FESTIVAL PUISI
DAN LAGU RAKYAT PANGKOR YANG SEMAKIN
MERIAH
Berada di Pulau Pangkor baru-baru ini sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Pangkor 3 (FPLRP) mengingatkan penulis ketika berada di ‘kampung Shakespeare’ di Stradford- Upon Avon sedikit waktu lalu. Bezanya cuma Stradford-Upon Avon hidup sepanjang tahun dengan segala-galanya berpaksikan Shakespeare tapi Pantai Pasir Bogak dan sekitarnya bernafaskan puisi selama tiga hari tiga malam sahaja. Perbandingan sebegini sememangnya tidak wajar tetapi penulis berimaginasi tentang potensi FPLRP di masa akan datang yang boleh menjadi sepenting dan sebesar Stradford Upon Avon sekiranya di angkat ke tahap yang lebih tinggi dengan perancangan yang baik dan teliti.
Ia bukan mustahil dan bukan angan-angan. Negeri Perak menuju ke arah negeri maju dalam beberapa tahun lagi, jadi festival sebegini memang cukup perlu dan sesuai. Pangkor sebuah pulau yang cukup eksotik untuk program sebegini. Pun begitu dana yang lebih besar amat diperlukan dan perancangan yang cukup rapi dan teliti sangat mustahak.
Cadangan saya ialah festival ini diperluaskan menjadi festival seni selama seminggu atau lebih. Selain daripada kita berpuisi dan membicarakan buku, kenapa tidak dipentaskan teater (tak perlu teater perdana) dan juga di buat tayangan filem-filem yang baik dan merupakan 'festival material' yang tidak ditayangkan di pawagam biasa. Ada berbagai program yang boleh diisi untuk festival ini dan jumlah pelancong yang akan datang jauh lebih besar nanti. Apa pun, tahniah kepada Kerajaan Perak yang merupakan satu-satunya negeri yang mengadakan program sebegini yang merakyatkan seni sekaligus. Tahniah.
0 comments:
Post a Comment