Friday, July 16, 2010

MESYUARAT AGONG GAPENA

GAPENA DAN GAZA

Tahniah diucapkan kepada Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein serta semua yang telah terpilih semula dalam pemilihan Ahli Jawatan Kuasa GAPENA sesi 2010-2012 yang lalu. Apa pun ribut serta cubaan ‘membikin ribut’ oleh orang-orang tertentu untuk melihat Tan Sri Ismail Hussein dikalahkan dan dipaksa berundur saya kira bukannya senang nak menundukkan seorang pendeta (gelaran yang diberikan oleh pemerintah Riau kepada Ketua 1 GAPENA ini)! Selama 39 tahun GAPENA telah dipimpin oleh seorang Sarjana Sastera Melayu yang ulung, berwibawa dan dengan visi yang cukup jelas dan bijak. Beliau mungkin tidak banyak menulis buku sastera atau apa juga genre tetapi entah berapa banyak kerta kerja dll kertas akademik yang telah dihasilkannya dengan pandangan serta pendapat paling bernas tentang survival Dunia Melayu.

GAPENA hari ini merupakan satu-satunya NGO paling kuat dan berpengaruh jaringan dengan Dunia Melayu nya di seluruh dunia. Indonesia dengan penduduk lebih daripada 230 juta orang Melayu pun tidak ada NGO sastera dan kebudayaan yang mencapai kedudukan seperti GAPENA kata beberapa pelawat tetap dari sana.. Ramai sahabat dari Indonesia, Brunei, Singapura dll sering berkata mereka berasa begitu dekat antara satu sama lain melalui jaringan Dunia Melayu GAPENA. Terima kasih kepada Tan Sri Ismail Hussein serta AJK nya semenjak dulu lagi yang begitu dedikasi, fokus serta tidak henti-henti mewujudkan jaringan di seluruh dunia.Jadi sesiapa juga yang teringin memimpin GAPENA harus ‘waras’ dan ukurlah baju di badan sendiri!

Mungkin ada orang yang skeptis tentang kepimpinan GAPENA dan merasakan Tan Sri Ismail sudah terlalu lama dalam GAPENA. Saya tidak nafikan ada lagi perjuangan GAPENA yang belum tercapai tetapi tidak juga dinafikan ada orang yang masih ‘meleleh air liur’ dan ‘mengidam’ untuk menguasai GAPENA kerana kekuatan jaringannya. Bayangkan menjadi pemimpin NGO dengan 23 buah badan kerabat dari seluruh Malaysia yang terdiri daripada penulis dengan jumlah keseluruhan ahli dalam lingkungan 15,000 orang. Suatu kumpulan manusia yang besar dengan pengaruh yang ‘potent’ kerana mata pena itu lebih tajam dari mata pedang!

Sebelum Mesyuarat Agongnya GAPENA yang bekerjasama dengan ATMA UKM dan Pusat Warisan UITM telah mengadakan Persidangan Warisan Melayu di IndoChina dengan sokongan kuat Royal Academy of Cambodia. Bertempat di Phnom Penh, ramai pembentang kertas kerja dari Malaysia, Singapura, Kemboja, Laos dan Vietnam bertemu dan berbincang dan bercakap tentang Warisan Melayu dengan jayanya. Datuk Mior Kamarul Shahid Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian turut sama membentangkan kertas kerja beliau di Phnom Penh.

Pun begitu ada orang yang cukup sinis dan menyamakannya seperti pergi ke Gaza! ‘Rakyat Malaysia pun tak terjaga, kenapa kita nak sibuk-sibuk pergi tolong orang di Kemboja, Laos dan Vietnam semua?’ Begitulah lebih kurang konotasi pengertian puak yang menyamakan Persidangan di Phnom Penh itu seperti pergi ke Gaza! Sayang seribu kali sayang, hanya orang yang tidak benar-benar menghayati ajaran Islam sahaja yang akan berkata begitu. Islam menganjurkan persaudaraan seagama dan ada hadis yang mengatakan tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dia memberi makan jiran atau saudaranya yang kelaparan!

Apa pun terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu secara langsung dan tidak langsung kepada kelicinan proses pemilihan AJK GAPENA baru yang menyaksikan kelangsungan kepimpinan lama dan menghasilkan stabiliti amat perlu untuk kesinambungan perjuangan nasionalisme Melayu. Rakan-rakan di media terutamanya paling banyak membantu dan ucapan terima kasih daun keladi diucapkan. Perbualan saya dengan beberapa orang AJK GAPENA mereka amat yakin kerjasama erat dengan media terutamanya Kumpulan Media Prima dan Kumpulan Utusan seumpama ‘perkongsian pintar’ yang sangat bermakna dan amat diperlukan.

Kepada Datuk Ahmad Talib dan Datuk Aziz Ishak, ribuan terima kasih saya ucapkan dan pertanyaan apalah GAPENA tanpa sokongan media? Semoga Tuhan memberikan kita semua kekuatan dan keupayaan untuk meneruskan perjuangan dan menghadapi segala cabaran. InsyaAllah.

0 comments: