Sunday, November 7, 2010

KENAPA YANG TAKUT SANGAT MATAPELAJARAN SEJARAH WAJIB?

PERLUNYA FILEM SEJARAH DALAM PEMBINAAN NEGARA BANGSA

OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM

Gemilang serta uforia menyambut 50tahun Merdeka negara ini sudah tiga tahun tinggal dalam lipatan minda . Dan setiap tahun seperti selalu segala aktiviti dan program bercorak kesejarahan negara yang diatur bertumpu sepanjang dua tiga minggu sahaja. Seolah-olah usaha memupuk patriotisme, mengenang kembali segala keperitan dan kepayahan mencapai kemerdekaan dan membina negara bangsa cukup dengan beberapa minggu stesen televisyen dan media kita dipenuhi dengan program-program sebegitu. Perbelanjaan program menyambut sambutan kemerdekaan saban tahun dan terakhir ditambah pula dengan sambutan Hari Malaysia pastinya memakan dana yang tidak sedikit tetapi mana dia filem sejarah kita? Kita masih hanya menonton filem Bukit Kepong, Paloh, Embun, Leftenan Adnan dan Hati Malaya 1957. Glosari filem cereka sejarah kita masih amat rendah.

Filem samada fiksyen mau pun dokumentari sejarah adalah elemen budaya popular yang cukup baik, murah dan penting dimanfaatkan dan mampu sampai kepada penonton terutama golongan muda yang rata-ratanya merupakan penonton filem masa kini. Durasi penduduk Malaysia dari segenap golongan dan latar-belakang umur, budaya dan pendidikan menghabiskan masa di depan televisyen adalah tinggi dan ini perlu diisi dengan program pendidikan melalui siri sejarah dan kenegaraan yang sesuai. Kerana iannya bukan sahaja memalukan, tetapi amat tragis jika ada orang politik yang bertaraf Timbalan Menteri sedikit waktu dulu mengeluarkan kenyataan bahawa ‘Orang Melayu juga adalah pendatang di negara ini kerana mereka berasal dari berbagai tempat di Nusantara’!

Lima enam tahun kebelakangan telah menyaksikan berbagai perubahan pesat di RTM dalam aspek programnya. Pun begitu, masih ada ruang untuk penambah-baikan dalam berbagai program ilmu yang dihidangkan. Sehingga kini, program dokumentari sejarahnya masih bermusim dan setelah lebih 50 tahun merdeka kita masih tidak ada slot tetap dokumentari sejarah yang amat perlu bila bercakap tentang pemupukan jatidiri, patriotisme dan ingatan bersama (collective memory). Filem Negara yang menayangkan beberapa minit sehari melalui slot Hari Ini Dalam Sejarah dokumentari simpanan mereka juga masih terlalu terhad penyibaran maklumat dan info sejarahnya walau pun ia suatu usaha yang baik.

The History Channel yang khusus menerbitkan dokumentari sejarah yang cukup baik dengan kedalaman intelektual yang cukup berwibawa disiarkan oleh Astro merupakan suatu program yang menarik (juga propagandik) dan mempunyai penonton setianya di seluruh dunia. Ia amat perlu dicontohi jika kita mahu rakyat negara ini mengenali dan mengetahui sejarahnya sendiri dan tidak menjadi buta sejarah sampai bila-bila. Media elektronik amat perlu dimanfaatkan dengan seluas-luasnya untuk tujuan ini dengan cara yang kreatif kerana membaca buku (apalagi buku sejarah) bukanlah pilihan golongan muda kita dan pelajaran sejarah tidak perlu diajar di bilik darjah sahaja.

Rata-ratanya program dokumentari sejarah kita tidak mempamerkan kedalaman intelektual dalam wacananya. Genre ini memerlukan penyelidikan yang cukup dalam, rapi dan sesuatu isu perlu dilihat dari berbagai sudut serta disiplin yang berbeza. Bidang-bidang lain seperti sosiologi, antropologi,kajian strategik, analisis politik, ekonomi, hubungan antara-bangsa dll yang releven dalam sesuatu dokumentari sejarah yang mahu dipertontonkan sangat diperlukan. Sejarah mungkin mengenai perkara yang telah berlaku, tetapi ia bukan subjek yang statik dan tidak dinamis. Dari semasa ke semasa timbul berbagai fakta baru dan interpetasi yang adakalanya boleh mencabar apa juga pendapat dan interpetasi yang diterima selama ini mengenai sesuatu isu dan peristiwa. Dan hanya dengan kedinamisan penyelidikan dan perubahan paradigme pendekatan sahaja program-program begini akan menjadi menarik dan ditonton sepanjang masa.

Pemupukan patriotisme (dan apa juga isme yang diperlukan) di kalangan golongan muda dan yang buta sejarah juga memerlukan penilaian semula sama seperti ada kalanya sejarah juga perlu ditulis semula. Sejarah bukan untuk dimanipulasi oleh golongan yang tertentu untuk tujuan tertentu, tetapi untuk diketahui, difahami dan dipelajari serta difikirkan bersama oleh setiap rakyat dan diambil iktibar daripadanya.Seperti kata Profesor Wang Gungwu (juga sering disebut oleh Tun Mahathir)‘ hanya bangsa yang mengenali sejarahnya yang mampu tidak akan mengulangi segala kesilapannya di masa lalu.’

Umpamanya ramai orang yang masih kabur tentang sebab Singapura dikeluarkan dari Malaysia dan berbagai interpetasi diuar-uarkan tetapi dokumen dari Public Record Office London yang dijadikan dokumen terbuka 50 tahun selepas insiden ini akan mempamerkan bagaiman Mantan Perdana Menteri YTM Tunku Abdul Rahman menerima tekanan kuat daripada British. Perdana Menteri Britain ketika itu mengugut akan menarik balik Tentera Lautnya yang berpengkalan di Woodlands Singapura jika tindakan mahkamah diambil terhadap Lee Kuan Yew yang sibuk mempromosi Malaysian Malaysia ketika itu.

Malah Australia juga mahu menutup Pengkalan Tentera Udaranya di Butterworth sedangkan Malaysia sedang mengalami masalah dengan Indonesia kerana Sukarno melancarkan Konfrontasi ketika itu. Hal ini tidak ramai yang mengetahuinya dan tidak pernah dicatatkan dalam buku sejarah kita sehingga ke hari ini. Begitu juga dengan tekanan yang dikenakan ke atas Tun Razak untuk menamatkan pemerintahan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) selepas peristiwa 13 Mei 1969 juga adalah atas desakan DAP yang meminta kerajaan British menggesa Malaysia mengembalikan demokrasi selepas setahun sahaja iannya dilaksanakan. Semoga pada hari ini Malaysia juga tidak
di dalam keadaan tertekan dalam apa aspek juga untuk membuat dasar itu dan ini untuk menguntungkan golongan tertentu dalam dan di luar negara tercinta ini!

Bila menyebut dokumentari sejarah, kebanyakan orang akan hanya memikirkan sejarah dan peristiwa politik yang memperkatakan soal tokoh, fakta dan tarikh-tarikh keramat sahaja (begitulah juga dengan buku dan pelajaran sejarah di sekolah). Ini satu lagi perkara dan konsep yang perlu diperbetulkan. Ada berbagai aspek sejarah yang tidak diketahui dan tidak dipedulikan Kita jarang bercakap tentang sejarah ekonomi, sejarah infrastruktur, sejarah sosial, kependudukan serta kebudayaan sedangkan ia begitu perlu sekali.

Cabaran memupuk integrasi dan perpaduan kaum negara ini memerlukan perubahan pemikiran dan pendekatan yang drastik kerana cabaran kita pada hari ini tidak sama seperti cabaran pada masa lalu. Kedudukan Malaysia hari ini juga bukan lagi seperti 50 tahun lalu. Oleh itu, banyak perkara yang kita selesa lakukan selama ini perlu berubah dan menggunakan pendekatan baru. Kita semakin hampir mencapai status negara maju tetapi dalam banyak aspek kita masih berfikiran dan melakukan perkara seperti dahulu dan tidak sensitif dengan soal hambatan masa dan berbagai cabaran lain yang tidak pernah dihadapi sebelum ini.

Sejarah tidak sepatutnya ditulis oleh pihak yang menang sahaja, tetapi patut berasaskan kebenaran, ketelusan dan keterbukaan minda. Betapa pun kekuatan berada dipihak yang menang, kebenaran adalah kekuatan paling ampuh dan tidak akan boleh dipertikai oleh sesiapa dan bila-bila masa pun.Jadi bila ada orang membuat filem penuh simpati terhadap Chin Peng, fakta-fakta dan dokumen rasmi perlu dikeluarkan tentang peranan Communist International (COMINTERN) yang berpusat di Moscow dan bantuan yang diberikan oleh Parti Komunis China kepada Parti Komunis Malaya dan motif mereka melancarkan perjuangan bersenjata di Tanah Melayu. Yang pastinya ia bukan untuk membebaskan negara ini daripada jajahan British dan mengembalikannya kepada Raja-Raja Melayu. Tanah Melayu ada ‘tuannya’ dan ia bukan untuk COMINTERN mau pun menjadi pasaran bagi longgokan barang-barang dari Britain.

Perlu diingat, bukan saja ketepatan dan kesesuaian tetapi interpetasi fakta sejarah juga perlu diambil kira dalam pembikinan dokumentari sejarah. Oleh itu, keselesaan menggunakan pendapat serta interpetasi seperti 50, 30 atau 20 tahun yang lalu dalam sesuatu wacana intelektual sejarah adalah sangat tidak sesuai dan patut dihentikan. Ianya tidak ubah seperti menggunakan fakta dari buku-buku lama yang telah diketahui selama ini, sedangkan fakta lain dari sumber-sumber yang boleh dipercayai yang baru menunjukkan perbezaan yang ketara.

Mungkin keperluan kepada penyelidikan yang mendalam dan teliti untuk menghasilkan dokumentari sejarah yang baik juga bermakna penambahan kos produksi yang tinggi. Ini disebabkan keperluan kepada tenaga pakar dan konsultan yang berwibawa serta akses kepada berbagai bahan dan dokumen yang terdapat di merata muzium dan pejabat rekod dan dokumen diseluruh dunia. Pun begitu internet dan segala macam kecanggihan teknologi hari ini perlu digunakan dan bukan lagi soal kos serta jarak yang memisahkan. Kalau pun kos penerbitan dokumentari sejarah yang baik dan dalam penyelidikannya akan bertambah, ianya masih berbaloi dilakukan. Keperluan kepada ilmu dan pengetahuan yang mendalam untuk tujuan ini bukanlah sesuatu yang opsyenal sifanya tetapi suatu kemestian yang tidak dapat dielakkan.

(Artikel ini telah tersiar dalam akhbar Suara Perkasa).

0 comments: