Sunday, December 28, 2008

Pakatan Keadilan Rakyat apa sudah jadi?

Belum pun beralih hari kata orang kampung saya, orang-orang dalam Parti Keadilan Rakyat telah menunjukkan belang masing-masing. Hanya beberapa bulan yang lalu, Dt.Seri Anwar Ibrahim sibuk ke sana ke mari cuba mendapatkan Ahli-Ahli Parlimen BN menyeberangi Dewan Rakyat untuk membolehkan beliau menubuhkan kerajaan dan menjadi PM dan langkah beliau dikritik hebat bukan saja oleh BN tetapi juga banyak pihak dan menyifatkannya sebagai tidak beretika. Malah di kalangan Pakatan Rakyat sendiri, banyak pihak yang tidak merestui perbuatan beliau walaupun mereka berdiam diri mengenainya. Banyak pihak yang menyarankan Ahli Parlimen yang mahu menukar parti perlu meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi mereka supaya pilihan-raya kecil boleh diadakan untuk mendapatkan mandat baru yang sah sebagai benar-benar mewakili kehendak rakyat kawasan yang berkenaan.

Sejak beberapa hari yang lalu, ribut kecil sedang berlaku di kawasan Parlimen Kapar, Selangor kerana wakil dari PKR yang memenangi kawasan tersebut mahu keluar dari parti kerana beliau tidak gembira dengan cara Menteri Besar Selangor bertindak dan mentadbir negeri ini. Saya menjangkakan pasti mudah bagi wakil Kapar ini berbuat demikian kerana itulah prinsip demokrasi yang dipercayai oleh PKR dan ahli-ahli Pakatan Rakyat yang lain, kerana itulah yang hendak mereka lakukan kepada orang-orang BN beberapa bulan yang lalu . Membeli atau memujuk orang BN memasuki PR tidak melibatkan isu etika kerana ini namanya demokrasi. Tetapi tiba-tiba wakil Kapar diminta meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi parlimen atas dasar wakil tersebut telah dipilih atas tiket PKR/PR dan rakyat kawasan itu perlu memberikan mandat baru siapakah calon yang mereka mahu mewakili mereka. Kenapa perlu berbuat demikian? Bukankah wakil Kapar perlu diberi hak demokrasi beliau seperti yang mahu ditagih daripada ahli-ahli BN yang mahu menyertai PR? Sekali lagi ini menunjukkan sikap double standard pembangkang yang amat memualkan. Apa sudah jadi PKR/PR?

0 comments: