Seorang pembaca reviu filem Lembing Awang Pulang ke Dayang yang tersiar dalam Berita Minggu semalam menghubungi saya dan mencadangkan skrip ini harus diadaptasi kepada teater dan dipentaskan di Istana Budaya. Saya amat bersetuju dengan cadangan tersebut malah dalam reviu asalnya saya cadangkan begitu juga. Sememangnya skrip ini cukup baik dan penceritaannya 'gripping'. Saya membayangkan pementasannya yang cukup spektakular, teatrikal dan mempunyai kedalaman intelektual yang cukup hebat. Cerita serta karya yang diangkat dari kisah benar ini cukup besar dan penting dalam wacana sejarah kita untuk dijadikan suatu teks yang memukau disamping kita bercakap tentang nasionalisme dan patriotisme serta penjajahan Belanda yang jarang sekali disentuh dalam apa juga genre kesenian kita.
Lembing Awang Pulang ke Dayang bukan sahaja bercakap tentang tragedi percintaan dan pertunangan dan bukan saja mempamerkan perang psikologi yang bertukar menjadi perang fizikal kerana situasi buah hati kekasih orang. Ia juga bukan sahaja bercerita tentang kegelapan hati budi manusia yang tamak, kurang pertimbangan akal dan keimanan sehingga sanggup bersekongkol dengan lanun yang kekuatannya bersumberkan ilmu hitam dll. Skrip filem ini memuatkan segala aspek dan milieu masyarakat Melayu Nusantara. Paling penting, ia mengungkap citra Dunia Melayu yang dijerut dan diperkotak-katikkan oleh penjajahan Barat di abad ke 18.
Sunday, November 8, 2009
Lembing Awang Pulang ke Dayang Patut di Bawa Ke Istana Budaya
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 7:15 PM 0 comments
Monday, November 2, 2009
Penahanan Dr. Asri Zainal Abidin.
Segala-galanya begitu mengelirukan bila saya mendapat berita tentang apa yang terjadi kepada Dr. Maza atau Dr. Asri Zainal Abidin Mantan Mufti Perlis yang sejak beberapa tahun kebelakangan setiap minggu menulis dalam Mingguan Malaysia yang jarang tidak saya baca. Pada pendapat saya lontaran idea beliau cukup segar, tidak jumud dan sangat menarik dan keterbukaan beliau memperkatakan yang benar dan tidak benar mengikut Al-Quran adalah sesuatu yang paling saya sanjungi. Malah keberaniannya memperkatakan sesuatu isu yang tidak berani disentuh oleh ramai ulamak lain juga adalah sesuatu yang patut dipuji.
Alasan JAIS menahan beliau berceramah tanpa tauliah adalah sesuatu yang 'pelik' dan lucu yang tidak lucu langsung. Kalau Dr. Maza ditahan kerana berceramah tanpa tauliah kenapa JAIS tidak membantah tulisan, program TV dll beliau selama ini? Alasan tiada tauliah JAIS sangat tidak masuk akal! Beliau seorang pendakwah dalam apa juga kapasitinya dan beliau mempunyai kelayakan dan ilmu yang cukup tinggi untuk mengeluarkan fatwa dll. Tulisan beliau dibaca oleh beratus ribu orang mungkin berjuta di seluruh dunia melalui internet dll. Apakah ini tidak melanggar peraturan JAIS? Apakah orang seperti ini memerlukan tauliah setiap kali membuka mulut?
Sebagai seorang penulis saya juga kadang-kadang mengeluarkan pendapat tentang perkara berkaitan agama dan peraturan Islam yang saya ketahui dan cukup yakin untuk bercakap mengenainya. Kenapa Blog dan tulisan saya tidak diharamkan kerana menyentuh hal-hal agama? Saya tidak ditauliahkan untuk bercakap tentang Islam sama seperti NGO seperti Sisters In Islam (SIS) yang sering memberi pandangan mereka tentang Islam. Kenapa Jais tidak membantah tentang hal ini? Pernahkah SIS ditegur oleh JAIS selama ini? Apakah ceramah agama hanya boleh berlaku dalam dewan, di rumah kediaman, di surau dan masjid sahaja? Apakah program TV, tulisan dalam akhbar, di internet dll bukan ceramah agama namanya.?Tindakan JAIS amat naif, mengecewakan dan suatu 'farce' yang tidak seharusnya berlaku. Hanya orang jahil dan desperado saja yang akan membuat tindakan sebegitu.
Dr. Asri, jangan patah semangat dan teruskan perjuangan. Sememangnya Hidup ini Suatu Kembara dan Allah SWT mengetahui segala-galanya. InsyaAllah doa orang-orang yang dizalimi itu tidak ada hijab dengan Allah.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 7:08 PM 0 comments
Tuesday, October 27, 2009
Reviu singkat Muzikal Cuci
Semalam saya menonton Muzikal Cuci di Istana Budaya. Sewaktu makan di kafeteria IB saya bercakap dengan Dt.Zahim Al Bakri pengarah muzikal ini. Saya memohon maaf kepada beliau kerana tidak dapat menghadiri pratonton media yang jarang tidak saya hadiri kerana ada urusan lain sewaktu ianya dibuat minggu lalu. Saya juga katakan saya perlu menonton sekali lagi kalau mahu membuat reviu penuh tapi beliau meminta saya coretkan sedikit dalam blog ini secepat mungkin. 'Sikit pun jadilah' katanya. Ok Dt. Zahim saya tuliskan juga kerana tak sampai hati nak biarkan anda menunggu lama kerana ada beberapa artikel saya yang sedang menunggu penyiaran di akhbar.
Pada asasnya Muzikal Cuci jauh lebih baik 'pace' nya dari yang terakhir diarahkan oleh Zahim Albakri iaitu Muzikal P.Ramlee. Ada 'ruang' untuk bernafas dalam istilah teaternya untuk memberikan segala lontaran, lonjakan dan 'upheaveal' emosi skrip, lakonan dan segala elemen teater lain untuk 'sink' ke pemikiran penonton. Tahniah Dt. Zahim dan semua yang terlibat dengan pementasan Cuci. Teater adaptasi dari filem dengan tajuk yang sama ini sedikit panjang dan sangat 'pop' pendekatannya jadi ramai orang yang menonton merasa terhibur dengan adegan serta dialog lucu yang dituturkan. Ramai yang boleh pertalikan emosi dan pengalaman hidup mereka dengan apa yang ditonton dan itu mungkin kunci kepada iannya begitu menghiburkan.
Kalau dalam Mana Setangginya ada adegan pari-pari terbang penuh fantasi , dalam teater Cuci ada pula adegan romantis di atas gondola pencuci tingkap bangunan tinggi dan peraduan mencuci dari kiri kanan pentas di paras siling. Sebelum itu ada adegan drift atas pentas. Ada 'perlumbaan' kreativiti, inovasi dan keberanian mencabar konvensi yang tidak saya sedari kah? Soalan nakal ini entah mengapa timbul di benak saya. Pun begitu bagi orang macam saya, ada kalanya menonton sedikit unsur slapstik dalam muzikal ini mengganggu konsentrasi saya. Ok. Saya dah tunaikan hajat Dt.Zahim. Terima kasih kerana memberikan muzikal yang menghiburkan.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 6:13 PM 0 comments
Sunday, October 18, 2009
Sisters In Islam dan bayi-bayi yang dibuang.
Kebelakangan ini semakin banyak tersiar berita tentang pembuangan bayi baru lahir yang amat menyayat hati membaca atau menontonnya di kaca televisyen. Orang-orang Arab Jahiliah dahulu menanam anak-anak perempuan yang baru dilahirkan, tetapi orang 'moden' sekarang membuangnya di tempat pembuangan sampah, di tangga masjid dan surau dll. Sehingga ke hari ini belum ada kenyataan yang dibuat oleh Sisters In Islam (SIS), tentang perkara sebegini walau pun mereka mendakwa berjuang atas dasar memartabat wanita. Sehingga kini juga saya tidak mendengar apa juga cerita tentang program sokongan terhadap wanita yang mengandungkan anak di luar nikah mahu pun tindakan-tindakan lain membela golongan ini. Maafkan saya jika tersilap dan saya tarik balik kenyataan ini sekiranya saya tidak mengetahui ianya telah dilakukan oleh pihak SIS .
Beberapa bulan yang lalu ketika berbual dengan Pengerusi PERKIM Negeri Sembilan Datuk Hajah Siti Rahmah Kassim yang juga merupakan Ketua Penerangan Kaum Ibu UMNO yang pertama, beliau menyatakan kepada saya pihak PERKIM Negeri Sembilan mengambil tindakan
memberikan perlindungan dan kaunseling kepada mereka yang telah tersilap jalan ini sehingga mereka melahirkan kandungan dan juga menguruskan proses mengambil anak angkat kepada mereka yang memerlukannya dan tidak membiarkan bayi-bayi yang tidak bernasib baik ini terbiar tanpa pembelaan. Soalan saya amat mudah, kenapa SIS tidak mengambil apa-apa tindakan seperti ini jika mereka benar-benar mahu memartabatkan kedudukan wanita dan berjuang untuk hak wanita?
PERKIM Negeri Sembilan tidak bising-bising tentang apa yang mereka lakukan, tetapi sedikit sebanyak mereka telah berjaya tidak membiarkan bayi-bayi yang tidak berdosa ini. Jika mahu meneruskan penggunaan nama Islam dalam pertubuhan mereka, ahli-ahli SIS semua mungkin perlu mendalami pengetahuan tentang agama Islam dan memperbetul strategi dan tindakan mereka dalam membela wanita Islam. Selamat Berjaya saya ucapkan.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 9:16 PM 0 comments
Sunday, October 4, 2009
Kes Kartika Sari,Sisters In Islam dan DS Shahrizat Jalil
Beberapa hari lepas media memuatkan beberapa protes NGO Islam terhadap Sisters In Islam yang dilaporkan membuat permohonan mahkamah mengenai hukuman sebatan ke atas Kartika Sari Shukarno yang akan dilaksanakan kerana Kartika tidak memohon untuk membuat rayuan dan mahu hukuman itu dilaksanakan. Suatu ironi besar kepada apa yang didakwa oleh SIS bahawa hukuman ini adalah pencabulan hak asasi manusia, kejam dan menjatuhkan maruah individu. Mana tidaknya? Hak asasi manusia mana yang dicabul kalau Kartika sendiri telah menyedari kesilapannya dan mahukan hukuman itu dijalankan? Bukankah Kartika menerima dan reda dengan hukuman tersebut dan tidakkah itu hak asasi seorang manusia yang perlu dihormati?
Hak asasi manusia mana yang nak diperjuangkan oleh SIS sebenarnya? Atau SIS sebenarnya takut hukuman ini akan menjadi satu 'precedent" yang akan dijadikan asas kepada banyak lagi hukuman-hukuman syariah di masa yang akan datang? Bagi mereka yang biasa dengan terminologi dan prosedur undang-undang 'doctrine of Precedent' adalah maha penting dan rasionalisasi isu yang diperkatakan kadang kala boleh dikelabui oleh banyak perkara.
Perkara tentang menjatuhkan maruah individu seperti yang dikatakan oleh SIS adalah sesuatu yang boleh dihujah penuh kontroversi. Hukuman sebat kata SIS menjatuhkan maruah individu, tetapi orang Islam yang minum arak di khalayak ramai dan ini melanggar undang-undang syariah juga boleh menjatuhkan maruah individu Islam lain yang mungkin ada bersama di lokasi yang sama. Malah bukan saja maruah individu, maruah agama yang suci yang dijatuhkan di sini. Apa yang nak dikatakan oleh SIS dalam hal begini? Sekarang ini di Barat dan banyak negara maju, orang yang tidak minum arak, tidak merokok, tidak menagih dadah amat dihormati dan dipandang tinggi. Malah menyimpan perempuan, mengadakan hubungan sulit dll sering kali menjatuhkan pemimpin politik walau sebesar mana pun mereka itu.
Dalam Kongres Budaya Melayu ke 2 anjuran GAPENA dan Persatuan Sejarah Malaysia pada bulan Mach lalu, beberapa soalan tentang SIS dan kaitan rapat mereka dengan beberapa NGO Islam liberal di Indonesia dll negara telah diperkatakan. NGO yang mempromosi dan menerima perkahwinan orang Islam dengan bukan Islam tanpa menukar agama kepada Islam dan beberapa cara serta etika hidup yang tidak sebenarnya melambangkan ajaran Islam yang tulin merupakan 'rakan-rakan 'baik SIS.
Kata Dato Seri Shahrizat Jalil, pendirian SIS mungkin kerana mengambil kira 'senario yang lebih besar'. Saya tidak hairan Shahrizat berpendirian begitu kerana beberapa tahun lalu sewaktu SIS dengan beberapa individu ternama yang 'berprofil tinggi' melancarkan kempen anti-poligami Satu Isteri untuk Satu Suami Shahrizat pun turut serta bersimpati dengan mereka.Polemik tersebut hanya berhenti apabila JAKIM mengeluarkan fatwa tentang isu tersebut iaitu haram melancarkan kempen seumpama itu kerana poligami adalah sebahagian daripada peraturan dan hukum Islam yang dibenarkan.
SIS sepatutnya mengambil pendekatan mendidik suami-suami Islam supaya tidak berpoligami atau berlaku adil bila berpoligami mengikut prinsip dan ajaran Islam dan tidak menggunakan pendekatan sekular atau pandangan liberal yang tidak boleh diaplikasi terhadap umat Islam! Sayang sungguh orang-orang bijak pandai SIS hanya mahir dalam undang-undang tetapi mereka bukan pakar-pakar hukum Agama Islam yang boleh diikuti. Sebagai seorang wanita, SIS memalukan saya dengan kedangkalan ilmu dan strategi mereka! Kalau pun ada orang-orang penting SIS yang tidak mahu kahwin kerana tidak mahu menjadi 'hamba kepada lelaki' biarlah itu menjadi pandangan peribadi sahaja dan jangan bercakap bagi pihak orang lain! Itu suatu pendapat yang sangat peribadi saya kira tapi nasib baiklah ibu-ibu kita bersedia menjadi hamba kepada lelaki dan lahirlah kita! Kalau tidak, kita semua tidak ada di dunia dan ini termasuklah mereka yang berpendapat berkahwin itu menjadi hamba kepada lelaki.
Mungkin Dato Seri Shahrizat Jalil perlu berhati-hati dengan apa yang dikatakannya kerana tidak usah kira siapa yang jadi PM sekarang, hukum Islam tetap perlu diikuti dan ia tidak pernah berubah kerana ia berlandaskan Al-Quran bukan apa pandangan Tun Mahathir, Pak Lah mahu pun DS Najib. Kesilapan memberikan sokongan dan simpati kepada siapa juga mungkin mahal harga yang perlu dibayar kemudian hari kerana realiti dan senario besar serta arus di dalam UMNO mungkin berbeza sama sekali dengan apa yang ada di luar sana. Fikir-fikirkan .
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 10:01 PM 0 comments
Thursday, September 24, 2009
ASWARA Mahu Pentaskan Muzikal Patriotisme
Baru-baru ini Dato Omar Awang menulis dalam Utusan bahawa ASWARA akan terus mementaskan muzikal berunsurkan patriotisme dan tokoh-tokoh sejarah negara. Baguslah tu, saya setuju sangat kerana sebagai sebuah institusi kerajaan sememangnya menjadi tugas ASWARA mementaskan karya seni berbentuk begini. Pun begitu, kenapa hingga ke hari ini tiada muzikal mengenai Tunku Abdul Rahman Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia? Saya ingin mencadangkan ASWARA mementaskan teater mengenai Tunku di musim akan datang. Inilah satu-satunya tokoh sejarah yang banyak mencorakkan asas-asas penubuhan negara ini dan sayang sekali sehingga hari ini tidak ada siapa pun yang terfikir untuk membawanya ke pentas teater.
Impak Maksima ke Esplanade
Muzikal Impak Maksima akan dipentaskan di Panggung Esplanade Singapura atas jemputan orang sana. Saya kurang pasti atas dasar apa teater ini dipilih kerana sewaktu menontonnya tahun lalu saya tidak nampak di mana istimewanya muzikal ,mengenai budak lelaki jatuh cinta dengan budak perempuan dan melibatkan pergaduhan remaja dan lain-lain 'genre' kehidupan orang muda sekarang patut diangkat sebagai karya seni yang membanggkan? Mungkin keistimewaannya ialah kerana ada adegan drift kereta di atas pentas? Jadi ia dipilih kerana seni drift-mendrift? Kalau pun ia boleh dipanggil seni!
Lainlah kalau ada orang menghasilkan kisah dan dilema cinta dengan berlatar-belakangkan konspirasi politik, PRU 12 dan persoalan-persoalan berat ekonomi, perubahan sosial dan pengorbanan manusia-manusia yang terjebak di dalamnya serta penemuan makna cinta sejati, kejujuran, persahabatan, dendam serta pedihnya tertusuk tikaman dari belakang manusia-manusia yang disayangi selama ini? Mungkin saya patut menulis skrip begini. Dan orang yang saya bayangkan memegang watak utamanya ialah YB KJ! selepas menonton filem pendek KJ sebagai pemandu teksi saya sering memikirkan beliau cukup versatil untuk berlakon di atas pentas. Lagi pun sekarang dia belum pegang jawatan dalam kabinet jadi kalau dia berlakon banyak-banyak sekarang ini bagus juga! Saya yakin ahli-ahli Kelab Peminat KJ mesti suka. Saya yakin ada orang yang akan ketawa dengan cadangan ini, tetapi macam KJ saya juga suka berfikir di luar kotak. Kepala kita kadang-kadang sama dik!
Filem-filem Yasmin di Australia
Selepas menonton program tribute kepada arwah Yasmin Ahmad (dalam TV 3) beberapa bulan lalu, saya menghantar sms kepada Ku Seman. Kata saya, untungnya Yasmin buat filem cereka cuma tujuh tapi ada program tribute untuk karya-karyanya. Tapi AllahYarham Pak Arenawati menulis selama lebih daripada 50 tahun dengan entah berapa puluh novel dan mendapat anugerah Sasterawan Negara tidak ada pulak stesen TV yang membuat program untuk menghargai khazanah sastera yang beliau tinggalkan. RTM pun tidak buat program belangsungkawa untuk penulis-penulis terkenal kita secara konsisten. Hanya ada tokoh-tokoh tertentu saja yang dibuat program khas bila mereka meninggal dunia.
Mungkin Dato Seri Rais Yatim boleh memikirkan cadangan mengadakan program belangsungkawa secara konsisten tentang semua tokoh terkenal (selain tokoh politik) negara ini dalam apa juga bidang yang mereka ceburi. Ini juga ada kaitan dengan merakam sejarah serta kehidupan tokoh kebanggaan negara yang telah sepanjang kehidupan mereka mencurah bakti dalam bidang yang mereka ceburi. Saya cukup terkilan bila berbual dengan Prof Dr.Norhayati dari Universitas Hasannudin Makassar yang mengheret kamera, laptop dan segala macam alat perakam sewaktu beliau dengan seorang penuntutnya berada di sini untuk membuat dokumentari tentang Arenawati yang kita tidak buat. Kami tinggal sebilik di Hotel Seri Malaysia di Alor Setar ketika itu dan banyak cerita yang dikongsi bersama tentang Arenawati yang saya dapat dari beliau yang saya yakin tidak diketahui oleh ramai orang. Alfatihah untuk Tunku Abdul Rahman, Yasmin dan Pak Arenawati.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 8:00 PM 0 comments
Friday, September 18, 2009
Berbuka Puasa dengan KJ Fan Club! Beberapa hari yang lalu, bertempat di Equestrian Country Club Bt.Kiara Khairy Jamaluddin Fan Club menganjurkan majlis berbuka puasa dengan YB KJ. Saya hadir sama walau pun bukan ahli KJFC. Selepas berbuka puasa dan solat Magrib Khairy yang cukup teruja dengan adanya KJFC yang bukan ditubuhkannya tapi merupakan inisiatif beberapa orang individu memberi ucapan diikuti dengan sesi dialog 'no hold bar' dalam mana apa juga soalan tentang dirinya beliau benarkan dan dijawab tanpa apa juga tapisan atau 'no comment'.
Ini kali pertama seorang ahli politik mempunyai kelab peminat di Malaysia. Dan keahlian seramai lebih 2000 orang di dalamnya adalah sesuatu yang sangat menarik perhatian saya. Malam tersebut hampir 200 orang hadir dan ianya terdiri daripada berbagai golongan dari pelajar sekolah hinggalah eksekutif syarikat korporat yang tidak ada kena mengena dengan UMNO atau pun Pemuda UMNO. Berbagai soalan dilontarkan kepada KJ dari kabar angin liar tentang beliau kononnya adalah kekasih lama kepada YB Nurul Izzah anak Dato Seri Anwar Ibrahim hinggalah kononnya beliau telah mengambil alih PETRONAS dan ada kepentingan dalam Air Asia, MAHB dll! Apabila soalan tentang pengambil-alihan PETRONAS dilontarkan, saya tak tahan nak tergelak dan dengan suara kuat berkata 'Please Do!' Beberapa orang yang duduk di sebelah saya dan merupakan bloggers Pro.Khairy.com turut tergelak bila saya berkata demikian. Kabar angin, gosip dan fitnah ini memang duduk dalam 'satu bakul' jadi gunakanlah lojik kelas pertama kalau nak percaya pun.
Sememangnya pembunuhan karekter adalah jalan termudah untuk menjatuhkan orang. Dan entah kenapa psiki masyarakat Melayu ini, kalau dia tak boleh naik ke atas, tarik orang yang di atas turun ke bawah supaya sama taraf dengan dia. Ahli masyarakat lain mungkin berbeza mekanisme nya kerana mungkin mereka akan berusaha dengan lebih kuat supaya mereka menjadi lebih baik dan hebat dan berjaya mendaki ke tangga yang lebih tinggi daripada orang lain. Ini ada kaitan dengan politik cantas dalam UMNO yang banyak diperkatakan oleh KJ malam itu. Inilah antara budaya tidak sihat dalam UMNO yang terus subur dipraktikkan. Hasilnya, siapa yang pandai mencantas akan terselamat walau pun orang itu tak ada substance
apa pun selain kemahiran berpolitik. Jadi macam mana kita nak dapat pemimpin politik yang cemerlang dengan substance yang tidak boleh dipertikaikan serta kemahiran berpolitik yang sihat, telus dan tidak bergantung kepada kemahiran membuat konspirasi untuk menjatuhkan orang lain?
Kata KJ lagi, beliau tidak mahu disokong kerana dia seorang KJ, tetapi sokonglah beliau kerana apa yang diperjuangkannya dan prinsip-prinsipnya. Sedikit masa lalu seorang bapa saudara yang amat saya kasihi dan hormati kerana keintelektualannya pernah berkata' KJ ni ada segala-galanya sebab itu ramai orang yang mahu melihat beliau tidak berjaya dan tidak boleh naik.' Beberapa orang teman dari Dunia Melayu yang sering ditemui di rumah GAPENA selalu berkata kepada saya KJ mempunyai potensi yang cukup tinggi dan mereka tidak hairan kalau beliau adalah seorang PM in the making!
Berkarisma, intelektual, pandai berdebat dan mengartikulasi isu-isu yang mahu diperkatakan saya amat bersetuju dengan KJ yang telah menubuhkan Kelab Debat Pemuda UMNO untuk melatih kemahiran berdebat ahli-ahli politik muda. Kalau kita lihat sesi persidangan parlimen hanya ada beberapa kerat ahli politik BN yang boleh berdebat dengan baik jika dibandingkan dengan ahli politik pembangkang. Dan bukan sahaja kemahiran berdebat mereka kurang, kemahiran mengartikulasi isu juga agak lemah. Ini di antara off-spring politik cantas kerana yang maha penting ialah survival politik seseorang bukannya samada beliau masih perlu berada dalam dunia politik atau ada orang yang lebih baik, berilmu dan releven berada di situ yang boleh memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang.
Seperti yang saya katakan malam itu, UMNO amat memerlukan anjakan paradigme untuk terus relevan dan KJ perlu melakukan sesuatu dan memulainya dengan Pemuda UMNO.
SELAMAT HARI RAYA
Sempena Hari Raya Aidil Fitri yang akan disambut beberapa hari lagi, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir batin kepada semua yang mengenali saya dan membaca blog ini serta tulisan-tulisan saya di surat kabar dan majalah.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 10:03 AM 0 comments


