Laskar Pelangi
Dalam Kosmo! semalam ada artikel kecil mengenai filem Laskar Pelangi yang sedang hit di Indonesia sekarang. Saya sedang membaca novelnya karangan Adreana Hirata dan akan meletakkan postings nya setelah direviu dan disiarkan dalam akhbbar. Memang sebuah novel yang bagus -gripping dan naratifnya cukup baik. Ianya kisah murid-murid sekolah kampung di Belitong sebuah pulau berdekatan Bangka dan tidak jauh dari pesisir pantai Muar. Ceritanya sangat indah dengan latar-belakang sekolah kampung yang ada kalanya membuatkan kita ketawa dan mencemaskan pada waktu yang sama.
Gapena dengan Kedutaan Indonesia sedang berusaha untuk membawa Adreana dan pengarah filem ini ke Malaysia. Kami bercadang untuk membuat diskusi buku, apresiasi filem dan seminar kecil tentang sastera dan filem Malaysia-Indonesia. Nantikan kedatangannya beberapa bulan lagi kerana walau pun belum menonton filemnya, saya yakin ini suatu filem yang hebat yang jelas 'soul' Melayunya. Tabik saya kepada Adreana Hirata.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 8:53 PM 0 comments
Ensieh Shah Hoesseini dan Goodbye Life
ENSIEH SHAH HOSSEINI DAN GOODBYE LIFE
OLEH
SITI RUQAIYAH HASHIM
Barangkali tidak ramai orang yang terfikir untuk membunuh diri dengan menjadi mujahid di medan perang. Tetapi itulah yang berlaku kepada Ensieh Shah Hosseini seorang wartawan Iran setelah dia bercerai dengan suaminya. Dipukul dan diceraikan oleh suami
adalah penghinaan paling memalukan kepada wanita Iran (malah kepada wanita mana pun) dan stigma masyarakat kepada mereka begitu tebal sehingga hidup dirasakan tidak lagi ada maknanya. Ensieh mengalami semua itu pada usia yang masih muda dan trauma
serta penderitaan jiwa yang dilaluinya begitu rupa sehingga beliau mahu membunuh diri. Tetapi beliau cukup waras dan sebagai orang Islam menyedari bahawa membunuh diri itu adalah dosa besar yang tidak diampun oleh Allah SWT.
Jadi bila perang Iran-Iraq bermula dan Ayatollah Khoemeni mengeluarkan fatwa mereka yang tewas di medan perang menentang Iraq adalah syuhada, Ensieh terfikir lebih baik mati sebagai seorang mujahid daripada menjadi murtad. Lalu dia mendaftarkan diri dengan tentera dan secara sukarela menjadi wartawan perang yang dihantar ke sempadan. Sepanjang perang selama 8 tahun itu, Ensieh pernah tertembak di bahagian belakang dan bahunya tetapi beliau sedikit pun tidak berundur atau menyesali keputusannya menjadi wartawan perang. Berada di barisan hadapan dalam banyak medan perang bersama ramai wartawan perang dari luar negeri yang cukup berpengalaman dan veteran serta dibayar dengan begitu mahal (kalau mati pun amat berbaloi!)sedikit pun tidak menggerunkannya.
Sememangnya beliau seorang yang berani dan dalam meniti hari-hari sukar kehancuran rumah tangganya, medan perang mengajar Ensieh tentang realiti kehidupan dan menemukannya dengan kehidupan baru, cinta serta menyedarkannya dari kekecewaannya. Dan ini yang mengeluarkannya dari hanya memfokuskan perhatian kepada penderitaan peribadinya dan berdepan dengan realiti perang dan kehancuran . Suatu journey of discovery yang cukup panjang, sukar dan cukup pahit dan menyiksa kepada ramai orang. Tetapi seperti kata Ensieh ‘jika anda terluka traumanya mungkin tiada lagi selepas luka itu sembuh. Tapi di peringkat yang lebih dalam, anda akan rasa sama sahaja seperti apa yang saya rasakan.’ Hanya yang melalui kelukaan dan penghinaan yang amat memalukan seperti yang dilaluinya yang akan faham perasaan pengarah filem Goodbye Life ini, sehinggakan mati di medan perang pun tidak mengapa!
Lahir di Gorgan, Iran pada tahun 1954 Ensieh merupakan siswazah Sinematografi Filem. Sewaktu perang (1981-1989) beliau menghasilkan banyak dokumentari perang dalam siri War Refugees yang sering dipertontonkan di stesen TV Nasional Iran dan di seluruh dunia. Ketika perang tamat dan pasukan pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mula tiba di sempadan Iran-Iraq, Ensieh berada di situ. Pegawai PBB menggelar beliau
Oriano Pelochi of Iran (Oriano adalah wartawan perang wanita Itali yang termasyhur di Barat). Goodbye Life adalah kisah hidup sebenar Ensieh yang dipaparkan di layar perak.
Selepas tamat perang beliau kembali ke dunia penyelidikan dan penulisan novel, filem dokumentari dan penulis lakon layar. Novel beliau memenangi hadiah Sastera 20 tahun Iran dan filem pendeknya Deadline memenangi hadiah pertama di Festival Filem Wanita Seoul 2001. Filem cereka Ensieh yang pertama ialah Lets Go,Its Late yang dibuat dalam tahun 2005. Filem Goodbye Life yang dibuat dalam tahun 2006 adalah filem kedua beliau yang banyak kali dicalonkan di festival filem di Iran, Sweden, Jepun, Korea dan diberikan Anugerah Keamanan Khas oleh Pope di Festival Filem Czechoslovakia. Malah filem ini juga dicalonkan di Anugerah Akademi sebagai filem luar negeri terbaik tetapi kalah di tangan Majid Majidi pengarah terkenal teman seperjuangan Ensieh dari Iran juga.
Dengan kos kira-kira USD 300,000 dan mengambil masa hampir 2 bulan penggambaran, filem ini dibuat di kawasan sempadan Iran-Iraq pada tahun 2006. Ketika itu Iraq sudah pun diduduki oleh Amerika Syarikat. Sewaktu penggambaran, dengan letupan, pyrotechnic dan segala kesan bunyi khas helikopter tentera Amerika Syarikat memasuki ruang udara Iran untuk menyiasat apa yang sedang berlaku. Hampir tercetus insiden tegang di sempadan Iran-Iraq dan pihak Amerika Syarikat menghantar notis protes kepada tentera Iran. Mereka juga menembak krew serta pelakon filem ini untuk menakut-nakutkan Ensieh.
Nasib baik tidak ada kejadian buruk yang berlaku tetapi insiden itu sudah cukup buruk dan menyebabkan Iran menghantar nota bantahan kepada tentera Amerika Syarikat pula. Kepada pengarah lain, situasi begini pastinya cukup menakutkan dan penggambaran mungkin ditamatkan di situ sahaja. Tetapi Ensieh sudah cukup lali dengan tembakan, letupan serta kipas helikopter berlegar di atas kepala dan penggambaran filem ini berjaya disiapkan. Pendapat nakal saya mengatakan mungkin itu sebabnya filem yang cukup vivid dengan pemaparan realiti perang ini tidak menang dalam Anugerah Oskar Akademi di Amerika Syarikat!
Filem Goodbye Life membawa kisah protagonisnya Maryam yang kecewa dengan kehidupannya kerana diceraikan menjadi wartawan perang dan dihantar ke sempadan dengan harapan beliau terbunuh sebagai syuhada. Realiti dan kehancuran hidup oleh peperangan membuatkan Maryam menukar fikiran dan meneruskan tugasnya sebagai wartawan perang demi memperjuangkan negaranya. Dia menemui kehidupan baru dalam cubaannya untuk mengakhiri penderitaan dalam kehidupan lamanya. Malah beliau bertemu dan jatuh cinta dengan seorang komander tentera Iran yang telah menyelamatkannya.
Bila ditanya apakah yang mahu diperkatakan melalui filem ini jawapan Ensieh amat mudah.’Saya mahu paparkan realiti peperangan. Dan dalam peperangan juga ada cinta, kebencian, kehancuran, ketabahan, keberanian dan segala-galanya.Itulah perang (dan perang boleh berlaku di banyak medan!). Kegigihan, keberanian dan kehidupan baru yang ditemuinya membuatkan Ensieh tidak lagi mahu mati kerana kecewa. Pun begitu mungkin tiada siapa yang tahu bagaimana luka di hatinya kerana apa pun yang terjadi luka tetap luka.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 8:42 PM 0 comments
Filem Iran di RTM?
Sehingga sekarang saya belum pernah menonton filem- Iran di RTM. Walaupun Astro dan saluran TV lain sering menayangkannya, RTM masih belum berbuat demikian. Dalam surat khabar hari ini semuka penuh interviu dengan Menteri Penerangan tentang pengstrukturan semula RTM. Baguslah tu, tapi RTM juga perlu lebih perihatin tentang programmingnya.
Industri filem Iran adalah sesuatu yang sangat vibrant dan prolifik. Nama-nama besar pengarah filem terbaik dunia sekarang termasuk beberapa orang pengarah Iran. Majid Majidi, Hoessin dan anaknya Samira Makhbalbaf, Abbas Kiroastami, Ensieh Shah Hoesseini adalah pemenang Palm d Orr di Cannes, Festival Filem Venice, Berlin dan juga di Akademi Awards Amerika Syarikat . Ini adalah festival besar tertua dan penting di dunia dan filem-filem Iran menang kerana kehalusan, nilai estetika dan naratif ceritanya yang baik dan subtle se subtle-subtle nya! Jadi kenapa RTM masih malu-malu nak tayangkan filem-filem Iran? Sudah ada filem Jerman, Itali, Korea, Jepun dll bila lagi nak tayang filem Iran?
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 2:58 AM 0 comments
Friday, December 19, 2008
Kumpulan sokongan Kepada Kay, Fiona dll.
Kesan dari postings saya mengenai kisah Kay dan Fiona mendapat banyak respon dari lelaki dan perempuan. Sayangnya mereka tidak mahu komen dalam blog ini kerana tidak mahu dikenali atau dijejaki atas sebab tertentu. Saya hormati kehendak mereka begitu tetapi terima-kasih atas respon tersebut dan ada yang bersusah-payah mencari nombor telefon dan alamat emel untuk menghubungi saya. Dan dalam banyak-banyak respon itu ada juga yang bercerita tentang kisah mereka yang tidak kurang menariknya dan saya rasa amat perlu dikongsi di sini seperti yang diminta oleh tuan punya kisah. Ada orang berkata saya sedikit 'sexist' kerana cerita yand dipaparkan hanya berpihak kepada wanita tetapi kerana yang mengadu kepada saya wanita, cerita merekalah yang saya paparkan. Jadi diharap saya tidak dilabel begitu tanpa sebab yang munasabah.
Saya namakan beliau Ika. Kisah beliau sedikit mirip kisah Fiona. Kisah wanita yang dibuli, dimanipulasi dan dieksploitasi oleh saudara mara, kawan-kawan dan bekas suami yang mempunyai kepentingan mereka yang tersendiri dan bertekad tidak mahu beliau memulakan hidup baru dengan orang yang lebih baik kedudukannya dari bekas suaminya. Ika telah lama bercerai dengan bekas suaminya seorang pengurus kanan sebuah syarikat minyak negara ini. Kira-kira 4 tahun selepas bercerai, seorang VIP yang juga dalam kedudukan seperti Zek dalam kisah Fiona telah bertanya kepada bapa saudara Ika untuk memperisterikannya. Saya namakan beliau Maz. Isteri Maz telah beberapa tahun terlantar sakit dan karier serta kedudukannya merlukan dia mempunyai isteri. Maz bukanlah seorang VIP yang mengambil peluang keemasan keadaan isterinya yang sakit untuk menambah cawangan!
Seperti Fiona, Ika juga serba-salah untuk menerima atau menolak Maz ketika itu. Saya yakin, siapa pun tak boleh memahami perasaan dan dillema yang dilalui oleh Ika dan Fiona melainkan mereka yang mengalaminya. Maz adalah sahabat bapanya dan bapa saudarnya dan keluarga mereka berdua telah lama mengenali antara satu sama lain walau pun Ika hanya mengenali Maz dari jauh melalui profesyen mereka yang ada kalanya berada di tempat dan pletfom yang sama. Sepupu Ika hari-hari menalipon beliau dan menyuruh berkata ya walau pun mereka tidak memberitahunya siapakah orang yang mahu melamarnya. Ini sindrom manusia Maz yang mahu tapi malu!! Beliau tidak mahu Ika mengetahui identitinya yang sebenar mungkin kerana kedudukannya sebagai VIP dan beliau takut tidak diterima dan akan malu ceritanya tersebar apalagi karier beliau yang sangat sensitif kepada kabar angin, fitnah dll.
Seperti Fiona, Ika juga mula-mula menerima lamaran Maz kemudian diserang sindrom'cold feet' dan berkata beliau belum bersedia (sama pulak cerita dia orang ni!). Apalagi waktu itu anak sulung Ika buat hal memprotes kalau mendengar ibunya mahu berkahwin lagi kerana bapanya sedang gila nak balik semula kepadanya. Bekas suami Ika menjalankan kempen saraf dan bergabung tenaga dengan beberapa 'sekutu' yang terdiri dari puak-puak yang sekepala dengannya. Seperti bekas suami Kay, bekas suami Ika juga orang 'moden' lulusan luar negeri yang mempunyai pemikiran yang liberal dan kebaratan. Ika bukanlah orang ulu dan kolot sangat tapi dia datang dari keluarga yang kuat pegangan agamanya, tapi moden dan tidak konservatif.
Beberapa bulan selepas Maz bertanya tentang IKa, beliau masih belum dapat membuat keputusan, tetapi sering mendengar tentang Maz yang dikatakan telah berkahwin seorang lagi dengan seorang wanita berketurunan Cina. Berita ini disampaikan oleh seorang teman sekelas Ika yang pernah berkerja di pejabat yang sama dengan Maz, jadi Ika mempercayainya tetapi tidak ambil pusing tentang hal tersebut kerana dirasakannya tidak ada kena mengena dengan dirinya. Malah kata Ika kepada temannya, 'biarlah dia nak kawin dengan siapa pun, itu hak dia!' Kawan Ika adalah orang politik yang telah pun bersara kerana kesihatannya kurang baik ketika itu. Ika sedikit pun tidak mengetahui yang Maz adalah sahabat bapa saudaranya yang ingin melamarnya.
Sekutu-sekutu bekas suami Ika terdiri daripada beberapa orang kuat media (dan ex -media ) dengan kaitan kuat dengan orang politik. Apalagi berlakulah perang saraf antara kedua belah pihak dengan hebatnya! Berbalas-balas ICBM (inter continental ballistic misssiles) dari kedua pihak!! Maz pun tidak ketingglan menggerakan jenteranya untuk membalas serangan sekutu-sekutu bekas suami Ika. Saya ketawa habis bila mendengar cerita Ika sampai hampir jatuh kerusi! Serius tapi sangat lucu. Begitulah kehidupan. Bunyinya macam Bharatayuda iaitu perang tujuh tahun antara Arjuna dengan 7 orang saudaranya menentang Duryodana dengan 7 orang saudaranya juga dalam epik Mahabharata karangan Vyasa dalam sastera Sanskrit yang termasyhur itu. Memang sejarah manusia berulang kalau buat macam mana pun kerana manusia tetap manusia. Nafsu, tamak haloba, dengki dan dendam kesumat adalah sebahagian dari manusia! Yang paling saya seronok mendengar cerita Ika ialah dia sikit pun tak tahu apa yang berlaku dan kenapa dua puak manusia ini berperang dalam media! Dia terpinga-pinga kadang-kadang bila mendengar cerita tentang Maz yang begitu dan begini.
Malah 'perang' mereka bukan saja antara inividu tertentu sahaja tetapi turut digerakkan NGO yang memakai nama Islam tetapi cukup liberal, kritikal dan anti poligami. Malah ada tokoh politik wanita juga yang diseret bersama dalam kempen mereka supaya Maz tidak dapat berkahwin dengan Ika. Yang peliknya sebelum Maz bertanya tentang Ika NGO tersebut tidak pula berkempen begitu, tetapi hanya bila Ika yang nak dilamar, barulah heboh satu Malaya! Saya cukup simpati dengan Maz yang benar-benar memerlukan seorang isteri disampingnya sebab saya yakin beliau bukanlah jenis manusia 'moden' yang lebih senang menyimpan perempuan di kondo mewah tanpa perlu berkahwin. Maz adalah seorang manusia biasa yang mempunyai keperluannya yang tersendiri, percaya dan juga kuat pegangan agamanya, jadi apa salahnya dia mempunyai isteri kedua? Memang Bharatayuda moden ni! Peperangan antara dua ideologi yang bertentangan.
Apa yang tidak diketahui oleh Ika ialah bekas suaminya bersekutu dengan musuh-musuh bapanya. Bapa Ika adalah orang politik yang mempunyai kaitan kuat dengan Maz dan mungkin itulah yang mencetuskan Bharatayuda 2. Selepas beberapa tahun Ika mengetahui cerita yang sebenarnya tentang Maz, beliau mengambil keputusan untuk menerimanya apabila mengetahui bahawa Maz masih belum berkahwin dan setelah diselidiki diberitahu masih berminat untuk mengahwininya. Bagi Ika, beliau menerima ini sebagai ketentuan Allah SWT. Walau pun ada orang bujang yang juga berminat kepadanya, tetapi setelah berbincang dengan beberapa orang keluarga terdekat dan memikirkan kedudukan politik bapanya, Ika memilih Maz dan menyatakan kesediaannya menjadi isteri kedua. Juga seperti yang dilakukan oleh Fiona,beliau merujuk pihak agama yang mengatakan hukum yang sama seperti yang dikatakan kepada Fiona. Apalagi ini kerana Ika telah berkata ya dan kemudiannya menukar fikiran kepada belum bersedia. Ika bukannya mengatkan dia tidak mahu, tetapi dia belum bersedia. Sangat tragik dan mengalirkan air mata saya ketika mendengarnya.
Tetapi musuh-musuh bapa Ika dan Maz tidak berdiam diri. Bekas suami Ika sudah pun berkahwin lain, tetapi timbul pula kisah dendam seorang manusia yang Ika kenali hampir 20 tahun yang lalu, Jeff yang tidak mahu beliau berkahwin dengan Maz kerana beliau adalah sahabat Maz yang pernah bekerja di bawahnya! Macam cerita Hikayat Berbingkai pulak! Sahabat Maz ini pernah dibuang kerja kerana beliau tidak 'politically correct' dengan bos besar mereka ketika itu. Pun begitu, dia dibuang kerja atas alasan sifatnya yang terkenal dan diketahui ramai seorang kaki betina dan juga korup. Dan kebetulan Ika yang disalahkannya kerana Ika mengetahui perangai kawan ini! Ika rapat dengannya 20 tahun dahulu kerana Ika dan kawan-kawannya kesian kepada isteri Jeff yang macam orang bodoh tak tahu kisah suaminya selalu mengejar perempuan lain walau pun di pejabat mereka sendiri! Sebenarnya Ika cuba membantu Jeff supaya kembali rapat kepada keluarganya. Tapi cara Ika merapatinya telah disalah-ertikan oleh Jeff yang berkali-kali menyatakan keinginannya meniduri Ika!!!
Kesian Maz, kesian Ika dan keluarga mereka. Dendam kesumat Jeff dan musuh-musuh politik bapa Ika dan Maz sendiri menyebarkan berbagai fitnah dan membuat berbagai 'projek' untuk menggagalkan niat mereka. Keluarga Maz yang pada mulanya boleh menerima kehadiran Ika pun sudah mula berbelah bagi fikiran mereka apabila mendengar berbagai cerita tidak baik dan fitnah tentang Ika. Pada mulanya Ika tidak menyedari tentang hal ini, tetapi setelah menyiasat sendiri segala yang berlaku, beliau mendapat cerita yang sebenarnya dan mengetahui siapa kawan dan siapa lawan disekelilingnya! Malah ada anggota keluarganya sendiri yang dipergunkan untuk menghalang Ika dan Maz daripada berkahwin. Kepada Ika, mereka menceritakan keburukkan Maz dan kepada Maz mereka ceritakan keburukan Ika. Malah dengarnya anak Maz sendiri dikempen dan digunakan untuk menghalang niat bapanya. Sukar nak percaya cerita begini, tetapi mengatakan ianya mustahil juga adalah tidak kena. Kalau 4000 tahun dulu kisah begini boleh berlaku, kenapa tidak sekarang?
Saya menasihatkan Ika supaya bersabar dan menyelesaikan masalah mereka dengan bijak dan berhemah. Ika juga berada dalam keadaan yang tertekan dan sukar. Anaknya yang sedang bekerja telah tidak dibayar gaji selama 10 bulan. Anak sulungnya juga dihasut oleh keluarganya supaya menjauhkan diri daripada ibunya kerana mahu meneruskan niat menjadi isteri kedua. Di telan mati emak diluah mati bapa jadinya. Bukan itu saja, musuh-musuh bapa Ika tidak henti-henti mendatangkan calon lain yang jauh lebih muda dan bujang-bujang semuanya supaya berkahwin dengan Ika! Sampaikan di tempat kerja pun, dia terpaksa berdepan dengan keadaan begini dan ini amat menyukarkan kehidupannya. Doa saya supaya Ika dan Maz selamat bertemu jodoh dan meletakkan apa juga masalah mereka sebelum ini ke tepi dan bersatu menghadapi musuh-musuh mereka yang tidak mahu mengalah kerana a lot is at stake. And a lot is a lot!! Semoga Allah Taala mendatangkan petunjuk taufik dan hidayahnya kepada semua yang terlibat dan mengeluarkan mereka dari segala masalah dan kesulitan. InsyaAllah.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 7:14 PM 0 comments
Wednesday, December 10, 2008
Lagi tentang kehidupan
Baru-baru ini seorang pembaca blog saya berkongsi kisah dirinya setelah membaca kisah Kay sahabat saya dengan bekas suaminya. Wanita ini saya namakan Fiona yang juga menderita dan sengsara kerana maneouverings saudara-mara dan orang tertentu yang tidak mahu dia berkahwin sebagai isteri kedua seorang VIP (Saya namakan dia Zek) yang isterinya telah lama sakit dan sekarang dalam keadaan lumpuh separuh badan. Zek telah bersara sekarang dan telah lama bertanya kepada keluarga Fiona tentang dirinya.Waktu itu Fiona baru beberapa bulan kematian ibunya dan dia masih bersedih kerana beliau sangat rapat dengan arwah ibunya. Fiona pada mulanya berkata ya tetapi entah macam mana menukar fikiran kerana dia tidak sampai hati mengambil suami orang yang sedang terlantar sakit ketika itu.
Ketika Zek membuka mulut Fiona tidak diberitahu tentang identiti sebenar orang yang ingin memperisterikannya.Dan itu satu sebab mengapa dia tidak boleh membuat keputusan. Bagaimana mahu berkata ya, kalau rupa orang itu pun tidak dapat dibayangkannya? Sikit punya pelik? Hampir setahun lamanya Zek terus bertanya kepada keluarga Fiona apakah dia sudah bersedia.Kesian dia. Tetapi semua soalan itu tidak sampai ke telinga Fiona dan dia masih tidak tahu identiti yang sebenar yang mahu berkahwin dengannya. Pun begitu, dia selalu mendapat cerita tentang Zek kononnya sudah berkahwin seorang lagi, mempunyai perempuan simpanan di luar negeri dll. Dan Fiona sering hairan mengapa nama dan kisah Zek sering didengar dalam perbualan dengan kawan-kawan, keluarganya dll.Pada waktu itu, dia tidak mengetahui bahawa Zek adalah orang yang ingin melamarnya.Tragedi kemanusiaan lagi!!
Hampir dua tahun selepas itu, Fiona bertemu dengan seorang lelaki lain iaitu AS. Fiona dapat merasakan AS menyukainya sejak dari awal mereka bertemu. Fiona memikirkan dia tidak terikat dengan sesiapa juga dan tidak menolak As yang mula rapat dengannya. Hampir setahun setelah mereka berkenalan dan hubungan mereka menjadi semakin serius. Fiona menyukai As walau pun belum sampai ke tahap jatuh cinta dan telah bersedia untuk berkahwin dengan As. Malangnya beberapa minggu sahaja sebelum mereka duduk berbincang tentang masa depan mereka, tersiar dalam akhbar dengan gambarnya sekali tentang As dan bekas isterinya tetapi laporannya mengatakan mereka masih suami-isteri! Fiona seorang wanita yang tenang dan tak mudah melatah walau pun dia cukup marah dan terasa diperdayakan, tetapi memberikan masa kepada As yang kebetulan berada di luar negeri waktu itu untk menerangkan kedudukan dirinya yang sebenar.
As tidak berbuat demikian kerana dia yakin Fiona masih marah ketika itu dan perlukan masa yang lebih lama supaya Fiona sejuk sikit.Fiona memutuskan hubungan mereka setelah memberi masa hampir sebulan bagi As berbuat demikian. Tetapi, mungkin Allah Taala mempunyai perancangannya sendiri dan selepas Fiona 'memfreekan' dirinya dari As, tiba-tiba dia bertemu dengan Zek di suatu majlis. Entah macam mana,cara Zek memandang Fiona membuatkan dia merasa seperti ada sesuatu yang nak diperkatakaan. Fiona bertanya habis-habisan kepada bapa saudara serta sepupunya yang dulu menceritakan tentang ada orang yang ingin melamarnya. Yes! Memang betul ada sesuatu antara Zek dengannya. Kisah Winter Sonata berulang!!
Untuk beberapa bulan, kelam kabut juga perasaan Fiona apalagi kerna dia baru putus dengn As.Dipendekkan cerita,Fiona bercakap dan mendapat restu dari kaum keluarganya untuk menerima Zek yang masih belum berkahwin lain walau pun sudah banyak bertanya ke sana dan ke sini dengarnya! Keluarga Fiona memberikan restu mereka walau pun ada di antaranya yang tidak. Tetapi Fiona sedia menghadapi semua itu kerana baginya itu perkara biasa. Perdana Menteri pun bukan dapat sokongan 100% daripada ahli kabinetnya bila nak buat apa-apa! Maka bermulalah cerita Winter Sonata part 2.
Fiona terasa macam ada misteri dalam hidupnya dan baru mengetahui cerita yang sebenar bahawa cerita tentang As dan bekas isterinya sengaja diada-adakan. As memang sebenarnya sudah lama bercerai dengan bekas isterinya. Dia mengesyaki orang tertentu yang berbuat demikian dan tuduhan pertama tentulah jatuh kepada Zek! Atas dasar mahukan kebenaran dan tidak mahu menginayakan orang, Fiona meminta penjelasan walau pun dia sudah memutuskan untuk mengahwini Zek.Fiona merujuk kepada fatwa JAKIM dan dia diberitahu bahawa dia mesti berkahwin dengan Zek kerana dulunya dia berkata belum bersedia dan bukannya menolak Zek.Berat punya cerita! Dipendekkan cerita, perang dingin berlaku antara Fiona dengan Zek sehingga mereka hampir putus.
Hampir setahun lamanya mereka begitu sehinggalah berbagai perkara berlaku .Tetapi,api yang marak pun akhirnya boleh padam dan begitulah juga dengan manusia. Zek ditimpa suatu musibah yang besar dan Fiona menjadi kasihan kepadanya dan memutuskan untuk meneruskan rancangan untuk berkahwin dengan Zek. Tetapi Zek pulak yang merajuk dan terus menerus menguji kesabaran dan perasaan Fiona. Memang Winter Sonata habis!
Dalam diam-diam Fiona membuat penyiasatan sendiri apa sebenarnya yang berlaku. Memang sah ada konspirasi!! Dan orang yang terlibat memfitnah As dulu adalah bekas suami Fiona dengan konco-konconya termasuk sepupunya sendiri dan mereka jugalah yang mensabotaj Zek dan menimpakan musibah terhadapnya!! Bekas suami Fiona sudah pun berkahwin tetapi seperti bekas suami Kay dia menggunakan kawan-kawan,keluarga yang mengenali Zek untuk menaburkan fitnah jahat tentang Fiona. Kesian dan simpati saya kepada Fiona yang pastinya cukup terluka, tertekan dan berada di dalam keadaan yang sukar angkara orang-orang yang tidak mahu melihat dia bahagia dan mempunyai kepentingan peribadi mereka yang tersendiri. Semoga semua pihak cukup waras dan memberikan peluang kepada Fiona untuk hidup bahagia. Dan semoga Zek menyedari mereka dimanipulasi dan ditikam dari belakang oleh orang-orang yang tidak mahu melihat mereka hidup bersama atas sebab-sebab yang tertentu.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 7:26 PM 0 comments
Tuesday, December 9, 2008
LIputan peristiwa tanah runtuh Bukit Antarabangsa
Syabas diucapkan kepada pihak media di negara ini yang rata-ratanya telah membuat liputan berita bencana alam di Bukit Antarabangsa dengan begitu cepat dan baik sekali. Tapi yang paling saya impressed ialah dengan kebolehan RTM dan Unit Bencana Alamnya yang baru ditubuhkan dan belum pun dilancarkan sudah membuat liputan dan updating news dengan begitu baik sekali. Begitu jauh bezanya dengan 4 tahun lalu ketika tsunami melanda Aceh dan lebih 200,000 orang terkorban dan RTM menyiarkan bolasepak dan rancangan hiburan walau pun Pasukan Mercy Malaysia merupakan kumpulan pertama NGO yang sampai di tempat kejadian. Begitulah yang dinamakan penambah-baikkan dan memperbaiki sistem delivery kita ke tahap minda kelas pertama.
Dari cerita beberapa orang ahli keluarga dan kawan-kawan yang terlibat saya juga diberitahu pihak polis, tentera dll semunya telah menjalankan tugas mereka dengan cepat dan bertungkus lumus walau pun ramai yang sedang menyambut Aidil Adha. Hati saya amat tersentuh melihat anggota polis, tentera yang beruniform menunaikan solat sunat Aidil Adha bersama Menteri Penerangan di surau kecil di tempat kejadian. Pak Lah akan mengundurkan diri dalam masa 3 bulan lagi tetapi sudah nampak benar reformasi serta usaha-usahanya dalam menambah-baikkan perkhidmatan awam negara ini. Terima kasih Pak Lah!!
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 7:40 PM 0 comments
Pelbagaian bahasa lagi?
Politik murahan DAP di Pulau Pinang menular ke Ipoh pula. Saya belum melihatnya sendiri tetapi ramai orang yang saya kenali di sana membantah usaha menukar papan tanda di Taman Cempaka Ipoh dengan memasukkan tulisan bahasa lain selain dari bahasa kebangsaan. Atas alasan ianya dibuat oleh swasta dan untuk memudahkan pelancong dari luar Ipoh, gimik politik ini pun dibuat.
Parti-parti pembangkang sibuk menuding jari kepada Barisan Nasional kerana dikatakan selalu membazir wang rakyat. Apa justifikasinya menukar papan tanda jalan dan taman perumahan walau pun dengan biayaan swasta? Papan tanda yang sudah ada dan diterima serta tidak pernah menyusahkan sesiapa sudah cukup baik perlukah diubah? Kenapa pihak swasta yang terlalu baik hati itu perlu membazir untuk sesuatu yang tidak perlu? Di mana kewajarannya mereka dihalalkan membazir? Kenapa pihak terbabit tidak menggunakan dana tersebut untuk tujuan lain kalau pun mereka terlalu banyak duit nak diberi untuk tujuan kebajikan rakyat? Banyak rakyat miskin dan rumah anak yatim di negara ini yang cukup memerlukan kenapa tidak digunakan untuk keperluan mereka atau kenapa tidak dibuat kelas-kelas untuk orang dewasa yang tidak fasih Berbahasa Kebangsaan?
Keputusan PBT di Ipoh membenarkan pihak swasta menukar papan tanda juga menimbulkan banyak persoalan. Siapa yang berkuasa sebenarnya? Kalau pun pihak swasta memberi peruntukan wang untuk tujuan tersebut kenapa perlu diluluskan? Pihak PBT boleh saja mengatakan terima kasih kepada pihak swasta tersebut atau menyalurkannya kepada pihak lain yang lebih memerlukan!!
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 6:32 PM 0 comments
Sunday, December 7, 2008
Kliff 2008
KL International Film Fest 2008 telah pun berakhir. Banyak perkara yang berlaku dan tidak berlaku. Ada orang kata ok dan ramai yang kata masih perlu diperbaiki kerana masih banyak yang kurang.Pendapat saya dan beberapa orang peserta dari luar negeri yang terdiri dari beberapa orang pengarah filem,wakil festival lain dan lain-lain orang filem kami semua berpendapat festival kali ini filem yang ditayangkan jauh lebih baik dari tahun lalu. Tetapi ramai yang menyoal apa yang nak ditonjolkan oleh festival ini? Festival filem sepatutnya mengenai filem bukan perkara lain seperti hiburan selingan dan pertunjukan kebudayaan.Malam pelancaran yang dibuat di Kompleks Kraf dipenuhi dengan pertunjukan fesyen dan nyanyian dll. Cukup lah setakat itu. Kenapa pada malam anugerah 3 hari selepas itu pun pertunjukan kebudayaan dan hiburan masih perlu dibuat?Tidakkah tinggi kos festival ini dengan penampilan artis dan grup Ladylike dari Sweden dll? Apakah kepelbagaian budaya itu tidak cukup dengan mempamerkan artis tempatan dari negara kita yang sudah cukup pelbagai dan rencam budayanya?
Soal yang lebih penting ialah kenapa tidak ditayangkan filem yang menang selepas pemberian hadiah? Filem yang menang hanya ditonton oleh juri dan segelintir kecil penonton bagaimana dengan audien yang lebih ramai pada malam tersebut? Bagaimana audien nak tahu tentang kehebatan filem yang menang? Bagaimana kita nak didik penonton menonton filem yang baik dan bercakap tentang filem yang baik? Kebanyakan festival filem yang besar dan established di Eropah menayangkan filem yang menang selepas dinobatkan sebagai penghormatan kepada filem tersebut. Mungkin pihak KLIFF perlu juga memikirkan cara-cara menjimatkan kos penganjuran dan tidak mengisinya dengan hiburan dan hiburan yang terlampau banyak. Prestij dan kualiti festival ini pastinya tidak dinilai dengan artis mana yang menyanyi tetapi apakah impaknya kepada industri perfileman tempatan dan negeri-negeri yang mengambil bahagian.Kalau KLIFF Sdn Bhd.mengeluarkan duitnya sendiri dan tidak mendapat peruntukan dari Kementerian dan tajaan dari GLC (kerajaan juga tu) tak apalah, tapi bila duit rakyat yang dibelanjakan kita perlu lebih berhati-hati.
Waktu tayangan filem yang dipertandingkan juga patut dilanjutkan samada sebelum atau selepas tamatnya KLIFF supaya ramai yang dapat menontonnya dengan selesa.Simposium,apresiasi dan tayangan filem berjalan serentak dalam masa 3 hari. Ramai orang filem,pengkritik, penuntut dan wakil-wakil luar negeri menyuarakan pendapat yang sama.Buat apa banyak program kalau tak ramai orang yang nak menghadirinya tak boleh berbuat demikian? Pada hari kedua,saya berada di tiga tempat yang berlainan dalam satu hari (sampai ada yang panggil bionic woman!) Pagi saya di simposium di Hotel Seri Pacific,12.00 tgh saya menonton filem UTOV dari Uzbekistan yang cukup cantik di Mid-Valley dan 2.30ptg berkejar ke Universiti Malaya untuk apresiasi filem Captain Abu Reid dari Jordan dengan kehadiran Ray Reinhart DOP (director Photography)legenda dari Jerman yang merupakan DOP yang membuat filem-filem Oliver Stone, Martin Scorcese. Brian de Palma dll nama besar world!Reviu filem ini dan percakapan dengan Ray akan diletakkan dalam blog selepas tersiar dalam majalah.
Program apresiasi filem adalah sesuatu yang baik dan perlu dikekalkan. Selain dari filem Kala Malam Bulan Mengambang yang mendapat sambutan yang hangat di Venice Film Festival kata Paolo Bertolin ko-ordinatornya, filem Iran Goodbye Life yang begitu banyak menang hadiah di berbagai festival antara bangsa arahan sutradara Ensieh Shah Hoessaini mendapat sambutan hangat sewaktu diperkatakan dengan kehadiran Ensieh sendiri.Wanita hebat ini adalah seorang wartawan perang sewaktu perang Iran-Iraq 1981-1989 dan digelarkan Oriano Pellochi ( wartawan perang terkenal dari Itali)Iran oleh pasukan pendamai PBB selepas perang tamat. Filem ini mendapat Anugerah Keamanan Khas Pope di festival filem Czechoslovakia. Pun begitu, program apresiasi yang menampilkan tenaga penting filem yang didatangkan khas dari luar negeri harus memberikan lebih banyak waktu
Q & A dengan penonton dan tidak dibuang masanya dengan meletakkan ahli panel yang ramai. Apalagi yang tidak berapa patut menjadi panel kerana kalau setakat suka menonton filem belum cukup baik untuk menjadi panel dengan tokoh-tokoh filem legenda dari luar negeri!Ini peluang keemasaan untuk media,orang filem dan penuntut berinteraksi dengan mereka.
Saya sedikit terkilan dengan pembentang kertas kerja Malaysia yang bercakap tentang Wayang Kulit, Bangsawan dan Sejarah Filem Malaysia. Terlalu banyak kesilapan fakta di dalamnya.Begitu banyak sarjana yang amat berilmu untuk bercakap tentang wayang kulit dan bangsawan kenapa orang yang terhad ilmunya tentang genre ini yang diminta untuk membentang kertas kerja? Kalau pun nak diberikan kepada orang tertentu, kenapa tidak dibuat bersama dengan pakar-pakar wayang kulit dan bangsawan? Ada orang yang mempunyai PHD dalam bangsawan di negara ini. Sayang, simposium ini bertaraf antara-bangsa dan ramai juga peserta dari luar negeri dan kesilapan fakta begini sangat memalukan.
Banyak filem yang baik dipertandingkan dari luar negeri dan dibandingkan dengan filem kita ianya sangat menyedihkan. Melainkan filem Wayang yang mempunyai kekuatan naratif nya yang tersendiri, filem lain sangat-sangat tak patut dicalonkan. Ramai yang berpendapat festival ini patut dibuat 2 tahun sekali dan KLIFF patut menumpukan lebih banyak usaha untuk menayangkan filem-filem 'festival material' untuk mendapatkan 'transfer technology' yang baik. Kita boleh kurangkan kos tetapi masih mendapat faedahnya jika buat begini. Tidak guna buat festival tiap-tiap tahun sedangkan industri kita pada asasnya belum bersedia untuk bertanding dengan nama-nama pembikin filem besar dan legenda.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 5:36 AM 0 comments
Monday, November 24, 2008
Politik Papan Tanda Jalan
Sehingga kini saya kurang pasti kenapa kerajaan negeri Pulau Pinang mahu meletakkan papan tanda jalannya dalam berbagai bahasa di negeri itu kalau tidak untuk menunjukkan kesempitan pemikiran politik mereka.Pergilah tengok di mana pun, negara mana yang ada buat begitu selain di Pulau Pinang? Amat memalukan bila melihat politik orang-orang tertentu di negeri itu.
Dikebanyakan negara dan pusat pelancongan di dunia, hanya papan tanda informasi pelancongan yang ditulis dalam berbagai bahasa. Di Switzerland,tanda arah kepada bank/pengurup wang memang ditulis dalam berbagai bahasa - Jepun, Arab, Inggeris, Perancis, Jerman dll untuk memudahkan pelancong mencari arah, tetapi nama jalannya tetap dalam satu bahasa sahaja. Begitu juga di Itali, Perancis, Jerman, Belgium malah seluruh Eropah anda akan dapati tidak ada satu jalan pun yang ditulis dalam berbagai bahasa. Hanya papan tanda informasi pelancongannya sahaja yang ditulis dalam berbagai bahasa.Apa yang cuba nak dilakukan oleh Sdr. Lim Guan Eng?
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 7:32 PM 0 comments
Saluran Art tiada sarikata
Sehingga kini, saya sedikit hairan kenapa saluran Astro 111 atau Art yang membawakan program dalam Bahasa Arab ada kalanya mempunyai sarikata tetapi lebih banyak tidak bersarikata Bahasa Melayu/Inggeris. Kenapa ini terjadi? Di negara ini mungkin ramai orang Islam/Melayu yang mahu menonton programnya tetapi kerana ketiadaan sarikata siapa yang nak faham apa yang diperkatakan? Mungkin bagi program bual-bicaranya yang dibuat secara live agak sukar mendapatkan khidmat penterjemah tetapi tak kan filem dan lain-lain program yang telah dirakam terlebih dahulu tidak boleh diusahakan sarikatanya. Banyak saluran di Astro yang mempunyai sarikata bagi programnya, tetapi sangat tidak patut kalau nak kata penterjemah/penulis sarikata dari Bahasa Arab ke Bahasa Melayu tak ada di negara ini. Lainlah kalau pihak Astro memang tidak mahu ramai rakyat Malaysia menontonnya!
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 7:23 PM 0 comments
REVIU BUKU: SURAT DARIPADA DR.MAHATHIR
OLEH:SITI RUQAIYAH HASHIM
Selepas Pilihanraya ke 12 dan dalam suasana yang begitu tidak menentu dan kejutan yang tidak sedikit kepada ramai orang, saya sempat menghantar SMS kepada beberapa orang rakan dan mencadangkan kepada mereka supaya menyuruh Dt. Zainuddin Maidin mantan Menteri Penerangan menulis banyak-banyak sebagai terapi kepada apa yang dilalui. Semasa kempen pilihanraya yang lalu saya berada di utara dan mendengar serta tahu apa yang berlaku di kawasan Parlimen Sungai Petani tempat Dt.Zam bertanding. Jadi saya amat gembira bila mendengar buku ini telah keluar dan mencarinya setelah membaca reviunya dalam Utusan Malaysia beberapa minggu yang lalu.
Impression pertama saya tentang buku ini ialah ia sebuah buku yang saya akan suka kerana kulitnya berwarna kegemaran saya. Berbagai tona warna coklat yang berlainan. Dari coklat cerah kepada coklat gelap. Dan inilah in color saya sejak beberapa tahun ke belakang! Jadi bila merayau di MPH Mid Valley baru-baru ini dan terjumpa buku ini saya terus membelinya.
Buku tulisan Dt. Zam salah seorang tokoh wartawan yang paling banyak saya baca sejak di bangku sekolah ini merupakan extension kepada buku tulisan beliau iaitu Mahathir Di Sebalik Tabir yang diterbitkan pada tahun 1994. Edisi tambahan ini hanya bermula pada m/s 279 dengan kisah pengumuman Tun Mahathir pada 22 Jun 2002 tentang persaraan- nya di Perhimpunan Agong UMNO sehingga m/s 447.
Seimbas lalu, saya dapati edisi tambahan ini ditulis dengan cukup candid,jujur dan terus–terang malah mungkin dengan luka yang tidak sedikit. Itulah impression saya setelah selesai membacanya. Dan bukan itu saja tetapi saya dapat rasakan banyak lagi yang tersirat dan hendak diperkatakan oleh pengarangnya, tetapi telah tidak diperkatakan.Berbanding dengan bahagian pertama buku ini yang ditulis 14 tahun lebih awal yang lebih analitikal dari minda kritis seorang wartawan, bahagian edisi tambahan ini lebih peribadi sifatnya dan memperlihatkan keterlibatan dengan subjek yang diperkatakan(Tun Mahathir) dengan pertalian dan hubungan pada jarak dekat.
Dan seperti semua hubungan yang melewati hal-hal profesional seseorang akan mempamerkan berbagai facet dan dimensi emosi dan rasionalisasi bila cuba meng- artikulasi perasaan serta pandangannya mengenai subjek yang diperkatakan. Pun begitu, pengarang tidak bermasalah untuk berbuat demikian dan tulisan ini menjadi rakaman peristiwa yang sekaligus cukup emotif dan analitikal tetapi paling penting frank and honest. Sesuatu yang mungkin tidak akan dilakukan oleh orang lain di waktu yang lain!
Entah kenapa saya merasakan seperti ada hubungan ‘love –hate’ di antara Dt.Zam dengan Dr.Mahathir. Saya lebih suka menggunakan frasa ‘sayang-benci’ dan bukanya ‘benci tapi rindu’ bila melihat senario antara keduanya. Sesuatu yang amat normal dalam hubungan antara dua orang manusia yang mempunyai perwatakan yang dominan (dan ada kalanya keras) serta cukup berpengaruh dan berkuasa dalam bidang masing-masing. Dan dalam situasi yang begini, fleksibiliti ada kalanya menjadi penyelamat kepada hubungan tersebut tetapi pada masa yang sama mungkin menyebabkan sebelah pihak ‘makan hati’ dengan pihak yang lagi satu. Betulkan saya jika tersilap dan apologi!
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 6:41 PM 0 comments
INTERVIU: KOPI KERAS, TONE BRULIN DAN ROH ANAI-ANAI
OLEH :SITI RUQAIYAH HASHIM
Kali terakhir saya bertemu dengan Profesor Tone Brulin selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1977 ialah sewaktu beliau mementaskan teater kanak-kanak ‘Tak Kotak-Kotak’ di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka pada tahun 1979. Bersama-sama Siti Fauziah Abd.Rahman yang menjadi pelakon teater tersebut ketika itu, mereka mementaskannya di beberapa lokasi institusi pendidikan di seluruh Malaysia. .
Tone Brulin merupakan pensyarah saya sewaktu di USM. Kepada 3 kumpulan pertama mereka yang membuat pengkhususan dalam bidang Teater dan Drama, Tone Brulin adalah satu-satunya pensyarah yang paling berpengaruh dan sangat terkemuka. Bukan kerana beliau tokoh teater besar dan amat berwibawa dari Eropah (kerana mendapat anugerah Order of Leopold II Belgium pada umur 26 tahun) dan merupakan ‘the lecturer’ , tapi dedikasi, konsep dan komitmennya kepada teater di mana juga beliau berada amat mengkagumkan saya dan ramai penuntut beliau yang lain. Beliaulah yang memulakan dan menggerakkan kumpulan teater Angkasaran (singkatan dari Angkatan Sasaran) yang merupakan kumpulan teater USM sebagai nucleas kepada aktiviti seni dan teater kami. Itulah sebabnya ia di namakan Angkasaran yang merupakan terjemahan dari konsep target groupe yang dikemukakan oleh Tone Brulin sewaktu panggung eksperimental USM siap dibina pada tahun 1972.
Selepas itu, segala-galanya adalah sejarah bila Angkasaran mementaskan teater Naga-Naga Siapa Kau, Naga-Naga Di Mana Kau (juga dipentaskan di Jakarta dan satu-satunya teater Malaysia yang reviunya keluar dalam jurnal The Drama Review ,USA hingga ke hari ini) diikuti Torando (yang mendapat jemputan ke Festival Teater Shiraz) dan Barong Display (dengan kumpulan teater dari USA) di bawah arahan Tone. Bukan saja sebagai pensyarah Tone Brulin meninggalkan impak yang besar kepada kami, personaliti dan perwatakannya yang mencari kesempurnaan, menuntut kejujuran dan komitmen yang total dalam kerja teater beliau ada kalanya turut mempengaruhi pemikiran kami dalam kehidupan. Setidak-tidaknya kepada saya!
Manakan tidak, rehearsals sehingga jam 2 atau 3 pagi, lima hari seminggu selama tiga atau empat bulan untuk suatu pementasan adalah perkara biasa dan no complain! Disiplin yang diterapkan menjadikan kami berfikir banyak kali kalau mahu ponteng latihan dan siapa pun tidak berani berbuat begitu kerana bukan Tone yang akan marah tapi satu kelas akan menyumpah siapa yang ponteng! Dan konsep lakonan teater Tone menuntut pelakonnya menjadi cukup lasak dan boleh buat apa juga samada merangkak di bawah tempat duduk penonton, memanjat gangway siling teater dalam gelap atau apa juga aksi yang cukup menyiksa dan sukar dibuat. Tapi di akhirnya anda menjadi manusia yang lebih bertujuan, fokus dan amat mementingkan kualiti dengan apa juga yang anda kerjakan.
Di kelas lakonan dan Western Theatre Tradition kami dipukau oleh Tone Brulin dengan kekayaan pengalaman dan ilmu pengetahuannya. Di kelas Western Theatre Tone tidak perlu buku, rujukan dan syarahan yang disediakan di atas kertas tetapi menghamburkan ilmu dan pengetahuan melalui pengalamannya sendiri kerana beliau adalah sebahagian daripada tradisi teater moden Barat..
Jadi baru-baru ini bila bertemu dengan Tone Brulin dan Siti Fauziah isterinya (Pudi kepada saya dan rakan rapat yang lain) yang ditawarkan mengajar dan akhirnya mementaskan teater Roh Anai-Anai dengan penuntut Diploma Seni Persembahan UITM saya seperti terlayang balik kepada masa lebih 30 tahun lalu sewaktu kami semua sering duduk melepak samada di Panggung Sasaran ataupun ketika duduk-duduk minum kopi di kantin ‘Fu Mancu’ USM sambil bercakap teater. Cuma kali ini di antara kopi keras (pekat dan tanpa gula) kesukaan Tone dan cakap-cakap mengenai Roh Anai-Anai dan lain-lain ‘kesengsaraan hidup’, kami berada di kafeteria Hospital Ampang Puteri. 3 hari selepas Aidil-Fitri yang lalu kira-kira 2 minggu sebelum Roh Anai-Anai dipentaskan, Tone kemalangan dan terpaksa menjalani pembedahan dan menghabiskan masa hampir 3 minggu di hospital.
Wawancara dengan Tone Brulin dan Fauziah dibuat dalam lebih dari 4 sesi panjang cakap-cakap dari Hospital Ampang Puteri beberapa hari sebelum mereka berangkat balik ke Antwerp. Saya katakan lebih dari 4 sesi kerana di antara perjalanan nak pergi makan di kedai Mamak pun kami tak henti-henti bercakap teater, seni, Roh Anai-Anai, Naga-Naga, Kapai-Kapai, Torando dan paling banyak mengenai kompeni teater mereka yang dinamakan Theatre of The Third World. Begitulah!
(Catatan: Sebahagian dari interviu yang akan disiarkan dalam majalah PENTAS yang akan datang disiarkan dalam beberapa segmen dalam blog ini).
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 4:51 PM 0 comments
SRH: Di Malaysia sekarang terlalu banyak teater muzikal dengan bajet besar yang diberi penekanan. Ia amat menghiburkan tetapi tidak memprovokasi minda untuk berfikir perkara yang serius seperti teater Roh Anai-Anai. Mungkin itu sebabnya?
Tone Brulin: Memang betul kata anda. Tapi itulah juga yang berlaku diseluruh dunia. Dan saya tak mahu bercakap tentang perkara itu kerana apa yang saya pentingkan ialah teater dan skrip seperti Roh Anai-Anai. Dan ianya bukan satu perbandingan kerana anda tak boleh membandingkannya! Saya bukan dalam bisnes teater, tapi dalam bisnes mencipta seni dalam konteks teater. Kami telah mulakan skrip ini sejak dua tahun yang lalu di Afrika Selatan dan saya tulis semula kerja-kerja Eugene Marais dengan seorang aktor Norway.
SRH: Apa peluang untuk aktor atau orang teater dari Malaysia berjaya dengan baik seperti anda di Eropah?
Siti Fauziah: Tidak mudah dan sangat sukar sekarang. Banyak grup teater internasional. Masa saya mula di Belgium pada tahun 1975 dulu tak ada grup lain macam kami. Dan sekarang amat sukar walau pun kepada orang Belgium sendiri. Dasar kerajaan juga lebih mementingkan rakyat tempatan. Sekarang semua pekerjaan adalah untuk orang Belgium dulu. Parti Nationalist Front yang menguasai hampir 25 peratus parlimen sangat kuat dan memastikan peraturan ini dipatuhi. Dan ini berlaku di seluruh Eropah, malah di seluruh dunia.
SRH: Pandangan anda tentang teater Malaysia?
Siti Fauziah: Saya rasa orang di sini tidak cukup serius tentang teater. Saya tak nampak sikap orang yang bermati-matian kerana teater dan mendedikasi kehidupan mereka kepada seni ini dalam teater Melayu. Dan penuntut pun macam tak tahu apa-apa. Dan dalam kegelapan. Di akhir kursus mungkin baru mereka faham sikit tentang teater tu mengenai apa!
SRH: Tapi kita dulu pun macam tu saya rasa. (Siti adalah senior saya di USM).
Siti Fauziah: Ya kita pun macam tu juga. Tapi kita banyak inisiatif sendiri dan bukan nak tunggu habiskan semester saja. Dan kita seronok sangat bila nak buat rehearsal di Panggung Sasaran dulu.
SRH: Ya yang tu memang saya akui. Kita tunggu saja bila nak buat latihan teater. Kita tak ponteng dan rasa seronok.
Siti Fauziah: Dan kita faham sangat tentang kerja berpasukan dan menghormati orang lain. Di UITM, hari ini 1 orang tak datang berlatih. Esok orang lain pulak. Jadi macam mana nak buat latihan kalau macam tu? Dan bila dekat pementasan mereka panik walau pun dah banyak kali kami ingatkan kepada mereka. Dan kostum hanya dapat dibuat beberapa hari sebelum pementasan dan hasilnya mereka tidak dapat bergerak dengan selesa kerana tak biasa berpakaian begitu.
(Catatan: Sewaktu mementaskan Torando di USM 30 tahun yang lalu, saya teringat kami mula berlatih dengan memakai kostum teater sekurang-kurangnya 1 bulan sebelum pementasan.)
SRH: Akhir sekali, apa yang anda berdua nak ucapkan kepada peminat teater dan penuntut anda di Malaysia?
Tone Brulin dan Siti Fauziah: Kami nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada semua yang terlibat dalam pementasan ini. Saya amat tersentuh dengan lawatan anda semua sewaktu saya di hospital, bunga yang diberikan dll. Tahun depan kami bercadang untuk pulang dalam bulan Jun/Julai dan jika ada undangan mementaskan teater di mana-mana kami akan pertimbangkan. Terima kasih.
CATATAN: ANTARA SKRIP DAN ADAPTASI YANG TELAH DIHASILKAN OLEH TONE BRULIN IALAH -:
Shadows
The Case of P.J.
The Good Lady of the Crabs
The Dogs
Vertical-Horizontal
The Night of the Burning Apes
Tavandot (Torando dalam Bahasa Malaysia)
Eyes of Chalk
Putopot
Mudhead
3 = too much, 2 = not enough
The Village Doesn’t Exist Anymore
Vincent Van Gogh
Kontiki
Uncle and the Jukebox
Leap Frog in West Berlin
The Goatriders
The Troglodites
The Kakoomakakoo
Stump Removal
Barong Display
A Djumbee at Crook’s Castle
The New costume of Friday
Asking Questions of A maid
Joshaphat
This is Not Eugene
Tales of the Mah-Meri
Sharkawa
The Last Days of Clover Fields
Torso
Stallochild
The Tail of the Mandarin
Tractor Dimitri
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 1:40 AM 0 comments
Sunday, November 23, 2008
INTERVIU: SITI FAUZIAH ABD.RAHMAN DAN TEATER SE ANTERO DUNIA
OLEH:SITI RUQAIYAH HASHIM
Di kalangan dunia teater Malaysia, nama Siti Fauziah Abd.Rahman mungkin tidak berapa dikenali . Pun begitu, wanita kecil molek yang berasal dari Kelang ini bukan calang-calang nama di kalangan orang-orang teater di seluruh Eropah malah di seluruh dunia. Isteri kepada Tone Brulin yang mengasaskan TIE 3 – Theatre in Europe of the Third World hampir 30 tahun yang lalu yang berpusat di Antwerp, Belgium adalah merupakan tenaga pengggerak penting grup teater ini. Malah dalam berpuluh-puluh buah teater yang diarahkan oleh Tone Brulin, Fauziah selalunya memegang peranan penting selain daripada turut menjadi pereka dan menjahit kostum, dan mencipta boneka dan topeng bagi banyak teater kanak-kanak yang mereka pentaskan.
Dilahirkan di Teluk Gadong Kelang pada tahun 1951, dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent Kelang sehingga tingkatan 3, Siti Fauziah datang dari keluarga besar seramai 14 orang. Beliau adalah anak ke tujuh dan bapanya adalah seorang guru besar di Kelang. Pada tahun 1968 beliau melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh Tun Fatimah di Johor Bharu sehingga tamat tingkatan 6 dalam jurusan sains. Dan di Sekolah Tun Fatimah lah, beliau mula menunjukkan bakat dalam lakonan dan pementasan. Kalau sewaktu di Convent Kelang, penglibatannya amat terhad kepada pengucapan puisi Shakespeare sahaja kerana budaya sekolah Convent yang amat ketat dan tidak membenarkan pementasan, lakonan dll di Sekolah Tun Fatimah, Siti mendapat peluang yang cukup banyak dan beliau cukup aktif dalam lakonan dan pementasan. Dan disitulah bermulanya kecintaan Siti kepada teater dan lakonan. Bukan itu saja, beliau juga suka melukis dan seringkali membuat poster untuk pementasannya.
Siti melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1972 dan merupakan seorang aktivis teater kampus yang cukup komited dan berbakat. Beliau mengambil bahagian dalam teater paling masyur USM iaitu Naga-Naga Siapa Kau, Naga-Naga di Mana Kau yang turut dipentaskan di Jakarta arahan Tone Brulin. Teater Torando dan Kapai-Kapai karya Ariffin C.Noer menyusul kemudian. Tamat dari Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1975 dalam jurusan Teater dan Drama , beliau meninggalkan tanah air dan bersama-sama dengan kumpulan teater pimpinan Tone Brulin mereka mementaskan cerita Tales of the Mah-Meri di seluruh Eropah dengan mendapat sambutan yang hangat di mana juga mereka berteater.
Skrip ini adalah cerita mengenai masyarakat orang asli di Pualau Carey, Kelang. Dan inilah skrip pertama yang dipentaskan di seluruh Eropah dengan berlatar-belakangkan cerita dari Malaysia walau pun masih ramai yang belum mengenali Malaysia di bidang teater di Eropah ketika itu. Teater ini turut dipentaskan di Malaysia pada tahun yang sama sebelum di kembangkan lagi skripnya dan ditukar namanya menjadi Tales of Nata Daha. Skrip ini terus dipentaskan di Caracas, Baltimore, St.Marten di Kepulauan Carribean, Stockholm dan di St.Andrew Scotland sebelum mendapat penghormatan dipentaskan di Festival Teater Nancy di Peranchis, iaitu salah satu festival teater terkenal dan penting di seluruh dunia. Di Nancy teater ini dengan Siti sebagai pemegang watak utamanya mendapat sambutan paling hebat dan nama wanita dari Malaysia ini mula meniti di bibir orang teater di seluruh dunia.
Selepas Tales of Nata Daha dipentskan di Antwerp, Siti Fauziah yang masih tidak fasih berbahasa Flemish diterima belajar di sekolah teater terkenal Herman Teirlinck sebagai pelajar biasa yang tidak perlu membayar. Belajar di situ membolehkan beliau menguasai bahasa Flemish dengan baik sebelum melanjutkan pelajaran di Holland iaitu di Toneel Akadamie of Maastricht yang sangat masyhur. Dan seperti di Antwerp, peluang belajar di Maastricht membolehkan beliau belajar dan menguasai bahasa Belanda. Sehingga ke hari ini, selain bahasa Inggeris, Flemish dan Belanda Siti Fauziah turut menguasai bahasa Sweden dan memahami bahasa Perancis dan Jerman. Kecekalan dan ketabahan Siti Fauziah menghadapi semua cabaran dalam menuntut ilmu sememangnya berbaloi kerana jika tidak beliau tidak akan dapat bertutur dalam lima bahasa asing pada hari ini
Beberapa tahun selepas itu mereka berada di Jakarta dan menjadi tetamu penyair terkenal Rendra. Tone mengadaptasi puisi protes termashyur Rendra dan menamakannya Prostitutes of Jakarta dengan Siti menjadi pelakon utamanya. Pementasan teater itu mendapat sambutan hebat dari penonton. Begitu juga ketika mereka mementaskan skrip tulisan Ariffin C. Noer yang paling masyhur iaitu Kapai-Kapai di Stockholm, Sweden. Itulah kali pertama Ingmar Bergman pengarah teater dan filem terkenal Sweden mengangkat sebuah skrip dari Indonesia dan mementaskannya selama 130 hari dalam bahasa Sweden dengan Siti Fauziah memegang peranan utamanya. Ariffin C.Noer turut dijemput ke Stockholm . Sambutan hangat yang diberikan kepada pementasan Kapai-Kapai bukan saja menyaksikan penduduk di Stockholm yang menonton, tetapi peminat teater dari Findland dan Norway juga menontonnya.
Pada tahun 1979 ketika Theatre of the Third World diiktiraf oleh Flemish Ministry of Culture di Belgium dan geran diberikan kepada grup teater ini, Siti Fauziah turut mendapat pengiktirafan. Beliau diberi gaji tetap sebagai pelakon dan selama 12 tahun berikutnya, bersama-sama kumpulan teater ini mereka terus menjelajah ke seluruh dunia sambil mementaskan berbagai skrip yang diambil dari sastera rakyat atau kisah dari negara yang mereka lawati. Melalui teater, Tone Brulin dan Siti Fauziah mendekatkan penduduk Eropah dan seluruh dunia dengan seni dan budaya masyarakat Dunia Ketiga. Mereka meruntuhkan tembok bahasa, budaya dan agama dengan memperkaya pengalaman budaya dan seni melalui pementasan teater .
Selain dari berlakon, Siti Fauziah juga sering bertindak sebagai pereka dan pembuat kostum. Jadi tidak hairanlah jika ke mana juga beliau pergi, mesin jahitnya adalah antara benda paling penting dan sentiasa dibawa bersama.Dengan skil menjahit yang baik, beliau juga belajar membuat boneka dan topeng. Sewaktu di Vermont Amerika Syarikat ketika menghadiri festival teater boneka, beliau belajar dari kompeni The Bread and Puppet Group yang sangat terkenal dengan boneka mereka yang ada kalanya setinggi 5 meter. Teknik membuat boneka mereka sangat mudah dan lebih mirip kepada konsep seni boneka Jepun. Hampir 7000 penonton menghadiri pementasan festival teater ini.
Di England Siti menghadiri festival The Welfare State International dan terus menggali ilmu pengetahuan membuat boneka dan topeng dari bahan-bahan terbuang dan murah seperti straw, buluh dan kayu. Festival yang unik ini disertai oleh ramai orang teater seluruh England dan Eropah yang mengembara dalam karavan. Mereka akan berkumpul di bandar tertentu dalam perkampungan karavan dan mementaskan teater serta permainan boneka dan teater kanak-kanak. Ianya adalah suatu pengalaman yang amat membuka minda kepada Siti. Sesuatu yang perlu dipelajari oleh kumpulan teater kita tentang mementaskan teater tanpa menggunakan kos yang tinggi jika kita benar-benar mahu mengembangkan teater dan seni ke seluruh negara dengan cara yag murah tapi berkesan.
12 tahun adalah suatu waktu yang lama bagi sesiapa juga mengabdikan diri kepada dunia teater profesyenal yang menjelajah dan membuat pementasan di seluruh dunia .Ianya memerlukan komitmen yang tidak berbelah-bahagi dan ternyata memerlukan semangat dan keinginan yang kental dan bukan semua orang mampu berbuat begitu. Pun begitu, pada tahun 1992 bersama-sama Tone Brulin yang sedang mengalami masalah kesihatan kumpulan Theatre of the Third World ini akhirnya diserahkan kepada Pengarah Artistik nya iaitu Eugene Berveos. Tone dan Fauziah meneruskan juga kerja-kerja teater mereka bila dijemput oleh pihak-pihak tertentu..
Selepas belajar di Studio Herman Teirlinck pada tahun 1979 Fauziah juga mula mengajar taichi di situ selama 5 tahun. Seiringan dengan kerjaya teaternya, Fauziah membuka kelas taichi di Anterwarp dan selama 16 tahun beliau mengajar di sebuah sekolah muzik di situ. Di Sekolah tarian P.A.R.T.S yand diketuai oleh Anne Therese de Keeirsmaker yangsering membuat pertunjukan di seluruh dunia, Fauziah turut mengajar taichi di situ selama 3 tahun. Sehingga sekarang, kelab-kelab sukan di sekitar bandar ini sering memanggil beliau untuk mengajar. Malah ke mana saja beliau pergi sewaktu mementaskan teater beliau turut mengajar taichi kepada orang-orang teater.
Selepas tidak lagi aktif dalam Theatre of the Third World Tone Brulin dan Fauziah masih terus berlakon dan mengarah teater di seluruh Eropah. Kebetulan ketika itu beliau mengalami sakit pada bahu kanannya yang serius dan perubatan moden tidak berjaya mengubatinya. Beliau mencuba akupuntur dan Fauziah mula berjinak dengan perubatan tradisional China untuk membantu suaminya.Beliau mendaftar di European University of Traditional Chinese Medicine yang terletak di Rotterdam, Belanda. Pengorbanan seorang isteri yang tidak terhingga besar maknanya kepada seorang tokoh teater terkenal yang mendapat anugerah bintang Order of Leopold II ketika berumur 26 tahun dan mendapat penghormatan dari UNESCO beberapa tahun yang lalu dengan menerbitkan buku mengenainya bertajuk An Exceptional Theatre Life. Fauziah belajar tentang perubatan menggunakan herba dan juga akupuntur dan sehingga kini mahir mengubat orang sakit melalui teknik perubatan China tradisional ini.
Selama lebih 30 tahun di Eropah beliau bukan saja berteater seantero dunia , tetapi turut mengajar taichi dan mempraktis akupuntur. Dan mungkin pengalaman sewaktu berteater inilah menjadikan beliau seorang yang cukup terbuka fikirannya, resourceful, tabah dan kental menghadapi sebarang ujian dan dugaan dalam hidup untuk mencapai cita-citanya . Teater yang disebutkan di atas hanyalah sebahagaian kecil daripada berpuluh-puluh pementasan yang telah mereka persembahan.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 9:27 PM 2 comments
REVIU TEATER BUKAN DEJAVU : MENANGANI CABARAN DIDAKTISME
OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM
Seimbas lalu, set dan latar belakang cerita teater Bukan Dejavu amat mengingatkan saya kepada set Kampung Kambing dalam teater Salina adaptasi novel SN A Samad Said yang dipentaskan di Balai Budaya hampir 20 tahun lalu. Kisah kumpulan manusia kurang bernasib baik di kawasan setinggan dengan seribu satu permasalahan yang kusut dan mengusutkan. Dalam Salina seorang pelacur yang hidup dengan kekasihnya Abdul Fakar di Kampung Kambing ada watak Helmi, Haji Karman, Nahidah dan Narto yang terkapai-kapai dalam kompleksiti hubungan kehidupan antara mereka. Dalam Bukan Dejavu, Nora seorang GRO yang tinggal bersama Ustazah Salmi berjiran dengan imigran Narti dan Yanto berdepan dengan permasalahn Tahir yang merogol Jamilah anak tirinya sehingga mengandung dan melarikan diri dan diberi perlindungan oleh Ustazah Salmi. Nora pula menghadapi dilemma kepulanga anaknya dari seberang laut yang disangkanya
tidak mengetahui pekerjaannya.
Citra hitam pekat manusia-manusia malang ini tidaklah sama dengan tema dan plot dalam Salina, tetapi dinamisme dramatiknya bergerak pada landasan latarbelakang yang sama. Kalau dalam Salina penduduk-penduduknya berjiran dengan kupu-kupu malam masyarakat pasca perang dunia ke 2, kampung dalam skrip Bukan Dejavu dihuni bersama dengan penagih dadah dan pekerja-pekerja imigran dari Indonesia, Selatan Thailand dll. yang katanya berlatarkan sekitar tahun 80han. Pun begitu bukan soal pengaruh intertekstualnya yang perlu diperkatakan, tetapi skrip teater panjang ini ada kalanya terlalu didaktik. Sarat bermuat dengan mesej dan pengajaran halal dan haram itu dan ini. Mungkin terlalu langsung dialognya diolah, sehingga segala-galanya menjadi begitu didaktik dan membelakangkan subtleity yang harus ada dalam teks yang baik dan mencapai tahap yang cukup tinggi nilai seninya. Seperti kuih yang hanya diketahui selepas dimakan sedap atau tidaknya, begitu jugalah dengan skrip teater (juga filem). Ianya hanya diketahui baik tidaknya selepas dipentaskan atau difilemkan.
Bukan Dejavu juga sarat dengan beberapa plot besar dan berat dan cukup menarik di atas kertas tetapi menjadi cabaran yang cukup besar apabila dipentaskan selain daripada panjang dan meleret-leret. Permasalahannya ternyata mendapat treatment yang dangkal dan memberikan kesan superfisialiti yang amat ketara bagi sebuah skrip teater panjang. Dan inilah yang terpaksa dihadapi oleh sesiapa juga yang mementaskan naskah seperti ini. Dan seperti hukum menterjemah karya sastera ‘yang cantik itu tidak setia tetapi yang tidak cantik itu selalunya setia’ menginterpetasi skrip teater juga menuntut kreativiti dan sensitiviti yang sangat tinggi. Dan jika seorang sutradara terlalu setia kepada teks di depannya, beliau juga mungkin mengambil risiko besar menjadikan persembahan teaternya tidak cantik. Ada harga mahal yang perlu dibayar kerana kesetiaan? Mungkin itulah punca masalah besar pementasaan Bukan Dejavu arahan Rohayah Atan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.
Pun begitu, persembahan teater ini tidaklah buruk sama sekali. Lakonan Juhara Ayub sebagai Narti, cukup baik dan meyakinkan dalam watak wanita becok isteri Yanto yang membuka gerai makan tempat segala aksi dan cerita berlaku dalam teater ini.Jalaluddin Hassan sebagai Tahir bouncer dan ketua gangster yang bekerja di Kelab Karaoke Semarak Hati tempat Nora bekerja dan yang telah merogol anak tirinya juga sangat baik dan natural dengan penampilan yang amat meyakinkan. Shukor Yon (Yanto), Safura Ya’cob ( ustazah Salmi), Yussak Kasan (Parjo) dan Eyzendy Aziz ( Wan Dol) juga tidak mengecewakan dalam watak masing-masing dan menjadi penyelamat kepada pementasan yang bermula sedikit perlahan dan mencapai momentum pembinaan klimaks hampir setengah jam selepas itu sahaja.
Cuma Norish Karman yang entah kenapa sedikit kaku dan tidak mempamerkan lakonan yang sepatutnya jauh lebih baik pernah diperlihatkan di atas pentas. Pelakon-pelakon lain juga boleh di perkembang watak mereka dengan lebih baik sekiranya analisis watak yang cermat dan terperinci telah dibuat dengan kedalaman intelektual dan psikologi yang cukup teliti. Dalam pementasan teater apa pun, analisis dan interpetasi watak sama penting dan beratnya dengan penulisan skrip. Berlawanan dengan apa yang dipercayai oleh ramai, dalam teater aspek lakonan maha penting. Cerita yang merencatkan akal dan menghina intelektual pun boleh jadi persembahan teater yang baik jika lakonan dan interpetasi wataknya dibuat dengan cukup baik dan teliti. Kerana dalam melahirkan lakonan yang baik, natural dan meyakinkan prosesnya adalah lebih banyak merasai emosi watak yang dibawa bukannya memahami dan memikirkan tentang apa yang dilakukan oleh watak itu.
Mungkin kehadiran ‘gerombolan’ pekerja imigran dari berbagai bangsa yang juga penduduk kampung ini turut menjadi faktor penyebab dinamisme dan perkembangan ceritanya menjadi panjang dan meleret-leret walau pun ada kalanya ia membawa unsur kelakar yang amat menggelikan hati serta menyelamatkan babak-babak yang agak membosankan. Dan ‘gerombolan ‘ ini agak besar jumlahnya dan meramaikan pentas yang kecil sehingga menyesakkannya. Dialog-dialog mereka ini juga yang memperlahan tempo lakonan dan dinamisme penceritaan. Babak membuat persediaan kenduri aqiqah dan simulasi membantu Jamilah melahirkan kandungannya amat melucukan tetapi meleret dan melemaskan.
Entah kenapa untuk pentas yang tidak begitu besar, terlalu banyak set yang diletakkan? Rumah kosong untuk disewa dan tidak berfungsi sama sekali dalam pementasan teater ini juga diletakkan dan menggunakan ruang lakonan yang banyak. Mungkin untuk mempamerkan suasana sesak kampung setinggan? Pun begitu seperti penentuan blocking pergerakan pelakon, semua yang ada di atas pentas mesti mempunyai fungsinya yang tersendiri dan penting. Aspek teknikal lain seperti penataan cahaya cukup baik dan memadai kerana tidak ada kesan khas yang diperlukan. Begitu juga dengan kesan bunyi dan muziknya adalah cukup baik dan berkesan.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 9:16 PM 0 comments
Reviu Filem: SEPI ITU INDAH
OLEH SITI RUQAIYAH HASHIM
Ada orang berkata ini filem wanita. Kalau ada filem wanita tentu ada filem lelaki. Benarkah begitu? Apa pula ciri-ciri filem wanita dan apa pula ciri filesm lelaki?
Apa pun perbezaan genre filem dan sudut pandangan seseorang, bagi saya ianya tidak lebih dari bagaimana sesebuah lakon layar itu ditulis dan bagaimanakah ‘treatment’ cerita
nya dihidangkan. Penulis skrip wanita lebih halus dalam mengungkapkan emosi terutama tentang cinta. Mungkin kerana wanita mengartikulasi emosi dengan lebih baik dan jelas dari lelaki. Jika tidak begitu, tidaklah ada kata-kata bahawa ‘lelaki dari Mars dan wanita itu dari venus’!
Satu perkara unik mengenai filem-filem Kabir Bhatia dan Mira Mustafa ialah adanya uniti paling integral yang cukup harmonis di antara kepengarahan dan penulisan skrip.
Mungkin hubungan mereka sebagai suami-isteri dalam bidang kerja yang sama dan kait-mengait menerangkan segala-galanya kenapa keharmonian itu begitu ketara. Kehalusan skrip Mira dan Ara diterjemahkan dengan subtleity yang begitu menonjol dalam lakonan, kerja kamera dan penataan cahaya yang menghasilkan sinematografi yang begitu indah dan baik. Sehingga kini, Sepi merupakan filem paling artistik pembikinannya dan terbaik yang ditayangkan bagi musim 2008. Syabas kepada Alternate Studio yang sekali lagi menerbitkan sebuah filem yang berada dalam kelasnya yang tersendiri walaupun ia tidak lebih dari sebuah filem air mata. Melodrama tapi amat meyakinkan begitulah frasa terbaik untuk menerangkan segala-galanya tentang filem ini.
Sebenarnya penceritaan filem Sepi adalah punca kekuatannya. Penceritaan begini bukanlah sesuatu yang baru dan tidak pernah dibuat orang, tetapi Mira ternyata jauh di depan dalam penulisan skrip dalam industri filem kita. Baik dalam Cinta maupun Sepi, stail penceritaan yang berkisar kepada beberapa kisah karekter yang berbeza yang berinteraksi secara langsung (dalam Cinta) dan berpusat kepada suatu kejadian yang sama (dalam Sepi) adalah sesuatu yang julung kalinya dieksploit dalam filem Malaysia. Pun begitu, ini tidak lebih dari pengaruh intertekstual karya lain dan bukan plagiat namanya. Kerana tema, plot dan segala-galanya cukup tulen dan tersendiri dan bukan dicedok dari karya lain secara terang-terang. Semua filem dan apa juga jenis fiksyen di dunia ini tidak terlepas dari pengaruh intertekstual karya lain yang meresap masuk dalam karya seseorang kadang-kadang secara paling tidak disedari.
Sepi mengungkapkan emosi manusia di sudut dan ketika paling rapuh (vulnerable) dalam kehidupan seseorang. Adam (Afdlin Shaufi) yang sering menggembirakan pasangan pengantin dengan ciptaan kek perkahwinan yang cantik merasa cukup sepi bila kawan-kawannya seorang demi seorang berkahwin. Dia bertemu dengan Illyana (Vanida Imran) dan tertarik kepadanya tetapi malangnya berada dalam situasi ‘bertemu dengan orang yang salah pada waktu yang salah’. Sufi (Tony Yusof) yang kematian isteri dan merasa cukup bersalah kerana tidak dapat menyelamatkannya dalam kemalangan akhirnya bertemu dengan Marya (Eja) dan jatuh cinta dengannya dalam situasi rumit kerana Marya adalah isteri yang kesepian kerana ketiadaan anak selepas tujuh tahun berkahwin dan menerima hakikat mereka bertemu untuk berpisah. .
Dan Imaan (Baizura) yang kehilangan Khalil (Pierre Andre) yang terbunuh dan masih belum dapat menerima kenyataan mengenai kematiannya bertemu Ean rakan sekolej yang jatuh hati kepadanya tetapi mendapati situasinya tidak lebih dari ‘buah hati kekasih orang’ dan melalui waktu serta ujian cukup sukar sewaktu Imaan berada dalam koma. Pun begitu, cinta itu ada kalanya indah dan menyakitkan pada waktu yang sama. Ada kalanya ia membuatkan seseorang menunggu bertahun-tahun lamanya tanpa sebab dan hanya berbekalkan harapan dan tidak lebih dari itu. Dan hanya cinta yang boleh menyembuhkan jiwa mereka yang perit menanggung kepedihan , kesedihan dan kekecewaan. Ini juga bukan tema baru, tetapi olahan ceritanya menjadikan filem ini unik dan tersendiri.
Satu keistimewaan Kabir Bhatia adalah menjadikan pelakon baik berlakon dengan cemerlang. Seperti Rahim Razali dalam Cinta yang mempamerkan lakonan beliau yang terbaik pernah disaksikan di layar perak, Sepi mencungkil bakat-bakat lakonan Pierre Andre, Vanida Imran, Nasha Aziz, Eja dan Tony Yusof ke tahap terbaik yang pernah disaksikan di layar perak sehingga kini. Baizura Kahar juga mempamerkan lakonan yang baik dan meyakinkan. Pun begitu, agak malang bagi Afdlin Shauki yang dalam karekter yang masih kelakar dan sedikit klise dengan watak-watak beliau yang lain dalam filem.
Penataan cahaya yang cukup baik dan teliti memberikan kesan artistik yang tidak dapat dipertikaikan. Begitu juga sudut-sudut kerja kamera yang kreatif menjadikan sinematografi filem ini cukup baik dan dalam kelasnya yang tersendiri. Tidak ada satu beat pun dalam filem ini yang terabai atau terlepas pandang. Begitu juga dengan muzik dan penataan bunyi yang cukup sesuai melatari filem ini. Filem ini mungkin hanya suatu versi lain kepada filem Cinta, tetapi fokusnya tentang manusia dan kesepian menjadikan ia cukup kuat untuk diperkatakan untuk suatu waktu yang panjang.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 9:12 PM 0 comments
KAMI: STRUM UN DRANG REMAJA
OLEH
SITI RUQAIYAH HASHIM
Ada orang berkata di Malaysia ada dua genre filem sahaja iaitu filem seram atau tahyul dan filem remaja yang angst ridden dan melalui strum un drang. Pendapat nakal ini pastinya provokatif tetapi jika dianalisis secara kritis memang beginilah pola dan trennya kerana cuma beberapa buah filem tempatan yang menggarap tema yang berlainan. Sejak tahun lalu, filem bertemakan kehidupan remaja atau tahyul dihasilkan dengan begitu banyak sekali. Dan terbaru, filem Kami yang diangkat dari siri dengan nama yang sama terbitan 8 TV juga mengisahkan kegelisahan dan kehidupan remaja dalam dunia mereka yang dikaluti oleh kisah perceraian ibu-bapa, dadah, muzik indie dan pencarian identiti dalam seribu satu kekeliruan. Jadi apa yang barunya dalam filem Kami dibandingkan dengan Haru Biru, Anak Halal, Evolusi KL Drift dll yang se genre dengannya?
Filem dari pengarah muda suami isteri Effendi Mazlan dan Fariza Azlina Isahak ini memang tipikal mempamerkan treatment dan kepengarahan filem orang muda bandar. Pun begitu filem ini mempamerkan kerja serta pemikiran yang cukup matang, tidak menghukum tapi cukup kuat menuntut kefahaman penonton tentang isu yang dinyatakan. Filem ini membawakan tema dan plot yang cukup berat dan menuntut pemikiran yang serius dan persoalan yang mendalam walau pun disampaikan dalam naratif yang cukup santai, ringan dan dialog yang cukup ekonomikal. Suatu garapan kerja seni yang cukup
baik dan mempamerkan pemahaman penulis skripnya yang pastinya terlatih dalam krafnya. Beginilah seharusnya penulisan dialog yang natural - ringkas dan ekonomikal. Dalam situasi sebenar di luar filem tak ada manusia yang bercakap dengan kawan, adik atau suami dengan menggunakan ayat-ayat yang penuh seperti ‘ kemana awak nak pergi?’ Dialog ini dalam situasi sebenarnya mungkin saja menjadi ‘nak pergi mana?’.
Kami mengisahkan remaja masa kini dengan dunia dan permasalahan hidup sekarang. Abu (lakonan Nas-T) penghuni rumah pemulihan yang melarikan diri sebelum mengambil peperiksaan SPM nya terpaksa menumpang di rumah kawan sekolahnya Ali lakonan Syarul Ezani) yang sudah pun bekerja di ajensi pelancongan yang sedikit pun tidak diminatinya. Ibu bapa Ali sedang melalui proses perceraian dan ini memberi kesan yang mendalam kepada kehidupannya.Sementara itu tiga sahabat perempuan Lynn (lakonan Liyana Jasmay), Adii (lakonan Zayanah Ibrahim) dan Sofie (lakonan Juliana Evans) yang baru lepas menduduki peperiksaan SPM sedang merayakan ‘kemerdekaan’ mereka dari pakaian seragam sekolah, buku dan kerja rumah. Bersama dengan Abu dan Ali yang memandu kereta bapanya mereka semua keluar malam, berkumpul dan lepak di tempat-tempat yang sering dikunjungi remaja tanpa pengetahuan keluarga mereka sedikit pun. Sesuatu yang normal dalam kehidupan remaja di bandar masa kini.
Dalam interaksi antara mereka yang menerima tanpa syarat siapa pun kawan mereka samada anak ahli korporat atau juvana dari rumah pemulihan, persahabatan mereka mempamerkan keintiman dan keakrabannya dalam garapan plot dan dialog yang cukup natural dan mantap. Dan dalam fluidity penceritaannya filem Kami mengangkat dilemma dan isu-isu dan saat sukar berdepan dengan kenyataan hidup yang bercakap tentang kesilapan menjadi pengedar dadah masa lalu, menerima bakal bapa tiri yang tidak pernah diundang, perbuatan ibu yang menyorokkan surat penerimaan universiti luar negeri agar anak gadisnya tidak meninggalkannya dan trauma mengetahui kawan yang menjadi pelanggan dadah yang diedarkannya sendiri. Isu-isu yang cukup berat tetapi begitu effortless pemamerannya yang menjadikannya cukup cantik serta halus.
Aspek lakonan dalam filem ini adalah sesuatu yang perlu diperkatakan. Kesemua watak utama remaja filem Kami merupakan muka-muka baru yang belum banyak pengalaman dalam filem, tetapi lakonan mereka cukup meyakinkan dan mantap dengan eksploitasi pregnant pause yang menimbulkan subteks yang ketara tanpa perlu diperkatakan. Dan dibantu oleh pelakon cukup berpengalaman seperti Norish Karman, Rozie Ali, Mustapha Kamal, Dian P.Ramlee dll aspek lakonan filem ini mempamerkan sesuatu yang segar dan membanggakan.
Setiap kali menonton filem sebegini, pemikiran saya akan mula menerawang dan bertanya ke mana arah dan hala tuju filem-filem kita? Bagaimana pun istimewanya garapan artistik dan kekuatan tema dan plot ceritanya, filem begini menuntut penerimaan dan kefahaman kita tentang segala yang berada di sekeliling kita sahaja dan tak lebih dari itu. Ianya hanya rakaman dan kutipan anekdot dan peristiwa serta isu-isu semasa yang dipamerkan di seluloid. Dan apa selepas itu? Apakah kita tidak cukup faham dan menerima tentang hakikat gejala dan keruntuhan moral dalam masyarakat kita sekarang? Kaitan dengan isu ini ialah apakah filem masih terus hanya menjadi wadah seni perakam emosi dan pengalaman sosial sahaja? Bagimana dengan fakta bahawa seni harus secara sedar mengangkat pemikiran dan falsafah kehidupan yang melewati tahap penerimaan dan kefahaman isu-isu kecil dan besar dalam masyarakat?
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 9:07 PM 0 comments