ENSIEH SHAH HOSSEINI DAN GOODBYE LIFE
OLEH
SITI RUQAIYAH HASHIM
Barangkali tidak ramai orang yang terfikir untuk membunuh diri dengan menjadi mujahid di medan perang. Tetapi itulah yang berlaku kepada Ensieh Shah Hosseini seorang wartawan Iran setelah dia bercerai dengan suaminya. Dipukul dan diceraikan oleh suami
adalah penghinaan paling memalukan kepada wanita Iran (malah kepada wanita mana pun) dan stigma masyarakat kepada mereka begitu tebal sehingga hidup dirasakan tidak lagi ada maknanya. Ensieh mengalami semua itu pada usia yang masih muda dan trauma
serta penderitaan jiwa yang dilaluinya begitu rupa sehingga beliau mahu membunuh diri. Tetapi beliau cukup waras dan sebagai orang Islam menyedari bahawa membunuh diri itu adalah dosa besar yang tidak diampun oleh Allah SWT.
Jadi bila perang Iran-Iraq bermula dan Ayatollah Khoemeni mengeluarkan fatwa mereka yang tewas di medan perang menentang Iraq adalah syuhada, Ensieh terfikir lebih baik mati sebagai seorang mujahid daripada menjadi murtad. Lalu dia mendaftarkan diri dengan tentera dan secara sukarela menjadi wartawan perang yang dihantar ke sempadan. Sepanjang perang selama 8 tahun itu, Ensieh pernah tertembak di bahagian belakang dan bahunya tetapi beliau sedikit pun tidak berundur atau menyesali keputusannya menjadi wartawan perang. Berada di barisan hadapan dalam banyak medan perang bersama ramai wartawan perang dari luar negeri yang cukup berpengalaman dan veteran serta dibayar dengan begitu mahal (kalau mati pun amat berbaloi!)sedikit pun tidak menggerunkannya.
Sememangnya beliau seorang yang berani dan dalam meniti hari-hari sukar kehancuran rumah tangganya, medan perang mengajar Ensieh tentang realiti kehidupan dan menemukannya dengan kehidupan baru, cinta serta menyedarkannya dari kekecewaannya. Dan ini yang mengeluarkannya dari hanya memfokuskan perhatian kepada penderitaan peribadinya dan berdepan dengan realiti perang dan kehancuran . Suatu journey of discovery yang cukup panjang, sukar dan cukup pahit dan menyiksa kepada ramai orang. Tetapi seperti kata Ensieh ‘jika anda terluka traumanya mungkin tiada lagi selepas luka itu sembuh. Tapi di peringkat yang lebih dalam, anda akan rasa sama sahaja seperti apa yang saya rasakan.’ Hanya yang melalui kelukaan dan penghinaan yang amat memalukan seperti yang dilaluinya yang akan faham perasaan pengarah filem Goodbye Life ini, sehinggakan mati di medan perang pun tidak mengapa!
Lahir di Gorgan, Iran pada tahun 1954 Ensieh merupakan siswazah Sinematografi Filem. Sewaktu perang (1981-1989) beliau menghasilkan banyak dokumentari perang dalam siri War Refugees yang sering dipertontonkan di stesen TV Nasional Iran dan di seluruh dunia. Ketika perang tamat dan pasukan pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mula tiba di sempadan Iran-Iraq, Ensieh berada di situ. Pegawai PBB menggelar beliau
Oriano Pelochi of Iran (Oriano adalah wartawan perang wanita Itali yang termasyhur di Barat). Goodbye Life adalah kisah hidup sebenar Ensieh yang dipaparkan di layar perak.
Selepas tamat perang beliau kembali ke dunia penyelidikan dan penulisan novel, filem dokumentari dan penulis lakon layar. Novel beliau memenangi hadiah Sastera 20 tahun Iran dan filem pendeknya Deadline memenangi hadiah pertama di Festival Filem Wanita Seoul 2001. Filem cereka Ensieh yang pertama ialah Lets Go,Its Late yang dibuat dalam tahun 2005. Filem Goodbye Life yang dibuat dalam tahun 2006 adalah filem kedua beliau yang banyak kali dicalonkan di festival filem di Iran, Sweden, Jepun, Korea dan diberikan Anugerah Keamanan Khas oleh Pope di Festival Filem Czechoslovakia. Malah filem ini juga dicalonkan di Anugerah Akademi sebagai filem luar negeri terbaik tetapi kalah di tangan Majid Majidi pengarah terkenal teman seperjuangan Ensieh dari Iran juga.
Dengan kos kira-kira USD 300,000 dan mengambil masa hampir 2 bulan penggambaran, filem ini dibuat di kawasan sempadan Iran-Iraq pada tahun 2006. Ketika itu Iraq sudah pun diduduki oleh Amerika Syarikat. Sewaktu penggambaran, dengan letupan, pyrotechnic dan segala kesan bunyi khas helikopter tentera Amerika Syarikat memasuki ruang udara Iran untuk menyiasat apa yang sedang berlaku. Hampir tercetus insiden tegang di sempadan Iran-Iraq dan pihak Amerika Syarikat menghantar notis protes kepada tentera Iran. Mereka juga menembak krew serta pelakon filem ini untuk menakut-nakutkan Ensieh.
Nasib baik tidak ada kejadian buruk yang berlaku tetapi insiden itu sudah cukup buruk dan menyebabkan Iran menghantar nota bantahan kepada tentera Amerika Syarikat pula. Kepada pengarah lain, situasi begini pastinya cukup menakutkan dan penggambaran mungkin ditamatkan di situ sahaja. Tetapi Ensieh sudah cukup lali dengan tembakan, letupan serta kipas helikopter berlegar di atas kepala dan penggambaran filem ini berjaya disiapkan. Pendapat nakal saya mengatakan mungkin itu sebabnya filem yang cukup vivid dengan pemaparan realiti perang ini tidak menang dalam Anugerah Oskar Akademi di Amerika Syarikat!
Filem Goodbye Life membawa kisah protagonisnya Maryam yang kecewa dengan kehidupannya kerana diceraikan menjadi wartawan perang dan dihantar ke sempadan dengan harapan beliau terbunuh sebagai syuhada. Realiti dan kehancuran hidup oleh peperangan membuatkan Maryam menukar fikiran dan meneruskan tugasnya sebagai wartawan perang demi memperjuangkan negaranya. Dia menemui kehidupan baru dalam cubaannya untuk mengakhiri penderitaan dalam kehidupan lamanya. Malah beliau bertemu dan jatuh cinta dengan seorang komander tentera Iran yang telah menyelamatkannya.
Bila ditanya apakah yang mahu diperkatakan melalui filem ini jawapan Ensieh amat mudah.’Saya mahu paparkan realiti peperangan. Dan dalam peperangan juga ada cinta, kebencian, kehancuran, ketabahan, keberanian dan segala-galanya.Itulah perang (dan perang boleh berlaku di banyak medan!). Kegigihan, keberanian dan kehidupan baru yang ditemuinya membuatkan Ensieh tidak lagi mahu mati kerana kecewa. Pun begitu mungkin tiada siapa yang tahu bagaimana luka di hatinya kerana apa pun yang terjadi luka tetap luka.
Sunday, December 21, 2008
Ensieh Shah Hoesseini dan Goodbye Life
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 8:42 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment