Sunday, November 25, 2012

MY Daddy Bapak Aku Mak Kita: Tiada Kata Secantik Bahasa!!!

Salam semua. Maaf kerana lama tidak menemui anda yang masih setia membaca blog saya terutama dari luar negeri. Bagi mereka di Malaysia tidak ada masalah kerana artikel saya dalam Berita Harian dapat di baca. Ok, saya agak sibuk kebelakangan ini kerana dalam perancangan untuk mementaskan teater Cindai karya Sasterawan Negara Dato Noordin Hasan di beberapa tempat di luar               Kuala Lumpur. InsyaAllah, mungkin awal tahun depan teater ini dapat direalisasikan pementasannya jika tidak ada aral melintang.

Pun begitu, beberapa malam lalu dua kali saya menonton pementasan 'teater miskin yang tidak miskin' (istilah Arrifin C Noer aktivis teater tersohor Indonesia)ini di ASWARA bersama     Rosminah Tahir. Iryanda Mulya, Fauziah Nawi dan Shabera Shaik bergabung tenaga dalam teater yang 'tiada kata secantik bahasa' ini. Tahniah kepada semua yang terlibat dalam teater ini. Nantikan reviu saya dalam sebuah akhbar arus perdana tidak lama lagi nanti.

Alhamdullilah masih ada banyak kejujuran dalam berkarya dari mereka semua dan dari saat pertama hingga ke akhir teater ini dipentaskan ternyata Fauziah dan Shabera berada dalam kelas mereka yang tersendiri. Mereka akan mengadakan beberapa pementasan di seluruh Malaysia nanti. Peminat teater serius jangan lepaskan peluang menyaksikan lakonan mereka serta karya cantik Iryanda Mulya yang terakhir.