Tuesday, November 18, 2008

Festival Filem dan Anugerah Mania

Sebulan dua kebelakangan ini berbagai festival dan anugerah mengenai industri filem telah berlangsung. Bagi industri yang tidak sebesar mana saiznya kita terlalu kaya dengan festival dan anugerah itu dan ini. Dan kebanyakannya lebih bersifat pesta-pestaan berdasarkan kerja-kerja seni (kalau boleh dinamankan begitu semuanya!) yang dinilai dari sudut populariti sahaja. Jadi bila ada festival atau anugerah yang secara serius cuba mengangkat aspek-aspek lain dalam perfileman seperti aspek teknikal ramai yang tidak kisah dan memandang berat tentang perkara ini dan ada saja alasan yang diberikan untuk tidak menyokongnya.

Mungkin syarikat media yang banyak terlibat dalam hal begini seperti Media Prima dan Astro patut berfikir semula tentang anugerah yang mereka anjurkan. Apa tujuan kita semua menganjurkan anugerah begini banyak? Hanya untuk pablisiti dan menaikkan rating stesen tv? Bagaimana dengan kesan jangka panjangnya kepada industri hiburan dan keseniaan kita? Adakah ia turut membantu dari aspek kualitatifnya untuk mengangkat karya kita ke taraf yang lebih tinggi hanya dengan pesta-pestaan untuk glitter dan glamor semata-mata? Apa yang dapat dibangunkan jika ukuran populariti sahaja digunakan untuk mengangkat sesuatu karya? Apakah perbuatan begini tidak lebih daripada cubaan membangun industri seni dengan tangan kanan tapi meruntuhkannya dengan tangan kiri (atau 'membonsaikannya') pada masa yang sama? Mungkin kerana terlalu ramai orang muda dan kurang pengalaman berada dalam syarikat media begini menyebabkan mereka tidak dapat melihat sesuatu yang lebih jauh dari faedah jangka pendek yang akhirnya tidak membawa ke mana-mana kepada industri kita?
Pemikiran serius dan soul-searching perlu dilakukan oleh semua orang yang terlibat dalam hal begini.

Pengerusi FINAS yang baru telah menyentuh tentang hal ini baru-baru ini, tetapi sebagai new kid on the block beliau perlu lebih perihatin sebelum membuat sebarang kenyataan yang mungkin akan menimbulkan berbagai kontroversi tidak berkesudahan!! Beliau perlu betul-betul tahu dan berpengetahuan tentang semua perkara dan tidak mendengar dari pihak-pihak tertentu sahaja. Pun begitu, pemerhatian beliau amat tajam dan saya suka dengan sikap yang begini.

Sehubungan dengan ini PPFM yang telah berjaya menganjurkan Malam Oskar baru-baru ini benar-benar menyentuh sensitiviti saya. Kepada Syed Hasan sahabat saya, tahniah diucapkan kerana walau pun dengan berbagai rintangan dan keterbatasan (serta demam beberapa hari), Malam Oskar telah berjaya meninggalkan impak yang besar kepada imej dan prestij untuk the one behind the camera semenjak 7 tahun yang lalu. Sejak 3 tahun yang lalu saya tidak pernah ketinggalan menghadiri Malam Oskar PPFM dan dapat merasakan sokongan yang diberikan kepada majlis ini semakin bertambah dan semakin besar walau pun begitu sedikit dana yang diberikan oleh pihak berwajib bagi menjayakan majlis ini. Alhamdullilah sokongan pihak media juga semakin kuat dan padu kepada PPFM dan Malam Oskar mereka.

Sememangnya anugerah untuk aspek-aspek teknikal perfileman amat perlu untuk menaikkan industri kita ke tahap yang lebih tinggi dan bermakna untuk memberi impak ke peringkat antarabangsa. Cuma seperti yang banyak kali saya katakan perlu dibuat post-mortem dan laporan penjurian untuk dikemukakan kepada semua pihak terlibat dalam industri ini. Bagaimana kita nak menambah-baikkan industri kalau pemain-pemain kita mempunyai jurang pemikiran dan pengetahuan yang besar antara penerbit, pengarah dan pekerja filem? Bukan semua penerbit mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang filem yang baik dan yang tidak. Terlalu banyak type-casting selain dari filem dan telemovie yang berasaskan genre yang sama diterbitkan sesuatu masa dan sesuatu perlu dilakukan tentang hal begini oleh mereka yang berilmu dan berwawasan! Tak payah cakaplah mengenai mereka yang tidak ada ilmu dan wawasan. Atau yang berilmu tapi tidak ada wawasan!

0 comments: