USIKAN REBAB: KENAPA
BEGITU MIRIP REBAB BERBISIK?
OLEH: SITI RUQAIYAH
HASHIM.
Sekali lagi di kalangan orang seni timbul isu plagiarisme. Kali ini orang teater pula
ramai yang gelisah dan bercakap tentang
teater Usikan Rebab yang dipentaskan untuk kali kedua oleh The Actors Studio di
KL Performing Arts Centre. Plot dan tema skrip ini begitu mirip dengan skrip karya Rahimidin
Zahari Rebab Berbisik yang telah dipentaskan banyak kali sebelum ini.
Ada orang berkata hanya di
kalangan wartawan hiburan dan penulis sahaja yang mempersoalkan hal ini.
Penulis kurang pasti tentang hal itu, tetapi siapa pun yang mempersoalkannya
tidak penting, tetapi kenapa ia dipersoalkan? Karya apa pun tidak akan
dipersoalkan kalau tiada yang tidak kena tentangnya.
Mengikut penulis skrip Usikan Rebab Zamzuriah Zahari (sumber fakta dari sidang akhbar beliau)ianya ditulis
sebagai kerja tahun akhirnya yang diserahkan kepada pensyarahnya pada tahun
2006. Zamzuriah tak perlu gusar jika apa yang dikatakannya benar tapi beliau
perlu membuktikan skripnya adalah karya beliau yang tulen dan tidak
dipengaruhi kerja orang lain. Sedikit
pengaruh intertekstual masih boleh diterima, tetapi kalau lebih daripada itu ia
pasti mengundang persoalan.
Penulis telah membuat sedikit penyelidikan tentang skrip
Rebab Berbisik karya Rahimidin Zahari. Melalui info Rahimidin yang dsampaikan oleh Rosnan Rahman, skrip ini
ditulis oleh Rahimidin pada tahun 2001 sebagai
kertas Penulisan skrip yang dikendalikan oleh Dr.Samad Salleh pensyarah
teater di Universiti Sains Malaysia. Pernah dipentaskan di USM, tetapi pementasan di luar kampus yang
pertama adalah di Stor Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2006. Sehingga kini,
skrip ini telah 15 kali dipentaskan di banyak negeri dengan Rosnan sebagai pelakon
solonya yang memegang empat watak sekaligus. Beberapa bulan yang lalu, Rosnan
dinobatkan sebagai Pelakon Terbaik Teater oleh Anugerah Boh Cameronian. Dan
terakhir teater ini akan di bawa ke Pusat Warisan Melayu di Singapura untuk dipentaskan.
Usikan Rebab karya Zamzuriah mengisahkan Kak Nab seorang primadona makyung di masa mudanya. Kak Nab hidup
keseorangan dalam kesepian setelah kematian suaminya Dolmat Sulaiman pemain rebab kumpulan makyung mereka. Mereka
mempunyai tiga orang anak perempuan Idah, Ani dan Yam yang telah membawa haluan masing-masing dan
tidak mahu mewarisi permainan makyung
lagi. Ini mengecewakan Kak Nab yang
masih berharap salah seorang anaknya kembali untuk mengambil tempatnya
sebagai primadona makyung.
Idah anak sulung Kak Nab menjadi seorang guru agama yang
menentang habis-habisan permainan makyung yang dikatakan mempunyai ciri-ciri
mistik dan syirik. Ani anak keduanya pula menjadi seorang penyanyi dangdut di Kuala Lumpur. Dan Yam anak
bongsunya pula menolak tarian tradisional dan mahu menjadi guru tari disebuah sekolah yang mengajar tarian barat. Dalam kesunyian di usia
tuanya, Kak Nab sering mengenang zaman
kegemilangannya bermain makyung dan kebahgiaan kehidupan dengan Arwah
suaminya Dolmat.
Rebab berbisik mengisahkan kehidupan Pak Su seorang tokoh
makyung di zaman mudanya dengan isterinya Mek Ning seorang primadona makyung
juga. Mereka merupakan pasangan bahagia dan gemilang di pentas makyung dan dikurniakan dua orang anak lelaki Azri dan Azmi (juga Mimi). Azri menjadi
seorang ustaz dan menolak dunia makyung Pak Su kerana beberapa praktisnya yang dikaitkan dengan perkara syirik dan
menyalahi agama. Azmi yang menjadi Mimi bekerja sebagai seorang penyanyi
dangdut di sebuah kelab malam setelah melarikan diri dari kampung mereka di
Kelantan (juga berlaku kepada watak Ani dalam Usikan Rebab). Di usia tuanya, Pak Su yang kematian Mek Ning
mengenang kembali zaman kegemilangan dan kebahgiaannya tapi pada masa yang sama
kesunyian dan kecewa oleh penolakan anak-anaknya yang tidak mahu mewarisi dunia makyungnya.
Begitu mirip sekali
teks Rebab Berbisik dengan Usikan Rebab ini. Malah nama kedua skrip
ini juga memanfaatkan rebab dan hanya satu perkataan yang membezakannya.
Mungkin ada beberapa perbezaan kecil di sana sini, tetapi begitu banyak persamaan dari segi tema dan
plot di antara kedua teks ini. Penulis begitu terpanggil untuk bertanya apa
yang terjadi dalam dunia seni kita? Baru-baru ini filem terbaru arahan Pierre Andre Aku, Kau dan Dia dipersoalkanS
(sekurang-kurangnya dikalangan karyawan dan
yang menonton) kerana begitu banyak persamaan dengan filem Sepi arahan
Kabir Bhatia beberapa tahun lalu.
Sekali lagi penulis perlu berkata, jangan jadi orang seni
jika kita tidak meletakkan integriti dan kejujuran sebagai keutamaan kita. Orang seni perlu jujur dan tidak melakukan
perkara sebaliknya, kerana tanggung jawab mereka sangat berat kerana punya
bakat anugerah Tuhan yang tidak diberikan kepada orang lain. Dan anugerah
tersebut datang dengan tanggung jawab besar dan tidak boleh disalah-gunakan.
Entahlah, kita sedang melalui zaman getir kecelaruan moral
agaknya kerana terlalu banyak senario negativiti moral di sekeliling kita
sehinggakan orang seni pun terikut-ikut melakukan perkara tidak jujur. Mereka
tidak lagi bercakap tentang idealisme moral yang harus diletakkan sebagai nombor satu dalam karya dan kehidupan
mereka. Penulis dapat memahami jika perkara ini berlaku dalam masyarakat Barat
yang sudah menolak nilai moral dalam kehidupan. Tetapi kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum dengan Islam
sebagai agama rasmi negara ini dan tidak ada agama yang dipraktis oleh majoriti
rakyat yang mengajar tentang ketidak-jujuran.
0 comments:
Post a Comment