Tahniah kepada Pandalela Rinong gadis 19 tahun dari Bau Sarawak yang telah menambah koleksi pingat Olimpik kita kali ini. Untuk pertama kalinya acara terjun papan anjal 10 M memecahkan rekod harapan mengutip pingat yang hanya ditumpukan kepada badminton sahaja.Setelah gagal dalam 2 acara lain dan ada akhbar yang mengutuk beliau dengan perkataan 'Pandalela tercorot' yang sangat tidak sesuai, gadis ini membuktikan beliau boleh melakukannya dan tidak ke London untuk makan angin! Akhbar tersebut mungkin hanya ingin memprovokasi beliau supaya melakukan yang lebih baik lagi, tetapi perlu diingat bahawa bahasa dan penggunaan perkataan tertentu punya konotasi psikologi yang cukup berkesan. Samada ia boleh menguatkan semangat mereka yang bertanding, atau mungkin meruntuhkan semangat dan menyebabkan kekecewaan. Tapi kalau penulisnya sendiri tidak ada ilmu tentang psikologi, apa yang boleh diharapkan daripada situasi begini? Pandalela masih muda dan seperti atlet lain yang muda mereka punya masa depan yang cukup berpotensi tinggi dan masih boleh mewakili Malaysia mungkin 2-3 kali Olimpik lagi. Kritikan perlu mengambil kira semua ini dan kita jangan terlalu cepat menghukum jika mereka gagal kali pertama. Yang pastinya mereka telah melakukan yang terbaik dan cukup serius bila bertanding. Untuk sampai ke pusingan terakhir pada kedudukan tempat kelapan Olimpik sudah cukup baik dan merupakan pencapaian yang cukup membanggakan.
Pengorbanan yang telah dilakukan oleh atlet-atlet kita bukan sedikit untuk sampai ke tahap itu. Sewaktu anakanda saya Jaa melalui latihan bolingnya di Sunway Pyramid sejak berumur 12 tahun, bukan sahaja wang ringgit yang perlu dikeluarkan, tetapi masa dan tenaga yang banyak perlu dikorbankan. Saya terpaksa bersara awal dari tugas sebagai pensyarah di sebuah IPT di Kuala Lumpur untuk membolehkan beliau menghadiri latihan-latihannya selepas sekolah. Jaa tidak menjadi seorang pemain boling yang mencapai tahap yang tinggi, tetapi nilai disiplin yang terterap dalam pemikiran beliau sangat berharga dan menjadikan beliau seorang Pengurus Kecergasan di Fitness First yang sangat berkaliber dan diakui sendiri oleh pihak pengurusan syarikat beliau. Tahun lalu Jaa menggondol anugerah Fitness Manager of 2012, dan syarikatnya sering mengenegahkan beliau sebagai 'permata' mereka. Sebagai seorang ibu saya lah manusia paling bahagia dengan banyak kejayaannya dan bersyukur kepada Tuhan kerana kejayaan anak saya. Tetapi apa yang hendak saya katakan di sini ialah, penglibatan yang serius dalam bidang sukan apa pun memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit daripada para atlet dan juga keluarga mereka. Jadi mungkin pihak akhbar atau sesiapa juga lebih berhati-hati bila mahu mengutuk atlet kita di mana juga mereka bertanding. Saya yakin semua yang bertanding itu tidak mahu kalah dan punya semangat juang yang cukup kental, jadi janganlah kutuk mereka sewenang-wenangnya.
Tahniah kepada para olimpian kita. Samada mereka menang atau tidak, mereka telah melakukan yang terbaik dan persediaan yang serius telah dilakukan. Mungkin lebih banyak usaha dan dana diperlukan untuk melahirkan olimpian yang mendapat pingat lebih banyak emas, perak dan gangsa. Dibandingkan dengan negara lain, apa yang kita peruntukkan untuk para atlet kita tidaklah sebanyak mana. Begitu juga dengan penglibatan pegawai-pegawai sukan yang mengiringi atlet kita. Mana dia Istiaq Mubarak, Rabuan Pit, Mumtaz Jaafar dll yang lebih layak untuk menjadi pengiring dan pegawai sukan kita? Sebastian Coe adalah seorang pemenang pingat emas Olimpik Britain dan hari ini beliau mengepalai Olimpik London 2012. Paradigme penglibatan pegawai dan persatuan sukan kita perlu berubah kerana bukan soal pengumpulan dana dan kerja-kerja 'PR' sahaja yang diperlu dilakukan, tetapi banyak aspek lain kesukanan yang perlu diberi perhatian. Dan penglibatan orang-orang politik yang hanya mahukan 'mileage' untuk karier politik mereka perlu dihentikan jika kita mahu sukan dan atlet kita mencapai tahap yang lebih tinggi.
Thursday, August 9, 2012
Tahniah Kepada Pandalela Rinong
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 9:29 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment