JANGAN JADI ORANG SENI KALAU TIDAK JUJUR!
OLEH: SITI RUQAIYAH
HASHIM.
Menonton filem Pierre Andre yang terbaru bertajuk Aku, Kau dan Dia penulis termenung panjang dan mula
memikirkan tentang kekalutan dan kehodohan beberapa perkara yang semakin kerap berlaku
dalam industri seni kita. Pun begitu, ini bukan masalah baru dan bukan masalah
orang seni saja. Plagiarisme tidak berlaku dalam filem sahaja, di universiti
tempatan maupun Harvard, Yale, Oxford dan Cambridge juga berlaku dan terus
berlaku.Ada orang yang hingga hari ini tesis PHD nya tidak boleh diletakkan di
perpustakaan kerana kualitinya yang cukup rendah dan banyak berlaku
ketidak-jujuran dalam penulisannya. Bukan di mana perkara itu berlaku, tapi pokok pangkalnya ialah kejujuran dan
integriti diri manusia yang melakukannya.
Begitu banyak persamaan antara filem Pierre kali ini dengan
filem Sepi arahan Kabir Bhatia sedikit waktu lalu yang turut dibintangi oleh
Pierre sendiri. Dalam filem Sepi, Pierre berlakon sebagai Khalil yang terbunuh
dalam pergaduhan dan Imaan kekasihnya
yang tidak dapat menerima kenyataan tentang tragedi tersebut melalui tekanan
jiwa yang cukup hebat sehingga sampai ke taraf psikosis. Imaan sentiasa
berimaginasi Khalil masih disampingnya dan tidak dapat menerima Ean teman sekelasnya
yang berbuat macam-macam hal untuk
memikatnya. Imaan jatuh koma oleh
kemalangan dan Ean yang
menemaninya menyedarkannya bahawa dia
perlu ‘melepaskan’ segala kesedihan dan kenangannya tentang Khalil dan
meneruskan kehidupan.
Aku, Kau dan Dia pula bercerita tentang Mia (lakonan pertama Zarina Jamalulail)yang
kehilangan Ilhan tunangnya (lakonan Pekin Ibrahim) dalam satu kemalangan. Mia
yang tidak dapat melupakan tragedi ini juga berada dalam keadaan sindrom
penafian yang merasakan Ilhan masih ada disampingnya. Tetapi Mia bertemu dengan
Izlan seorang pemuzik jalanan yang berbuat macam-macam untuk memikatnya dan
membahagiakannya. Walau pun sebenarnya pertemuannya dengan Izlan hanya berlaku
dalam imajinasi Mia terlalu banyak persamaan dan keselarian antara
plot filem Sepi dan Aku, Kau dan Dia.
Apa sudah jadi dengan kreativiti orang seni kita? Lebih
serius lagi, apa jadi dengan kejujuran berkarya dan integriti orang Seni kita?
Penulis sering percaya, seni harus menjadikan manusia lebih baik. Bakat seni yang dianugerah Tuhan bukan diberi
kepada semua orang, jadi tanggung jawab orang seni amat berat dan tidak boleh
diabaikan sama sekali. Apalagi melakukan perkara tidak jujur (dalam apa bentuk
sekalipun) ketika berkarya (juga ketika tidak berkarya) adalah sesuatu yang
tidak kena dengan orang seni yang perlu punya integriti tinggi dan jujur dalam
hidup. Jangan jadi orang seni kalau tidak dapat menjadi begitu.
Pun begitu, karya seni hebat mana pun tidak terlepas
daripada pengaruh karya lain. Kita hidup dalam dunia yang semakin kecil dan
sudah tidak ada dinding pemisah antara kita semua. Tapi sedikit serapan atau
pengaruh intertekstual antara satu karya dengan yang lain adalah dibolehkan dan
dapat diterima di mana pun. Yang tidak boleh adalah jika terlalu banyak
persamaan dan keselarian plot dan tema dalam sesuatu cerita walau pun diubah
sedikit . Ketulenan sesuatu karya harus
ada originalitinya, harus segar dan banyak perbezaannya dengan karya lain walau
pun ada sedikit persamaan di sana sini.
Sedikit waktu lalu, sebuah filem yang menang di Festival
Filem Malaysia juga dipersoalkan kerana begitu banyak persamaan dengan sebuah
filem berbahasa Inggeris yang masyhur. Pun
begitu, kerana ianya dalam konteks yang
berbeza dan watak-watak mitos dan sastera
rakyat tempatan yang banyak dalam filem ini, ramai yang mendiamkan diri dan
menerima keputusan juri FFM meski pun
persamaan dalam filem ini dengan filem lain lebih daripada pengaruh
intertekstual. Penulis risau, justifikasi menjadikan filem seperti ini sebagai
pemenang FFM diinterpetasi sebagai plagiarisme adalah tidak mengapa dan bukan satu kesalahan yang
serius dalam berkarya. Penulis khuatir
implikasinya lama kelamaan boleh membawa
kepada tragedi yang lebih serius dalam
dunia seni kita. Jadi, jangan jadi orang seni kalau tidak jujur dan mahu
mencari jalan pintas kepada kejayaan (atau kekayaan).
Pemilihan pendatang
baru Zarina Jamalulail memegang watak
Mia juga adalah suatu keputusan yang sangat berani tapi boleh dipersoalkan kebijaksanaannya.
Watak Mia sangat berat dan kompleks untuk seorang yang tidak berpengalaman
seperti Zarina. Apalagi bila digandingkan dengan pelakon berbakat besar dan berpengalaman di
pentas teater seperti Pekin Ibrahim dan Remy Ishak. Keduanya mempamer lakonan yang cukup mantap dan
meyakinkan dalam watak masing-masing. Akibatnya, Zarina kelihatan sedikit kaku
dan ‘dibanting’ oleh kedua pelakon hebat
Pekin dan Remy.
Watak yang dipegang oleh Zarina patut dipegang oleh pelakon
wanita lain yang cukup berpengalaman. Zarina belum bersedia untuk memegang
watak utama dan perlu banyak menimba ilmu terutama di pentas teater. Penulis
percaya, pentas teater dapat membentuk pelakon yang tidak berpengalaman, maupun
tidak terdidik dalam bidang lakonan jika mendapat seorang pengarah teater yang
terlatih dalam pengarahan dan lakonan.Di Barat dan negara maju lain, seorang
pelakon pentas yang baik sentiasa di intai oleh pengarah filem untuk filem
mereka. Ini kerana pelakon pentas yang baik terdidik dengan perkara asas yang penting dalam
lakonan sebelum mereka memasuki lakonan filem. Tidak ada hukum yang mengatakan pelakon filem tidak patut berlakon teater,
jadi manfaatkan pentas teater untuk menimba ilmu.