Sunday, November 23, 2008

KAMI: STRUM UN DRANG REMAJA

OLEH

SITI RUQAIYAH HASHIM


Ada orang berkata di Malaysia ada dua genre filem sahaja iaitu filem seram atau tahyul dan filem remaja yang angst ridden dan melalui strum un drang. Pendapat nakal ini pastinya provokatif tetapi jika dianalisis secara kritis memang beginilah pola dan trennya kerana cuma beberapa buah filem tempatan yang menggarap tema yang berlainan. Sejak tahun lalu, filem bertemakan kehidupan remaja atau tahyul dihasilkan dengan begitu banyak sekali. Dan terbaru, filem Kami yang diangkat dari siri dengan nama yang sama terbitan 8 TV juga mengisahkan kegelisahan dan kehidupan remaja dalam dunia mereka yang dikaluti oleh kisah perceraian ibu-bapa, dadah, muzik indie dan pencarian identiti dalam seribu satu kekeliruan. Jadi apa yang barunya dalam filem Kami dibandingkan dengan Haru Biru, Anak Halal, Evolusi KL Drift dll yang se genre dengannya?

Filem dari pengarah muda suami isteri Effendi Mazlan dan Fariza Azlina Isahak ini memang tipikal mempamerkan treatment dan kepengarahan filem orang muda bandar. Pun begitu filem ini mempamerkan kerja serta pemikiran yang cukup matang, tidak menghukum tapi cukup kuat menuntut kefahaman penonton tentang isu yang dinyatakan. Filem ini membawakan tema dan plot yang cukup berat dan menuntut pemikiran yang serius dan persoalan yang mendalam walau pun disampaikan dalam naratif yang cukup santai, ringan dan dialog yang cukup ekonomikal. Suatu garapan kerja seni yang cukup
baik dan mempamerkan pemahaman penulis skripnya yang pastinya terlatih dalam krafnya. Beginilah seharusnya penulisan dialog yang natural - ringkas dan ekonomikal. Dalam situasi sebenar di luar filem tak ada manusia yang bercakap dengan kawan, adik atau suami dengan menggunakan ayat-ayat yang penuh seperti ‘ kemana awak nak pergi?’ Dialog ini dalam situasi sebenarnya mungkin saja menjadi ‘nak pergi mana?’.

Kami mengisahkan remaja masa kini dengan dunia dan permasalahan hidup sekarang. Abu (lakonan Nas-T) penghuni rumah pemulihan yang melarikan diri sebelum mengambil peperiksaan SPM nya terpaksa menumpang di rumah kawan sekolahnya Ali lakonan Syarul Ezani) yang sudah pun bekerja di ajensi pelancongan yang sedikit pun tidak diminatinya. Ibu bapa Ali sedang melalui proses perceraian dan ini memberi kesan yang mendalam kepada kehidupannya.Sementara itu tiga sahabat perempuan Lynn (lakonan Liyana Jasmay), Adii (lakonan Zayanah Ibrahim) dan Sofie (lakonan Juliana Evans) yang baru lepas menduduki peperiksaan SPM sedang merayakan ‘kemerdekaan’ mereka dari pakaian seragam sekolah, buku dan kerja rumah. Bersama dengan Abu dan Ali yang memandu kereta bapanya mereka semua keluar malam, berkumpul dan lepak di tempat-tempat yang sering dikunjungi remaja tanpa pengetahuan keluarga mereka sedikit pun. Sesuatu yang normal dalam kehidupan remaja di bandar masa kini.

Dalam interaksi antara mereka yang menerima tanpa syarat siapa pun kawan mereka samada anak ahli korporat atau juvana dari rumah pemulihan, persahabatan mereka mempamerkan keintiman dan keakrabannya dalam garapan plot dan dialog yang cukup natural dan mantap. Dan dalam fluidity penceritaannya filem Kami mengangkat dilemma dan isu-isu dan saat sukar berdepan dengan kenyataan hidup yang bercakap tentang kesilapan menjadi pengedar dadah masa lalu, menerima bakal bapa tiri yang tidak pernah diundang, perbuatan ibu yang menyorokkan surat penerimaan universiti luar negeri agar anak gadisnya tidak meninggalkannya dan trauma mengetahui kawan yang menjadi pelanggan dadah yang diedarkannya sendiri. Isu-isu yang cukup berat tetapi begitu effortless pemamerannya yang menjadikannya cukup cantik serta halus.

Aspek lakonan dalam filem ini adalah sesuatu yang perlu diperkatakan. Kesemua watak utama remaja filem Kami merupakan muka-muka baru yang belum banyak pengalaman dalam filem, tetapi lakonan mereka cukup meyakinkan dan mantap dengan eksploitasi pregnant pause yang menimbulkan subteks yang ketara tanpa perlu diperkatakan. Dan dibantu oleh pelakon cukup berpengalaman seperti Norish Karman, Rozie Ali, Mustapha Kamal, Dian P.Ramlee dll aspek lakonan filem ini mempamerkan sesuatu yang segar dan membanggakan.

Setiap kali menonton filem sebegini, pemikiran saya akan mula menerawang dan bertanya ke mana arah dan hala tuju filem-filem kita? Bagaimana pun istimewanya garapan artistik dan kekuatan tema dan plot ceritanya, filem begini menuntut penerimaan dan kefahaman kita tentang segala yang berada di sekeliling kita sahaja dan tak lebih dari itu. Ianya hanya rakaman dan kutipan anekdot dan peristiwa serta isu-isu semasa yang dipamerkan di seluloid. Dan apa selepas itu? Apakah kita tidak cukup faham dan menerima tentang hakikat gejala dan keruntuhan moral dalam masyarakat kita sekarang? Kaitan dengan isu ini ialah apakah filem masih terus hanya menjadi wadah seni perakam emosi dan pengalaman sosial sahaja? Bagimana dengan fakta bahawa seni harus secara sedar mengangkat pemikiran dan falsafah kehidupan yang melewati tahap penerimaan dan kefahaman isu-isu kecil dan besar dalam masyarakat?

0 comments: