Monday, November 24, 2008

REVIU BUKU: SURAT DARIPADA DR.MAHATHIR
OLEH:SITI RUQAIYAH HASHIM

Selepas Pilihanraya ke 12 dan dalam suasana yang begitu tidak menentu dan kejutan yang tidak sedikit kepada ramai orang, saya sempat menghantar SMS kepada beberapa orang rakan dan mencadangkan kepada mereka supaya menyuruh Dt. Zainuddin Maidin mantan Menteri Penerangan menulis banyak-banyak sebagai terapi kepada apa yang dilalui. Semasa kempen pilihanraya yang lalu saya berada di utara dan mendengar serta tahu apa yang berlaku di kawasan Parlimen Sungai Petani tempat Dt.Zam bertanding. Jadi saya amat gembira bila mendengar buku ini telah keluar dan mencarinya setelah membaca reviunya dalam Utusan Malaysia beberapa minggu yang lalu.

Impression pertama saya tentang buku ini ialah ia sebuah buku yang saya akan suka kerana kulitnya berwarna kegemaran saya. Berbagai tona warna coklat yang berlainan. Dari coklat cerah kepada coklat gelap. Dan inilah in color saya sejak beberapa tahun ke belakang! Jadi bila merayau di MPH Mid Valley baru-baru ini dan terjumpa buku ini saya terus membelinya.

Buku tulisan Dt. Zam salah seorang tokoh wartawan yang paling banyak saya baca sejak di bangku sekolah ini merupakan extension kepada buku tulisan beliau iaitu Mahathir Di Sebalik Tabir yang diterbitkan pada tahun 1994. Edisi tambahan ini hanya bermula pada m/s 279 dengan kisah pengumuman Tun Mahathir pada 22 Jun 2002 tentang persaraan- nya di Perhimpunan Agong UMNO sehingga m/s 447.

Seimbas lalu, saya dapati edisi tambahan ini ditulis dengan cukup candid,jujur dan terus–terang malah mungkin dengan luka yang tidak sedikit. Itulah impression saya setelah selesai membacanya. Dan bukan itu saja tetapi saya dapat rasakan banyak lagi yang tersirat dan hendak diperkatakan oleh pengarangnya, tetapi telah tidak diperkatakan.Berbanding dengan bahagian pertama buku ini yang ditulis 14 tahun lebih awal yang lebih analitikal dari minda kritis seorang wartawan, bahagian edisi tambahan ini lebih peribadi sifatnya dan memperlihatkan keterlibatan dengan subjek yang diperkatakan(Tun Mahathir) dengan pertalian dan hubungan pada jarak dekat.

Dan seperti semua hubungan yang melewati hal-hal profesional seseorang akan mempamerkan berbagai facet dan dimensi emosi dan rasionalisasi bila cuba meng- artikulasi perasaan serta pandangannya mengenai subjek yang diperkatakan. Pun begitu, pengarang tidak bermasalah untuk berbuat demikian dan tulisan ini menjadi rakaman peristiwa yang sekaligus cukup emotif dan analitikal tetapi paling penting frank and honest. Sesuatu yang mungkin tidak akan dilakukan oleh orang lain di waktu yang lain!

Entah kenapa saya merasakan seperti ada hubungan ‘love –hate’ di antara Dt.Zam dengan Dr.Mahathir. Saya lebih suka menggunakan frasa ‘sayang-benci’ dan bukanya ‘benci tapi rindu’ bila melihat senario antara keduanya. Sesuatu yang amat normal dalam hubungan antara dua orang manusia yang mempunyai perwatakan yang dominan (dan ada kalanya keras) serta cukup berpengaruh dan berkuasa dalam bidang masing-masing. Dan dalam situasi yang begini, fleksibiliti ada kalanya menjadi penyelamat kepada hubungan tersebut tetapi pada masa yang sama mungkin menyebabkan sebelah pihak ‘makan hati’ dengan pihak yang lagi satu. Betulkan saya jika tersilap dan apologi!

0 comments: