Tuesday, September 18, 2012

KEY OF LIFE

Baru-baru ini Duta Jepun ke Malaysia merasmikan Festival Filem Jepun 2012 di GSC Pavilion. Sempena perasmian itu, dibuat Tayangan Perdana filem Key of Life yang belum pun ditayangkan di Jepun sendiri. Filem ini menang di Festival Shanghai dan turut ditayangkan di Toronta antaranya. Key of Life sangat menarik kerana kelakar dan serius pada masa yang sama. Tetapi yang paling menarik ialah filem-filem Jepun semakin introspektif sifatnya dan skrip serta penceritaannya merupakan komponen paling penting seperti filem Iran. Dan filem sebegini tidak tinggi kos pembikinannya tapi cukup baik, 'gripping' dan punya kedalaman intelektual, emosi dan spiritual yang sangat membanggakan.

Dalam ramai pembikin filem kita bercakap tentang CGI dan kesan khas yang menakjubkan tapi kekuatan skripnya tidak seberapa, filem-filem Jepun sepanjang yang dipertontonkan di beberapa buah pawagam terpilih di Lembah Klang mempamerkan kekuatan skrip dan penceritaan yang mengkagumkan. Kenapa kita nak berlumba dengan kuasa-kuasa filem yang bukan dalam kategori kita? Kita boleh belajar dan memperkaya teknik-tenik baru dalam perfileman, tetapi kenapa tidak juga belajar tentang penulisan skrip yang baik dengan kedalaman intelektual, emosi dan spiritual yang tinggi seperti filem Iran 'The Separation' yang diletakkan sebagai mahakarya oleh pengkritik filem di beberapa akhbar besar di Amerika Syarikat sendiri?  

 

Wednesday, September 5, 2012

Dialog Bodoh Dalam Filem 29 Februari?

Di Rumah Terbuka FINAS baru-baru ini, saya diingatkan oleh seorang teman lama tentang adanya dialog pelik dalam filem 29 Februari yang dipanggilnya sebagai 'dialog bodoh'. Saya sengaja tidak menyentuh perkara ini dalam reviu yang disiarkan oleh BH Ahad yang lalu (kerana panjang ceritanya ). Apa yang dimaksudkan oleh sahabat saya itu ialah tentang dialog Budi dengan Razak yang kecewa kerana lamarannya untuk mengahwini Lily ditolak oleh bapa Lily. Lantas Budi berkata kepada Razak' susah-susah sangat kita kahwin sama-sama kitalah!'.

Saya tidak yakin ini dialog bodoh, tetapi dialog yang sarat dengan substeks yang mempamer pernyataan sosio-budaya-seksual (juga politik) yang cukup berbisa! Hanya Edry yang tahu kenapa dialog ini ada dalam filem beliau, tetapi jika ada harga mahal yang akan dibayar kerananya, KRU Productions perlu menerimanya dengan dada yang terbuka.

Di negara maju, sesuatu karya diingat oleh pengkritik untuk waktu yang lama kerana penulis-penulis cukup 'passionate' dengan analisis mereka dan setiap kontroversi diingati sampai bila-bila. Samada soal ciplak atau dialog seperti di atas adalah perkara serius yang tidak boleh dipermainkan sewenang-wenangnya. Jadi Edry Abdul Halim perlu bersedia (mungkin untuk waktu yang lama) JIKA beliau sentiasa akan diingati dengan dialog pelik ini!! Berkarya perlukan ilmu bukan untuk sekadar ekspresi diri sahaja.

Monday, September 3, 2012

Tentang Filem 29 Februari

Entah kenapa bila menonton filem terbaru Edry Abdul Halim ini saya teringatkan filem The Case of Benjamin Button  yang dibintangi oleh Brad Pitt dan Cate Blanchett. Cuma ceritanya berbeza kerana dalam filem 29 Februari (sepatutnya ejaannya ialah Febuari, mana ada ejaannya Februari? ) tentang watak Budi yang lambat tua, tapi Benjamin Button pula mengalami tumbesaran yang terbalik. Waktu kecil dia macam orang tua dan menjadi semakin muda setiap tahun. Akhir sekali dia kembali macam bayi yang hanya menangis untuk mendapatkan susu dll. sewaktu semua orang di sekelilingnya semakin tua, sakit dan akhirnya meninggal dunia.

Datin Paduka Shuhaimi Baba yang saya temui Sabtu lalu juga berkata begitu. Mungkin Edry mendapat idea dan ilham  dari filem Benjamin Button tapi itulah namanya pengaruh intertekstual dalam seni. Dan semua orang pengkarya melaluinya. Ia berbeza dari ciplak atau plagiat. Sebab itu saya masih mengkategorikan filem 29 Februari sebagai karya tulen. Pun begitu filem ini tak lebih daripada sebuah filem cinta yang mengasyikkan (absorbing) dan punya kekuatan dalam aspek teknikal dan kesan khas sahaja. Kisah cinta antara lelaki dan wanita berlainan bangsa ini adalah suatu kisah yang normal dan tidak ada apa istimewanya.Tidak ada idea dan pemikiran besar di dalamnya seperti yang tersurat dan tersirat dalam filem Bunohan. Dan kekuatan sebuah filem bukan terletak pada aspek teknikal sahaja tetapi pemikiran di dalamnya. Pergilah ke festival mana pun, skrip dan pemikiran di dalamnya yang menjadi ukuran kekuatan filem itu.  

Lakonan Remy Ishak dalam 29 Februari cukup baik, tapi saya dan ramai berpendapat bahawa lakonan Faizal Hussin dalam Bunohan lebih baik lagi. Faizal mencapai tahap lakonannya yang terbaik dan tidak pernah terlihat sebelum ini. Sama seperti Dato Rahim Razali dalam filem Cinta.
Festival Filem kali ini yang akan  dikendalikan oleh FINAS akan menguji banyak perkara terutama sistem penjurian yang sangat kontroversial pada tahun-tahun lalu. Kita perlu menobatkan filem yang terbaik, jika kita tak mahu diketawakan mengangkat filem yang tak patut menang  sebagai yang terbaik.