Tuesday, January 15, 2013

Memahami Les Miserable

Menonton  adaptasi novel Victor Hugo yang terakhir dalam bentuk filem muzikal Les Miserable tidak pernah mengecewakan. Pernah diadaptasi  ke dalam teater,teater muzikal dan filem biasa ini kali pertama rasanya ia diterbitkan dalam filem muzikal. Novel hebat yang berlatar-belakangkan permulaan kebangkitan rakyat semasa Napoleon Bonarparte merampas kuasa dan menabalkan dirinya sebagai Maharaja Perancis setelah revolusi Perancis yang menumbangkan  monarki tidak berjaya merealisasikan slogan ' Liberty,Equality and Fraternity ' yang dibawanya. Perancis melalui suatu fasa agak lama yang dipenuhi ketidak-stabilan politik-ekonomi-sosial selepas revolusi yang menjadikannya sebuah republik.     

Latar belakang kepada novel Victor Hugo ini bukannya kebangkitan rakyat yang menumbangkan Raja Louis ke 16 dengan permaisurinya Marie Antoinette dipancung dengan 'guillotine'. Tapi ini adalah kebangkitan rakyat menumbangkan Napoleon Bonarparte yang telah kalah di Peperangan Waterloo pada tahun 1815 di tangan Admiral Horatio Nelson dari Britain.

Kehebatan novel Les Miserable ini tidak perlu diperkatakan kerana ia telah dianggap sebagai salah satu karya terhebat yang berlatar-belakangkan Revolusi Perancis. Walau pun novel Hugo tidaklah sesukar mana untuk memahaminya, menganalisis  adaptasi novel ini dalam bentuk apa pun memerlukan kefahaman sejarah dan politik yang mendalam tentang era ini. Perlu diingat, Revolusi Perancis adalah merupakan permulaan  kesan domino kejatuhan monarki dan merebaknya revolusi anti-monarki yang akhirnya melahirkan Amerika Syarikat dan banyak negara Eropah lain yang menjadi republik. Les Miserables adalah suatu 'tour de force' sejarah dunia moden yang sentiasa releven hingga ke hari ini dalam banyak aspek. Ini bukan calang-calang karya!