Hari Sabtu lalu, saya diheret oleh anakanda saya Jaa untuk menikmati 'gigs' orang-orang muda seangkatan beliau. Kalau waktu dia kecil, saya mengheretnya menonton filem Kurosawa, Teater Anak Tanjung dll, kini giliran saya mengikut beliau. Kompromi emak dan anak! Bertempat di Rumi and Kohl Gallery di Plaza Damas Sri Hartamas yang cukup eksotik dekornya, saya menonton Wani Ardy bersama kumpulannya memetik gitar dan melagukan Langit Vanilla nya. Dinamik, segar,original dan cukup berlainan daripada penulis puisi Melayu lain yang seangkatan dengan beliau.Demikian juga tiga orang gadis manis dalam kumpulan Kata Mata. Diksi dan perlambangan serta kata yang dipilih dalam puisi mereka tidak menampakkan sedikit pun metafora dan simbolisme 'Melayu' dari generasi yang sebelumnya. Anakanda saya juga menulis puisi dalam Bahasa Inggeris. Akhir tahun lalu,dia berada pada kedudukan ke 19 daripada 25 tempat teratas dalam senarai Free Rhymers of The World yang mempunyai hampir 250000 orang penulis puisi dalam internet dari seluruh dunia.Saya terkejut besar bila diberitahu tentang perkara ini oleh Jaa. Tapi begitulah dunia sekarang, persembahan yang dimuatkan dalam You Tube pun boleh dengan segera menjadikan seseorang bintang ternama. Begitulah yang berlaku kepada Zee Avi gadis dari Sarawak yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat selepas muzik video nya termuat dalam You Tube.Anda hanya perlu percaya kepada kebolehan diri sendiri dan menekuni segalanya penuh dedikasi. Wani Ardy, masanya akan tiba untuk orang seperti anda. Dan usah pedulikan apa juga yang dilemparkan kepada anda.Ramai yang mahu memusnahkan mimpi kita, tapi kita hanya perlu meneruskan apa yang kita percayai, kerana ramai lagi yang akan mengapresiasi apa yang kita lakukan dengan bakat dan kebolehan kita nanti!!
Sunday, June 17, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment