Monday, May 3, 2010

STOLEN GENERATION OF INDONESIA

Baru-baru ini bertempat di Rumah GAPENA ramai sahabat dan kaum-kerabat yang berkumpul untuk bertemu dan mendengar Pak Bob Sakrie Saridin bercerita tentang suka duka masyarakat Melayu-Jawa di Surinam selepas 120 tahun mereka menjadi sebahagian besar daripada masyarakat kosmopolitan Surinam (Dutch Guyana suatu ketika dulu). ‘Mencari saudara lama yang hilang’ begitulah bisik seorang sahabat kepada saya letika hampir 4 jam kami mendengar Pak Saridin bercerita dibantu dengan pertunjukan slaid tentang sejarah serta apa yang berlaku dan tidak berlaku kepada orang-orang Melayu-Jawa di Surinam semenjak 120 tahun yang lalu. Dokumentari TV 3 yang mengisahkan perjalanan novelis Malim Ghozzali PK di bumi Surinam menambahkan kesayuan ada kalanya.

Paling menyanyat hati adalah kisah mereka sinonim dengan Stolen Generation of Australia dengan kelainan yang cukup unik. Di suatu ketika mereka memohon untuk kembali ke Indonesia dan rundingan dengan pegawai-pegawai di bawah pentadbiran Presiden Suharto cukup menghampakan mereka. Syarat yang ketat dikenakan jika mereka mahu kembali iaitu mereka tidak boleh tinggal di kampung halaman mereka yang asal tetapi mesti mencari tempat baru yang tidak berpenghuni dan daerah-daerah baru di Sumatera telah dicadangkan. Pemerintah Indonesia bukan mahu berlaku kejam tetapi kepadatan penduduk di Pulau Jawa tidak membenarkan mereka diterima kembali ke kampung halaman mereka. Paling menyedihkan apabila memikirkan seseorang menjadi terasing di bumi orang lain dan tidak boleh balik ke kampung halaman sendiri..

Pun begitu, bila kita tiada pilihan, manusia akan mencari jalan keluar yang paling munasabah dan menerima apa juga ketentuan yang telah ditakdirkan. Hari ini orang Melayu-Jawa Surinam membina kekuatan dan kecermerlangan sendiri. Di kalangan mereka ada yang berjaya dalam bidang bisnes, akademik dan hari ini ada 19 orang Ahli Parlimen Surinam berketurunan Melayu-Jawa di negeri kecil Amerika Selatan ini.Seperti kata Pak Viddy D A Daery sahabat GAPENA dari Surabaya (yang dipanggil Gajah Mada oleh TS Ismail Hussin!)’ nasib mereka lebih baik dari ramai orang Indonesia sendiri.’ Kadang-kadang apa yang selama ini kita fikirkan sebagai ‘2nd best’mungkin jauh lebih baik daripada apa yang kita fikirkan sebagai pilihan terbaik dalam hidup Pak Saridin, tunggu kami datang ke Surinam nanti!

0 comments: