Reviu Filem: SEPI ITU INDAH
OLEH SITI RUQAIYAH HASHIM
Ada orang berkata ini filem wanita. Kalau ada filem wanita tentu ada filem lelaki. Benarkah begitu? Apa pula ciri-ciri filem wanita dan apa pula ciri filesm lelaki?
Apa pun perbezaan genre filem dan sudut pandangan seseorang, bagi saya ianya tidak lebih dari bagaimana sesebuah lakon layar itu ditulis dan bagaimanakah ‘treatment’ cerita
nya dihidangkan. Penulis skrip wanita lebih halus dalam mengungkapkan emosi terutama tentang cinta. Mungkin kerana wanita mengartikulasi emosi dengan lebih baik dan jelas dari lelaki. Jika tidak begitu, tidaklah ada kata-kata bahawa ‘lelaki dari Mars dan wanita itu dari venus’!
Satu perkara unik mengenai filem-filem Kabir Bhatia dan Mira Mustafa ialah adanya uniti paling integral yang cukup harmonis di antara kepengarahan dan penulisan skrip.
Mungkin hubungan mereka sebagai suami-isteri dalam bidang kerja yang sama dan kait-mengait menerangkan segala-galanya kenapa keharmonian itu begitu ketara. Kehalusan skrip Mira dan Ara diterjemahkan dengan subtleity yang begitu menonjol dalam lakonan, kerja kamera dan penataan cahaya yang menghasilkan sinematografi yang begitu indah dan baik. Sehingga kini, Sepi merupakan filem paling artistik pembikinannya dan terbaik yang ditayangkan bagi musim 2008. Syabas kepada Alternate Studio yang sekali lagi menerbitkan sebuah filem yang berada dalam kelasnya yang tersendiri walaupun ia tidak lebih dari sebuah filem air mata. Melodrama tapi amat meyakinkan begitulah frasa terbaik untuk menerangkan segala-galanya tentang filem ini.
Sebenarnya penceritaan filem Sepi adalah punca kekuatannya. Penceritaan begini bukanlah sesuatu yang baru dan tidak pernah dibuat orang, tetapi Mira ternyata jauh di depan dalam penulisan skrip dalam industri filem kita. Baik dalam Cinta maupun Sepi, stail penceritaan yang berkisar kepada beberapa kisah karekter yang berbeza yang berinteraksi secara langsung (dalam Cinta) dan berpusat kepada suatu kejadian yang sama (dalam Sepi) adalah sesuatu yang julung kalinya dieksploit dalam filem Malaysia. Pun begitu, ini tidak lebih dari pengaruh intertekstual karya lain dan bukan plagiat namanya. Kerana tema, plot dan segala-galanya cukup tulen dan tersendiri dan bukan dicedok dari karya lain secara terang-terang. Semua filem dan apa juga jenis fiksyen di dunia ini tidak terlepas dari pengaruh intertekstual karya lain yang meresap masuk dalam karya seseorang kadang-kadang secara paling tidak disedari.
Sepi mengungkapkan emosi manusia di sudut dan ketika paling rapuh (vulnerable) dalam kehidupan seseorang. Adam (Afdlin Shaufi) yang sering menggembirakan pasangan pengantin dengan ciptaan kek perkahwinan yang cantik merasa cukup sepi bila kawan-kawannya seorang demi seorang berkahwin. Dia bertemu dengan Illyana (Vanida Imran) dan tertarik kepadanya tetapi malangnya berada dalam situasi ‘bertemu dengan orang yang salah pada waktu yang salah’. Sufi (Tony Yusof) yang kematian isteri dan merasa cukup bersalah kerana tidak dapat menyelamatkannya dalam kemalangan akhirnya bertemu dengan Marya (Eja) dan jatuh cinta dengannya dalam situasi rumit kerana Marya adalah isteri yang kesepian kerana ketiadaan anak selepas tujuh tahun berkahwin dan menerima hakikat mereka bertemu untuk berpisah. .
Dan Imaan (Baizura) yang kehilangan Khalil (Pierre Andre) yang terbunuh dan masih belum dapat menerima kenyataan mengenai kematiannya bertemu Ean rakan sekolej yang jatuh hati kepadanya tetapi mendapati situasinya tidak lebih dari ‘buah hati kekasih orang’ dan melalui waktu serta ujian cukup sukar sewaktu Imaan berada dalam koma. Pun begitu, cinta itu ada kalanya indah dan menyakitkan pada waktu yang sama. Ada kalanya ia membuatkan seseorang menunggu bertahun-tahun lamanya tanpa sebab dan hanya berbekalkan harapan dan tidak lebih dari itu. Dan hanya cinta yang boleh menyembuhkan jiwa mereka yang perit menanggung kepedihan , kesedihan dan kekecewaan. Ini juga bukan tema baru, tetapi olahan ceritanya menjadikan filem ini unik dan tersendiri.
Satu keistimewaan Kabir Bhatia adalah menjadikan pelakon baik berlakon dengan cemerlang. Seperti Rahim Razali dalam Cinta yang mempamerkan lakonan beliau yang terbaik pernah disaksikan di layar perak, Sepi mencungkil bakat-bakat lakonan Pierre Andre, Vanida Imran, Nasha Aziz, Eja dan Tony Yusof ke tahap terbaik yang pernah disaksikan di layar perak sehingga kini. Baizura Kahar juga mempamerkan lakonan yang baik dan meyakinkan. Pun begitu, agak malang bagi Afdlin Shauki yang dalam karekter yang masih kelakar dan sedikit klise dengan watak-watak beliau yang lain dalam filem.
Penataan cahaya yang cukup baik dan teliti memberikan kesan artistik yang tidak dapat dipertikaikan. Begitu juga sudut-sudut kerja kamera yang kreatif menjadikan sinematografi filem ini cukup baik dan dalam kelasnya yang tersendiri. Tidak ada satu beat pun dalam filem ini yang terabai atau terlepas pandang. Begitu juga dengan muzik dan penataan bunyi yang cukup sesuai melatari filem ini. Filem ini mungkin hanya suatu versi lain kepada filem Cinta, tetapi fokusnya tentang manusia dan kesepian menjadikan ia cukup kuat untuk diperkatakan untuk suatu waktu yang panjang.
Sunday, November 23, 2008
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 9:12 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment