Monday, September 3, 2012

Tentang Filem 29 Februari

Entah kenapa bila menonton filem terbaru Edry Abdul Halim ini saya teringatkan filem The Case of Benjamin Button  yang dibintangi oleh Brad Pitt dan Cate Blanchett. Cuma ceritanya berbeza kerana dalam filem 29 Februari (sepatutnya ejaannya ialah Febuari, mana ada ejaannya Februari? ) tentang watak Budi yang lambat tua, tapi Benjamin Button pula mengalami tumbesaran yang terbalik. Waktu kecil dia macam orang tua dan menjadi semakin muda setiap tahun. Akhir sekali dia kembali macam bayi yang hanya menangis untuk mendapatkan susu dll. sewaktu semua orang di sekelilingnya semakin tua, sakit dan akhirnya meninggal dunia.

Datin Paduka Shuhaimi Baba yang saya temui Sabtu lalu juga berkata begitu. Mungkin Edry mendapat idea dan ilham  dari filem Benjamin Button tapi itulah namanya pengaruh intertekstual dalam seni. Dan semua orang pengkarya melaluinya. Ia berbeza dari ciplak atau plagiat. Sebab itu saya masih mengkategorikan filem 29 Februari sebagai karya tulen. Pun begitu filem ini tak lebih daripada sebuah filem cinta yang mengasyikkan (absorbing) dan punya kekuatan dalam aspek teknikal dan kesan khas sahaja. Kisah cinta antara lelaki dan wanita berlainan bangsa ini adalah suatu kisah yang normal dan tidak ada apa istimewanya.Tidak ada idea dan pemikiran besar di dalamnya seperti yang tersurat dan tersirat dalam filem Bunohan. Dan kekuatan sebuah filem bukan terletak pada aspek teknikal sahaja tetapi pemikiran di dalamnya. Pergilah ke festival mana pun, skrip dan pemikiran di dalamnya yang menjadi ukuran kekuatan filem itu.  

Lakonan Remy Ishak dalam 29 Februari cukup baik, tapi saya dan ramai berpendapat bahawa lakonan Faizal Hussin dalam Bunohan lebih baik lagi. Faizal mencapai tahap lakonannya yang terbaik dan tidak pernah terlihat sebelum ini. Sama seperti Dato Rahim Razali dalam filem Cinta.
Festival Filem kali ini yang akan  dikendalikan oleh FINAS akan menguji banyak perkara terutama sistem penjurian yang sangat kontroversial pada tahun-tahun lalu. Kita perlu menobatkan filem yang terbaik, jika kita tak mahu diketawakan mengangkat filem yang tak patut menang  sebagai yang terbaik.   

 

0 comments: