Thursday, December 2, 2010

RALAT

FESTIVAL FILEM KESATUAN EROPAH YANG SANGAT PRAKTIKAL.

OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM.


Setiap tahun negara-negara Kesatuan Eropah akan mengadakan Festival Filem di negara ini. Diam tak diam ini tahun ke sebelas tayangan filem-filem terbaik daripada berbagai negara Kesatuan Eropah dijalankan di beberapa pawagam di sekitar Lembah Kelang dan kemudian akan dibawa ke Pulau Pinang. Tahun ini Belgium menjadi hos bagi pihak Kesatuan Eropah seluruhnya dan sebanyak 18 buah filem yang memenangi berbagai anugerah di berbagai festival di Eropah dan ditempat-tempat lain ditayangkan walau pun filem-filem ini tidak merupakan filem terbaru mereka.

Yang pentingnya mereka menghantar filem terbaik Itali, Perancis, Sweden, Sepanyol, Belgium dll.dan bukan filem terbaru kerana yang terbaru tidak semestinya yang terbaik.
Ini sesuatu yang harus kita pelajari kerana filem adalah wadah terbaik dan paling praktikal mempamer dan mengeksport budaya, bangsa dan sesebuah negara dengan cara yang murah dan mudah. Yang diperlukan hanyalah menghantar filem-filem mereka dalam satu pakej yang menarik dan mengandungi kepelbagaian etnik, bahasa dan budaya yang tidak sedikit dan benar-benar mempamerkan ‘kesatuan dalam kepelbagaian’.

Paling penting festival seperti ini tidak mahal dan memakan belanja yang tinggi tetapi hanya memerlukan perancangan dan ko-ordinasi yang rapi. Ianya satu pesta tayangan filem tanpa glamor kehadiran artis dan ‘huu-haa huu-haa’ festival yang kadang kala pengisiannya lebih kuah dari isinya. Mungkin kerana objektif festival seperti ini untuk mempamer jatidiri dan essence budaya, bahasa dan segala-galanya tentang Kesatuan Eropah. Saya beranggapan festival filem sebegini cukup sesuai untuk Malaysia dan juga Asean jika kita mahu bercakap tentang ‘kesatuan dalam kepelbagaian.

Kita jarang sekali menonton filem-filem dari Eropah kerana pengedar filem kita memilih untuk tidak berbuat demikian saya kira. Walau pun filem-filem ini cukup baik dan Festival Filem Cannes, Berlin dan Venice adalah merupakan festival filem terulung dunia, cukup penting malah lebih awal dari Golden Globe dan Academy Awards yang menobatkan filem-filem Hollywood sahaja.

Festival Filem Cannes, Berlin dan Venice menobatkan karya yang cukup tinggi nilai seni dan estetikanya dari seluruh dunia dan bukan sahaja dari Eropah dan merupakan festival filem yang cukup terbuka, universal dan benar-benar menghidupkan semangat serta pengertian filem sebagai wadah seni yang cukup penting semenjak abad ke 20. Hanya di sini, filem-filem Iran, China, Turki, Amerika Selatan dll pernah dinobat sebagai filem terbaik, pengarah terbaik dll anugerah besar perfileman.

Di sini juga filem-filem Hollywood sering ‘berpeluh’ bersaing dengan filem terbaik dunia kerana nama-nama besar di Cannes, Venice dan Berlin termasuklah Majid Majidi, Hussein Makbalbaf, Zhang Yimou, Chen Kaige dll yang cukup halus kerja seni mereka setanding Martin Scorcese, Almadovar, Jean Luc Godard dll.yang lebih mementingkan seni di dalam sinema dan bukan semata-mata teknik, imej janaan computer, bajet besar dan eleman-elemen lain.

Pengedar filem kita mengaut banyak keuntungan daripada pemameran filem-filem Hollywood, Hong Kong dan Bollywood dan mungkin sudah cukup selesa berbuat demikian kerana perkiraan mereka ialah keuntungan dan keuntungan sahaja. Mengapa perlu melakukan sesuatu yang berbeza daripada biasa kalau pendapatan yang lumayan sudah terjamin? Mengapa perlu mencuba sesuatu yang baru kalau ia belum tentu membawa hasil lumayan? Ini mungkin perkiraan penting pihak pengedar filem luar negeri di sirkit pawagam kita.

Pun begitu, stesen televisyen kita yang turut menayangkan banyak filem luar negara mungkin perlu berbuat sesuatu tentang perkara ini kerana kita tidak boleh membiarkan hanya segolongan kecil manusia yang berorientasikan keuntungan semata-mata mendominasi serta menentukan selera penonton filem kita. Ini sesuatu yang tidak sihat saya kira.

Bukan semua filem dalam Festival Kesatuan Eropah ini merupakan ‘bahan’ festival Cannes, Berlin dan Venice tetapi filem-filem mereka jauh lebih baik dan ‘kaya’ daripada kebanyakkan filem kita yang seperti ketandusan idea dan tidak menunjukkan ketingian pemikiran, kedalaman intelektual dan falsafah yang tinggi. Cuba-cubalah menonton ‘psycho drama’ seperti dalam filem Leo dari Sweden atau dilemma Simon seorang jurulatih renang di Calais dalam membantu seorang pendatang asing Kurdish bernama Bilal untuk merenangi Selat Inggeris untuk bertemu dengan kekasihnya yang tinggal di London. Filem-filem ini ada ‘jiwa’ dan kedalaman emosi yang tidak terdapat dalam banyak filem kita.

NOTA: TERDAPAT SEDIKIT KESILAPAN DALAM ARTIKEL DI ATAS YANG TELAH DISIARKAN OLEH AKHBAR BERITA MINGGU HARI AHAD YANG LALU 28 NOVEMBER 2010.
PADA PARAGRAF KE EMPAT, PATUT DIBACA:

1). Saya beranggapan festival filem begini cukup baik bagi negara-negara Asean jika kita mahu bercakap tentang kesatuan dalam kepelbagaian.

APOLOGI KEPADA SEMUA PEMBACA. tERIMA KASIH.

Sunday, November 7, 2010

KENAPA YANG TAKUT SANGAT MATAPELAJARAN SEJARAH WAJIB?

PERLUNYA FILEM SEJARAH DALAM PEMBINAAN NEGARA BANGSA

OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM

Gemilang serta uforia menyambut 50tahun Merdeka negara ini sudah tiga tahun tinggal dalam lipatan minda . Dan setiap tahun seperti selalu segala aktiviti dan program bercorak kesejarahan negara yang diatur bertumpu sepanjang dua tiga minggu sahaja. Seolah-olah usaha memupuk patriotisme, mengenang kembali segala keperitan dan kepayahan mencapai kemerdekaan dan membina negara bangsa cukup dengan beberapa minggu stesen televisyen dan media kita dipenuhi dengan program-program sebegitu. Perbelanjaan program menyambut sambutan kemerdekaan saban tahun dan terakhir ditambah pula dengan sambutan Hari Malaysia pastinya memakan dana yang tidak sedikit tetapi mana dia filem sejarah kita? Kita masih hanya menonton filem Bukit Kepong, Paloh, Embun, Leftenan Adnan dan Hati Malaya 1957. Glosari filem cereka sejarah kita masih amat rendah.

Filem samada fiksyen mau pun dokumentari sejarah adalah elemen budaya popular yang cukup baik, murah dan penting dimanfaatkan dan mampu sampai kepada penonton terutama golongan muda yang rata-ratanya merupakan penonton filem masa kini. Durasi penduduk Malaysia dari segenap golongan dan latar-belakang umur, budaya dan pendidikan menghabiskan masa di depan televisyen adalah tinggi dan ini perlu diisi dengan program pendidikan melalui siri sejarah dan kenegaraan yang sesuai. Kerana iannya bukan sahaja memalukan, tetapi amat tragis jika ada orang politik yang bertaraf Timbalan Menteri sedikit waktu dulu mengeluarkan kenyataan bahawa ‘Orang Melayu juga adalah pendatang di negara ini kerana mereka berasal dari berbagai tempat di Nusantara’!

Lima enam tahun kebelakangan telah menyaksikan berbagai perubahan pesat di RTM dalam aspek programnya. Pun begitu, masih ada ruang untuk penambah-baikan dalam berbagai program ilmu yang dihidangkan. Sehingga kini, program dokumentari sejarahnya masih bermusim dan setelah lebih 50 tahun merdeka kita masih tidak ada slot tetap dokumentari sejarah yang amat perlu bila bercakap tentang pemupukan jatidiri, patriotisme dan ingatan bersama (collective memory). Filem Negara yang menayangkan beberapa minit sehari melalui slot Hari Ini Dalam Sejarah dokumentari simpanan mereka juga masih terlalu terhad penyibaran maklumat dan info sejarahnya walau pun ia suatu usaha yang baik.

The History Channel yang khusus menerbitkan dokumentari sejarah yang cukup baik dengan kedalaman intelektual yang cukup berwibawa disiarkan oleh Astro merupakan suatu program yang menarik (juga propagandik) dan mempunyai penonton setianya di seluruh dunia. Ia amat perlu dicontohi jika kita mahu rakyat negara ini mengenali dan mengetahui sejarahnya sendiri dan tidak menjadi buta sejarah sampai bila-bila. Media elektronik amat perlu dimanfaatkan dengan seluas-luasnya untuk tujuan ini dengan cara yang kreatif kerana membaca buku (apalagi buku sejarah) bukanlah pilihan golongan muda kita dan pelajaran sejarah tidak perlu diajar di bilik darjah sahaja.

Rata-ratanya program dokumentari sejarah kita tidak mempamerkan kedalaman intelektual dalam wacananya. Genre ini memerlukan penyelidikan yang cukup dalam, rapi dan sesuatu isu perlu dilihat dari berbagai sudut serta disiplin yang berbeza. Bidang-bidang lain seperti sosiologi, antropologi,kajian strategik, analisis politik, ekonomi, hubungan antara-bangsa dll yang releven dalam sesuatu dokumentari sejarah yang mahu dipertontonkan sangat diperlukan. Sejarah mungkin mengenai perkara yang telah berlaku, tetapi ia bukan subjek yang statik dan tidak dinamis. Dari semasa ke semasa timbul berbagai fakta baru dan interpetasi yang adakalanya boleh mencabar apa juga pendapat dan interpetasi yang diterima selama ini mengenai sesuatu isu dan peristiwa. Dan hanya dengan kedinamisan penyelidikan dan perubahan paradigme pendekatan sahaja program-program begini akan menjadi menarik dan ditonton sepanjang masa.

Pemupukan patriotisme (dan apa juga isme yang diperlukan) di kalangan golongan muda dan yang buta sejarah juga memerlukan penilaian semula sama seperti ada kalanya sejarah juga perlu ditulis semula. Sejarah bukan untuk dimanipulasi oleh golongan yang tertentu untuk tujuan tertentu, tetapi untuk diketahui, difahami dan dipelajari serta difikirkan bersama oleh setiap rakyat dan diambil iktibar daripadanya.Seperti kata Profesor Wang Gungwu (juga sering disebut oleh Tun Mahathir)‘ hanya bangsa yang mengenali sejarahnya yang mampu tidak akan mengulangi segala kesilapannya di masa lalu.’

Umpamanya ramai orang yang masih kabur tentang sebab Singapura dikeluarkan dari Malaysia dan berbagai interpetasi diuar-uarkan tetapi dokumen dari Public Record Office London yang dijadikan dokumen terbuka 50 tahun selepas insiden ini akan mempamerkan bagaiman Mantan Perdana Menteri YTM Tunku Abdul Rahman menerima tekanan kuat daripada British. Perdana Menteri Britain ketika itu mengugut akan menarik balik Tentera Lautnya yang berpengkalan di Woodlands Singapura jika tindakan mahkamah diambil terhadap Lee Kuan Yew yang sibuk mempromosi Malaysian Malaysia ketika itu.

Malah Australia juga mahu menutup Pengkalan Tentera Udaranya di Butterworth sedangkan Malaysia sedang mengalami masalah dengan Indonesia kerana Sukarno melancarkan Konfrontasi ketika itu. Hal ini tidak ramai yang mengetahuinya dan tidak pernah dicatatkan dalam buku sejarah kita sehingga ke hari ini. Begitu juga dengan tekanan yang dikenakan ke atas Tun Razak untuk menamatkan pemerintahan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) selepas peristiwa 13 Mei 1969 juga adalah atas desakan DAP yang meminta kerajaan British menggesa Malaysia mengembalikan demokrasi selepas setahun sahaja iannya dilaksanakan. Semoga pada hari ini Malaysia juga tidak
di dalam keadaan tertekan dalam apa aspek juga untuk membuat dasar itu dan ini untuk menguntungkan golongan tertentu dalam dan di luar negara tercinta ini!

Bila menyebut dokumentari sejarah, kebanyakan orang akan hanya memikirkan sejarah dan peristiwa politik yang memperkatakan soal tokoh, fakta dan tarikh-tarikh keramat sahaja (begitulah juga dengan buku dan pelajaran sejarah di sekolah). Ini satu lagi perkara dan konsep yang perlu diperbetulkan. Ada berbagai aspek sejarah yang tidak diketahui dan tidak dipedulikan Kita jarang bercakap tentang sejarah ekonomi, sejarah infrastruktur, sejarah sosial, kependudukan serta kebudayaan sedangkan ia begitu perlu sekali.

Cabaran memupuk integrasi dan perpaduan kaum negara ini memerlukan perubahan pemikiran dan pendekatan yang drastik kerana cabaran kita pada hari ini tidak sama seperti cabaran pada masa lalu. Kedudukan Malaysia hari ini juga bukan lagi seperti 50 tahun lalu. Oleh itu, banyak perkara yang kita selesa lakukan selama ini perlu berubah dan menggunakan pendekatan baru. Kita semakin hampir mencapai status negara maju tetapi dalam banyak aspek kita masih berfikiran dan melakukan perkara seperti dahulu dan tidak sensitif dengan soal hambatan masa dan berbagai cabaran lain yang tidak pernah dihadapi sebelum ini.

Sejarah tidak sepatutnya ditulis oleh pihak yang menang sahaja, tetapi patut berasaskan kebenaran, ketelusan dan keterbukaan minda. Betapa pun kekuatan berada dipihak yang menang, kebenaran adalah kekuatan paling ampuh dan tidak akan boleh dipertikai oleh sesiapa dan bila-bila masa pun.Jadi bila ada orang membuat filem penuh simpati terhadap Chin Peng, fakta-fakta dan dokumen rasmi perlu dikeluarkan tentang peranan Communist International (COMINTERN) yang berpusat di Moscow dan bantuan yang diberikan oleh Parti Komunis China kepada Parti Komunis Malaya dan motif mereka melancarkan perjuangan bersenjata di Tanah Melayu. Yang pastinya ia bukan untuk membebaskan negara ini daripada jajahan British dan mengembalikannya kepada Raja-Raja Melayu. Tanah Melayu ada ‘tuannya’ dan ia bukan untuk COMINTERN mau pun menjadi pasaran bagi longgokan barang-barang dari Britain.

Perlu diingat, bukan saja ketepatan dan kesesuaian tetapi interpetasi fakta sejarah juga perlu diambil kira dalam pembikinan dokumentari sejarah. Oleh itu, keselesaan menggunakan pendapat serta interpetasi seperti 50, 30 atau 20 tahun yang lalu dalam sesuatu wacana intelektual sejarah adalah sangat tidak sesuai dan patut dihentikan. Ianya tidak ubah seperti menggunakan fakta dari buku-buku lama yang telah diketahui selama ini, sedangkan fakta lain dari sumber-sumber yang boleh dipercayai yang baru menunjukkan perbezaan yang ketara.

Mungkin keperluan kepada penyelidikan yang mendalam dan teliti untuk menghasilkan dokumentari sejarah yang baik juga bermakna penambahan kos produksi yang tinggi. Ini disebabkan keperluan kepada tenaga pakar dan konsultan yang berwibawa serta akses kepada berbagai bahan dan dokumen yang terdapat di merata muzium dan pejabat rekod dan dokumen diseluruh dunia. Pun begitu internet dan segala macam kecanggihan teknologi hari ini perlu digunakan dan bukan lagi soal kos serta jarak yang memisahkan. Kalau pun kos penerbitan dokumentari sejarah yang baik dan dalam penyelidikannya akan bertambah, ianya masih berbaloi dilakukan. Keperluan kepada ilmu dan pengetahuan yang mendalam untuk tujuan ini bukanlah sesuatu yang opsyenal sifanya tetapi suatu kemestian yang tidak dapat dielakkan.

(Artikel ini telah tersiar dalam akhbar Suara Perkasa).

Wednesday, October 6, 2010

PAKATAN RAKYAT PUN PARTI ANAK BERANAK

Suatu waktu dulu, berbagai nama yang diberikan kepada orang UMNO, MCA,MIC dll parti komponen dalam Barisan Nasional kerana ramai anak-anak pemimpin politiknya juga memasuki politik dan bergerak aktif dalam kepimpinan parti pimpinana bapa mereka. Membina dinasti, nepotisme, kronisme dll adalah di antaranya.

Apa yang berlaku hari ini di kalangan Parti Pembangkang? Dalam DAP Lim Kit Siang ada ‘junior’ yang bernama Lim Guang Eng. Karpal Sing ada Gobind Sing Deo yang salin tak tumpah macam bapanya juga. Tok Guru Nik Aziz juga ada anak lelaki yang aktif dalam Pemuda PAS.

Pun begitu, yang paling klasik ialah apa yang berlaku di dalam PKR. Dato Seri Anwar Ibrahim disokong kuat oleh isteri dan anak sulungnya Nurul Izzah. Mereka bukan sahaja aktif berpolitik tetapi juga menerajui kepimpinan Parti Keadilan Rakyat. Apa jadi dengan ‘jijiknya’ pembinaan dinasti politik? Sudah berubahkah definisi nepotisme dan apakah pengertian kronisme ada makna baru sekarang?

Saya sering diinagatkan oleh arwah nenek dan ibu saya bahawa memfitnah orang itu amat keji dan doa orang yang diinayai itu amat dekat dengan Allah SWT. Hari ini, segala yang difitnah, ditohmah dan dikatakan tentang Tun Mahathir dan ahli keluarganya yang mendapat faedah kerana nepotisme dan kronisme; Tun Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya YB Khairy Jamaluddin dll ahli politik BN semuanya dilakukan oleh ahli-ahli politik Pakatan Rakyat.

Tak ada pula tuduhan nepotisme, tidak demokratik, dinasti politik dll. Agaknya Allah Taala membalikkan segala yang dikatakan kepada ahli politik BN kepada orang-orang Pakatan Rakyat? Mungkin Tok Guru Nik Aziz ada fatwanya yang tersendiri tentang hal ini? Saya tidak hairan kalau ini semua dibolehkan sekarang dan ia tidak jijik, tidak boleh dipertikaikan dan segalanya tidak apa! Semoga Tuhan memberikan petunjuk taufik dan hidayahnya kepada kita semua dan kewarasan yang menguasai pemikiran dan hati budi pemimpin-pemimpin politik kita samada di dalam BN maupun di dalam PR!

Thursday, September 23, 2010

BENARKAH ORANG ISLAM MALAYSIA SEMAKIN KONSERVATIF?

Kebelakangan ini banyak sekali penyelidikan mengenai minda serta identiti orang Islam negara ini yang telah dibuat. Banyak institusi luar negeri yang berminat serta bermurah hati mengeluarkan dana untuk penyelidikan sebegini dengan kerja-sama institusi serta Universiti tempatan. Suatu perkembangan yang amat menarik memandangkan ramai penyelidik yang terlibat dalam projek-projek ini terdiri dari mereka yang bukan Islam. Dapatan dari penyelidikan ini adakalanya mengejutkan serta tidak diduga sama sekali dan menepis pendapat serta pandangan yang selama ini samada tidak berasas atau lebih merupakan generalisasi atau mungkin juga telah berlaku perubahan besar pemikiran serta minda masyarakat Melayu-Islam negara ini.

Beberapa tahun lalu, Yayasan Konrad Adenauer dari Jerman dengan kerjasama Merdeka Centre serta Institut Asia-Eropah Universiti Malaya telah mengadakan suatu penyelidikan Pendapat Umum Mengenai Identiti Orang Islam Negara ini. Seramai 1029 responden yang dipilih secara rawak telah ditemubual oleh pihak berkenaan dalam penyelidikan ini. Antara dapatan menarik yang diperolehi ialah:-

98% responden berpendapat orang Islam Malaysia tidak patut dibenarkan menukar
agama

64% responden berpendapat undang-undang Syariah perlu dikekalkan dalam
perlembagaan kita

77% responden percaya undang-undang Syariah kita tidak cukup ketat

73% responden memilih identiti utama mereka sebagai orang Islam

97% responden menerima orang Islam Malaysia hidup bersama dengan bangsa-bangsa
lain di negara ini

79% responden percaya orang Islam Malaysia patut belajar mengenai agama lain

Pihak yang menjalankan penyelidikan ini seterusnya membuat kesimpulan bahawa dapatan-dapatan di atas menunjukkan masyarakat Islam negara ini semakin konservatif dan ortodoks. Suatu kesimpulan yang amat perlu dilihat semula dan boleh didebatkan.

Apakah kerana sebahagian besar orang Islam memilih untuk mengidentifikasi diri mereka sebagai Islam dan mahu undang-undang Syariah diperketat serta tidak mahu orang Islam dibenarkan menukar agama ini bermakna masyarakat Islam semakin konservatif? Apakah peratusan yang tinggi menerima orang Islam perlu hidup bersama penganut dan belajar mengenai agama lain menunjukkan keterbukaan tetapi pada masa yang sama konservatif?
Bagaimana boleh konservatif atau ortodoks tetapi terbuka pada masa yang sama? Sedikit mengelirukan kalau tidak pun banyak perkara asas mengenai pandangan tersebut yang tidak tepat serta menyeleweng.

Paling penting apakah ukuran yang digunakan sebagai indeks konservatifnya orang Islam Malaysia? Apakah bila semakin ramai orang yang sedar serta selesa memanggil diri mereka orang Islam itu tandanya kita semakin konservatif? Mungkin ada sebabnya mengapa ramai orang Islam yang tidak selesa membiarkan orang bukan Islam bercakap mengenai Islam kerana apakah mereka benar-benar faham mengenai kekukuhan akidah serta kedudukan agama dalam diri orang Islam di negara ini? Apakah mereka faham bahawa Islam itu semakin menjadi cara hidup yang dipegang kuat oleh penganutnya dan ini menunjukkan penghayatannya yang semakin tinggi dan mendalam dalam masyarakat kita? Apakah semakin tinggi penghayatan agama itu secara otomatis meletakkan orang Islam di negara ini sebagai semakin ortodoks?

Seperkara yang perlu diingat ialah negara ini dikenali dan diterima sebagai negara Islam sederhana dan progresif di seluruh dunia termasuk banyak negara Barat. Dengan peratusan jumlah tenaga kerja serta penuntut IPT yang tinggi terdiri daripada wanita, apakah menjadi lebih sedar tentang identiti serta mempraktis dan menghayati cara hidup Islam seperti yang sepatutnya merupakan petunjuk konservatisme? Penulis yakin ramai umat Islam di negara ini yang sependapat menjadi orang Islam yang baik dan mengamalkan cara hidup Islamik tidak bererti seseorang itu ortodoks atau nkonservatif.

Dan macam mana pula perlakuan orang Islam yang tidak konservatif? Liberal dengan tidak mengamalkan cara hidup Islam termasuk tidak mengamalkan akhlak yang baik dan terpuji? Dr. Reduan Tee sering berkata, pemimpin masyarakat Cina di negara ini tidak ramai yang mahu berjuang untuk perlakuan hidup dan akhlak yang baik di kalangan komuniti ini. Mungkin itu sebabnya Chua Soi Lek menyamakan orang Melayu-Islam yang mengamalkan cara hidup Islam itu yang menekankan akhlak yang baik sebagai konservatif. Saya yakin beliau perlu melihat semula makna ‘konservatisme’ yang difahaminya dengan realiti sebahagian besar masyarakat Islam negara ini yang mementingkan menjadi seorang Islam yang baik.

Wednesday, August 11, 2010

MENGIKUT PANDANGAN CHUA SOI LEK

Baru-baru ini Chua Soi Lek Presiden MCA mengeluarkan pendapat bahawa PAS menjadikan UMNO dan orang Melayu-Islam lebih konservatif. Soalan saya sangat mudah apakah definisi konservatisme kepada Chua Soi Lek? Dan apakah definisi beliau sama dengan konsep konservatisme kepada orang lain? Kalau konservatisme orang Melayu-Islam itu disamakan dengan mereka yang tidak berzina, tidak minum arak, tidak berjudi dll kemungkinan pandangan Soi Lek itu tidak tepat dan sangat jauh daripada pengertian yang sebenarnya.

Jadi apakah pemimpin UMNO yang merupakan seorang Melayu-Islam yang baik dan tidak berzina, tidak minum arak, tidak bunuh orang, tidak rasuah dan tidak menginayai orang lain merupakan seorang yang terpengaruh dengan PAS dan tidak baik untuk memimpin kerana akan menyebabkan orang Melayu menjadi lebih konservatif? Pada pandangan saya dan ramai orang Melayu yang mempraktis Islam di negara ini tidak berzina, tidak minum arak dan melakukan lain-lain perbuatan dosa besar dan kecil (termasuk mensabotaj usaha serta kehidupan orang lain) hanyalah sebahagian kecil daripada praktis yang menjadikan seseorang itu Islam yang baik dan bukannya konservatif.

Seorang Islam yang baik tidak semestinya seorang yang konservatif. Ada perbezaan yang amat besar menjadi seorang Islam yang baik dengan konservatif. Dan adakah orang Melayu-Islam yang tidak mempraktis ajaran Islam dan mempraktis nilai-nilai hidup yang lebih liberal dan Kebaratan merupakan orang Melayu yang tidak konservatif? Apa ukuran konservatisme seseorang pada pandangan Soi Lek agaknya?

Monday, August 9, 2010

Puisi Terkini

SETELAH CINDAI TERKORBAN

Suatu petang
waktu duduk-duduk bersama guru
kami bercerita tentang Sapura dan Engku Anis
dan selepas menyebut Cindai
aku meyambung ceritanya

selepas Cindai mati terfitnah
adik kembarnya Gita Anjali
melarikan diri ke ulu sungai
dewasa di pelihara
datuk mereka seorang ulama tua
yang menukar namanya kepada Sukma Lara
kerna ia terlalu bersedih
dengan kematian kakaknya

datuk mereka mengajarnya intim dengan Al Quran
berlagu dan menyelami Al Imran Maryam AlBaqarah
dan entah apa lagi di hari malam
dan berpuasa
serta menelaah Qisatul Anbia Bustanul Salatin dan berbagai lagi di siangnya
akhirnya terpamer ketenangan di wajahnya
yang salin tak tumpah persis Cindai yang telah tiada
walau tiada yang dapat menyelami duka di kalbunya

entah bagaimana jadinya
Sukma Lara dianugerahi Nya suatu keajaiban
sesiapa yang menginayainya
dilanda bencana serta merta
mungkin berkat Wa illa hukum Laqad jaakum atau Haikal yang tujuh

lalu berbagai perkara terjadi kepada ramai di sekelilingnya
tunangan yang ingin mengambil kesempatan kehilangan kerusi emasnya
permaisuri tua yang belot buta sebelah mata
anak saudara yang jelita tertangkap berkhalwat
si ibu saudara yang bersekongkol dengan pengawal istana
nanar dalam racau memaki hamun raja
kerna tidak mendapat habuan yang dijanjikan
permaisuri baru semakin kalut menutup jejak berkomplot dengan Pak Ku
walau seluruh negeri tau
sudah lama dia mau menghapuskan Cindai





sewaktu sakaratul
datuknya menggengam tangan Sukma Lara erat-erat
berbisik ke telinganya
pakai terus nama itu
kerna itulah sembilu paling berbisa
yang akan menusuk dan menghukum mereka sampai bila-bila
sedang mereka semakin gila jadinya
berebut kuasa harta dan segala ketamakan yang menjijikkan
dan hilang sudah maruah dan semangat juang
membela agama bangsa dan negara
tapi Sukma Lara akan terus gagah melangkah
bangun menguasai semua
sehinggakan raja yang kurang siasat pun
akan berada dalam genggaman
cuma satu yang harus kau tau
carilah kejujuran dan keharmonian diri
dan cintailah kemanusiaan
serta mereka yang lebih banyak memberi

datuknya menghembuskan nafas
dengan senyum puas
sambil berkata kepada Sukma Lara
senyuman mu bakal menawan mereka semua
jadi walau di saat paling sukar
berikan senyum ikhlas
kerna sedekah itu amat berharga
dan sedikit demi sedikit
kau kan menyembuhkan penyakit jiwa di dada
walau mereka tak pernah sedar
kotor dan jijiknya wajah mereka
Innalillahi wa inna illaihi rajiuun

begitulah bermula kisah Sukma Lara
yang sakti dan tak dapat dikalahkan


La haulawala khuwatailla…..





Kajang – 20 Julai 2010.

Wednesday, July 21, 2010

PUISI TERKINI

KEPADA YANG BERKENAAN

Di awal perjalanan
telah ku katakan
ia bakal mempamer siapa kita
hati budi
kejujuran
keimanan
dan segala yang tak tercoret di wajah

dan hari ini
kita berdua telah tau jawapannya
patutlah
engkau berada di lembah itu
terluka dan di selimuti kecewa
walau
kerlipan permata pakaian mu
dan aku masih di sini
meneruskan langkah
yang kata mereka semakin gagah
dan tak pernah peduli dengan lagak badut mu

engkau telah cuba
mengaibkan ku
dengan putar lidah yang terlalu biasa
serta kelicikan siasah yang menjijikkan

pada mulanya sangka ku
dinding ego yang kau bina untuk menghina ku
adalah laut yang memisahkan kita
tapi tersilap aku rupanya
kerna duduk mu di lembah berlumpur
dan dari atas puncak ini
tangan ku tak tercapai jemari mu
sedang semakin nanar engkau
dalam racau rajuk tak bertepian

maaf
bukan niat ku menghambur penghinaan
tapi begitulah akhirnya
perjalanan ini
mempamer wajah
mempamer urat
mempamer nadi
mempamer hati nurani
dan paling penting mempamer rendahnya harga diri
kerna setiap saat
yang kau buru hanyalah keuntungan
dan kerna itu
pernah kau cuba membunuh ku
tapi Dia punya rencana lain
kebenaran yang ku cari
kebenaranlah yang ku temui
dan jalan sukar yang ku lalui ini
rupanya permata berkilauan menaburinya
dihambur oleh Nya
kepada ku di puncak ini
walau aku tak pernah memintanya

ketahui lah engkau
aku tak terluka sedikit pun
kerna aku hanya mencari kebenaran
bukan diri mu yang ku dambakan
dan harga diri cukup penting buat ku
sedangkan ianya terlalu murah buat mu
seperti 1000 kerut di wajah mu.


KU PERLUKAN RUANG ITU

Berikan ku
sedikit ruang
sedikit waktu
buat menghela nafas panjang
dan menghembuskannya
perlahan-lahan

berikan ku
sedikit ruang
sedikit waktu
buat merasakan nafas bebas
sedang kita sentiasa tau
kau tak pernah jauh dari ku
dan tak pernah melepas pandang

berikan ku
sedikit ruang
sedikit waktu
buat ku benar-benar
merasakan kehadiran mu
dan perlahan-lahan
menggengam tangan mu
yang telah lama kau hulurkan
dan walau pun ia tidak ku sambut ketika itu
tangan itu tak pernah
kau tarik kembali
mungkin ada gerak hati
dan engkau dapat membaca
bahawa satu hari nanti
jemari itulah yang akan ku genggam
dan segala perasaan bersalah
di wajah mu
pasti segera hilang
kerna tau mu
kau telah ku maafkan

mungkin pertemuan kala kalut tsunami di negeri leluhur
punya banyak keberkatan
kerna kita sama-sama
menyedut udara kemanusiaan
dan Dia yang cinta kepada kehalusan
kemurnian hati nurani
kerendahan hati manusiawi
membuat keputusan
kalian harus bersama!

Ah! nanar aku selama ini
berputar mencari kejujuran
dan topeng lama yang masih terlekap itu
menipu mata ku
sedang engkau tetap di situ
menanti penuh sabar
ketibaan ku

Kajang – 20 Julai 2010.





Friday, July 16, 2010

MESYUARAT AGONG GAPENA

GAPENA DAN GAZA

Tahniah diucapkan kepada Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein serta semua yang telah terpilih semula dalam pemilihan Ahli Jawatan Kuasa GAPENA sesi 2010-2012 yang lalu. Apa pun ribut serta cubaan ‘membikin ribut’ oleh orang-orang tertentu untuk melihat Tan Sri Ismail Hussein dikalahkan dan dipaksa berundur saya kira bukannya senang nak menundukkan seorang pendeta (gelaran yang diberikan oleh pemerintah Riau kepada Ketua 1 GAPENA ini)! Selama 39 tahun GAPENA telah dipimpin oleh seorang Sarjana Sastera Melayu yang ulung, berwibawa dan dengan visi yang cukup jelas dan bijak. Beliau mungkin tidak banyak menulis buku sastera atau apa juga genre tetapi entah berapa banyak kerta kerja dll kertas akademik yang telah dihasilkannya dengan pandangan serta pendapat paling bernas tentang survival Dunia Melayu.

GAPENA hari ini merupakan satu-satunya NGO paling kuat dan berpengaruh jaringan dengan Dunia Melayu nya di seluruh dunia. Indonesia dengan penduduk lebih daripada 230 juta orang Melayu pun tidak ada NGO sastera dan kebudayaan yang mencapai kedudukan seperti GAPENA kata beberapa pelawat tetap dari sana.. Ramai sahabat dari Indonesia, Brunei, Singapura dll sering berkata mereka berasa begitu dekat antara satu sama lain melalui jaringan Dunia Melayu GAPENA. Terima kasih kepada Tan Sri Ismail Hussein serta AJK nya semenjak dulu lagi yang begitu dedikasi, fokus serta tidak henti-henti mewujudkan jaringan di seluruh dunia.Jadi sesiapa juga yang teringin memimpin GAPENA harus ‘waras’ dan ukurlah baju di badan sendiri!

Mungkin ada orang yang skeptis tentang kepimpinan GAPENA dan merasakan Tan Sri Ismail sudah terlalu lama dalam GAPENA. Saya tidak nafikan ada lagi perjuangan GAPENA yang belum tercapai tetapi tidak juga dinafikan ada orang yang masih ‘meleleh air liur’ dan ‘mengidam’ untuk menguasai GAPENA kerana kekuatan jaringannya. Bayangkan menjadi pemimpin NGO dengan 23 buah badan kerabat dari seluruh Malaysia yang terdiri daripada penulis dengan jumlah keseluruhan ahli dalam lingkungan 15,000 orang. Suatu kumpulan manusia yang besar dengan pengaruh yang ‘potent’ kerana mata pena itu lebih tajam dari mata pedang!

Sebelum Mesyuarat Agongnya GAPENA yang bekerjasama dengan ATMA UKM dan Pusat Warisan UITM telah mengadakan Persidangan Warisan Melayu di IndoChina dengan sokongan kuat Royal Academy of Cambodia. Bertempat di Phnom Penh, ramai pembentang kertas kerja dari Malaysia, Singapura, Kemboja, Laos dan Vietnam bertemu dan berbincang dan bercakap tentang Warisan Melayu dengan jayanya. Datuk Mior Kamarul Shahid Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian turut sama membentangkan kertas kerja beliau di Phnom Penh.

Pun begitu ada orang yang cukup sinis dan menyamakannya seperti pergi ke Gaza! ‘Rakyat Malaysia pun tak terjaga, kenapa kita nak sibuk-sibuk pergi tolong orang di Kemboja, Laos dan Vietnam semua?’ Begitulah lebih kurang konotasi pengertian puak yang menyamakan Persidangan di Phnom Penh itu seperti pergi ke Gaza! Sayang seribu kali sayang, hanya orang yang tidak benar-benar menghayati ajaran Islam sahaja yang akan berkata begitu. Islam menganjurkan persaudaraan seagama dan ada hadis yang mengatakan tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dia memberi makan jiran atau saudaranya yang kelaparan!

Apa pun terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu secara langsung dan tidak langsung kepada kelicinan proses pemilihan AJK GAPENA baru yang menyaksikan kelangsungan kepimpinan lama dan menghasilkan stabiliti amat perlu untuk kesinambungan perjuangan nasionalisme Melayu. Rakan-rakan di media terutamanya paling banyak membantu dan ucapan terima kasih daun keladi diucapkan. Perbualan saya dengan beberapa orang AJK GAPENA mereka amat yakin kerjasama erat dengan media terutamanya Kumpulan Media Prima dan Kumpulan Utusan seumpama ‘perkongsian pintar’ yang sangat bermakna dan amat diperlukan.

Kepada Datuk Ahmad Talib dan Datuk Aziz Ishak, ribuan terima kasih saya ucapkan dan pertanyaan apalah GAPENA tanpa sokongan media? Semoga Tuhan memberikan kita semua kekuatan dan keupayaan untuk meneruskan perjuangan dan menghadapi segala cabaran. InsyaAllah.

Thursday, July 8, 2010

GAZA OH GAZA!

Entah berapa kali mereka bertanya
kalian berpuisi untuk apa?
bolehkah ia menentang peluru fosforus dan kereta kebal Israel
dapatkah ia menundukkan zionis?

dan entah berapa kali
ku katakan kepada mereka
api yang menyala itu
bermula dengan rasa
bertukar menjadi semangat
sama seperti kita
yang duduk-duduk berpuisi
melantun rasa ke seluruh pelusuk
bukan kerna itu saja yang dapat kita lakukan
tapi itulah mula dan akhir segalanya

Gaza dan Gaza lagi
citra luka mu di musim yang lalu
menemukan aku dengan seorang pengembara
yang ku kira sedang mencari dirinya sendiri
kalau pun tidak melarikan lukanya
dan darah merah mu
membuat aku terus bersamanya
dan hari ini
tanpa ku sedari
duka derita mu
membuat kami terus di sini

Gaza oh Gaza
darah dan air mata mu
membuat aku lupa seketika
dengan air mata dan luka ku sendiri
kembara di tanah bonda
yang mencengkam hati nurani
walau ia sudah berbelas tahun lamanya

kata mereka
ini sindrom Diana Spencer
yang melarikan diri dari luka sendiri
dalam jejak begitu sedikit demi sedikit memadam lukanya

ah! aku tak pernah peduli semua itu
kerna luka tetap luka
tidak kira seorang ibu tua
yang kehilangan anak mudanya di lorong berdarah di Gaza
mau pun perempuan itu yang cukup terparut hidupnya
dalam tawanan proksi Israel
dan dia tinggal di pinggir Kuala Lumpur cuma


Gaza oh Gaza
kau temukan daku dengannya
seorang pengembara
yang ku kira kini telah menemui jalan pulang
dan cinta kepada kemanusiaan
membawa kami bersama menghulur titis kasih
kepada mereka yang memerlukan

Gaza oh Gaza
luka mu dan luka ku
bertemu akhirnya
dan ia menjadikan aku tidak lagi penuh pertanyaan
kerna mereka yang sentiasa memberi
tidak pernah merasa kekurangan
tapi cukup sekadar kalian menerimanya begitu
buat menutup bicara dan pengertian

Gaza oh Gaza
luka kita bersatu
rupanya jejak-jejak itu
menuntut pengertian penyerahan dan penerimaan
akan takdir dan ketentuan Nya

dan di titik ini
terantuk dan tersedar lagi aku
bahawa jalan itu tak pernah mudah seperti jalan yang lurus
dan sukarnya memahami
makna tangisan seorang bayi waktu dilahirkan
yang menyedari bahwa hidup ini
adalah percaturan dan permainan Nya semata
dan siapa kita mahu menafikan
apa yang telah tercatat di loh mahfuz selama ini?

Tuhan ku
Alhamdullilah!


Rumah PENA – 2 Julai 2010.

Sunday, June 13, 2010

REVIU ANDARTU TERLAMPAU

ANDARTU TERLAMPAU: TAHNIAH UNTUK HALIZA MISBUN



Dua kali menonton filem ini penulis masih ketawa tak henti-henti dari awal hingga habis. Ini filem pertama produksi Haliza Misbun dan dia telah membuktikan dia bukan artis cantik yang pandai berlakon dan nampak hebat dalam semua sesi fotografi untuk media cetak dan letronik sahaja. Dan lebih penting lagi, melalui filem komedi romantik pertama ini Haliza membuat satu pernyataan sosial paling konkrit tentang dirinya. Bahawa adalah ok menjadi seorang andartu selagi belum berjumpa dengan orang yang benar-benar sesuai dengan dirinya untuk dikahwini. Ini suatu keyakinan peribadi dan saya tak mahu komen tentang itu.

aya yakin ramai wanita pernah atau pun berada dalam situasi Haliza melalui wataknya dalam filem ini Nik Melati Sukma. Alter ego beliau sendiri saya kira. Ini bukan kisah wanita cerewet yang memilih calon suami dan terlalu berhati-hati untuk membuat keputusan sebelum berkahwin tapi tentang berkata ya kepada manusia yang sehati sejiwa dan menerima orang itu seadanya sama seperti meminta orang lain menerima kita seadanya. Tanpa syarat, tanpa kondisi tanpa janji begitu dan begini, kerana begitulah seharusnya bila yang mahu dicari dan dibina adalah cinta, kasih sayang dan penerimaan segala-galanya tentang diri kita dan orang yang di sebelah sana.

Di zaman moden ini hanya anak patung sahaja yang boleh dikahwini kalau mau meletakkan syarat begitu dan begini. Jangan harap untuk berkahwin dengan wanita moden yang berpelajaran tinggi lulusan luar negeri dan punya karier sendiri yang rela diperlakukan seperti lembu dicucuk hidung.Kerana ianya bukan mengenai perkongsian hidup untuk membina empayar bisnes atau menjadi pasport untuk hidup senang lenang dan mendapat projek bagi anak dan cucu hingga tujuh keturunan atau berbagai lagi tujuan yang berselindung di sebalik perkataan bernama perkahwinan! Ianya mungkin sepatah perkataan tetapi ia merupakan komitmen seluruh hidup jiwa dan raga sepanjang hayat.

Dalam filem ini, segalanya diungkapkan oleh Haliza dan pengarahnya melalui filem komedi paling kelakar tahun ini. Suatu pencapaian hebat bagi sebuah produksi karya pertama saya kira. Haliza pastinya punya potensi besar untuk menjadi produser filem yang berjaya jika beliau terus kreatif memberikan kelainan dalam berkarya dan filem-filemnya tidak klise dan berani menongkah arus tanpa terlalu berlaku ofensif kepada budaya manusia disekelilingnya. Beliau hanya perlu percaya kepada dirinya sendiri kerana penulis cukup yakin Haliza tahu apa yang dimahukannya.

Bercakap tentang kreativiti dan kelainan dalam filem ini aspek perkembangan karekter watak-wataknya paling ketara dan ini merupakan kekuatannya sekaligus membawa sisi komikal yang natural tidak nampak dibuat-buat dan mampu membuat penonton tak kering gusi dari awal hingga akhir. Maimon Talib sebagai emak cukup cemerlang sebagai ibu dengan perangai pelik suka memasukkan kepala ke dalam ketuhar bila susah hati sangat melucukan. Awie sebagai Putra Aziz Al-Biruni tidak kurang hebatnya sementara Azhar Suleiman sebagai Ayob juga cukup meyakinkan. Tapi paling segar adalah Erra Fazira sebagai Markonah si pembancuh kopi yang sangat berlainan daripada semua karekter yang pernah dibawa dalam apa juga filem yang beliau bintangi sebelum ini.

Tahniah kepada penulis skrip dan pastinya pengarah telah melakukan suatu kerja cukup baik dan memahami tuntutan tugas-tugas kepengarahan yang memerlukan ketelitian dan tidak menghasilkan kerja klise atau memanfaat sesuatu yang telah dibuat oleh orang lain dan berjaya di box office. Kekuatan lakonan pelakon-pelakon handal seperti Jalalludin Hassan, Fahrin dan Haliza sendiri mempamerkan pengkaryanya cukup serius dalam kerja seninya dan ini amat membanggakan.

Filem yang mengisahkan seorang gadis yang diberi masa 3 minggu untuk menamakan calon suami di umur 34 tahun ini membawa dilemma kehidupan manusia yang amat normal dan biasa dalam masyarakat kita. Dan secara halus serta natural ia menyisipkan banyak konflik kehidupan moden yang bertembung dengan nilai-nilai tradisi yang dipamer dalam soal mencari jodoh.


CITRA SEBUAH CINTA

Mungkin dunia mu terlalu kecil buat ku
dan mau mu aku tinggal di dalamnya
seperti orang lain
dan menjadi bahagia seperti itu

maaf
kalau aku bukan begitu
mahu ku tidak pernah penting buat mu
dan tidak pernah kau tahu
sehingga kau tersedar
ada dia yang lebih mengenali dan menerima
tanpa pernah mahu mengubah ku
dan aku melihat sesuatu pada dirinya
yang tidak pernah ku ketahui
masih ujud
dalam diri seorang orang
kerna sangka ku
semua itu adalah angan zaman silam
pesan nenek dan ibu bistari
yang bercakap tentang leluhur orang budiman
sentiasa berkata tentang bakti dan jasa

maaf
kerna begitu lama mencarinya di wajah mu
aku masih tidak dapat melihatnya
dan sewaktu aku hampir putus asa
Dia menemukan ku
dengan seorang penglipur lara
pembawa citra lama
tentang bahagianya jiwa
bila kita lebih banyak memberi
dan tak pernah merasa rugi
jika tidak mengambil apa yang bukan milik kita

Tuhan ku
terima kasih kerna menemukan aku
dengan citra cinta
seorang orang seperti diri ku juga.


Kuala Lumpur – 8/6/2010.




DI MEDAN INI.

Akukah yang tidak melihat
atau engkau kah
yang tidak membenar
aku melihat mu begitu
tapi Dia punya cara
mempamer segalanya
lalu aku pun mengalih pandangan
dan waktu matanya ku tatap
baru aku tersedar
sudah lama dia di situ memerhatikan ku

Di medan ini
kita bertiga melihat tanpa perlu merenung
menyedari kehadiran tanpa perlu berada di situ
dan membiarkan Dia mencatur segalanya

Bismillahi tawwakkal Allalah.

Menara KL -13 Mei 2010.


MAAF

Mungkin hanya kata maaf
yang dapat ku ucap
kerna tidak pernah
memberi perhatian kepada mu

di titik ini
mungkin engkau perlu tau
aku lah yang bersalah
membiarkan mu di situ
untuk sekian lama
menipu diri ku sendiri
dan juga diri mu
memperguna
kata persaudaraan antara kalian
sebagai penyebab
tidak membuka pintu untuk mu

mungkin sebenarnya aku takut kepada diri ku sendiri
bukan malu kepada mu
tidak juga kerna takut kepadanya
tapi di medan ini
kerna rakusnya terjahan situasi takdir dan survival anak bangsa
Dia
mahu kita berlaku jujur
mengadap kelukaan
menimbang kewarasan
mentafsir kepayahan
memahami maknawi kata pengorbanan
menerima takdir dan ketentuan Nya

Tuhan ku
Ampun ku pinta
kufur nikmat rupanya aku
kerna pernah bertanya
apa sebenarnya rencana Mu untuk ku?

13 Jun 2010.

Sunday, May 16, 2010

KAMELIA YANG TELAH TIBA!

Kamelia

Gugusan hari-hari
Indah bersamamu
Kamelia...

Bangkitkan kembali
Rinduku mengajakmu
Ke sana

Inginku berlari
Mengejar seribu bayangmu
Kamelia...

Tak peduli kan ku terjang
Biar pun harus kutembus
Padang ilalang

1
Tiba-tiba langkahku terhenti
Sejuta wajah telah menahanku
Inginku mati mereka berkata
Tak perlu kau berlari
Mengejar impian tak pasti
Hari ini juga mimpi
Maka biarkan ia datang
Di hatimu..

DEWAN FILHARMONIK PETRONAS baru-baru ini memberikan persembahan cukup fenomenal! Ramli Sarip selama 2 malam walau pun di hari bekerja Isnin dan Selasa membawakan Papa Rock dari Singapura ini. Dan saya belum pernah melihat hampir semua penonton yang terdiri dari orang muda, 40han, 50han, 60han dan juga 70han, Melayu dan bukan Melayu, orang Malaysia dan bukan Malaysia bangun bertepuk, menyanyi bersama (sehingga di suruh berhenti oleh Ramli)lagu-lagu hit penyanyi cukup 'soulful' ini! Kata pengacara majlis Ramli Sarip bila menyanyi penuh perasaan. Terlalu hambar perkataan itu bagi saya. Sebenarnya lirik dan lagu-lagu Ramli Sarip bila dinyanyikannya disampaikan dengan seluruh jiwa raga dan kemanusiaan yang luhur dan menyentuh hati nurani setiap yang mendengar.

"Terima kasih kerana masih meminati lagu-lagu Melayu. Kerana jika anda tidak lagi meminatinya kita ada masalah besar!" Begitu usik Ramli di antara lagu-lagunya. Semoga usikan Ramli Sarip tersebar di seluruh Dunia Melayu dan setiap yang mendengarnya memikirkannya masak-masak.

Hari ini juga mimpi
maka biarkan ia datang
di hati mu....

Ya, Kamelia telah tiba untuk orang yang menunggunya. Alhamdullilah

(Reviu persembahan Ramli Sarip yang lengkap akan disiarkan dalam majalah Pentas yang akan datang.)

Sunday, May 9, 2010

Selamat Hari Ibu

SELAMAT HARI IBU

Selamat Hari Ibu diucapkan kepada semua wanita yang menjadi ibu di dunia ini. Menjadi seorang ibu meletakkan seseorang dalam keadaan yang sangat istimewa walau apa pun yang berlaku dan tidak berlaku dalam hidup ini. Dan hanya bila kita telah kehilangan seorang ibu barulah kita mengetahui tentang hangatnya kasih seorang ibu. Alfatihah untuk Arwah ibu saya Hajah Bibi Salmah Mohd.Hashim semoga sentiasa damai di sana dan dicucuri rahmat ke atas rohnya. Mak I missed you a lot!

Pun begitu, pagi-pagi lagi saya telah menghantar SMS kepada ibu tiri saya Hj. Noriah. mengucapkan Selamat Hari Ibu kepadanya. Saya mungkin mengambil masa yang lama untuk ‘warming’ kepada beliau, tetapi saya cukup menghargai usahanya yang selalu menemani saya ke kubur ibu setiap kali saya menziarahinya. Mak cik, terima kasih!

Pun begitu hari ini saya cukup tersentuh kerana seorang sahabat Lola pagi-pagi lagi menceriakan saya dengan SMS dan doa beliau yang cukup syahdu saya kira dan berbunyi begini:

“Ya Allah, wanita yang membaca sms ini adalah seorang ibu yang cantik, kuat, tabah. Kau tingkatkanlah kehidupannya dengan rezeki yang berkat, Kau rahmatilah setiap langkahnya dalam mencari rezeki keluarganya , Kau bersihkanlah hatinya, Kau kuatkanlah imannya, Kau peliharakanlah dia dari fitnah. Amin Ya Rabbul Alamin…Selamat Menyambut Hari Ibu..

Zohara Gany Batusha, terima kasih atas ucapan seindah ini dan walau pun kita tersilap hari bulan tak dapat tonton Ramli Sarip di Dewan Filharmonik malami ni, we had good time. He he.

Dan ucapan lain yang paling menyentuh datang dari LJ anak sayaL:

To the person who made me who I am today, Thanks for never giving up on me, keeping my spirit n morale high, giving me encouragement to all the things that I attempt to do(tho I fail sometimes) with your endless patience ur tender loving care , ur strong drive of success n every single thing that you are one I’m proud to Call mummy. Happy mothers Day. Ans: Sayang, thank you for all the lovely thots! Alhamdullilah.

Dari JJ anak sulung Saya: Happy Mothers Day, Mummy.
J, thank you its short and sweet but lovely thots are lovely thots!

Friday, May 7, 2010

SHUTTER ISLAND: MANIC DEPRESSION DAN KAKI PUTAR ALAM

Saya menonton filem Martin Scorcese terbaru Shutter Island di MidValley beberapa hari lalu.Dan seperti yang diduga Scorcese sentiasa tidak lari dari memberi kejutan yang classique dan hanya beliau mampu berbuat demikian. Shutter Island memaparkan kisah tragis seorang wira Perang Dunia ke 2 yang hidup dengan igauan buruk sepanjang hidupnya walau pun perang telah lama tamat. Dan perang boleh datang dalam banyak versi dan igauan buruk kehidupan juga boleh berlaku dalam banyak cara yang meninggalkan banyak kesan dalam diri manusia!

Dan hanya yang ‘ganas’ (ruthless bukan brutal) saja yang akan menang dalam menentang ‘keganasan’ dalam kehidupan ini? Suatu dilemma klasik kehidupan: Menjadi manusia yang baik tetapi sentiasa menjadi mangsa atau menjadi manusia ‘ganas’ tetapi menang dalam semua aspek dan ditakuti oleh orang lain? Begitulah sedikit sebanyak pengajaran serta realiti kehidupan yang dipaparkan dalam filem lakonan Leonardo d Caprio ini. Dan ianya menjadi suatu kerja seni cukup cantik dengan kedalaman intelektual yang memaksa kita berfikir mau menjadi baik sepanjang masa atau mempamerkan sisi ‘ganas’ seseorang bila diperlukan?

Filem ini mengisahkan manusia pengidap ‘manic depression’ yang kronik, tidak boleh dijangkakan dan menjadi ‘ganas’ pada waktu-waktunya. Tapi penyakit ini juga boleh menjadikan seseorang kaki putar alam kerana ia sukar di kesan! Seseorang yang manipulatif dan mementingkan diri sendiri mungkin menggunakan manic depression sebagai helah untuk mendapatkan perhatian orang di sekelilingnya dan memastikan dia mendapat apa yang dimahukannya.

Saya pernah mendengar kisah seorang wanita yang sakit dan tidak dapat menjalani kehidupan normal mengambil kesempatan dengan mempamerkan manic depression supaya suaminya tidak berkahwin lain. Berbelas tahun dia ‘berlakon’ begitu dan berjaya mendapat apa yang dimahukannya. Tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya berdebuk ke tanah juga! Suaminya kawin diam-diam di luar negeri dan dia yang tertipu siang malam pagi dan petang hingga ke akhir hayatnya kerana tidak mengetahui suaminya ada keluarga lain! Ini cerita politik rumah-tangga dan manusia putar alam yang bertemu buku dengan ruas. Atau Allah Taala mahu mengingatkan manusia supaya sentiasa reda dengan apa yang didatangkan oleh Nya?

Ada orang sembahyang, puasa pergi ke Mekah dll tapi mencari bomoh dan ‘sahabat’ supaya suaminya tak kawin lain. Bercakap tentang sisi ‘ganas’ manusia yang sikit pun tak nampak ganas dan sering berjaya meraih simpati orang lain tapi tidak segan silu memperlihatkan ‘ruthless’ sehingga melakukan kesyirikan supaya dia sentiasa menang. MasyaAllah! Semoga Allah memberikan petunjuk taufik dan hidayah kepada kita semua.

Monday, May 3, 2010

STOLEN GENERATION OF INDONESIA

Baru-baru ini bertempat di Rumah GAPENA ramai sahabat dan kaum-kerabat yang berkumpul untuk bertemu dan mendengar Pak Bob Sakrie Saridin bercerita tentang suka duka masyarakat Melayu-Jawa di Surinam selepas 120 tahun mereka menjadi sebahagian besar daripada masyarakat kosmopolitan Surinam (Dutch Guyana suatu ketika dulu). ‘Mencari saudara lama yang hilang’ begitulah bisik seorang sahabat kepada saya letika hampir 4 jam kami mendengar Pak Saridin bercerita dibantu dengan pertunjukan slaid tentang sejarah serta apa yang berlaku dan tidak berlaku kepada orang-orang Melayu-Jawa di Surinam semenjak 120 tahun yang lalu. Dokumentari TV 3 yang mengisahkan perjalanan novelis Malim Ghozzali PK di bumi Surinam menambahkan kesayuan ada kalanya.

Paling menyanyat hati adalah kisah mereka sinonim dengan Stolen Generation of Australia dengan kelainan yang cukup unik. Di suatu ketika mereka memohon untuk kembali ke Indonesia dan rundingan dengan pegawai-pegawai di bawah pentadbiran Presiden Suharto cukup menghampakan mereka. Syarat yang ketat dikenakan jika mereka mahu kembali iaitu mereka tidak boleh tinggal di kampung halaman mereka yang asal tetapi mesti mencari tempat baru yang tidak berpenghuni dan daerah-daerah baru di Sumatera telah dicadangkan. Pemerintah Indonesia bukan mahu berlaku kejam tetapi kepadatan penduduk di Pulau Jawa tidak membenarkan mereka diterima kembali ke kampung halaman mereka. Paling menyedihkan apabila memikirkan seseorang menjadi terasing di bumi orang lain dan tidak boleh balik ke kampung halaman sendiri..

Pun begitu, bila kita tiada pilihan, manusia akan mencari jalan keluar yang paling munasabah dan menerima apa juga ketentuan yang telah ditakdirkan. Hari ini orang Melayu-Jawa Surinam membina kekuatan dan kecermerlangan sendiri. Di kalangan mereka ada yang berjaya dalam bidang bisnes, akademik dan hari ini ada 19 orang Ahli Parlimen Surinam berketurunan Melayu-Jawa di negeri kecil Amerika Selatan ini.Seperti kata Pak Viddy D A Daery sahabat GAPENA dari Surabaya (yang dipanggil Gajah Mada oleh TS Ismail Hussin!)’ nasib mereka lebih baik dari ramai orang Indonesia sendiri.’ Kadang-kadang apa yang selama ini kita fikirkan sebagai ‘2nd best’mungkin jauh lebih baik daripada apa yang kita fikirkan sebagai pilihan terbaik dalam hidup Pak Saridin, tunggu kami datang ke Surinam nanti!

Tuesday, April 13, 2010

TAHNIAH TAN SRI ISMAIL DAN GAPENA

TAHNIAH KEPADA TAN SRI ISMAIL HUSSEIN

Tahniah saya ucapkan kepada TS Ismail Hussein Ketua 1 GAPENA kerana menerima anugerah dari Profesor Daisaku Ikeda pengasas Sokka Gakai International dua minggu yang lalu. Sewaktu beberapa orang pelawat dari Sokka Gakai Kuala Lumpur datang ke rumah GAPENA beberapa hari sebelum sambutan Tahun Baharu Cina yang lalu saya telah syak sesuatu akan berlaku. Saya berada di situ ketika mereka datang dan bertemu dengan TS Ismail Hussein.

Sememangnya anugerah itu wajar diberikan kepada beliau yang saya rasakan amat ‘selfless’, dedikasi dan tidak ada tandingannya dalam memperjuangkan isu-isu bahasa, budaya dan peradaban Melayu dengan waras dan penuh berhemah. Bagi saya TS Ismail seorang ikon yang cukup sinonim dengan gagasan besarnya yang tersurat dan tersirat dalam Dunia Melayu. Syabas Tan Sri dan terima kasih kerana memberi peluang kepada saya mengenali secara dekat dan membantu apa yang dapat saya sumbangkan untuk GAPENA dan asas perjuangannya yang sangat dekat di hati saya.

Beberapa hari lalu kami ke Sokka Gakai Malaysia (SGM) di Jalan Imbi Kuala Lumpur. Sdr. Koh Sia Fei Setiausaha Kehormatnya membawa kami makan tengahari di restoran RakuZen. Saya dan Shazlin Dt. Shaarani dari PERKASA Malaysia yang mengunjungi kami Di Rumah Gapena pagi itu sedikit pun tidak menyangka kami akan menjamu selera di restoran Jepun hari itu. Kami berdua ketawa tak henti-henti kerana tujuan kami ikut
TS Ismail Hussein hanyalah untuk meneman sambil berbual dengannya di dalam kereta. Satu perkara yang paling saya senang dengan TS Ismail ialah dia tidak akan menghampakan sesiapa juga yang bertemu dengan beliau untuk berbincang kerana jika beliau ada temujanji lain beliau akan membawa sama tetamunya untuk berbual di dalam kereta kalau perlu.Itulah sebabnya saya selalu kelihatan ‘mengekor ‘ beliau kemana saja!

Apa pun ini kali pertama anugerah Seikyo Shimbun iaitu anugerah akhbar Sokka Gakai yang berpusat di Tokyo diberikan kepada rakyat Malaysia. Anugerah ini atas jasa-jasa beliau mempromosi keamanan, kebudayaan dan kesarjanaan diperingkat individu, kekeluargaan dan komuniti selari dengan prinsip-prinsip Sokka Gakai. Pertubuhan ini mungkin merupakan sebuah organisasi agama Buddha tetapi setiap tahun mereka tidak pernah tidak mengadakan Majlis Berbuka Puasa dengan orang-orang GAPENA di bulan Ramadan.

Tahniah kepada Tan Sri Ismail Hussein Ketua 1 GAPENA yang sememangnya berhak untuk mendapat anugerah ini dan tidak ada orang yang lebih berwibawa dan berhak untuk mendapatnya selain beliau.

Monday, April 5, 2010

TAHNIAH KEPADA KJ

Baru-baru ini dalam akhbar The Star seorang pembaca menulis bahawa selepas melihat forum yang dianggotai oleh YB Khairy Jamaluddin dan YB Tony Pua di Menara The Star beliau merasakan seperti telah menyaksikan suatu peristiwa bersejarah yang akan diingatinya untuk suatu waktu yang lama. Dia tidak tahu mengapa berasa begitu, tapi satu hari esok saya yakin dia akan dapat jawapannya.

Apa pun, Saya menghantar SMS kepada YB KJ kerana berdebat dengan YB DS Anwar Ibrahim tentang APCO dan 1 Malaysia di Parlimen. Saya ucapkan tahniah kepadanya kerana memberi 'reality check' kepada DS Anwar tentang di mana beliau berada. Mungkin kerana terlalu terbawa-bawa dengan kebiasaan membawa cerita bohong, fitnah dll di ceramah politik dan kempen pilihanraya, beliau lupa di Parlimen bukan tempatnya untuk berbohong dan membuat fitnah.Dan rasanya ada harga mahal yang perlu dibayar oleh DS Anwar Ibrahim selepas ini.

Tahniah Bro! You are doing fine. You make Kak Long feels good.You aint heavy you are my brother! Tq.

Wednesday, March 24, 2010

KEBERANGKATAN PULANG

(Untuk:Anakanda Ayu, Najwa, Hidayah dan Nina)


Tiba-tiba
kita jadi dua manusia asing
dan aku hampir
tak mengenali mu
di sebalik topeng hayat itu
dan sempat ku sapa
sepasang mata yang lesu
di pucat wajah mu
walau ku pasti
Kau tidak mengetahui kehadiran ku


Nor
hari ini tamatlah derita mu
tamatlah kembara itu
di tanah gersang
di malam tak berbintang
di lembah dingin tanpa kasih sayang
dan dalam rasa berdosa itu
aku merasa lega
kerna Dia akan mnenyambut mu
di bumi Syuhada
Al-fatihah.

Ipoh- 20 Mac 2010.

SEORANG BAPA

Semakin bapa menjadi tua
semakin dekat aku kepadanya
dan dalam saat-saat sukar ini
aku masih melihat ia
seperti bapa ku 40 tahun lalu
yang sentiasa memandu

Bongkok belakangnya
kadang-kadang membuat aku tertanya
itukah tubuh
yang membawa ku di atas belakang
sewaktu mendaki Gunung Engku Bongsu
di belakang rumah kami
sedang
ibu melempar pandang penuh cemas
dengan suara nyaring
menyuruh berhenti
kerna kata ibu
aku anak perempuan
harus juga belajar masak, jahit dan menjaga adik

bapa tak pernah peduli
jelingan tajam mau pun nyaring suara ibu
kerna dia percaya
anak perempuan juga harus kuat, tabah dan bijak
pandai menjaga diri
di tepi jalan
maupun di dalam hutan

Ah! Bapa menang akhirnya
kerna kalau tidak
ilmu yang diajarkan
sewaktu mendaki Gunung Engku Bongsu
aku tidak akan di sini
pasti telah lama tergelincir
atau menjadi korban
kerakusan di belantara kehidupan

terima kasih bapa
kerna dalam usia mu begini
kau masih mengajar ku tentang kesabaran dan kerapuhan
tentang makna kasih sayang
seorang bapa kepada anaknya
yang sedia menerima aku seadanya.

Ipoh - 18 Mac 2010.

Thursday, March 11, 2010

WACANA 153

GAPENA (GABUNGAN PENULIS NASIONAL) DENGAN GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung) akan mengadakan majlis wacana ilmu mengenai Artikel 153 Hak Istimewa Orang-Ortang Melayu seperti berikut:

NAMA; WACANA 153
TEMPAT: Kompleks Sukan,
Universiti Institut Teknologi Mara
Shah Alam.
TARIKH: 15 hb Mac 2010
WAKTU: 8.00 pagi-1 tengahari.
ATURCARA:

8.30 pagi Perasmian oleh Naib Canselor UITM Prof. Dato Shahol Hamid.

- Ucaptama bertajuk SEJARAH DAN CABARAN TERHADAP 153 oleh
Prof Dato Abd.Latif Bakar Ketua 2 GAPENA.

- Forum bertajuk JURANG PEMBANGUNAN DAN KEWAJIPAN MELAKSANAKAN 153.
Ahli Panel: Prof Dato Abd. Halim Sidek - UITM

Prof Dato Ramlah Adam - UITM

Prof Dato Muhammad Abu Bakar- UM.

Moderator: Dato A. Aziz Deraman.

Rumusan dan Penutup: Tan Sri Profesor Emeritus Ismail Hussein Ketua 1 GAPENA.

Semua NGO Melayu dan orang perseorangan yang berminat di jemput hadir dan masuk adalah percuma.Tempat terhad.

Tuesday, March 9, 2010

AKHIRNYA HOLLYWOOD MENGIKTIRAF WANITA

Kathryn Bigelow akhirnya menjadi pengarah filem wanita Hollywood pertama yang dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik apabila filem bajet rendahnya The Hurt Locker menang di Anugerah Akademi ke 82 sebagai filem terbaik. Hanya selepas 82 tahun, barulah muncul pengarah filem wanita dengan pengiktirafan paling berprestij bagi industri filem dunia paling berpengaruh, paling besar dan paling mahal. Ironinya ialah Amerika dan Hollywood yang selama ini menjadi pelopor trend kehidupan baru dan menolak tepi segala konvensi dan norma masyarakat di seluruh dunia pun baru sekarang menobatkan seorang wanita sebagai Pengarah Terbaiknya dengan filem yang berbajet rendah pulak tu! Siapa kata mereka cukup ‘liberated’, cukup moden dan pengamal hak asasi paling ideal dan adil di dunia?

Puak-puak liberal yang tidak pernah lekang dari bercakap tentang hak asasi manusia perlu membuka mata mereka luas-luas dan memahami segala ‘subteks’ yang terkandung di dalamnya. Ada sesiapa mahu bercakap tentang hipokrasi Barat? Ada sesiapa mahu bercakap kenapa hanya selepas lebih 230 tahun merdeka Amerika Syarikat yang mendukung Doktrin Monroe yang menjanjikan ‘Kebebasan bercakap, kebebasan bertindak, kebebasan bergerak dan kebebasan berfikir’ sebagai asasnya mengambil masa begitu lama untuk mengiktiraf rakyatnya dari keturunan Afrika sebagai Presiden?

Lebih aneh lagi, Kathryn mengalahkan filem termahal dan terlaris dalam sejarah iaitu Avatar yang dibuat dengan segala kecanggihan teknologi dan CGI yang ditangani bekas suami Kathryn sendiri iaitu James Cameron. 10 tahun lalu, sewaktu filem Cameron ‘Titanic’ muncul sebagai filem terbaik dengan menggondol 7 anugerah seorang kawan (saya tak ingat siapa mungkin Wahab Hamzah) berkata kepada saya, selepas ini, filem-filem yang akan menang di Anugerah Akademi mesti berbajet besar,dengan kecanggihan teknologi dan CGI. Tapi saya berkata kepada beliau, saya yakin ini adalah suatu trend untuk suatu ketika sahaja. Kerana filem mesti mengenai kreativiti dan seni yang dihasilkan oleh manusia tentang manusia dan bukan tentang teknologi dan segala kecanggihannya.

Filem The Hurt Locker karya Kathryn Bigelow membuktikan segala-galanya. Saya selalu yakin, manusia akhirnya akan kembali kepada fitrah manusiawinya dan mengutamakan pemameran diri manusia dengan segala kompleksiti perangai, psiki, jiwa dan hati nuraninya. Hollywood mungkin telah muak dengan segala hipokrasi dan segala eksprimennya dengan trend terbaru kehidupan dan mahu kembali kepada fitrah manusia yang tetap manusia di mana juga mereka berada! Tahniah kepada Kathryn Bigelow dan tahniah juga kepada Hollywood!


SEBUAH FILEM TENTANG KUNG FU TZE

Sedang ditayangkan sekarang di pawagam tempatan ialah filem bertajuk Confucious. Ianya mengenai kehidupan Kung Fu Tze pendeta dari Negeri Lu di China lama dulu. Dibintangi oleh Chow Yun Fatt dan diarahkan oleh Hu Wei, filem ini menceritakan tentang kehidupan dan jatuh bangun Kung Fu Tze di dalam hidupnya.

Tercatat sebagai salah seorang manusia paling berpengaruh dalam sejarah selepas Nabi Muhammad SAW, Jesus Christ, Alexander, Kung Fu Tze hidup di China sebelum negara itu disatukan oleh Shih Huang Ti dari segi politiknya. Tetapi semasa Kung Fu Tze hidup, China berada dalam keadaan huru-hara dan peperangan antara negeri-negeri yang berjiran adalah suatu kebiasaan. Kung Fu Tze berguru dengan Lao Tze yang juga cukup tekenal dalam budaya orang China. Tetapi Kung Fu Tze dengan segala kebijaksanaanya menjadikan Negeri Lu sebuah negeri yang kuat dan berpengaruh tanpa perlu berperang dan menumpahkan darah. Paling penting, segala ajaran Kung Fu Tze kekal hingga ke hari ini menjadi ikutan dan prinsip kehidupan penting ramai orang China dan diangkat hampir seperti status agama walau pun Kung Fu Tze tidak pernah melihatnya begitu.

Antara ajaran Kung Fu Tze yang paling penting ialah konsepnya tentang kemanusiaan atau dipanggil ‘Ren’ dalam Bahasa Mandarin. Dalam apa yang diterjemahkankan sebagai
‘Teori Pembetulan Nama’ (Theory of Rectification of Names) Kung Fu Tze mengatakan kestabilan dan keamanan hidup manusia hanya terjadi apabila semua orang hidup dan menjalankan peranan masing-masing mengikut kedudukan mereka. Seorang Raja mesti berkelakuan dan berfungsi seperti seorang raja. Seorang bapa mesti berkelakuan dan berfungsi sebagai seorang bapa dan begitulah seterusnya. Sekiranya prinsip serta peraturan ini dicabuli, bukan sahaja unit keluarga yang akan bermasalah, tetapi akhirnya seluruh negara akan kacau bilau. Inilah peraturan sosial paling integral dalam ajaran Kung Fu Tze yang kekal hingga kini. Ada banyak kebijaksanaan dalam pemikiran Kung Fu Tze yang perlu direnung oleh manusia. Sebab itulah Hadis Nabi ada berkata ‘ tuntutlah ilmu hingga ke negeri China.’

Filem ini ditangani dengan baik dengan sinematografi yang cukup hebat dan adegan-adegan yang cukup menyanyat hati dalam kehidupan Kung Fu Tze dengan murid-muridnya. Dan ia hanya tambah meyakinkan saya bahawa dalam hidup ini, kesetiaan antara murid dengan gurunya adalah yang paling tinggi dan tidak boleh ditandingi. Antara raja dan rakyat pengkhianatan sering berlaku , antara suami isteri juga begitu, tetapi antara seorang guru dengan muridnya adalah sesuatu yang jarang berlaku. Seorang murid sanggup berbuat apa saja untuk menyelamatkan tulisan,ajaran dan prinsip kehidupan yang diajarkan oleh gurunya walau pun guru itu sudah jatuh dan tidak berpengaruh lagi. Malah setelah kematian dan ketiadaan seseorang guru itu pun, murid-muridnya tidak akan mengkhianati ajarannya.

Sunday, March 7, 2010

SETELAH MENONTON RESIDENCY YEARS

Minggu lalu saya menerima emel dari Mansor Putih. “Jangan lupa tonton my doko – 7hb.Mac RTM 10.mlm. I’m going to UK esok’. Pendek saja emel beliau macam selalu. Dan saya membalasnya pun pendek juga. ‘Mansor, tq for info. Will watch it InsyaAllah..” Sebelum itu Mansor ada beritau saya Cambridge University tawarkan tempat untuk buat PHD berasaskan dokumentari beliau The Residency Years. Saya mengucapkan tahniah kepadanya. Entah kenapa beberapa kali saya sepatutnya telah menonton dokumentari Mansor lebih awal sebelum bising-bising tentangnya tercetus. Tapi ada saja halangannya. Yang terakhir ialah pada hari Arwah Anuar Arai masuk hospital sebelum meninggal dunia dan saya dah siap nak pergi ke ASWARA pada hari itu dari rumah GAPENA. Tapi setelah menontonnya saya memahami kenapa begitu banyak aral yang melintang. Allah Taala mengetahui segalanya.Yang patut berlaku dahulu akan didahulukan, dan yang patut berlaku kemudian akan dikemudiankan oleh Nya. Alhamdullilah!

Apa pun, tahniah sekali lagi Mansor. Dokumentari anda sangat candid, fluid tidak konvensional dan berlainan daripada dokumentari kita yang kita kenali selama ini. Pun begitu, ia bukanlah yang pertama di dunia sebab ramai orang lain dah membuatnya begitu, walau pun kita baru melihatnya sekarang di negara ini. Dan saya gembira Mansor Putih orang yang pertama membuatnya di Malaysia dengan subjek yang amat saya senangi iaitu Tunku Abdul Rahman Perdana Menteri Malaysia Pertama.

Lama dulu ( tahun 1987) saya pernah membawa Mansor berjumpa beberapa orang kenalan rapat untuk cuba mengusahakan dana untuk membolehkannya membuat pameran gambar-gambar Tunku Abdul Rahman yang berada dalam simpanan abang iparnya Syed Abdullah.Masa itu mereka tinggal di Taman Saraya Cheras dan Mansor baru menjalani pembedahan lututnya dan memakai crutches bila berjalan. Mansor juga mahu menulis buku berdasarkan gambar-gambar tersebut kemudiannya dan dalam salah satu perbualan kami memang timbul cerita membuat dokumentari tentang Bapa Kemerdekaan kita itu. Alhamdullilah Tuhan makbulkan permintaan sahabat yang bergaduh 40 kali setahun dan baik 40 kali setahun dengan saya ini. My friend I’m happy for you!

Tentang dokumentarinya pulak ada juga kami bergaduh. Beberapa bulan lalu semasa iannya masih diperingkat pasca produksi, saya cadangkan tajuknya dalam Bahasa Malaysia sepatutnya menjadi ‘Tahun-Tahun di Residensi’ kerana begitulah terjemahannya yang betul. Tetapi kata Mansor dia lebih suka ‘Bertahun di Residensi’. Ini filem anda Mansor, jadi ikut sukalah. Apa pun, dokumentari ini mempamer
Tunku Abdul Rahman sebagai seorang manusia biasa dalam suasana dan senario cukup santai, bersama ahli keluarganya serta saya yakin tidak ramai orang di negara ini yang telah melihatnya. Banyak gambar foto yang telah diletakkan dalam dokumentari ini telah saya lihat dalam tahun 1987 dulu. Dan melihatnya semula malam tadi mengembalikan banyak nostalgia kepada saya.

Segala-galanya tentang The Residency Years Mansor Putih membuat saya berfikir banyak perkara tentang banyak perkara! Mansor, Terima Kasih untuk banyak perkara.

Tuesday, March 2, 2010

GILIRAN SYAFIAH HUMAIRAH PULA!

Seorang lagi anak kecil menjadi mangsa penderaan hingga membawa maut! Kes adik Sharlinie hampir dua tahun lalu dan yang lain-lain hingga ke hari ini masih belum selesai. Sewaktu mayat Sharlinie ditemui dalam keadaan yang amat sukar digambarkan Menteri Pembangunan Wanita Dato Seri Shahrizat mengeluarkan kenyataan ‘ Kita tidak akan biarkan kejadian seperti ini berlaku lagi.’ Begitulah lebih kurang bunyinya! Belum pun beralih hari kata orang kampung saya, jadi lagi macam tu juga. Seorang kanak-kanak perempuan mati selepas menjadi mangsa penderaan fizikal dengan kecederaan teruk yang sukar difikirkan boleh dilakukan ke atas seorang kanak-kanak. Apa sudah jadi Dato Seri?

Sudah dua kali dilantik sebagai Menteri Pembangunan Wanita. Hanya dua tiga minggu lalu, kes-kes pembuangan bayi diumumkan cara mengatasinya. Dalam lukisan Sdr Ismail Embong yang berada di rumah GAPENA dilukis dalam tahun 1999 ada terlukis gambar bayi dibuang dalam tong sampah dan Tan Sri Zaleha Ismail sedang mengadapnya. Kes pembuangan bayi bukannya baru-baru ini sahaja berlaku. Dan kita mengambil masa 10 tahun untuk mencari jawapan dan memikirkan cara untuk mengatasinya. Dan berbagai-bagai teori serta tanggapan dikeluarkan mengenai sebab musabab semua masalah sosial ini.

Betulkah nilai-nilai kekeluargaan kita semakin longgar? Mungkin ya mungkin tidak. Mungkin ada lebih daripada satu sebab mengapa masalah sosial begini terjadi. Tetapi seorang Menteri perlu mengeluarkan kenyataan yang lebih daripada suatu generalisasi atau suatu retorik politik yang tidak punya apa-apa jawapan kepada permasalahan yang dihadapi. Segala masalah ini perlukan penyelesaian dan bukan hanya kenyataan politik yang tidak berkesudahan!

Anehnya dalam soal-soal begini, Sisters In Islam (SIS) senyap sunyi! Cerita bayi-bayi yang dibuang pun mereka senyap. Kes penderaan fizikal, seksual dll kanak-kanak pun mereka senyap walau pun semua perkara ini melibatkan wanita. Di mana mereka sewaktu wanita memerlukan pembelaan kerana bukankah SIS berjuang untuk meninggikan martabat wanita? Martabat wanita mana yang mereka perjuangkan? Nasib baik adik-adik dalam Pemuda UMNO tu tak bising-bising pun tapi dah beberapa orang anak dara kita yang lari mengikut kekasih ke Lombok berjaya dibawa pulang!! Steady KJ you are doing fine. Let actions speak Bro!!

Dalam Mingguan Malaysia baru-baru ini Dr. Rusinah Siron menyatakan sehingga kini tiada perangkaan rasmi serta penyelidikan yang dibuat mengenai peratusan wanita yang berada dalam kedudukan pembuat dasar. Ini amat memalukan! Saya yakin banyak lagi perangkaan dan penyelidikan yang amat diperlukan mengenai wanita yang besar kemungkinannya tidak dilakukan. Ini zaman K Economy dan Nano Technology
Dato Seri. Semuanya perlukan R & D! Buat apa heboh-heboh dengan Skuad Sayang berarak ke sana ke sini tetapi bayi-bayi masih dibuang dan anak-anak kita masih tidak selamat walau pun dalam rumah sendiri? Sesungguhnya masalah sosial kita cukup rumit dan besar dan ia perlu ditangani dengan serius dan holistik. Kepada anak-anak seperti Syaifah Humairah, apa yang nak kita katakan walau pun mereka sudah tiada? Maafkan kami? Jangan sampai ada segolongan manusia yang mengatakan ‘Tiada Maaf Bagi mu Dato Seri’. Kerana ‘Sorry, No Cure!’

Sunday, February 28, 2010

Maaf atau Tiada Maaf Bagi mu?

MAAF ATAU TIADA MAAF BAGI MU?

Saya cukup tersentuh bila membaca tulisan tokoh wartawan berwibawa Tan Sri Mazlan Nordin dalam Mingguan Malaysia hari ini tentang permohonan maaf Kevin Ruud di Parlimen Australia kepada penduduk Asli atau ‘Abo’ (singkatan dari Aborogines) nama yang diberikan kepada mereka oleh penduduk kulit putih Australia. “We are sorry….for the pain, suffering and hurt.” Kata Kevin Ruud. Tanpa disedari air mata saya menitis dan saya merasa cukup sebak entah kenapa. Saya terbayang imej anak penduduk asli Australia seperti yang terakam dalam filem “Rabbit Proof Fence’ yang mengisahkan tentang ‘the stolen generation’ yang amat menyanyat hati. Anak-anak kacukan penduduk aslinya diburu, ditangkap dan dipisahkan daripada ibu mereka dalam usaha menjadikan mereka hidup seperti orang kulit putih Australia yang lain.

Hanya mereka yang melalui nasib malang di ‘hijack’ daripada ibu-bapa, saudara mara serta persekitaran hidup mereka sendiri dan dipaksa menjadi ‘orang lain’ yang kononnya lebih baik dan bertamaddun akan tahu bagaimana ertinya ‘dinafikan’ hak menjadi diri mereka sendiri! Alienasi begini mungkin nampak tidak apa-apa dari segi fizikal seseorang, tetapi kesannya kepada psikologi dan kejiwaan bukanlah sesuatu yang senang dipikul dan dilalui oleh mereka yang merasainya.

Kevin Ruud telah melakukan sesuatu yang terhormat dan amat sivil bagi pihak orang kulit Putih Australia. Dan beliau juga telah membuktikan bahawa merendah diri dan mengakui kesilapan yang telah dilakukan walau pun oleh orang lain daripada puak kita adalah sesuatu yang amat ‘noble’ dan membanggakan. Kerendahan hati seseorang tidak memerlukan apa-apa melainkan kesedaran kalau kita sudah tersilap sehingga membuatkan orang lain menderita dan sengsara siapa pun kita, harus memohon ampun dan maaf kepada mereka yang telah disakiti. Dan hanya orang yang jujur, rendah hati dan tidak ada sedikit pun ‘arrrogance’ dalam diri mereka yang mampu berbuat demikian. Tapi kepada mereka yang sombong dengan arrogance yang tidak sedikit yang mempamerkan kekurangan keimanan yang tidak tahu memohon maaf kepada orang yang telah menjadi mangsa mereka., mungkin Tiada maaf bagi mu adalah sesuatu yang patut dilontarkan kepada mereka!

Kevin Ruud, apa selepas apologi? Kata orang, Sorry No Cure! Dah bunuh orang pun boleh kata ‘maaf, saya tak sengaja nak bunuh awak.’ Tapi apa jadi kepada orang yang telah terbunuh atau menderita kerana perbuatan kita?

Tuesday, February 23, 2010

GAPENA MENJADI TETAMU BEIJING.

Pada 24 Januari hingga 30 Januari yang lalu, serombongan AJK GAPENA telah dijemput menjadi tetamu Kerajaan Republik Rakyat China. Diketuai oleh Tan Sri Ismail Hussin Ketua 1 Gapena, turut serta dalam lawatan tersebut adalah Setiausaha 1 Prof.Madya Dt.Dr. Zainal Abidin Borhan, Ketua 2 Prof Madya Dr.Hashim Ismail,dan Hj. Abd.Rahim Abdullah.Turut serta adalah Badan Kerabat dari Perak iaitu LEPAS yang diwakili oleh ketuanya Toh Maharaja Indera Dato Haji Khairuddin Arshad yang telah menulis catatan harian perjalanan mereka yang amat menarik dan detail sekali.Rombongan GAPENA menjadi tetamu kepada The Chinese People Association for Friendship with Foreign Countries (CPAFFC).

Lawatan AJK GAPENA bermula dengan sehari di Guangzhou bandar ketiga terbesar di China.Di sini mereka dibawa bertemu dengan Timbalan Presiden Persatuan Penulis Wilayah Guangdong dengan beberapa orang penulis terkenal dari bandar ini termasuk seorang penulis terkenal wanita yang dikenali dengan nama Aryun yang merupakan seorang 'National First Grade Writer' yang tarafnya seperti Sasterawan Negara di Malaysia.

Destinasi berikutnya adalah bandar Quanzhou di mana rombongan GAPENA diraikan oleh Persatuan Persahabatan Quanzhou.Dari situ mereka dibawa dengan bas ke Jinjiang yang merupakan tempat asal datuk nenek Jose Rizal pejuang awal pembebasan Filipina di bawah pertubuhan Katipunan yang diasaskannya.Kampung asal datuk nenek Rizal bertempat di Sinque .Rombongan GAPENA disambut oleh pemimpin tempatan yang menceritakan asal usul keturunan Jose Rizal yang bermula daripada seorang pedagang abad ke 17 Cua Yi Lam atau nama Filipinonya Domingo Lam. Sesuatu yang amat menarik saya kira bila mendengar Tan Sri Ismail menceritakannya kepada saya dan mengingatkan saya kepada watak Jose Rizal yang merupakan seorang yang hebat dan serba boleh tetapi tidak panjang umurnya apabila dijatuhkan hukuman tembak sampai mati oleh penjajah Sepanyol di umur 35 tahun pada 30 Disember 1896. Rombongan GAPENA dibawa melawat rumah asal moyang Rizal yang sewaktu hidupnya mendapat berbagai gelaran seperti' Kebanggaan Bangsa Melayu', Filipino Utama serta Insan Terhebat Di Kalangan Bangsa Berkulit Sawo Matang'. GAPENA dalam usahanya mencari susur galur Melayu dan diasporanya telah menemui satu lagi 'permata' Melayu yang tidak begitu diketahui selama ini.

Seterusnya rombongan GAPENA melawat Xiamen,dan di Universiti Xiamen mereka disambut dan diberitahu kali terakhir penulis dari Malaysia datang ke situ adalah 9 tahun lalu iaitu Persatuan Penulis Cina Malaysia.Banyak perbincangan ilmiah dan kerjasama yang telah dibuat dengan pihak berwajib Universiti ini. Seterusnya mereka ke Guilin dan diraikan oleh Persatuan Persahabatan Bandaraya Guilin.

Bandar terakhir yang mereka lawati ialah Pangkalan Zhujian iaitu sebuah bandar peranginan di tepi Sungai Li dengan pemandangan yang menakjubkan mengikut catatan Dt. Khairuddin. Rombongan GAPENA meninggalkan Lapangan Terbang Guilin ke Kuala Lumpur pada 31 Januari 2010.

Tuesday, February 16, 2010

KERJASAMA GAPENA-KARYAWAN FILEM.

Baru-baru ini GAPENA dan Karyawan Filem bertemu lagi dan membincangkan kerjasama. Dalam suasana paling santai di Restoran Tupai-Tupai yang semakin menjadi 'port' kami, saya dan Tan Sri Ismail Hussein bertemu dengan sahabat-sahabat dari Badan Gabungan NGO dengan 'bintang'mereka Sdr Mohd Jurit dan Ustaz Zu.Mereka di susuli oleh Sdr. Jais dari GPMS dan akhirnya kumpulan kami disertai oleh bintang-bintang sebenar dunia filem kita. Datin Paduka Shuhaimi Baba, Dato Ahmad Tamimi Siregar, Sdr Harun Salim Bachik Presiden SENIMAN, Sdr. Yusof Kelana dan juga Sdr. Jurey Latif dari PTVM hadir bersama.

Dan seperti biasa, suasana santai begini boleh menjadi tidak begitu santai dalam isu dan perkara yang dibincangkan. Kami bercakap tentang kerjasama dalam memartabatkan Bahasa Kebangsaan melalui filem dan program televisyen. Sinergi ini amat perlu dan penting sekali kerana tidak ada perjuangan memartabatkan Bahasa Kebangsaan yang boleh dan harus dipikul oleh pejuang bahasa sahaja tanpa melibatkan industri kreatif dan seni yang amat bersangkutan. Seorang teman di GAPENA berbisik kepada saya 'kenapa selama ini kita tidak buat kerjasama ini?' Wallahualam Bisawab jawab saya. Apa pun saya cukup bahagia kerana ramai yang sudah terpanggil dan menyedari akan keperluan ini dan iannya maha penting!!

HARI PEJUANG BAHASA 152

Pada 14hb Febuari dan 15hb Febuari yang lalu kerabat GAPENA dan pejuang Bahasa berkampung lagi. Kami meraikan Hari Pejuang Bahasa 152 yang kali ini disertai oleh Dewan Bahasa dan Pustaka serta beberapa NGO Melayu. Adik-adik dari Persatuan Silat Sendeng pun ada dan ianya mencetuskan sesuatu yang amat emotif sifatnya kepada saya. Tahun lalu pada tarikh yang sama kami mengadakan majlis Ratip dan Ratap Bangsa. Kemuncaknya kami membuat laporan polis mengenai PPSMI. Berkat ratip dan ratap serta kawan-kawan yang terpaksa menelan gas pemedih mata, PPSMI dibatalkan.

Tahun ini semangat kami lebih tinggi.Pada petang 14hb. Febuari, rumah GAPENA dipenuhi oleh ramai kerabat dan sahabat yang turut serta dalam majlis tahlil yang kami adakan khas untuk mengingati arwah semua pejuang bahasa yang telah tiada.Biarlah kami yang mengingati mereka.Dibandingkan dengan tahun lalu, kehadiran kali ini lebih ramai. Malah golongan muda dan remaja juga turut sama membaca yassin dan sembahyang berjemaah.YBhg. Dato Termuzi Ketua Pengarah DBP pun turut serta bersama kami. Saya cukup terharu sewaktu melihat beliau beratur untuk menyenduk nasi dan masak lemak ikan kering. Allahyarhamah isteri Dato Termuzi yang saya panggil Kak Azimah sering menjamu kami makan di rumahnya sewaktu saya masih bertugas sebagai pensyarah di Istitut Bahasa lebih 10 tahun lalu.Alfatihah untuk beliau.

Saya selalu yakin keikhlasan dan kejujuran dapat dihidu beratus kilometer jauhnya, sama seperti manipulasi, eksploitasi ketidak-jujuran dll perkara kurang murni dan suci akhirnya akan diketahui juga walau selicik mana pun 'grandmaster'nya menjalankan modus operandi! Jika kebenaran yang kita cari, kebenaranlah yang akan kita temui sama seperti jika penipuan dan kepalsuan yang kita berikan penipuan dan kepalsuanlah yang akan kita terima.Apa pun begitulah yang saya rasai. Selepas selesai majlis membaca yassin kami melepak di 'port' Sdr.Ismail Embong di belakang rumah GAPENA. Sambil berbual dengan beliau tentang 'soal-soal negara' dan penulis skrip Sdr Anwar Idris yang kebetulan adalah sepupunya, saya semakin yakin bahawa segala yang berlaku banyak hikmahnya. Alhamdullilah.

Tuesday, January 26, 2010

Elia Suleiman dan Filem Palestin

Baru-baru ini Astro menayangkan program di Aljazeera tentang pelakon dan pengarah filem Elia Suleiman dari Palestin. Program Masterclass dengan Elia Suleiman ini adalah sempena Festival Filem di Doha. Sehingga hari ini saya tidak yakin ramai orang Malaysia maupun kalangan masyarakat filem kita yang telah mendengar tentang Elia Suleiman yang pada pendapat saya seorang seniman tulin yang membuat filem-filem cantik dengan cas dan pernyataan politik yang sangat tinggi dari bumi berdarah tanah kelahirannya. Malang bagi Elia tetapi lebih malang bagi orang Malaysia yang rata-ratanya punya simpati cukup tinggi terhadap apa-apa juga mengenai Palestin.

Saya sempat membebel tentang perkara begini kepada beberapa orang sahabat rapat di media. Siapa pun tak kata apa kerana mungkin mereka pun tidak tahu tentang Elia Suleiman yang mengarah filem sejak tahun 2002. Saya tidak menyalahkan sesiapa tentang perkara ini, tetapi cukup berterima kasih kepada AlJazeera kerana menyiarkan program ini. Di FINAS baru-baru ini, saya sempat berbual dengan beberapa orang teman dan mencadangkan KLIFF atau FINAS sendiri menjemput Elia Suleiman ke Malaysia dan menayangkan filem-filemnya supaya kita tidak ketingglan zaman dan tidak menyedari kehadiran pembikin filem dari Palestin yang cukup artistik,konseptual,dengan kedalaman intelektual yang tidak sedikit, filosofikal dan padat dengan pernyataan politik tentang Palestin.

Saya kagumi segala usaha rakyat Malaysia menyokong, membantu dan antara mereka yang berada di barisan depan memperjuangkan isu Palestin,jadi tambah kayakan lagi jiwa dan minda kita dengan membawa filem-filem Elia Suleiman ke sini. Kita berforum,berseminar, berpuisi dan sahabat saya Dt.Ahmad Talib dengan Yayasan Salam nya sampai pergi ke Gaza untuk melakukan yang terdaya untuk Palestin, apa salahnya Dato Rais Yatim kalau kita sertakan juga filem-filem Elia Suleiman dalam KL Film Festival (KLIFF)nanti?

Wednesday, January 20, 2010

Mana Setangginya di RTM

Hari Ahad lalu, RTM 1 menyiarkan rakaman Teater Mana Setangginya yang dipentaskan di Istana Budaya tahun lalu. Tahniah diucapkan kepada RTM kerana karya hebat Sasterawan Negara Dato Nordin Hassan ini dapat ditonton oleh seluruh peminat teater dan rakyat Malaysia di seluruh negara. Teater ini mungkin memerlukan tumpuan dan pemikiran yang mendalam untuk memahaminya dan mungkin ada yang merasa ‘terencat akal’ untuk menghadamnya. Tetapi mereka yang biasa dan suka kepada karya-karya sastera serta seni di peringkat tinggi mungkin tidak akan beralih kepada genre yang lain setelah ‘mengenali’ karya sebegini.


Saya ada pengalaman peribadi yang mahu dikongsi dengan sekelian pembaca blog saya. Anak bongsu saya LJ berumur 26 tahun dan lulusan Universiti Malaya dalam bidang Sains Sukan dan bertugas sebagai seorang ‘Personal Trainer’ di sebuah Pusat Kecergasan. Tetapi beliau juga seorang penulis lirik (rhyme) dalam Bahasa Inggeris. Ramai yang membaca rhyme beliau sering menyangka tulisannya adalah daripada seorang yang jauh lebih tua. Sebabnya? Idea serta pemikiran beliau jauh lebih tinggi daripada usianya yang sebenar. Rhyme tulisannya sering di baca oleh Miss Nina dari Kumpulan Teh Tarik Crew di Radio suatu ketika dahulu.


Anak saya tidak begitu rajin membaca tetapi pengkayaan minda dan jiwanya sejak kecil adalah melalui menonton filem, teater, muzik dll. Sejak berumur 4 tahun saya sering membawa beliau menonton teater dan filem arahan Akira Kurosawa dll. ‘Masters’ dalam filem dan teater. Seterusnya LJ membesar dengan muzik hip-hop Tupac Shakur, Kanye West, Talib Kweli dll penulis lirik Amerika-Afrika . Dan beliau peminat setia serta rapat dengan beberapa orang penyanyi indie tempatan yang punya kekuatan sendiri dalam penulisan lirik mereka. Pengaruh serta pemikiran seniman serta pengkarya begini begitu tebal dalam minda serta penulisan rhyme LJ yang ramai merasakan ada kedalaman intelektual yang tidak sedikit di dalamnya, cukup filosofikal dan cukup tinggi pemikirannya. .


Saya tidak pernah memaksa beliau menulis rhyme atau apa juga tetapi menggalakkannya secara natural. Kata pepatah kita ‘ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?’ Pepatah Inggeris menamakannya ‘Chip of the old block’ agaknya.. Itu yang dapat saya rasakan, walau pun sewaktu berumur 17 tahun beliau pernah marah kepada dirinya sendiri kerana tidak tahu dan tidak gembira bila menonton filem-filem biasa seperti yang ditonton oleh rakan sebayanya. LJ sering berkata kepada saya dia rasa seperti membuang masa dan tenaganya menonton filem James Bond dll yang dipanggilnya filem bodoh! Suatu ketika saya pernah berasa bersalah kerana LJ tidak tahu melepak macam remaja lain dan sentiasa ada yang nak ditulisnya. Dan ketika di Tahun Pertama di universiti dia sering diketawkan oleh rakan-rakannya kerana tak ada masa nak mengorat pun! Abang-abang senior LJ sering mengajaknya duduk-duduk dan tidak terlalu memikirkan perkara-perkara serius dalam kehidupan! Dan lebih malang, bila mengorat gadis yang sebaya umur dengannya mereka selalunya takut nak mendekatinya kerana percaya LJ terlalu tua untuk mereka. Malah ada yang memikirkan dia sudah punya isteri dan anak! Kesian kepada anak saya.


Apa yang nak saya katakana di sini ialah pemikiran tinggi yang punya kedalaman intelekual hanya lahir jika bahan yang disajikan kepada khalayak juga mempunyai pemikiran tinggi, filosofikal dan tidak bercakap tentang isu serta idea remeh dan kecil. Mungkin tidak semua orang akan berfikiran tinggi serta intelektual di seluruh negara hasil daripada menikmati karya-karya begini, tetapi apakah sesuatu yang wajar meneruskan penghasilan karya dan pemamerannya di TV kita dengan karya yang tidak membina ketamaddunan sesuatu bangsa?

Sunday, January 3, 2010

SALAM PUISI 2010

NOKTAH ITU

Ku noktah engkau di titik itu
bukan kerna aku bosan
tapi kerna aku kurang yakin
engkau wujud di sukma ku
sama seperti aku kurang yakin
engkau pernah wujud di kamus hidup ku

lelaki itu ada kalanya
seperti seekor keldai
tenggelam dalam rengek dungunya
tidak dapat membaca
maknawi kasturi
yang ditabur di kakinya
bukan kerna telapaknya teramat mulia
tapi kerna hanyir egonya
ku tutupi
dengan siraman wangian

rupanya ia kurang arif menelaah
bahawa rendah hati seorang perempuan
cukup wangi buat menyirami jiwanya
penuh dendam
penuh kelam
penuh debu dan daki kehidupan
dan aku tidak mahu melihatnya
tenggelam dalam tasik hitam
hati budi seorang pendendam.

Istana Budaya – Oktober 2009.


RAWANA

Rupanya nyawa Rawana
terletak di kepalanya yang ketujuh
dan hanya Sugirva si raja monyet
yang mengetahuinya


lalu bila dipanah oleh Sri Rama
matilah Rawana
walau sewaktu pertapaan
gurunya telah berjanji
dia tidak akan mati sampai bila-bila
dan kerna terlalu yakin
umurnya yang panjang
dipenuhi dengan kerakusan kepada kuasa
kezaliman dan keangkuhan
kerna ia berkepala sembilan

Ah!
beruntung rupanya Sri Rama
punya sahabat si raja monyet
yang banyak mengenggam rahsia
pertahanan Langkapuri
dan nyawa Rawana!

Dewan Philharmonik Petronas – 19/12/2009.


SITA DAN SEORANG GADIS KECIL

Sahabat
kenapa tidak kau ceritakan
tentang Sita
yang terpaksa terjun ke dalam api
untuk membuktikan kesuciannya?

Ceritera itu
menyobek sudut hati ku
kerna satu ketika
aku juga seperti dia
yang terpaksa terjun dalam marak fitnah
bertahun lamanya
untuk membuktikan maruah dan harga diri
yang hampir meragut kewarasan
sedang segalanya tidak lebih daripada
tragedi bodoh
seorang lelaki buruk
yang memerlukan perisai besi
buat menutup calar egonya
kerna tidak dipedulikan



mujur ada seorang gadis comel berambut perang
sewaktu mendongak dan mencium tangan
perlahan-lahan menyedarkan aku
sebenarnya Sita sudah cukup suci
tapi Rama lah yang kelabu dalam keraguan
disihir seorang permaisuri tua
yang bertakhta di atas kerusi roda.


Rumah GAPENA – 31/12/2009.

Saturday, January 2, 2010

THE BODYGUARD AND THE ASASSINS.

Sejak 2 tahun lalu hanya beberapa filem yang benar-benar menyentuh hati nurani saya selepas menontonnya dan masih saya fikirkan dari masa ke semasa. Selain daripada The Kite Runner yang cukup cantik, menyentuh perasaan dan mengembalikan kewarasan serta kemanusiaan daripada peperangan panjang di Afghanistan (dan peperangan boleh datang dalam banyak versi) saya rasa filem arahan Teddy Chen The Bodyguard and The Asassins adalah satu lagi filem yang akan saya fikirkan untuk suatu masa yang panjang.

Saya peminat setia filem-filem Zhang Yimou dan Chen Kaige dari Tanah Besar China dan sering merasakan kedua orang ini adalah ‘master’ pembikin filem masa kini dengan kerja-kerja mereka yang cukup halus, penuh seni dan artistik dan sukar ditandingi di seluruh dunia. Pada pendapat saya filem-filem dari studio Hong Kong maupun Taiwan. dari pengarah seperti John Woo serta Ang Lee masih tidak dapat menandingi kerja-kerja Zhang Yimou dan Chen Kaige. Pun begitu, Teddy Chen dari studio Hong Kong semakin menghampiri liga yang didominasi oleh rakan-rakan mereka dari Tanah Besar China.

Dengan barisan pelakon serta bintang popular yang cukup ramai dan boleh mengalahkan barisan bintang kelab bola sepak Barcelona, Chelsea atau pun Manchester United, Bodyguard and Asassins telah ditangani dengan cukup halus dan penuh seni. Filem yang berlatar-belakangkan permulaan revolusi Dr. Sun Yat Sen yang akhirnya berjaya menumbangkan Dinasti Qing pada tahun 1905 di China mempunyai kekuatan pemikiran serta kedalaman intelektual yang cukup hebat bagi filem yang dibuat dari studio
di Hong Kong. Dan seperti filem-filem Zhang Yimou, Chen Kaige dll filem Teddy Chen cukup sopan tanpa perlu mengeksploitasi sensualiti, keganasan dll ramuan Hollywood yang semakin mencabar kewarasan kadang-kadang.

Terima kasih kepada Teddy Chen yang mengarah filem cantik ini dengan penuh kasih-sayang (terjemahan daripada perkataan passionate) serta mengambil masa hampir 16 tahun dalam pembikinan. Selepas The Red Cliff arahan John Woo yang menghampakan, saya hampir putus asa dan merasakan filem-filem Hong Kong tidak akan ke mana walaupun industri filem mereka antara yang terbesar di dunia. Tapi filem Teddy Chen mengubah persepsi tersebut dengan sekelip mata. Saya berikan sepuluh tahun lagi, saya yakin filem-filem Hong Kong dan Tanah Besar China akan menjadi saingan besar kepada Hollywood!

NATRAH

Beberapa orang teman dan peminat setia saya meminta sangat-sangat saya coretkan sedikit pendapat tentang Teater Natrah kerana puji-pujian yang melambung dari beberapa orang wartawan hiburan menjadikan mereka memerlukan sedikit bantuan daripada saya!

Teater Natrah ada momen-momen cantiknya, tetapi juga ada banyak ruang untuk diperbaiki. Saya sependapat dengan ‘Lola’ Zohara Gany Batusha yang merasakan teater ini tidak memberikan ruang ‘bernafas’ yang cukup serta ‘mencungap’ dan seperti nak dihabiskan dengan cepat. Banyak momen yang terlepas daripada menjadi cantik kerana subteksnya tidak dimanfaatkan.Segalanya menjadi begitu mekanikal dan tidak meninggalkan impak yang bagus kerana lakonan yang baik tetapi tidak meyakinkan. Saya kurang yakin analisis skrip yang ekstensif telah dibuat sebelum latihan lakonan dimulakan. Sayang sekali. Dan tambah ‘mengecilkan hati ‘ saya adalah set hebat gereja dengan salib terlalu besar yang saiznya melebihi daripada apa yang perlu. Apa yang nak dipertontonkan dalam teater ini? Seperti kata Khalid Salleh, saya setuju dengan pendapat teater ini kurang sensitif dengan persekitaran dan masalah assault demi assault yang ditujukan kepada Melayu dan Islam di negara ini.