Wednesday, January 15, 2014

Pengarah Filem Generasi Ke Lima China


25 TAHUN KARYA-KARYA ZHANG YIMOU

OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM.

 
 Dalam ucapan penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat Fine Arts oleh Universiti Yale, salahsebuah universiti terkemuka di dunia, Zhang Yimou dikatakan ‘seorang genius dengan kamera dan sinematografi’.  Peristiwa ini berlaku dalam tahun 2010 dua tahun selepas Majalah Time meletakkan pengarah filem tersohor China ini di tempat kedua sebagai Tokoh Tahun 2008.

 Steven Spielberg pengarah tersohor Hollywood  dengan penuh rasa hormat dan rendah diri pernah berkata “ Intipati Majlis Pembukaan Olimpik Zhang Yimou adalah idea  yang mengatakan konflik dalam manusia adalah keinginan kepada ketenangan jiwa. Tema inilah yang telah diterokai dan disempurnakan dalam filemnya samada ianya mengenai kehidupan seorang petani biasa maupun golongan bangsawan.. .. Pada  petang ini  yang dipenuhi  keindahan visual dan emosi yang mengkagumkan, beliau mendidik, mencerahkan dan menghiburkan kita semua.” Beliau  merujuk kepada sumbangan kreatif terhebat  Zhang Yimou untuk majlis pembukaan Olimpik Beijing yang lalu.

Trilogi  Red Sorghum, Ju Dou dan Raise The Red Lantern merupakan filem awal  Zhang paling banyak diperkatakan kerana menggunakan alegori  dengan  mempamerkan watak wanita dengan karekter yang  kuat dan psikologi yang kompleks  melalui berbagai perkara yang menekanreka oleh watak lelaki yang dominan. Dalam dekad pertama proses beliau  berkarya , Zhang  menekuni tema ini dengan begitu ketara sekali dan ianya sukar untuk dilihat sebagai suatu kebetulan sahaja.

Malah dalam filem  Curse Of The Golden Flowers (2010) dan Flowers of War (2012) juga  wanita menjadi mangsa kerakusan kuasa, perang dan lelaki  dari  order lama yang mungkin merupakan perlambangan kepada ibunda dan negara yang menjadi mangsa kepada pergolakan sejarah, sosial dan politik China yang cukup bergelora sejak dari dahulu hingga ke zaman moden  ini.

Hingga ke hari ini, Zhang tidak pernah  menjawap atau mengiyakan soalan yang diajukan kepadanya tentang  tema-tema sebegini. Sebagai seorang remaja berumur 17 tahun ketika Revolusi Kebudayaan dilancarkan  dan terpaksa menjual darahnya untuk membeli kamera, tentu banyak yang mahu diperkatakan oleh Zhang. Beliau  cukup malang kerana bapanya seorang pegawai tentera Koumintang yang menentang komunis dan seorang abangnya lari ke Taiwan ketika  tentera Mao menguasai China. Beliau terpaksa berhenti sekolah dan dihantar bekerja di sebuah kilang tekstil ketika berumur 16 tahun untuk ‘pendidikan semula’ walau pun dia merupakan seorang pelajar paling bijak dalam kelasnya.  

 Seperti kata pengkritik  Cassandra James  Zhang  percaya dengan karya yang  memaparkan cerita kesusahan, penderitaan dan ketahanan rakyat China yang telah melalui banyak zaman sukar dalam sejarah mereka. Dengan tamadun lebih dari 3000 tahun, China telah melalui sejarah panjang sukar dan senang, kemakmuran dan kebuluran, peperangan antara wilayah dan dengan negara asing, perang saudara dan juga perang untuk penyatuan. Dan semua ini telah dilalui oleh rakyat China dan menjadi inspirasi penting dan asas utama kepada karya-karya Zhang dari awal hingga sekarang.

 Dan seperti yang kita semua ketahui, di mana dan dalam apa situasi sekali pun, manusia perlu dan akan  bertahan dan  melawan apa juga nasib malang yang mereka hadapi dan lalui dan inilah yang dipaparkan dalam karya-karya Zhang Yimou. Perjuangan manusia dalam menghadapi persekitaran kehidupan mereka yang menekan  merupakan satu faktor penting filem Zhang yang menjadikan  cukup menarik dengan penceritaan yang mencengkam dan tidak memberikan peluang kepada penonton melepaskannya. Beliau memang seorang pencerita yang hebat.   

 Filem-filem Yimou juga bermain dengan alegori  warna terang  melambangkan emosi dan situasi yang melahirkan mood yang tertentu. Paling ketara ialah dalam filem Hero yang diterbitkan dalam tahun 2002. Pun begitu, filem-filem awalnya juga terserlah dengan penggunaan warna yang mencernakan situasi dan memperkatakan sesuatu dengan halus. Terlatih sebagai seorang sinematografer, Yimou mengadunkan warna dengan aksi babak yang melahirkan visual yang cukup hebat dan kuat.

  Beliau juga bereksperimen dalam filem Not one Less dengan mengambil pelakon kanak-kanak yang tidak terlatih. Bukan itu saja dia  menyembunyikan kamera di tempat yang tidak disedari oleh pelakonnya dan merakam gambar mereka untuk babak dalam filem ini  dalam aksi dan mimik muka yang cukup natural dan bersahaja. Suatu eksperimentasi yang menarik dan sedikit esentrik sekaligus.   

 Memasuki milenia baru Zhang dan ramai pengarah  Generasi Ke Lima China  berkarya dengan filem ‘wuxia’ yang membawakan kesatriaan dan kepahlawanan melalui kisah-kisah kungfu, shaolin dan ‘seni peperangan’ China.  Zhang  membawakan ‘The Hero, House of Flying Dagger dan Curse of The Golden Flower’. Hero  mendapat sambutan hangat di Amerika Syarikat dan mengutip jumlah box office yang tinggi hampir RM300 juta selain  menang berbagai anugerah di seluruh dunia. Filem Hero dengan kos sekitar RM60 juta menyaksikan permulaan bajet filem Zhang yang semakin besar dan penglibatan syarikat filem Barat yang membiayainya.Bukan itu saja, syarikat pengedaran filem terkenal seperti Miramax, Buena Vista dan lain-lain mula mengedarkan filem-filemnya di seluruh dunia termasuk yang dilarang tayangannya di China seperti Red Sorghum dan Raise The Red Lantern.

 Beberapa tahun kebelakangan, Zhang mula  mengambil beberapa pengarah muda dari Asia dan menjadi mentor mereka. Seorang daripadanya adalah pengarah filem Palestin yang menang di Festival Doha yang lahir dan besar disebuah kem pelarian . Zhang yang cukup terkesan ketika masih muda bila melihat Akira Kurosawa di usia 80 tahun di Festival Cannes  berkata ‘saya masih belajar membuat filem’ ternyata tahu memberi balik kepada khalayak filem dari seluruh dunia yang mengkaguminya  sejak 25 tahun lalu. Sifat merendah diri Akira Kurosawa yang merupakan salah seorang idola Zhang ketika di Akademi Filem Beijing dulu ternyata bukan sahaja mempengaruhi filem-filemnya. Zhang Yimou  sememangnya seorang seniman sejati yang bukan sahaja memperkatakan penderitaan dan kemanusiaan dalam filemnya, tetapi melakukan sesuatu yang cukup besar maknanya kepada mereka yang cukup malang dan hidup dalam keadaanyang cukup tertekan.     

(ARTIKEL DI ATAS ADALAH BAHAGIAN KEDUA DARIPADA ARTIKEL TERDAHULU BERTAJUK IMPAK PENGARAH GENERASI KE LIMA FILEM CHINA. SEBAHAGIAN DARIPADANYA ADALAH MERUPAKAN KATA PENGANTAR KEPADA BUKU MENGENAI PENGARAH FILEM GENERASI KE LIMA. ARTIKEL DI ATAS TELAH DISIARKAN DALAM BERITA HARIAN BERTARIKH 11 JANUARI 2014). 

 

 

 

 

 
 

 
 

 

 

 

  

   

 

 
     

 

 

 

 

 

 

 

 



 
 
 
 
 
 
jumlah box office yang tinggi hampir RM300 juta selain  menang berbagai anugerah di seluruh