Tuesday, June 26, 2012

Kasut Penari-Penari Kita

Setiap kali menonton tarian Melayu (asli mau pun hybrid tarian Malaysia) saya seringkali merasa kecewa kerana entah kenapa, penataan kostumnya tidak memasukkan kasut penari-penari wanitanya sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian penting.Seringkali (malah semuanya)penari wanita kita memakai kostum atau busana Melayu yang cukup lengkap dan rapi dengan perhiasan kepala yang secocoknya. Tetapi lihat saja di kaki mereka apa yang anda dapati? Tak lebih dari kasut biasa yang dipakai oleh orang sekarang. Kebanyakkannya memakai sandal bertali dan bertumit rendah keemasan dll yang dapat dibeli di semua kedai kasut negara ini.Bagi orang seperti saya, ini hanyalah merosakkan penataan busana yang cukup cantik oleh kerana ketiadaan penyelidikan yang sebenar dan rapi tentang apa yang harus dipakai di kaki penari-penari kita. Soalnya, beginikah kostum atau busana Melayu yang sebenarnya? Atau kenapa tidak digantikan sahaja dengan kasut yang lebih berciri Melayu tradisional untuk tarian sebegini? Misalnya gunakan kasut tekat seperti yang dipakai oleh pengantin Melayu Perak di zaman dahulu. Perhiasan seni tekat ini cukup cantik dan autentik serta sinonim dengan budaya Melayu walau pun ia berasal dari Perak. Kalau Penari lelakinya cukup segak mengenakan busana Melayu dengan kasut capalnya, kenapa penari wanita tak boleh berkasut tekat yang cukup cantik dan jelas identiti budaya Melayunya?

0 comments: