Kathryn Bigelow akhirnya menjadi pengarah filem wanita Hollywood pertama yang dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik apabila filem bajet rendahnya The Hurt Locker menang di Anugerah Akademi ke 82 sebagai filem terbaik. Hanya selepas 82 tahun, barulah muncul pengarah filem wanita dengan pengiktirafan paling berprestij bagi industri filem dunia paling berpengaruh, paling besar dan paling mahal. Ironinya ialah Amerika dan Hollywood yang selama ini menjadi pelopor trend kehidupan baru dan menolak tepi segala konvensi dan norma masyarakat di seluruh dunia pun baru sekarang menobatkan seorang wanita sebagai Pengarah Terbaiknya dengan filem yang berbajet rendah pulak tu! Siapa kata mereka cukup ‘liberated’, cukup moden dan pengamal hak asasi paling ideal dan adil di dunia?
Puak-puak liberal yang tidak pernah lekang dari bercakap tentang hak asasi manusia perlu membuka mata mereka luas-luas dan memahami segala ‘subteks’ yang terkandung di dalamnya. Ada sesiapa mahu bercakap tentang hipokrasi Barat? Ada sesiapa mahu bercakap kenapa hanya selepas lebih 230 tahun merdeka Amerika Syarikat yang mendukung Doktrin Monroe yang menjanjikan ‘Kebebasan bercakap, kebebasan bertindak, kebebasan bergerak dan kebebasan berfikir’ sebagai asasnya mengambil masa begitu lama untuk mengiktiraf rakyatnya dari keturunan Afrika sebagai Presiden?
Lebih aneh lagi, Kathryn mengalahkan filem termahal dan terlaris dalam sejarah iaitu Avatar yang dibuat dengan segala kecanggihan teknologi dan CGI yang ditangani bekas suami Kathryn sendiri iaitu James Cameron. 10 tahun lalu, sewaktu filem Cameron ‘Titanic’ muncul sebagai filem terbaik dengan menggondol 7 anugerah seorang kawan (saya tak ingat siapa mungkin Wahab Hamzah) berkata kepada saya, selepas ini, filem-filem yang akan menang di Anugerah Akademi mesti berbajet besar,dengan kecanggihan teknologi dan CGI. Tapi saya berkata kepada beliau, saya yakin ini adalah suatu trend untuk suatu ketika sahaja. Kerana filem mesti mengenai kreativiti dan seni yang dihasilkan oleh manusia tentang manusia dan bukan tentang teknologi dan segala kecanggihannya.
Filem The Hurt Locker karya Kathryn Bigelow membuktikan segala-galanya. Saya selalu yakin, manusia akhirnya akan kembali kepada fitrah manusiawinya dan mengutamakan pemameran diri manusia dengan segala kompleksiti perangai, psiki, jiwa dan hati nuraninya. Hollywood mungkin telah muak dengan segala hipokrasi dan segala eksprimennya dengan trend terbaru kehidupan dan mahu kembali kepada fitrah manusia yang tetap manusia di mana juga mereka berada! Tahniah kepada Kathryn Bigelow dan tahniah juga kepada Hollywood!
SEBUAH FILEM TENTANG KUNG FU TZE
Sedang ditayangkan sekarang di pawagam tempatan ialah filem bertajuk Confucious. Ianya mengenai kehidupan Kung Fu Tze pendeta dari Negeri Lu di China lama dulu. Dibintangi oleh Chow Yun Fatt dan diarahkan oleh Hu Wei, filem ini menceritakan tentang kehidupan dan jatuh bangun Kung Fu Tze di dalam hidupnya.
Tercatat sebagai salah seorang manusia paling berpengaruh dalam sejarah selepas Nabi Muhammad SAW, Jesus Christ, Alexander, Kung Fu Tze hidup di China sebelum negara itu disatukan oleh Shih Huang Ti dari segi politiknya. Tetapi semasa Kung Fu Tze hidup, China berada dalam keadaan huru-hara dan peperangan antara negeri-negeri yang berjiran adalah suatu kebiasaan. Kung Fu Tze berguru dengan Lao Tze yang juga cukup tekenal dalam budaya orang China. Tetapi Kung Fu Tze dengan segala kebijaksanaanya menjadikan Negeri Lu sebuah negeri yang kuat dan berpengaruh tanpa perlu berperang dan menumpahkan darah. Paling penting, segala ajaran Kung Fu Tze kekal hingga ke hari ini menjadi ikutan dan prinsip kehidupan penting ramai orang China dan diangkat hampir seperti status agama walau pun Kung Fu Tze tidak pernah melihatnya begitu.
Antara ajaran Kung Fu Tze yang paling penting ialah konsepnya tentang kemanusiaan atau dipanggil ‘Ren’ dalam Bahasa Mandarin. Dalam apa yang diterjemahkankan sebagai
‘Teori Pembetulan Nama’ (Theory of Rectification of Names) Kung Fu Tze mengatakan kestabilan dan keamanan hidup manusia hanya terjadi apabila semua orang hidup dan menjalankan peranan masing-masing mengikut kedudukan mereka. Seorang Raja mesti berkelakuan dan berfungsi seperti seorang raja. Seorang bapa mesti berkelakuan dan berfungsi sebagai seorang bapa dan begitulah seterusnya. Sekiranya prinsip serta peraturan ini dicabuli, bukan sahaja unit keluarga yang akan bermasalah, tetapi akhirnya seluruh negara akan kacau bilau. Inilah peraturan sosial paling integral dalam ajaran Kung Fu Tze yang kekal hingga kini. Ada banyak kebijaksanaan dalam pemikiran Kung Fu Tze yang perlu direnung oleh manusia. Sebab itulah Hadis Nabi ada berkata ‘ tuntutlah ilmu hingga ke negeri China.’
Filem ini ditangani dengan baik dengan sinematografi yang cukup hebat dan adegan-adegan yang cukup menyanyat hati dalam kehidupan Kung Fu Tze dengan murid-muridnya. Dan ia hanya tambah meyakinkan saya bahawa dalam hidup ini, kesetiaan antara murid dengan gurunya adalah yang paling tinggi dan tidak boleh ditandingi. Antara raja dan rakyat pengkhianatan sering berlaku , antara suami isteri juga begitu, tetapi antara seorang guru dengan muridnya adalah sesuatu yang jarang berlaku. Seorang murid sanggup berbuat apa saja untuk menyelamatkan tulisan,ajaran dan prinsip kehidupan yang diajarkan oleh gurunya walau pun guru itu sudah jatuh dan tidak berpengaruh lagi. Malah setelah kematian dan ketiadaan seseorang guru itu pun, murid-muridnya tidak akan mengkhianati ajarannya.
Tuesday, March 9, 2010
AKHIRNYA HOLLYWOOD MENGIKTIRAF WANITA
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 7:11 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment