Monday, November 24, 2008

INTERVIU: KOPI KERAS, TONE BRULIN DAN ROH ANAI-ANAI

OLEH :SITI RUQAIYAH HASHIM


Kali terakhir saya bertemu dengan Profesor Tone Brulin selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1977 ialah sewaktu beliau mementaskan teater kanak-kanak ‘Tak Kotak-Kotak’ di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka pada tahun 1979. Bersama-sama Siti Fauziah Abd.Rahman yang menjadi pelakon teater tersebut ketika itu, mereka mementaskannya di beberapa lokasi institusi pendidikan di seluruh Malaysia. .

Tone Brulin merupakan pensyarah saya sewaktu di USM. Kepada 3 kumpulan pertama mereka yang membuat pengkhususan dalam bidang Teater dan Drama, Tone Brulin adalah satu-satunya pensyarah yang paling berpengaruh dan sangat terkemuka. Bukan kerana beliau tokoh teater besar dan amat berwibawa dari Eropah (kerana mendapat anugerah Order of Leopold II Belgium pada umur 26 tahun) dan merupakan ‘the lecturer’ , tapi dedikasi, konsep dan komitmennya kepada teater di mana juga beliau berada amat mengkagumkan saya dan ramai penuntut beliau yang lain. Beliaulah yang memulakan dan menggerakkan kumpulan teater Angkasaran (singkatan dari Angkatan Sasaran) yang merupakan kumpulan teater USM sebagai nucleas kepada aktiviti seni dan teater kami. Itulah sebabnya ia di namakan Angkasaran yang merupakan terjemahan dari konsep target groupe yang dikemukakan oleh Tone Brulin sewaktu panggung eksperimental USM siap dibina pada tahun 1972.

Selepas itu, segala-galanya adalah sejarah bila Angkasaran mementaskan teater Naga-Naga Siapa Kau, Naga-Naga Di Mana Kau (juga dipentaskan di Jakarta dan satu-satunya teater Malaysia yang reviunya keluar dalam jurnal The Drama Review ,USA hingga ke hari ini) diikuti Torando (yang mendapat jemputan ke Festival Teater Shiraz) dan Barong Display (dengan kumpulan teater dari USA) di bawah arahan Tone. Bukan saja sebagai pensyarah Tone Brulin meninggalkan impak yang besar kepada kami, personaliti dan perwatakannya yang mencari kesempurnaan, menuntut kejujuran dan komitmen yang total dalam kerja teater beliau ada kalanya turut mempengaruhi pemikiran kami dalam kehidupan. Setidak-tidaknya kepada saya!

Manakan tidak, rehearsals sehingga jam 2 atau 3 pagi, lima hari seminggu selama tiga atau empat bulan untuk suatu pementasan adalah perkara biasa dan no complain! Disiplin yang diterapkan menjadikan kami berfikir banyak kali kalau mahu ponteng latihan dan siapa pun tidak berani berbuat begitu kerana bukan Tone yang akan marah tapi satu kelas akan menyumpah siapa yang ponteng! Dan konsep lakonan teater Tone menuntut pelakonnya menjadi cukup lasak dan boleh buat apa juga samada merangkak di bawah tempat duduk penonton, memanjat gangway siling teater dalam gelap atau apa juga aksi yang cukup menyiksa dan sukar dibuat. Tapi di akhirnya anda menjadi manusia yang lebih bertujuan, fokus dan amat mementingkan kualiti dengan apa juga yang anda kerjakan.

Di kelas lakonan dan Western Theatre Tradition kami dipukau oleh Tone Brulin dengan kekayaan pengalaman dan ilmu pengetahuannya. Di kelas Western Theatre Tone tidak perlu buku, rujukan dan syarahan yang disediakan di atas kertas tetapi menghamburkan ilmu dan pengetahuan melalui pengalamannya sendiri kerana beliau adalah sebahagian daripada tradisi teater moden Barat..

Jadi baru-baru ini bila bertemu dengan Tone Brulin dan Siti Fauziah isterinya (Pudi kepada saya dan rakan rapat yang lain) yang ditawarkan mengajar dan akhirnya mementaskan teater Roh Anai-Anai dengan penuntut Diploma Seni Persembahan UITM saya seperti terlayang balik kepada masa lebih 30 tahun lalu sewaktu kami semua sering duduk melepak samada di Panggung Sasaran ataupun ketika duduk-duduk minum kopi di kantin ‘Fu Mancu’ USM sambil bercakap teater. Cuma kali ini di antara kopi keras (pekat dan tanpa gula) kesukaan Tone dan cakap-cakap mengenai Roh Anai-Anai dan lain-lain ‘kesengsaraan hidup’, kami berada di kafeteria Hospital Ampang Puteri. 3 hari selepas Aidil-Fitri yang lalu kira-kira 2 minggu sebelum Roh Anai-Anai dipentaskan, Tone kemalangan dan terpaksa menjalani pembedahan dan menghabiskan masa hampir 3 minggu di hospital.

Wawancara dengan Tone Brulin dan Fauziah dibuat dalam lebih dari 4 sesi panjang cakap-cakap dari Hospital Ampang Puteri beberapa hari sebelum mereka berangkat balik ke Antwerp. Saya katakan lebih dari 4 sesi kerana di antara perjalanan nak pergi makan di kedai Mamak pun kami tak henti-henti bercakap teater, seni, Roh Anai-Anai, Naga-Naga, Kapai-Kapai, Torando dan paling banyak mengenai kompeni teater mereka yang dinamakan Theatre of The Third World. Begitulah!
(Catatan: Sebahagian dari interviu yang akan disiarkan dalam majalah PENTAS yang akan datang disiarkan dalam beberapa segmen dalam blog ini).

0 comments: