Wednesday, August 11, 2010

MENGIKUT PANDANGAN CHUA SOI LEK

Baru-baru ini Chua Soi Lek Presiden MCA mengeluarkan pendapat bahawa PAS menjadikan UMNO dan orang Melayu-Islam lebih konservatif. Soalan saya sangat mudah apakah definisi konservatisme kepada Chua Soi Lek? Dan apakah definisi beliau sama dengan konsep konservatisme kepada orang lain? Kalau konservatisme orang Melayu-Islam itu disamakan dengan mereka yang tidak berzina, tidak minum arak, tidak berjudi dll kemungkinan pandangan Soi Lek itu tidak tepat dan sangat jauh daripada pengertian yang sebenarnya.

Jadi apakah pemimpin UMNO yang merupakan seorang Melayu-Islam yang baik dan tidak berzina, tidak minum arak, tidak bunuh orang, tidak rasuah dan tidak menginayai orang lain merupakan seorang yang terpengaruh dengan PAS dan tidak baik untuk memimpin kerana akan menyebabkan orang Melayu menjadi lebih konservatif? Pada pandangan saya dan ramai orang Melayu yang mempraktis Islam di negara ini tidak berzina, tidak minum arak dan melakukan lain-lain perbuatan dosa besar dan kecil (termasuk mensabotaj usaha serta kehidupan orang lain) hanyalah sebahagian kecil daripada praktis yang menjadikan seseorang itu Islam yang baik dan bukannya konservatif.

Seorang Islam yang baik tidak semestinya seorang yang konservatif. Ada perbezaan yang amat besar menjadi seorang Islam yang baik dengan konservatif. Dan adakah orang Melayu-Islam yang tidak mempraktis ajaran Islam dan mempraktis nilai-nilai hidup yang lebih liberal dan Kebaratan merupakan orang Melayu yang tidak konservatif? Apa ukuran konservatisme seseorang pada pandangan Soi Lek agaknya?

Monday, August 9, 2010

Puisi Terkini

SETELAH CINDAI TERKORBAN

Suatu petang
waktu duduk-duduk bersama guru
kami bercerita tentang Sapura dan Engku Anis
dan selepas menyebut Cindai
aku meyambung ceritanya

selepas Cindai mati terfitnah
adik kembarnya Gita Anjali
melarikan diri ke ulu sungai
dewasa di pelihara
datuk mereka seorang ulama tua
yang menukar namanya kepada Sukma Lara
kerna ia terlalu bersedih
dengan kematian kakaknya

datuk mereka mengajarnya intim dengan Al Quran
berlagu dan menyelami Al Imran Maryam AlBaqarah
dan entah apa lagi di hari malam
dan berpuasa
serta menelaah Qisatul Anbia Bustanul Salatin dan berbagai lagi di siangnya
akhirnya terpamer ketenangan di wajahnya
yang salin tak tumpah persis Cindai yang telah tiada
walau tiada yang dapat menyelami duka di kalbunya

entah bagaimana jadinya
Sukma Lara dianugerahi Nya suatu keajaiban
sesiapa yang menginayainya
dilanda bencana serta merta
mungkin berkat Wa illa hukum Laqad jaakum atau Haikal yang tujuh

lalu berbagai perkara terjadi kepada ramai di sekelilingnya
tunangan yang ingin mengambil kesempatan kehilangan kerusi emasnya
permaisuri tua yang belot buta sebelah mata
anak saudara yang jelita tertangkap berkhalwat
si ibu saudara yang bersekongkol dengan pengawal istana
nanar dalam racau memaki hamun raja
kerna tidak mendapat habuan yang dijanjikan
permaisuri baru semakin kalut menutup jejak berkomplot dengan Pak Ku
walau seluruh negeri tau
sudah lama dia mau menghapuskan Cindai





sewaktu sakaratul
datuknya menggengam tangan Sukma Lara erat-erat
berbisik ke telinganya
pakai terus nama itu
kerna itulah sembilu paling berbisa
yang akan menusuk dan menghukum mereka sampai bila-bila
sedang mereka semakin gila jadinya
berebut kuasa harta dan segala ketamakan yang menjijikkan
dan hilang sudah maruah dan semangat juang
membela agama bangsa dan negara
tapi Sukma Lara akan terus gagah melangkah
bangun menguasai semua
sehinggakan raja yang kurang siasat pun
akan berada dalam genggaman
cuma satu yang harus kau tau
carilah kejujuran dan keharmonian diri
dan cintailah kemanusiaan
serta mereka yang lebih banyak memberi

datuknya menghembuskan nafas
dengan senyum puas
sambil berkata kepada Sukma Lara
senyuman mu bakal menawan mereka semua
jadi walau di saat paling sukar
berikan senyum ikhlas
kerna sedekah itu amat berharga
dan sedikit demi sedikit
kau kan menyembuhkan penyakit jiwa di dada
walau mereka tak pernah sedar
kotor dan jijiknya wajah mereka
Innalillahi wa inna illaihi rajiuun

begitulah bermula kisah Sukma Lara
yang sakti dan tak dapat dikalahkan


La haulawala khuwatailla…..





Kajang – 20 Julai 2010.