ANDARTU TERLAMPAU: TAHNIAH UNTUK HALIZA MISBUN
Dua kali menonton filem ini penulis masih ketawa tak henti-henti dari awal hingga habis. Ini filem pertama produksi Haliza Misbun dan dia telah membuktikan dia bukan artis cantik yang pandai berlakon dan nampak hebat dalam semua sesi fotografi untuk media cetak dan letronik sahaja. Dan lebih penting lagi, melalui filem komedi romantik pertama ini Haliza membuat satu pernyataan sosial paling konkrit tentang dirinya. Bahawa adalah ok menjadi seorang andartu selagi belum berjumpa dengan orang yang benar-benar sesuai dengan dirinya untuk dikahwini. Ini suatu keyakinan peribadi dan saya tak mahu komen tentang itu.
aya yakin ramai wanita pernah atau pun berada dalam situasi Haliza melalui wataknya dalam filem ini Nik Melati Sukma. Alter ego beliau sendiri saya kira. Ini bukan kisah wanita cerewet yang memilih calon suami dan terlalu berhati-hati untuk membuat keputusan sebelum berkahwin tapi tentang berkata ya kepada manusia yang sehati sejiwa dan menerima orang itu seadanya sama seperti meminta orang lain menerima kita seadanya. Tanpa syarat, tanpa kondisi tanpa janji begitu dan begini, kerana begitulah seharusnya bila yang mahu dicari dan dibina adalah cinta, kasih sayang dan penerimaan segala-galanya tentang diri kita dan orang yang di sebelah sana.
Di zaman moden ini hanya anak patung sahaja yang boleh dikahwini kalau mau meletakkan syarat begitu dan begini. Jangan harap untuk berkahwin dengan wanita moden yang berpelajaran tinggi lulusan luar negeri dan punya karier sendiri yang rela diperlakukan seperti lembu dicucuk hidung.Kerana ianya bukan mengenai perkongsian hidup untuk membina empayar bisnes atau menjadi pasport untuk hidup senang lenang dan mendapat projek bagi anak dan cucu hingga tujuh keturunan atau berbagai lagi tujuan yang berselindung di sebalik perkataan bernama perkahwinan! Ianya mungkin sepatah perkataan tetapi ia merupakan komitmen seluruh hidup jiwa dan raga sepanjang hayat.
Dalam filem ini, segalanya diungkapkan oleh Haliza dan pengarahnya melalui filem komedi paling kelakar tahun ini. Suatu pencapaian hebat bagi sebuah produksi karya pertama saya kira. Haliza pastinya punya potensi besar untuk menjadi produser filem yang berjaya jika beliau terus kreatif memberikan kelainan dalam berkarya dan filem-filemnya tidak klise dan berani menongkah arus tanpa terlalu berlaku ofensif kepada budaya manusia disekelilingnya. Beliau hanya perlu percaya kepada dirinya sendiri kerana penulis cukup yakin Haliza tahu apa yang dimahukannya.
Bercakap tentang kreativiti dan kelainan dalam filem ini aspek perkembangan karekter watak-wataknya paling ketara dan ini merupakan kekuatannya sekaligus membawa sisi komikal yang natural tidak nampak dibuat-buat dan mampu membuat penonton tak kering gusi dari awal hingga akhir. Maimon Talib sebagai emak cukup cemerlang sebagai ibu dengan perangai pelik suka memasukkan kepala ke dalam ketuhar bila susah hati sangat melucukan. Awie sebagai Putra Aziz Al-Biruni tidak kurang hebatnya sementara Azhar Suleiman sebagai Ayob juga cukup meyakinkan. Tapi paling segar adalah Erra Fazira sebagai Markonah si pembancuh kopi yang sangat berlainan daripada semua karekter yang pernah dibawa dalam apa juga filem yang beliau bintangi sebelum ini.
Tahniah kepada penulis skrip dan pastinya pengarah telah melakukan suatu kerja cukup baik dan memahami tuntutan tugas-tugas kepengarahan yang memerlukan ketelitian dan tidak menghasilkan kerja klise atau memanfaat sesuatu yang telah dibuat oleh orang lain dan berjaya di box office. Kekuatan lakonan pelakon-pelakon handal seperti Jalalludin Hassan, Fahrin dan Haliza sendiri mempamerkan pengkaryanya cukup serius dalam kerja seninya dan ini amat membanggakan.
Filem yang mengisahkan seorang gadis yang diberi masa 3 minggu untuk menamakan calon suami di umur 34 tahun ini membawa dilemma kehidupan manusia yang amat normal dan biasa dalam masyarakat kita. Dan secara halus serta natural ia menyisipkan banyak konflik kehidupan moden yang bertembung dengan nilai-nilai tradisi yang dipamer dalam soal mencari jodoh.
CITRA SEBUAH CINTA
Mungkin dunia mu terlalu kecil buat ku
dan mau mu aku tinggal di dalamnya
seperti orang lain
dan menjadi bahagia seperti itu
maaf
kalau aku bukan begitu
mahu ku tidak pernah penting buat mu
dan tidak pernah kau tahu
sehingga kau tersedar
ada dia yang lebih mengenali dan menerima
tanpa pernah mahu mengubah ku
dan aku melihat sesuatu pada dirinya
yang tidak pernah ku ketahui
masih ujud
dalam diri seorang orang
kerna sangka ku
semua itu adalah angan zaman silam
pesan nenek dan ibu bistari
yang bercakap tentang leluhur orang budiman
sentiasa berkata tentang bakti dan jasa
maaf
kerna begitu lama mencarinya di wajah mu
aku masih tidak dapat melihatnya
dan sewaktu aku hampir putus asa
Dia menemukan ku
dengan seorang penglipur lara
pembawa citra lama
tentang bahagianya jiwa
bila kita lebih banyak memberi
dan tak pernah merasa rugi
jika tidak mengambil apa yang bukan milik kita
Tuhan ku
terima kasih kerna menemukan aku
dengan citra cinta
seorang orang seperti diri ku juga.
Kuala Lumpur – 8/6/2010.
DI MEDAN INI.
Akukah yang tidak melihat
atau engkau kah
yang tidak membenar
aku melihat mu begitu
tapi Dia punya cara
mempamer segalanya
lalu aku pun mengalih pandangan
dan waktu matanya ku tatap
baru aku tersedar
sudah lama dia di situ memerhatikan ku
Di medan ini
kita bertiga melihat tanpa perlu merenung
menyedari kehadiran tanpa perlu berada di situ
dan membiarkan Dia mencatur segalanya
Bismillahi tawwakkal Allalah.
Menara KL -13 Mei 2010.
MAAF
Mungkin hanya kata maaf
yang dapat ku ucap
kerna tidak pernah
memberi perhatian kepada mu
di titik ini
mungkin engkau perlu tau
aku lah yang bersalah
membiarkan mu di situ
untuk sekian lama
menipu diri ku sendiri
dan juga diri mu
memperguna
kata persaudaraan antara kalian
sebagai penyebab
tidak membuka pintu untuk mu
mungkin sebenarnya aku takut kepada diri ku sendiri
bukan malu kepada mu
tidak juga kerna takut kepadanya
tapi di medan ini
kerna rakusnya terjahan situasi takdir dan survival anak bangsa
Dia
mahu kita berlaku jujur
mengadap kelukaan
menimbang kewarasan
mentafsir kepayahan
memahami maknawi kata pengorbanan
menerima takdir dan ketentuan Nya
Tuhan ku
Ampun ku pinta
kufur nikmat rupanya aku
kerna pernah bertanya
apa sebenarnya rencana Mu untuk ku?
13 Jun 2010.
Sunday, June 13, 2010
REVIU ANDARTU TERLAMPAU
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 4:07 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment