INTERVIU: SITI FAUZIAH ABD.RAHMAN DAN TEATER SE ANTERO DUNIA
OLEH:SITI RUQAIYAH HASHIM
Di kalangan dunia teater Malaysia, nama Siti Fauziah Abd.Rahman mungkin tidak berapa dikenali . Pun begitu, wanita kecil molek yang berasal dari Kelang ini bukan calang-calang nama di kalangan orang-orang teater di seluruh Eropah malah di seluruh dunia. Isteri kepada Tone Brulin yang mengasaskan TIE 3 – Theatre in Europe of the Third World hampir 30 tahun yang lalu yang berpusat di Antwerp, Belgium adalah merupakan tenaga pengggerak penting grup teater ini. Malah dalam berpuluh-puluh buah teater yang diarahkan oleh Tone Brulin, Fauziah selalunya memegang peranan penting selain daripada turut menjadi pereka dan menjahit kostum, dan mencipta boneka dan topeng bagi banyak teater kanak-kanak yang mereka pentaskan.
Dilahirkan di Teluk Gadong Kelang pada tahun 1951, dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent Kelang sehingga tingkatan 3, Siti Fauziah datang dari keluarga besar seramai 14 orang. Beliau adalah anak ke tujuh dan bapanya adalah seorang guru besar di Kelang. Pada tahun 1968 beliau melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh Tun Fatimah di Johor Bharu sehingga tamat tingkatan 6 dalam jurusan sains. Dan di Sekolah Tun Fatimah lah, beliau mula menunjukkan bakat dalam lakonan dan pementasan. Kalau sewaktu di Convent Kelang, penglibatannya amat terhad kepada pengucapan puisi Shakespeare sahaja kerana budaya sekolah Convent yang amat ketat dan tidak membenarkan pementasan, lakonan dll di Sekolah Tun Fatimah, Siti mendapat peluang yang cukup banyak dan beliau cukup aktif dalam lakonan dan pementasan. Dan disitulah bermulanya kecintaan Siti kepada teater dan lakonan. Bukan itu saja, beliau juga suka melukis dan seringkali membuat poster untuk pementasannya.
Siti melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1972 dan merupakan seorang aktivis teater kampus yang cukup komited dan berbakat. Beliau mengambil bahagian dalam teater paling masyur USM iaitu Naga-Naga Siapa Kau, Naga-Naga di Mana Kau yang turut dipentaskan di Jakarta arahan Tone Brulin. Teater Torando dan Kapai-Kapai karya Ariffin C.Noer menyusul kemudian. Tamat dari Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1975 dalam jurusan Teater dan Drama , beliau meninggalkan tanah air dan bersama-sama dengan kumpulan teater pimpinan Tone Brulin mereka mementaskan cerita Tales of the Mah-Meri di seluruh Eropah dengan mendapat sambutan yang hangat di mana juga mereka berteater.
Skrip ini adalah cerita mengenai masyarakat orang asli di Pualau Carey, Kelang. Dan inilah skrip pertama yang dipentaskan di seluruh Eropah dengan berlatar-belakangkan cerita dari Malaysia walau pun masih ramai yang belum mengenali Malaysia di bidang teater di Eropah ketika itu. Teater ini turut dipentaskan di Malaysia pada tahun yang sama sebelum di kembangkan lagi skripnya dan ditukar namanya menjadi Tales of Nata Daha. Skrip ini terus dipentaskan di Caracas, Baltimore, St.Marten di Kepulauan Carribean, Stockholm dan di St.Andrew Scotland sebelum mendapat penghormatan dipentaskan di Festival Teater Nancy di Peranchis, iaitu salah satu festival teater terkenal dan penting di seluruh dunia. Di Nancy teater ini dengan Siti sebagai pemegang watak utamanya mendapat sambutan paling hebat dan nama wanita dari Malaysia ini mula meniti di bibir orang teater di seluruh dunia.
Selepas Tales of Nata Daha dipentskan di Antwerp, Siti Fauziah yang masih tidak fasih berbahasa Flemish diterima belajar di sekolah teater terkenal Herman Teirlinck sebagai pelajar biasa yang tidak perlu membayar. Belajar di situ membolehkan beliau menguasai bahasa Flemish dengan baik sebelum melanjutkan pelajaran di Holland iaitu di Toneel Akadamie of Maastricht yang sangat masyhur. Dan seperti di Antwerp, peluang belajar di Maastricht membolehkan beliau belajar dan menguasai bahasa Belanda. Sehingga ke hari ini, selain bahasa Inggeris, Flemish dan Belanda Siti Fauziah turut menguasai bahasa Sweden dan memahami bahasa Perancis dan Jerman. Kecekalan dan ketabahan Siti Fauziah menghadapi semua cabaran dalam menuntut ilmu sememangnya berbaloi kerana jika tidak beliau tidak akan dapat bertutur dalam lima bahasa asing pada hari ini
Beberapa tahun selepas itu mereka berada di Jakarta dan menjadi tetamu penyair terkenal Rendra. Tone mengadaptasi puisi protes termashyur Rendra dan menamakannya Prostitutes of Jakarta dengan Siti menjadi pelakon utamanya. Pementasan teater itu mendapat sambutan hebat dari penonton. Begitu juga ketika mereka mementaskan skrip tulisan Ariffin C. Noer yang paling masyhur iaitu Kapai-Kapai di Stockholm, Sweden. Itulah kali pertama Ingmar Bergman pengarah teater dan filem terkenal Sweden mengangkat sebuah skrip dari Indonesia dan mementaskannya selama 130 hari dalam bahasa Sweden dengan Siti Fauziah memegang peranan utamanya. Ariffin C.Noer turut dijemput ke Stockholm . Sambutan hangat yang diberikan kepada pementasan Kapai-Kapai bukan saja menyaksikan penduduk di Stockholm yang menonton, tetapi peminat teater dari Findland dan Norway juga menontonnya.
Pada tahun 1979 ketika Theatre of the Third World diiktiraf oleh Flemish Ministry of Culture di Belgium dan geran diberikan kepada grup teater ini, Siti Fauziah turut mendapat pengiktirafan. Beliau diberi gaji tetap sebagai pelakon dan selama 12 tahun berikutnya, bersama-sama kumpulan teater ini mereka terus menjelajah ke seluruh dunia sambil mementaskan berbagai skrip yang diambil dari sastera rakyat atau kisah dari negara yang mereka lawati. Melalui teater, Tone Brulin dan Siti Fauziah mendekatkan penduduk Eropah dan seluruh dunia dengan seni dan budaya masyarakat Dunia Ketiga. Mereka meruntuhkan tembok bahasa, budaya dan agama dengan memperkaya pengalaman budaya dan seni melalui pementasan teater .
Selain dari berlakon, Siti Fauziah juga sering bertindak sebagai pereka dan pembuat kostum. Jadi tidak hairanlah jika ke mana juga beliau pergi, mesin jahitnya adalah antara benda paling penting dan sentiasa dibawa bersama.Dengan skil menjahit yang baik, beliau juga belajar membuat boneka dan topeng. Sewaktu di Vermont Amerika Syarikat ketika menghadiri festival teater boneka, beliau belajar dari kompeni The Bread and Puppet Group yang sangat terkenal dengan boneka mereka yang ada kalanya setinggi 5 meter. Teknik membuat boneka mereka sangat mudah dan lebih mirip kepada konsep seni boneka Jepun. Hampir 7000 penonton menghadiri pementasan festival teater ini.
Di England Siti menghadiri festival The Welfare State International dan terus menggali ilmu pengetahuan membuat boneka dan topeng dari bahan-bahan terbuang dan murah seperti straw, buluh dan kayu. Festival yang unik ini disertai oleh ramai orang teater seluruh England dan Eropah yang mengembara dalam karavan. Mereka akan berkumpul di bandar tertentu dalam perkampungan karavan dan mementaskan teater serta permainan boneka dan teater kanak-kanak. Ianya adalah suatu pengalaman yang amat membuka minda kepada Siti. Sesuatu yang perlu dipelajari oleh kumpulan teater kita tentang mementaskan teater tanpa menggunakan kos yang tinggi jika kita benar-benar mahu mengembangkan teater dan seni ke seluruh negara dengan cara yag murah tapi berkesan.
12 tahun adalah suatu waktu yang lama bagi sesiapa juga mengabdikan diri kepada dunia teater profesyenal yang menjelajah dan membuat pementasan di seluruh dunia .Ianya memerlukan komitmen yang tidak berbelah-bahagi dan ternyata memerlukan semangat dan keinginan yang kental dan bukan semua orang mampu berbuat begitu. Pun begitu, pada tahun 1992 bersama-sama Tone Brulin yang sedang mengalami masalah kesihatan kumpulan Theatre of the Third World ini akhirnya diserahkan kepada Pengarah Artistik nya iaitu Eugene Berveos. Tone dan Fauziah meneruskan juga kerja-kerja teater mereka bila dijemput oleh pihak-pihak tertentu..
Selepas belajar di Studio Herman Teirlinck pada tahun 1979 Fauziah juga mula mengajar taichi di situ selama 5 tahun. Seiringan dengan kerjaya teaternya, Fauziah membuka kelas taichi di Anterwarp dan selama 16 tahun beliau mengajar di sebuah sekolah muzik di situ. Di Sekolah tarian P.A.R.T.S yand diketuai oleh Anne Therese de Keeirsmaker yangsering membuat pertunjukan di seluruh dunia, Fauziah turut mengajar taichi di situ selama 3 tahun. Sehingga sekarang, kelab-kelab sukan di sekitar bandar ini sering memanggil beliau untuk mengajar. Malah ke mana saja beliau pergi sewaktu mementaskan teater beliau turut mengajar taichi kepada orang-orang teater.
Selepas tidak lagi aktif dalam Theatre of the Third World Tone Brulin dan Fauziah masih terus berlakon dan mengarah teater di seluruh Eropah. Kebetulan ketika itu beliau mengalami sakit pada bahu kanannya yang serius dan perubatan moden tidak berjaya mengubatinya. Beliau mencuba akupuntur dan Fauziah mula berjinak dengan perubatan tradisional China untuk membantu suaminya.Beliau mendaftar di European University of Traditional Chinese Medicine yang terletak di Rotterdam, Belanda. Pengorbanan seorang isteri yang tidak terhingga besar maknanya kepada seorang tokoh teater terkenal yang mendapat anugerah bintang Order of Leopold II ketika berumur 26 tahun dan mendapat penghormatan dari UNESCO beberapa tahun yang lalu dengan menerbitkan buku mengenainya bertajuk An Exceptional Theatre Life. Fauziah belajar tentang perubatan menggunakan herba dan juga akupuntur dan sehingga kini mahir mengubat orang sakit melalui teknik perubatan China tradisional ini.
Selama lebih 30 tahun di Eropah beliau bukan saja berteater seantero dunia , tetapi turut mengajar taichi dan mempraktis akupuntur. Dan mungkin pengalaman sewaktu berteater inilah menjadikan beliau seorang yang cukup terbuka fikirannya, resourceful, tabah dan kental menghadapi sebarang ujian dan dugaan dalam hidup untuk mencapai cita-citanya . Teater yang disebutkan di atas hanyalah sebahagaian kecil daripada berpuluh-puluh pementasan yang telah mereka persembahan.
Sunday, November 23, 2008
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 9:27 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
assalam, sy ingin mengetahui bagaimana penulis mengetahui siti fauziah ini..agak sukar mencari datanya. beliau terlibat dgn teater kanak kanak masa di Anak Alam..adakah ini siti yg sama...
assalam, sy ingin mengetahui bagaimana penulis mengetahui siti fauziah ini..agak sukar mencari datanya. beliau terlibat dgn teater kanak kanak masa di Anak Alam..adakah ini siti yg sama...
Post a Comment