Sunday, December 7, 2008

Kliff 2008

KL International Film Fest 2008 telah pun berakhir. Banyak perkara yang berlaku dan tidak berlaku. Ada orang kata ok dan ramai yang kata masih perlu diperbaiki kerana masih banyak yang kurang.Pendapat saya dan beberapa orang peserta dari luar negeri yang terdiri dari beberapa orang pengarah filem,wakil festival lain dan lain-lain orang filem kami semua berpendapat festival kali ini filem yang ditayangkan jauh lebih baik dari tahun lalu. Tetapi ramai yang menyoal apa yang nak ditonjolkan oleh festival ini? Festival filem sepatutnya mengenai filem bukan perkara lain seperti hiburan selingan dan pertunjukan kebudayaan.Malam pelancaran yang dibuat di Kompleks Kraf dipenuhi dengan pertunjukan fesyen dan nyanyian dll. Cukup lah setakat itu. Kenapa pada malam anugerah 3 hari selepas itu pun pertunjukan kebudayaan dan hiburan masih perlu dibuat?Tidakkah tinggi kos festival ini dengan penampilan artis dan grup Ladylike dari Sweden dll? Apakah kepelbagaian budaya itu tidak cukup dengan mempamerkan artis tempatan dari negara kita yang sudah cukup pelbagai dan rencam budayanya?

Soal yang lebih penting ialah kenapa tidak ditayangkan filem yang menang selepas pemberian hadiah? Filem yang menang hanya ditonton oleh juri dan segelintir kecil penonton bagaimana dengan audien yang lebih ramai pada malam tersebut? Bagaimana audien nak tahu tentang kehebatan filem yang menang? Bagaimana kita nak didik penonton menonton filem yang baik dan bercakap tentang filem yang baik? Kebanyakan festival filem yang besar dan established di Eropah menayangkan filem yang menang selepas dinobatkan sebagai penghormatan kepada filem tersebut. Mungkin pihak KLIFF perlu juga memikirkan cara-cara menjimatkan kos penganjuran dan tidak mengisinya dengan hiburan dan hiburan yang terlampau banyak. Prestij dan kualiti festival ini pastinya tidak dinilai dengan artis mana yang menyanyi tetapi apakah impaknya kepada industri perfileman tempatan dan negeri-negeri yang mengambil bahagian.Kalau KLIFF Sdn Bhd.mengeluarkan duitnya sendiri dan tidak mendapat peruntukan dari Kementerian dan tajaan dari GLC (kerajaan juga tu) tak apalah, tapi bila duit rakyat yang dibelanjakan kita perlu lebih berhati-hati.

Waktu tayangan filem yang dipertandingkan juga patut dilanjutkan samada sebelum atau selepas tamatnya KLIFF supaya ramai yang dapat menontonnya dengan selesa.Simposium,apresiasi dan tayangan filem berjalan serentak dalam masa 3 hari. Ramai orang filem,pengkritik, penuntut dan wakil-wakil luar negeri menyuarakan pendapat yang sama.Buat apa banyak program kalau tak ramai orang yang nak menghadirinya tak boleh berbuat demikian? Pada hari kedua,saya berada di tiga tempat yang berlainan dalam satu hari (sampai ada yang panggil bionic woman!) Pagi saya di simposium di Hotel Seri Pacific,12.00 tgh saya menonton filem UTOV dari Uzbekistan yang cukup cantik di Mid-Valley dan 2.30ptg berkejar ke Universiti Malaya untuk apresiasi filem Captain Abu Reid dari Jordan dengan kehadiran Ray Reinhart DOP (director Photography)legenda dari Jerman yang merupakan DOP yang membuat filem-filem Oliver Stone, Martin Scorcese. Brian de Palma dll nama besar world!Reviu filem ini dan percakapan dengan Ray akan diletakkan dalam blog selepas tersiar dalam majalah.

Program apresiasi filem adalah sesuatu yang baik dan perlu dikekalkan. Selain dari filem Kala Malam Bulan Mengambang yang mendapat sambutan yang hangat di Venice Film Festival kata Paolo Bertolin ko-ordinatornya, filem Iran Goodbye Life yang begitu banyak menang hadiah di berbagai festival antara bangsa arahan sutradara Ensieh Shah Hoessaini mendapat sambutan hangat sewaktu diperkatakan dengan kehadiran Ensieh sendiri.Wanita hebat ini adalah seorang wartawan perang sewaktu perang Iran-Iraq 1981-1989 dan digelarkan Oriano Pellochi ( wartawan perang terkenal dari Itali)Iran oleh pasukan pendamai PBB selepas perang tamat. Filem ini mendapat Anugerah Keamanan Khas Pope di festival filem Czechoslovakia. Pun begitu, program apresiasi yang menampilkan tenaga penting filem yang didatangkan khas dari luar negeri harus memberikan lebih banyak waktu
Q & A dengan penonton dan tidak dibuang masanya dengan meletakkan ahli panel yang ramai. Apalagi yang tidak berapa patut menjadi panel kerana kalau setakat suka menonton filem belum cukup baik untuk menjadi panel dengan tokoh-tokoh filem legenda dari luar negeri!Ini peluang keemasaan untuk media,orang filem dan penuntut berinteraksi dengan mereka.

Saya sedikit terkilan dengan pembentang kertas kerja Malaysia yang bercakap tentang Wayang Kulit, Bangsawan dan Sejarah Filem Malaysia. Terlalu banyak kesilapan fakta di dalamnya.Begitu banyak sarjana yang amat berilmu untuk bercakap tentang wayang kulit dan bangsawan kenapa orang yang terhad ilmunya tentang genre ini yang diminta untuk membentang kertas kerja? Kalau pun nak diberikan kepada orang tertentu, kenapa tidak dibuat bersama dengan pakar-pakar wayang kulit dan bangsawan? Ada orang yang mempunyai PHD dalam bangsawan di negara ini. Sayang, simposium ini bertaraf antara-bangsa dan ramai juga peserta dari luar negeri dan kesilapan fakta begini sangat memalukan.

Banyak filem yang baik dipertandingkan dari luar negeri dan dibandingkan dengan filem kita ianya sangat menyedihkan. Melainkan filem Wayang yang mempunyai kekuatan naratif nya yang tersendiri, filem lain sangat-sangat tak patut dicalonkan. Ramai yang berpendapat festival ini patut dibuat 2 tahun sekali dan KLIFF patut menumpukan lebih banyak usaha untuk menayangkan filem-filem 'festival material' untuk mendapatkan 'transfer technology' yang baik. Kita boleh kurangkan kos tetapi masih mendapat faedahnya jika buat begini. Tidak guna buat festival tiap-tiap tahun sedangkan industri kita pada asasnya belum bersedia untuk bertanding dengan nama-nama pembikin filem besar dan legenda.

0 comments: