Thursday, April 30, 2009

RTM dan Krisis Jatidiri

Seorang felo blogger mengatakan RTM sejak kebelakangan ini sedang melalui krisis identiti. Beberapa kali saya juga turut bersungut kepada komrad di media yang sehati tapi kadang-kadang tidak sejiwa! Nak buat macam mana kan? Terima sajalah apa yang ada. Tapi kami semua sependapat, perubahan-perubahan yang dibuat semenjak DS Shabery Chik menerajui Kementerian Penerangan ada kalanya mengundang banyak persoalan dan kontroversi. Tapi semenjak DS Rais Yatim menerajuinya diubah kembali kepada apa yang ternyata jauh lebih baik dan mempunyai asas iannya dibuat begitu dan bukan sekadar berubah kerana mahu mengubahnya. Kehilangan hampir 400000 penonton setia RTM 1 semasa Warta Perdana Bahasa Malaysia jam 8 malam kerana diubah sejam kemudian pastinya memberi banyak pengajaran kepada semua yang waras mengapa Warta Perdana itu harus dibuat pada jam 8.00 malam. Jadikan ianya suatu pelajaran yang baik.

Terima kasih juga kepada DS Rais Yatim kerana mengembalikan siaran RTM 1 kekal sebagai saluran berbahasa Kebangsaan sahaja. Sejak dulu lagi perkara ini telah berlaku, tapi entah kenapa tiba-tiba ada orang mahu bereksperimen menjadikannya saluran caca-marba bahasa! Ada orang terlalu percaya kepada multikulturisme agaknya sehingga mengenepikan isu-isu
yang ada hubung-kaitnya dengan kebangsaan dan bukan kebangsaan? Saya sedang cuba mendapatkan soft-copy artikel dari Dt. Prof Zainal Kling untuk dimuatkan dalam posting saya yang memperlihatkan asal-usul multikulturisme adalah dari Marxisme. InsyaAllah, akan disegerakan.

Pun begitu, saya masih menunggu bila RTM 1 dan 2 mahu meletakkan kembali ikon-ikon negara dan kebangsaan kita dalam siarannya? Klip seperti Tugu Negara, Bangunan Putra Perdana, Masjid Putrajaya dll semua dah tak ada langsung dalam RTM. Apa yang sudah berlaku? Ada kudeta ke di RTM sehingga ikon nasional pun tak boleh diletakkan? Kalau ada, siapa yang merampas kuasa? Banyak ikon nasional lain yang boleh diletakkan kalau ada orang yang allergic dengan segala-galanya tentang Putrajaya. DS Rais, tolong betulkan perkara ini dan jangan biarkan orang-orang tertentu mengubah RTM hanya kerana mereka nak mengubahnya!

Tuesday, April 28, 2009

Kisah Siti Hajar dan Telaga Zam-Zam.

Dalam Utusan Malaysia hari ini ada kisah isteri-isteri Nabi Ibrahim iaitu Siti Hajar dan Siti Sarah. Selepas membacanya saya teringat kisah bagaimana Siti Sarah iaitu isteri pertama Nabi Ibrahim yang sakit hati bila Siti Hajar isteri keduanya yang masih muda mengandungkan anak mereka. Dalam usahanya supaya Nabi Ibrahim tidak terlalu sayang kepada isteri barunya, Siti Sarah telah mencucuk sebelah telinga madunya supaya cacat dan tidak cantik lagi. Siti Hajar yang cukup sabar dan sedih dengan perbuatan Siti Sarah telah mengadu kepada Nabi Ibrahim . Nabi Ibrahim serba salah tetapi cukup simpati dan sedih terhadap apa yang telah berlaku kepada isteri mudanya. Beliau memujuk Siti Hajar dan akhirnya mencucuk sebelah lagi telinganya dan menggantung perhiasan menjadi subang di kedua belah telinganya. Siti Hajar nampak semakin manis dan cantik dengan perhiasan yang tergantung di telinganya. Sejak itulah disunatkan bertindik telinga kepada kanak-kanak perempuan.

Siti Sarah terus tidak puas hati dan semakin benci kepada madunya dan akhirnya menyuruh suaminya membuang Siti Hajar dan anak lelaki yang baru dilahirkan iaitu Ismail. Dari situlah kisahnya telaga zam-zam dijumpai oleh Siti Hajar setelah berlari ke sana-sini mencari air antara
Safa dan Marwah yang akhirnya menjadi ibadat sai dalam ibadat haji dan umrah hingga ke hari ini.

Saya mengenali seorang manusia yang ceritanya hampir sama seperti apa yang berlaku kepada Siti Hajar, cuma dia tidak dicacatkan telinganya tapi dicacatkan dengan serangan peribadi melalui fitnah dan cerita yang tidak benar terhadapnya. Dan seperti Siti Hajar, beliau menderita dan cukup tersiksa dengan fitnah-fitnah yang dilemparkan , tetapi Allah Taala terus mengangkat darjatnya dengan memberikan ketenangan, keimanan dan kekuatan dalaman yang tidak sedikit kepadanya dan beliau meraih kejayaan demi kejayaan dalam hidupnya hasil usaha dirinya sendiri. Ramai sahabat di sekelilingnya yang menyatakan mereka rasa cukup damai apabila melihat wajahnya kerana dia nampak tenang sepanjang masa. Kalaulah mereka tahu apa yang telah dilaluinya dalam hidup ini. Tapi alhamdullilah, rahmat Tuhan datang dalam berbagai cara kepada hambanya!

Moral ceritanya ialah kadang-kadang orang terlalu taksub cuba memburukkan orang lain supaya dibenci tetapi perbuatannya itu akhirnya memakan diri mereka sendiri dan orang yang diinayai itu semakin hebat dan kukuh peribadinya dan dilihat semakin menarik kerana cukup sabar dan tahan menanggung ujian Allah. Sebaliknya, orang yang cuba menginayai orang lain itulah yang semakin hari menampakkan keburukan peribadinya, walau pun pada mulanya orang tidak nampak keburukan tersebut kerana dapat dilindungi dengan berbagai cara.

Kepada Sdr.Rashid Yusuf, usahlah bimbang dan 'gabra' dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh berbagai pihak yang cuba menyekat anda dari mencapai kedudukan yang lebih baik. Apa pun sebabnya samada ia bertujuan politik atau tidak, orang-orang seperti itu akan sentiasa ada dan anda jumpai di mana-mana juga. Sabar,tabahkan hati dan kukuhkan peribadi anda yang cukup profesional dan tidak bermasalah dengan ramai orang lain. Usah biarkan dream-killers yang beberapa kerat itu menganggu hidup, dik! Dan jangan lupa berdoa kepada Allah SWT. InsyaAllah dan jangan lupa bahawa doa orang-orang yang terinaya itu amat dekat dengan Tuhan.

Seorang manusia yang cukup istimewa kepada saya baru-baru ini berkata ' terimalah dunia dan hidup ini seperti apa yang terjadi seadanya dan jangan harapkan hidup menjadi seperti apa yang kita mahukan.' Beberapa hari saya memikirkan apa yang beliau katakan kerana memang benar apa yang dikatakannya, tetapi saya juga teringat ayat quran yang mengatakan 'tidak akan berlaku qadak dan kadar itu melainkan dengan doa.'

Jadi Shid, berdoa banyak-banyak kerana hanya itu yang dapat mengubah segala kekecewaan yang telah ditakdirkan berlaku.

Sunday, April 26, 2009

2 tahun untuk pulihkan UMNO? R.O. Winstedt dan TS Mahyuddin ikut telunjuk Joceline Tan?

Ketua Penerangan UMNO yang baru mengulangi kata-kata TPM TS Mahyuddin bahawa UMNO/BN perlu 2 tahun untuk dipulihkan dan mendapat sokongan kembali. 2 tahun? Lamanya! Ramai orang menghubungi saya tentang perkara ini dan berbagai isu timbul dan diperkatakan. Antaranya ialah: -

1) Kenapa begitu lama masa yang diperlukan kalau Pak Lah adalah penyebab kepada penolakan BN dalam pilihan-raya 2008 yang lalu? Pak Lah dah tak ada sekarang dan Tun Mahathir yang 'diinayai' sudah pun kembali, kenapa perlu begitu lama nak pulih? Sepatutnya BN menang di Bt.Selambau dan Bt. Gantang sebab Tun Mahathir sendiri dah turun berkempen. Rakyat semua hanya percaya dan yakin dengan Tun Mahathir dan bukan orang macam Pak Lah! Jadi kenapa secara otomatik BN tak menang-menang juga bila Pak Lah dah turun?

2) Kalau UMNO/BN perlu 2 tahun, kenapa perlu Pak Lah undur diri? Mungkin kalau Pak Lah kekal pun masa 2 tahun tu dapat digunakan untuk memulihkan UMNO dan mendapat sokongan kembali. Kalau masa adalah faktornya, kenapa pemimpin yang harus digantikan? Atau seperti yang ditanya oleh seorang hambaAllah kepada saya baru-baru ini bahawa UMNO/BN telah disalah bedah?

Kepada orang-orang yang menanyakan soalan ini, sekali lagi saya nak katakan Wallhualam Bisawab, ada soalan adalah jawab....Lepas ni pasti ada orang kata saya ada wicked sense of humor. Allahuakbar. Tapi apa pun yang terjadi saya seronok tengok gambar Pak Lah bersalam dengan TS Saleha Ali dalam surat kabar baru-baru ini. Pasti TS Saleha boleh tanya terus kepada Pak Lah Islam Hadhari tu agama baru ke?

Beberapa tahun yang lalu, sewaktu saya mengunjungi bonda Ts Saleha di rumahnya, itulah soalan yang ditanyakannya kepada saya! Hampir lima jam saya duduk berbual dengan beliau dan macam-macam cerita yang keluar. Mungkin tak ramai orang yang tahu bahawa TS Saleha pernah jadi anak angkat R.O.Winstedt. Banyak gambar lama semasa menuntut di England dan tinggal di rumah Winstedt yang bonda TS Saleha tunjukkan kepada saya. Saya seronok sangat mendengar cerita-cerita TS Saleha dan bila nak balik, dia berikan jambangan bunga pulak kepada saya! Dia sayang kepada saya agaknya. Lepas ni saya mungkin patut menziarah beliau sebab dah lama tak bertemu bonda saya yang seorang ini. Saya dah lama teringat nak bertemu beliau, tetapi kerana cuaca agak panas sebelum ini, saya tak ada mood nak jumpa siapa pun!!

Seorang lagi adik saya Rashid Yusuf yang sepatutnya dijadualkan menjadi Setiausaha Akbar kepada TPM telah tidak jadi berbuat demikian kerana dengarnya Jocelin Tan menghantar SMS kepada TPM mempertikaikan perlantikan Rashid. Wow besarnya power Joceline! Ini bukan faktor wow nampaknya tetapi power wow. Saya kurang pasti apakah benar seorang TPM perlu tunduk kepada telunjuk seorang kolumnis STAR dan beberapa orang bloggers sahaja? Atau ada tangan-tangan ajaib yang tak mahu sesiapa juga yang mempunyai kaitan dengan YB KJ menduduki Bangunan Perdana Putra, Putrajaya!!

Thursday, April 23, 2009

Pilihan-raya Penanti Patut Dibatalkan!

Keputusan SPR tidak mengumumkan tarikh pilihan-raya kecil DUN Penanti lagi adalah sesuatu yang patut dipuji. Saya di antara orang yang berpendapat ianya tak patut diadakan atas banyak sebab. PKR nampaknya hanya mahu berpolitik dan membazir duit rakyat. Mereka bukan nak mentadbir dan buat apa sepatutnya dilakukan oleh kerajaan yang bertanggung-jawab! Sebelum ini mereka menjanjikan bulan dan bintang kepada pengundi-pengundi tetapi mana dia janji-janji tersebut? Habuk pun tak ada! Yang tak habis-habis dilakukan ialah memaksa pilihan-raya kecil untuk mengekalkan momentum politiking mereka.

Saya yakin kalau SPR membenarkan pilihan-raya DUN Penanti diadakan, ianya akan diikuti oleh DUN Bt. Lanjan atau tempat-tempat lain pula sebulan dua lagi. Semoga rakyat negara ini membuka mata seluas-luasnya dan menyedari taktik-taktik licik PKR ini! BN mungkin bukan parti paling baik di dunia dan tidak bermasalah, tetapi sekurang-kurangnya mereka ada rasa tanggung jawab yang tinggi kepada pengundi mereka. Ramai bekas YB BN yang kalah dalam setiap pilihan-raya masih setia berkhidmat di kawasan mereka dan turut berkempen untuk calon BN yang lain dalam setiap pilihan-raya kecil berikutnya. Saya kagum dengan sikap serta dedikasi mereka yang tidak mengenal perkataan give-up kadang-kadang.

Istilah Prof.Dt.Zainal Kling kepada pakatan pembangkang ialah mereka diperkuda dan 'diperunta' oleh DAP. MasyaAllah!

Tuesday, April 21, 2009

Buku Politik, Terjemahan dan Patik Menjunjung Kasih Tuanku.

Semalam di Hotel Seri Pacific, YTM Raja Dr. Nazrin Raja Muda Perak melancarkan buku terjemahan Institut Terjemahan Negara (ITNM) tentang Barack Obama dalam satu majlis yang amat bermakna dan berprofil tinggi (Rev.Jesse Jackson yang sangat 'camera -shy' pun hadir. Oh dia kelihatan macam Will Smith 30 tahun lagi!). Dalam ucapannya baginda memperkatakan tentang banyak perkara yang menyentuh isu semasa dengan analisis yang amat tajam, sarat dengan fakta dan ilmu. Patik menjunjung kasih tuanku.

Antara isu yang baginda timbulkan adalah tentang penulisan yang berbau fitnah dan tidak benar untuk membunuh karekter orang tertentu ( terutama kepada ahli politik ) di musim-musim tertentu yang cukup strategik untuk menjatuhkan seseorang. Seperti yang telah berlaku ketika pemilihan UMNO baru-baru ini dan YB KJ menjadi mangsanya. Tujuannya hanya satu iaitu untuk memberi persepsi buruk tentang beliau supaya YB KJ kalah dan tidak terpilih! Itu saja. Satu perangai negatif orang kita ialah jika saingannya lebih berilmu, lebih tinggi dan dia tidak dapat mengalahkannya, jatuhkan hamba Allah tu. Jangan bagi dia naik. Perkara ini telah lama berlaku dan ramai orang yang menjadi mangsanya dan YB KJ bukan lah orang pertama yang mengalami nasib begini (saya merujuk kepada perkara yang terjadi ketika pemilihan Ketua Pemuda UMNO baru-baru ini dan tidak mengenai perkara lain).

YTM Raja Dr.Nazrin juga menyentuh tentang penerimaan orang Amerika terhadap Obama
adalah kerana beliau tidak menolak budaya besar yang lebih dominan di sekelilingnya walau pun dia berketurunan orang kulit hitam dari Afrika. Obama tidak berkonflik dengan budaya Anglo-Saxon dalam masyarakat kulit putih di Amerika Syarikat sebab itu dia tidak diragui dan tidak ditolak oleh pengundi yang bukan sekulit dengannya. Begitulah seharusnya di mana pun, budaya penduduk yang lebih besar (apalagi penduduk asal) dalam sesebuah negara tidak boleh dipinggirkan, ditolak atau dipersoalkan oleh kumpulan imigran yang lebih kecil jumlahnya.
Penerimaan ini amat penting dan cukup sakral dalam konteks membina toleransi dan perpaduan dalam sesebuah negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti di Malaysia. Istilah sahabat saya Prof Dt.Shamsul Amri ialah plurality in plural society.

Sementara itu, dalam satu rancangan bual-bicara di TV 1 sebelum itu, ada perbincangan tentang penterjemahan. Rata-ratanya ahli panel berkata aktiviti penterjemahan buku di negara ini terlalu minimal dan perlu dilipat-gandakan. Saya amat bersetuju tentang pendapat ini dan ITNM ( juga DBP) patut diberikan peruntukan yang lebih besar supaya buku-buku ilmiah, karya sastera dll dapat diterjemahkan samada dari bahasa asing kepada Bahasa Melayu atau sebaliknya.

Sehubungan ini, saya mengucapkan sekalung tahniah kepada ITNM yang sedang giat menterjemah karya-karya agung kita ke dalam bahasa asing untuk tujuan pengantara-bangsaan dan mempamer sistem nilai, pemikiran dan falsafah hidup orang Melayu yang mempunyai tamadunnya yang tersendiri, cukup unik dan tinggi sejak beratus tahun lalu. Entah kenapa DBP yang telah begitu lama berfungsi, tidak terfikir untuk membuatnya selama ini. Karya agung Hikayat Hang Tuah, Sulalatus Salatin dll akan diterjemahkan dan siap tidak lama lagi.

Ada banyak cara membina monumen untuk mempamer kebesaran dan kegemilangan kita dan mengantara-bangsakan karya-karya sastera kita adalah salah satu di antaranya yang boleh dibuat dengan kos yang jauh lebih murah dan melibatkan tenaga serta pakar tempatan.
Kepada Menteri Pelajaran yang baru, jangan jauhkan diri dari golongan orang berilmu dan intelektual. Ilmu dan keintelektualan pegawai-pegawai tinggi kementerian sahaja tidak cukup walau pun ramai yang mempunyai PhD. Paling penting jangan lupa bahawa golongan budayawan dan pemikir adalah aset negara yang amat berharga!

Sekali lagi, patik menjunjung kasih tuanku.

Monday, April 20, 2009

Alex Josey, Melayu dan Lanun.

Kolum TS Mazlan Nordin dalam Mingguan Malaysia semalam mencatatkan kisah wartawan Singapura Alex Josey yang mendakwa orang Melayu adalah keturunan lanun. Dalam diskusi tentang Tun Razak minggu lalu, Dt. Zam juga menyentuh hal ini. Hari Sabtu lalu saya mengikuti sesi pengkisahan sejarah Perang Bt. Nanas anjuran Persatuan Sejarah Selangor dan Encik Siri Neng Buah menceritakan bagaimana orang-orang Raja Abdullah menjadi perompak yang hanya merompak kapal-kapal British, Perancis, Cina (dari Pulau Pinang) dll tetapi tidak akan menggangu kapal-kapal yang datang dari seluruh Kepulauan Melayu sewaktu menghampiri pantai negeri Selangor. Ini bukan cerita perompak yang mengamalkan pilih kasih atau apartheid , tetapi ianya membawa konotasi hanya kapal-kapal penjajah dan orang barat saja yang akan dirompak. Sekaligus ini bermakna pernyataan politik yang amat kuat tentang kebencian orang tempatan kepada kuasa barat dan penjajah yang mereka musuhi.

Saya masih kecil ketika kejadian ini berlaku ( sekitar 10 tahun) tetapi masih ingat membaca berita tentang kecoh yang ditimbulkan oleh Alex Josey ini dalam surat-kabar jawi Utusan Zaman. Banyak perkara yang tidak saya fahami ketika itu tetapi arwah ibu saya yang merupakan seorang guru sekolah menerangkannya kepada saya. Dan untuk suatu waktu yang lama saya mempunyai perasaan kurang senang yang saya tidak tahu kenapa dan sedikit keliru bila mengetahui seseorang itu bekerja sebagai pelaut. Balada seorang gadis kecil!

Sebenarnya cerita orang Melayu menjadi perompak itu adalah suatu fakta tetapi mereka bukan merompak kerana mereka memang keturunan perompak dan suka merompak. Mereka adalah pejuang nasionalis Melayu awal yang bergerak di bawah naungan golongan bangsawaan dalam usaha menentang penjajahan dan pengluasan tanah jajahan dan pengaruh kuasa-kuasa Eropah di abad 18 dahulu di seluruh Kepulauan Melayu. Jadi kita semua tidak perlu sensitif sangat tentang apa yang ditulis oleh Alex Josey. Lagipun dalam sejarah Inggeris, Walter Raleigh dan Francis Drake diberi gelaran Sir oleh Permaisuri Elizabeth I kerana mereka pun merompak kapal-kapal dagang terutama dari Sepanyol yang memang terkenal dengan armadanya yang tak dapat dikalahkan oleh mana-mana kuasa Eropah ketika itu. Seperti orang Melayu yang merompak sebagai penyataan politik menentang penjajahan, orang Inggeris telah lama melakukannya terlebih dahulu sebagai strategi melemahkan musuh. Dan seperti selalu, orang kulit putih sering merasakan apa yang mereka lakukan adalah betul, tetapi perkara yang sama kalau dilakukan oleh orang lain adalah salah!

Friday, April 17, 2009

Mengenang Semula Kongres Kebudayaan Melayu II

Beberapa hari lepas di rumah GAPENA dan sewaktu membelek Warta GAPENA terbaru keluaran April 2009 yang memuatkan banyak cerita dan gambar sepanjang Kongres Kebudyaan Melayu II pada 16-17 Mac lalu, barulah saya terfikir bahawa kami telah membuat satu kongres yang amat bersejarah selepas tahun 1957. 52 tahun selepas kongres yang pertama baru diadakan pula yang keduannya. Ramai orang yang berkata kepada saya Kongres itu diadakan tepat pada waktunya dan dalam senario politik-ekonomi-sosio yang sedang menghadapi cabaran dan perubahan serta ketidak-tentuan nasib bangsa yang amat menuntut renungan, pemikiran dan tindakan yang wajar, bijak dan tuntas.

Beberapa minggu sebelum kongres itu, beberapa kali kami duduk bermesyuarat di rumah GAPENA, Persatuan Sejarah Malaysia malah kami membuat kunjungan hormat dan menjemput DS Shafie Apdal Menteri Perpaduan Kebudayaan Kesenian dan Warisan berbagai perkara yang timbul dan diperkatakan, tapi ketika itu saya sedikit pun tidak menyedari bahawa kami telah melakukan sesuatu yang amat bersejarah serta mempunyai konsekuen yang penting dalam banyak aspek. Minggu-minggu sebelum kongres itu saya seperti terpukau dan tidak memikirkan hal lain selain daripada kongres yang kami cuba buat sejak tiga tahun yang lalu.

Bermula dari tahun 2006 saya dan Puan Halimah Hassan dari UPM mula duduk berbincang dengan Prof.Awang Sariyan dan merancang untuk mengadakan kongres ini di UPM . Kami merancang untuk menjemput PM merasmikannya dan pejabat PM telah diberitahu mengenainya.Beberapa rintangan yang tidak dijangka akhirnya memaksa kawan-kawan di UPM untuk duduk berbincang dengan Prof Madya Dt.Zainal Abidin Borhan dari Akademi Pengajian Melayu UM supaya bergabung tenaga dan cuba membuat kongres ini . Pun begitu kerana masih terdapat 'aral yang melintang' usaha itu terpaksa dibatalkan sehinggalah saya mula bercakap dengan TS Ismail Hussein dan Dt.Omar Hashim melontarkan cadangan mengenainya kepada Dt.Shafie Apdal tahun lepas. Tapi pada ketika itu saya masih tidak menyedari bahawa ianya akan menjadi satu batu-tanda yang amat bersejarah sehingga dua tiga hari yang lepas.

Memetik kata-kata Tuan Haji Mokhtar Yasin Ketua 1 IPM badan kerabat GAPENA yang merupakan segelintir kecil mereka yang menghadiri Kongres Kebudayaan Melayu I "Kongres Kebudayaan Melayu II ...telah memperlihatkan usaha yang amat berguna bukan setakat mengenang semula kongres yang lalu bahkan lebih dari itu . ...kongres pada kali ini disamping menghimpunkan para ilmuan Melayu dari berbagai jurusan bidang ilmu seperti undang-undang, ekonomi, jurutera, falsafah...bersama dengan sasterawan dan ahli politik bersatu untuk mempertahankan kedaulatan bangsa, bahasa dan agama. Sifat terbuka dan ikhlas dalam mempertahankan hak dan kedaulatan Melayu terdapat dalam perbincangan setiap sesi. Ia sebenarnya menggambarkan rasa kekecewaan Melayu pada awal abad ini. GAPENA (dan PSM) dalam usahanya menyatukan semua para cendekiawan tanpa mengira aliran fahaman politik untuk bersatu atas nama Melayu merupakan perintis yang berjaya yang sehingga ini tidak sanggup dilakukan oleh sebarang badan lain. Hendaknya usaha ini dapat diteruskan tanpa henti dengan izin Allah."

Saya masih ingat selepas pilihan-raya tahun 1999, Dt.Omar Hashim yang baru menamatkan tugas sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan-raya ketika itu pernah mengatakan kepada saya
bahawa orang Melayu amat memerlukan satu platfom yang tidak mengira kecenderungan politik untuk memperjuangkan kepentingan mereka. 'Kita kena bergerak dalam satu barisan sebagai orang Melayu kerana keputusan pilihan-raya (1999) bukan kali ini sahaja yang akan jadi macam ini' begitulah lebih-kurang kata-katanya kepada saya. Apa yang dikatakan oleh Dt.Omar Hashim memang tepat berlaku dan walau pun selepas 10 tahun baru cadangan beliau dapat dilaksanakan, ianya adalah satu permulaan yang baik. Saya cuma terkilan, di dalam 'keserabutan' senario politik semasa Kongres ini tidak dapat menjemput PM untuk merasmikannya.

Sekarang saya faham mengapa saya sebak dan menitiskan air mata bila melihat ayahanda Prof Madya Dt.Zainal Abdin Borhan iaitu Dt.Borhan Md Yamin (yang hadir dalam Kongres I) menitiskan air mata bila dia bangun bercakap dan berkongsi cerita tentang nostalgia, kedaifan serta kekurangan Kongres I yang mengungkap senario kemiskinan orang Melayu tetapi mereka kaya dengan semangat dibakar oleh bahang kemerdekaan yang baru dicapai ketika itu. Beberapa tahun lalu TS Aziz Tapa juga menceritakan kepada saya cerita yang hampir sama di rumahnya di Jasin.

Terima kasih kepada semua yang telah menggerakkan usaha sehingga Kongres Kebudayaan Melayu II berjaya dilaksanakan. Ianya merupakan satu usaha yang akan tercatat dalam sejarah merakam perasaan, pemikiran, resah dan gelisah orang Melayu. Hari ini kita bercakap tentang 1 Malaysia. Dan ianya bermakna setiap orang berfikir sebagai orang Malaysia dan bukan orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau apa saja. Dan untuk semua orang boleh berfikir sebagai orang Malaysia kita perlukan faktor penyatu-paduan yang mengikut lunas undang-undang seperti yang tertera dalam Perlembagaan Negara yang menjanjikan hak setiap orang di negara ini. Dan ia bermakna satu bahasa, satu budaya satu aspirasi negara walau dari mana juga keturunan dan latar-belakang kita. Kita tidak boleh ada 'multi-level multiculturalism' (istilah baru yang diperkenalkan oleh Prof Dt. Zinal Kling baru-baru ini) seperti yang sedang membiak dengan pantasnya dalam masyarakat hari ini atas nama hak asasi manusia dan landaan globalisasi!

Wednesday, April 15, 2009

Tun Mahathir Kata Jangan Lupa Sejarah!

Semalam dalam satu kenyataan Mantan PM Tun DR. Mahathir berkata mata pelajaran Sejarah perlu diajar kepada golongan muda supaya mereka tidak melupakan asal-usul mereka dan tahu tentang sejarah penubuhan negara ini dan tidak membuat kesilapan yang sama sehingga kita boleh terjajah semula. Alhamdullilah, doa saya dan ramai orang lain dimakbulkan oleh Allah SWT kerana Dia memberikan petunjuk taufik dan hidayah kepada Tun Mahathir untuk menyedari betapa pentingnya setiap rakyat negara ini mengetahui sejarah negara mereka sendiri.

Golongan muda kita tidak sahaja memerlukan ilmu pengetahuan dalam bidang sains, teknologi, ICT dan entah apa lagi tetapi hanya pelajaran Sejarah yang dapat memupuk perasaan cinta kepada negara dan bangsa. Kalau tidak, Rusia dan Amerika Syarikat tidak akan mewajibkan mata-pelajaran ini kepada pelajar-pelajar mereka walau pun seseorang itu mahu menjadi pakar nuklear fizik atau jurutera aeronautikal! Entah kenapa dan dari mana datangnya angin (angin kus-kus kata P.Ramlee!) suatu ketika dulu kita pinggirkan pelajaran Sejarah sebab ada orang kata ianya tidak penting, ia membuang masa dan mata-pelajaran sains dan teknologi adalah lebih penting dari segala-galanya.

Hari ini kita dengar orang mempersoalkan tentang kontrak sosial, tentang Orang Melayu adalah imigran dari seluruh Nusantara dan negara ini penduduk asalnya adalah Orang Asli sahaja. Semua ini adalah kerana kita pinggirkan pelajaran sejarah dan rakyat kita jadi buta sejarah dan Perlembagaan Negara ditafsir dengan sewenang-wenangnya dan mengikut kepentingan orang yang bercakap! Saya yakin selepas ini, isu PPSMI tidak lagi akan menjadi seperti duri dalam daging kepada orang Melayu yang mengenali akar budayanya. Hal ini juga berkaitan dengan budaya serta kesenian Melayu seperti yang telah diformulakan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang menjadi praktis kita selama ini.

Tun Mahathir mungkin paling ingat tentang Malayan Union dll yang berkaitan dengan proses mencapai kemerdekaan, tetapi wacana tentang sejarah dan warisan sesuatu bangsa itu jauh lebih luas dan dalam kerana ia menyentuh dan berkait rapat dengan pemikiran, pandangan, falsafah, akal -budi, akar budaya serta pandangan luar (world view) seseorang manusia dari sesuatu bangsa.

Terima kasih kepada ayahanda Mantan PM YBhg. Tun Dr. Mahathir yang berani berdepan dengan kesilapan-kesilapan masa lalu dan berusaha memperbaikinya seperti apa yang cuba dilakukan oleh Pak Lah semasa beliau menjadi PM selama ini!

Tuesday, April 14, 2009

Satu hari di Aswara

Pagi tadi berlangsungnya forum tentang Tun Abd. Razak di Aswara. Pada mulanya saya diberitahu yang Tan Sri Abdullah Ahmad adalah antara ahli panelnya, tetapi bila tiba di Aswara Dr. Anuar Arai mengejutkan saya kerana katanya bukan Tan Sri Abdullah yang akan jadi panel tapi DS Zainuddin Maidin dan Dt.Nordin bekas ADC Tun Razak. Saya sebenarnya ada soalan yang nak diajukan kepada TS Abdullah jadi terpaksa simpan sampai berjumpa beliau lagi.

Apa pun diskusi tadi berjalan lancar dan banyak yang dikongsi bersama oleh kedua ahli panel kepada khalayak. Dan seperti yang saya jangka DS Zainuddin berada dalam 'elemennya' bila membicarakan tentang seorang tokoh yang dikenalinya, malah seperti yang saya perhatikan selama ini beliau lebih menonjol dan 'selesa' sebagai seorang wartawan yang true to his craft daripada seorang ahli politik yang mungkin dalam banyak segi berdepan dengan dilema bila menghadapi sepak terajang politik. Beberapa tahun yang lalu saya berbual dengan TS Aishah Ghani yang mempunyai pandangan yang sama tentang Dt.Zam. Jadi betullah tu, bukan saya seorang yang berpendapat begitu!

Dan betul seperti yang saya katakan bila membuat reviu buku terbaru beliau Surat Daripada Dr.Mahathir, mereka ini ada hubungan love-hate. Tadi Dt.Zam memuji Tun Mahathir pulak! Hari tu dia salahkan Tun Mahathir yang menyebabkan tsunami politik 2008. Kan saya dah kata? Mungkin sekarang dia dah tak berapa marah kepada Tun Mahathir agaknya sebab Dt. Mukriz kalah dan tak jadi Ketua Pemuda. Semoga dia tak marah kepada saya dan geng bloggers yang lain kerana kami sokong YB KJ dan hari-hari tulis dalam blog macam-macam! Baru-baru ni ada orang hantar mesej kepada saya 'jangan pukul abang saya teruk-teruk sangat'! Adik sapa lah yang hantar mesej macam tu kepada saya? Wallahualam Bisawab.

Seorang teman dimajlis diskusi tadi bertanya kepada saya tentang Kongres Kenegaraan GAPENA yang akan diadakan di Ipoh pertengahan Mei nanti (telah diubah tarikhnya). Ada orang mengaitkannya dengan sentimen 'tidak mesra Tun Mahathir' seperti yang terjadi dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan II yang lalu. Saya tidak yakin itu adalah tujuan GAPENA nak buat Kongres ini. Tetapi isu imuniti raja-raja dan Perlembagaan Malaysia sudah lama menuntut segalanya dilihat semula dan sesuatu perlu dilakukan sebelum iannya terlewat. Ada abang besar yang cukup marah tentang isu ini dan bila saya katakan iannya seperti marahkan nyamuk kelambu dibakar, dia mencelah dan mengatakan 'ini bukan bakar kelambu lagi, tapi ini bakar Melayu!'. Seperti yang saya katakan, Tun Mahathir telah melakukan banyak kebaikan kepada Malaysia, tetapi seperti yang diakuinya sendiri, dia adalah seorang manusia dan membuat kesilapan. Jadi marilah kita betulkan kesilapan beliau supaya kita tidak kehilangan segala-galanya.

Sekalung tahniah saya kepada DS Najib Tun Razak yang baru-baru ini mengatakan 'sudah sampai masanya kita mengakui kerajaan tidak mengetahui segala-galanya.' Saya senang dengan pendapat beliau kerana ini bermakna DS Najib mau mengambil sikap musyawarah dan berbincang. Jadi NGO seperti GAPENA perlu diajak berbincang dan duduk semeja sebagai stakeholder yang penting, berwibawa dan berpengaruh di seluruh Alam Melayu untuk turut bercakap tentang pembinaan negara-bangsa dan jangan sekali-kali dipinggirkan seperti yang telah dilakukan oleh pentadbiran Tun Mahathir sebelum ini.

Saturday, April 11, 2009

Menariknya Analisis Joceline Tan

Dalam Sunday Star hari ini, Joceline memilih untuk membuat analisis tentang kedudukan YB KJ yang tidak tersenarai dalam kabinet DS Najib. Saya sedikit kecewa kerana beliau memilih tajuk ini dan bukannya tentang sikap 'acuh tak acuh ' parti-parti politik Cina dalam pilihan-raya kecil di Bt.Selambau dan Bt.Gantang baru-baru ini. Pun begitu saya cukup terpanggil untuk memberi respon tentang apa yang beliau tulis.

Antaranya kata Joceline, YB KJ memerlukan sokongan semua orang dalam Pemuda UMNO kerana kedudukannya yang tidak mendapat sokongan majoriti dalam pemilihan UMNO yang lalu. Saya tidak yakin hanya YB KJ yang berada dalam kedudukan begitu. Ketua Puteri Umno juga tidak mendapat undi majoriti dan sememangnya ini bermakna kedua mereka perlu bekerja kuat untuk mengukuhkan kedudukan dan menyatu-padukan sayap masing-masing. So what's the big deal Joceline? 3 tahun adalah suatu tempoh yang cukup lama untuk kedua tokoh ini berbuat apa juga untuk memastikan mereka adalah orang-orang yang worthy duduk sebagai ketua sayap masing-masing. Dan Saya yakin kedua tokoh ini bukan macam orang politik tertentu yang tak ada 'tulang belakang' yang memerlukan sistem sokongan dari seluruh keluarga untuk berkempen bagi mendapat kemenangan!

Kata Joceline lagi, clout politik yang dipunyai oleh YB KJ selama ini macam pedang yang makan dua-dua belah. Ia membawa kesan positif dan juga negatif pada masa yang sama. Apakah ini berbeza dalam kedudukan DS Najib, DS Hishamuddin Hussein dan Dt. Mukriz Mahathir? Saya yakin, sepanjang hayat politik mereka, perbandingan antara anak-anak Mantan PM dengan bapa mereka akan terus dibuat. Tapi di akhirnya mereka perlu menjadi diri sendiri dan prestasi mereka diukur dari apa yang mereka lakukan, bukan siapa mereka dan apa yang bapa mereka telah lakukan. Beberapa tahun lalu saya masih ingat pernah berbual tentang subjek ini dengan Sdr. Razak Baginda dan akhirnya beliau bersetuju dengan pendapat saya. Saya kira Joceline sedikit naif(?) jika berkata YB KJ saja berdepan dengan situasi ini.

Saya yakin YB KJ tidak kecewa kerana tidak dilantik dalam kabinet kerana dia cukup sedar dan realistik tentang situasi dalam UMNO dan BN yang amat jauh dari hati dan minda golongan muda dan pengundi bukan Melayu. Malah beliau cukup gracious dalam menerima keputusan DS Najib dalam hal ini. Saya kurang pasti perkara yang sama dapat dilakukan oleh spoiled brats who must get what they want lain dalam keadaan YB KJ! Sikit atau banyak, saya yakin Pak Lah telah menunjuk ajar menantu beliau dengan baik, berpolitik secara sopan serta mementingkan perjuangan dan bukan hanya memegang jawatan penting dalam politik atau kerajaan. Hanya orang gila kuasa sahaja yang akan mengajar anak cucu mereka supaya menjadi gila kuasa dan terus berkuasa tanpa mengira apa risiko tindak tanduk mereka kepada agama, bangsa dan negara. Dan Joceline perlu memahami ada perbezaan besar antara berpolitik dengan berjuang!

Thursday, April 9, 2009

Tentang Proletariat dan Burjuis

Kata Dr.Abu Hassan dari Zentrum Future Studies dalam program Analisis Awani baru-baru ini, kekalahan BN di tangan PKR adalah menunjukkan adanya unsur pertentangan kelas antara golongan proletariat (kelas pekerja) dengan golongan burjuis (kelas menengah atasan). Selepas program itu saya menghantar sms kepada beliau dan bertanya benarkah itu yang terjadi di Bukit Selambau kerana saya tidak yakin dengan pendapat tersebut. Malah terminologi yang beliau gunakan kedengaran begitu Marxis dan sosialis. Beliau gembira dengan respon saya kerana katanya memang itu tujuannya iaitu untuk mencungkil wacana dari orang-orang yang berfikir. Dr.Abu ni memang perlu digodam dan dipulas telinganya kadang-kadang!
Malah saya katakan terminologi yang dia gunakan sudah tak dipakai lagi sekarang. Lalu beliau gunakan istilah 'neo-proletariat'. Ada ka istilah tu Dr.Abu? Biar betul dik!

Sebenarnya beberapa hari sebelum pilihanraya kecil tersebut saya pernah mengeluarkan pendapat yang hampir sama sewaktu berbual dengan Tan Sri Ismail dan Dato Prof Zainal Kling serta beberapa rakan lain di rumah GAPENA. Saya mengemukakan pendapat tentang PKR dan PAS yang berjaya menarik sokongan ramai dari golongan berpendapatan rendah seperti peniaga kecil pasar malam, pekerja kilang dll dan itulah sebabnya mereka ini senang dimobilisasi dalam perarakan,tunjuk perasaan dan elemen-elemen 'mob culture' yang semakin jelas kebelakangan ini. Mungkin ini riaksi kepada luasnya jurang perbezaan pendapatan antara golongan berada dan tidak berada, tetapi mengatakan iannya pertentangan kelas antara proletariat dan burjuis adalah suatu generalisasi yang menuntut kajian yang lebih mendalam dan mungkin tidak tepat.

Kerajaan PR selepas beberapa bulan menawan beberapa negeri tidak lagi mahu menggunakan kereta Malaysia Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi. Malah TKM Pulau Pinang yang meletak jawatan beberapa minggu lalu menggunakan kereta mewah yang diimpot dengan plat nombor paling eksotik yang pastinya mahal tender untuk memperolehinya. Ketua de facto PKR Dato Seri Anwar Ibrahim juga kelihatan bergaya ke sana sini dengan kereta mewah Audi nya. Benarkah ini pertentangan kelas antara proletariat dan burjuis brader?

Yang terakhir dan sedikit mengejutkan ialah pembakaran kereta polis di luar Stadium Sultan Muhammad di Kota Baru selepas pasukan Kelantan kalah kepada pasukan Negeri Sembilan. Mengejutkan dan menakutkan, kerana perkara sebegini tidak pernah berlaku. Tetapi kalau bertahun-tahun minda penyokong diasak dengan hasutan, fitnah dan persepsi buruk terhadap etablishment bukan saja kereta polis yang akan dibakar, Istana Negara juga boleh dilontar dengan molotov cocktail! Memang tidak ada bukti untuk mengaitkan mereka yang merusuh dan membakar kereta polis dengan penyokong mana-mana parti politik, tetapi fakta bahawa iannya berlaku di Kelantan dan tidak berlaku ditempat lain adalah sesuatu yang menarik.

Berpolitik bukan bermakna memobilisasi seramai mungkin sokongan untuk menjatuhkan pihak lawan, tetapi mempunyai konotasi pertanggung-jawapan yang maksimum untuk memastikan keselamatan, kestabilan dan keamanaan sentiasa di peringkat terbaik bagi semua rakyat di sesebuah negara. Kita tidak perlu mob culture dan agitasi untuk mencapai niat menjadi PM tetapi cabaran kepada orang politik yang berfikir ialah untuk menanam pemikiran berpolitik yang sihat, aman, rasional dan bertanggung-jawab. PKR dan PAS mungkin sudah lama kalah sebelum sempat menjatuhkan BN jika prinsip ini diambil kira!

Wednesday, April 8, 2009

UMNO telah di salah bedah?

Jam 2 pagi tadi, saya masih tidur tapi dikejutkan oleh SMS yang diterima dari seorang hambaAllah yang berada di Sungai Petani kerana turun berkempen di Bt.Selambau. Mesejnya pendek saja tapi cukup dalam maknanya. Kata kawan tersebut: 'Sahabat apa sudah jadi? Pak Lah dah undur diri, Najib dah jadi PM dan Tun Mahathir serta geng dia sudah kembali mendominasi media dan kelihatan di mana-mana, awat BN kalah juga di Bt.Selambau dan Bt.Gantang? Mungkin doktor UMNO salah bedah kot? Jangan-jangan doktor UMNO tu yang tak betui? Jangan-jangan doktor tu yang kena bedah otak dia?'. Saya tidak mahu komen panjang tentang SMS yang saya terima. Jadi WallahuAlam bisawab, ada soalan adalah jawab!

Saya sempat membaca blog yang ditulis oleh Steven Doss yang mengatakan DS Najib tidak perlu membawa baggage yang datang bersama-sama Mantan PM Tun Dr. Mahathir kerana pada pandangan beliau Tun Mahathir adalah suatu liabiliti. Dalam tahun 2004 orang-orang penting GAPENA telah bertemu dengan Pak Lah di Putrajaya dan menyatakan keperihatinan mereka tentang PPSMI dan perlunya dasar itu diubah dan tidak diteruskan kerana ia amat merugikan. Jawapan Pak Lah ialah itu semua adalah baggage masa lalu yang perlu dibawanya dan dia tidak dibenarkan mengubahnya. DS Najib, jangan sampai bab-bab baggage ni jadi pisang berbuah dua kali! Cukuplah sekali dan hanya Pak Lah yang menjadi korbannya.

Sunday, April 5, 2009

Kongres Kenegaraan Gapena Di Ipoh

GAPENA akan mengadakan Kongres Kenegaraan di Ipoh pada 1 - 3 Mei 2009 ini. Butir-butir tentang kertas kerja kongres 3 hari ini masih belum muktamat dan akan diletakkan dalam posting yang berikutnya setelah semuanya disahkan. Apa pun Kongres ini dijangka dirasmikan oleh YTM Raja Muda Perak Raja Dr. Nazrin pada 1 Mei 2009 kelak di Hotel Syuen.

Sehubungan dengan ini, GAPENA dalam memorandumnya kepada UMNO yang telah dihantar kepada Dato Seri Najib sebelum perhimpunan UMNO baru-baru ini telah menggariskan di antaranya keperihatinan tentang isu Raja Berperlembagaan seperti berikut:-

" Dengan membuat pelbagai pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan terutama berkaitan 'Kekebalan raja-raja' terutama Perkara 63 'keistimewaan-keistimewaan Parlimen' maka Perlembagaan itu mengandungi percanggahan antara beberapa perkara di dalamnya termasuk Fasal 63 (4) dan 63 (5) itu sendiri dan terhadap Perkara 181 yang melindungi kedaulatan raja-raja. Dengan demikian Perlembagaan menjadi permainan ahli parlimen untuk mencabar, mencaci kemuliaan raja-raja dan melanggar peruntukan Akta Hasutan tanpa sebarang kuasa yang boleh menghukum mereka. Maka GAPENA berpendapat kerajaan mesti mengembalikan kemuliaan raja-raja itu dengan meminda Fasal 63 (5) Perlembagaan Persekuatuan."

(petikan dari MEMORANDUM GAPENA KEPADA UMNO yang dimuatkan dalam Warta GAPENA Febuari 2009).

Untuk keterangan lanjut hubungi 03-21442412.

Friday, April 3, 2009

Terima Kasih Pak Lah

Tiada kata secantik bahasa
Nak ku puji adinda
Tiada gambar seindah lukisan
nak ku tunjukkan perasaan

Itu di antara bait-bait indah lirik lagu Tiada kata secantik bahasa nyanyian P.Ramlee. Tapi sejak dua tiga hari kebelakangan hampir semua media arus perdana negara ini mempamerkan perasaan sebegini kepada seorang Pak Lah yang hari ini melangkah keluar dari Bangunan Perdana Putra di Putrajaya sebagai seorang warga biasa setelah lebih lima tahun menjadi PM. Kepada seorang kawan dari sebuah syarikat akhbar ulung negara ini saya menghantar sms mengucapkan terima kasih kerana akhbar tempat dia bekerja 'melepaskan' Pak Lah dengan penuh kasih sayang dan rasa hormat yang tidak terhingga seperti yang ditunjukkan dalam artikel-artikelnya hari ini.

Di TV 3 petang tadi Dr.Atory Hussein bercakap panjang tentang Pak Lah dan pengorbanan besar yang dilakukannya dengan mengundurkan diri dan menyerahkan teraju pentadbiran kepada DS Najib Tun Razak kerana itulah keputusan terbaik demi agama bangsa dan negara. Pak Lah tidak berbuat apa-apa untuk terus berkuasa lebih lama seperti yang mungkin dilakukan oleh orang lain kalau berada dalam keadaan begitu tanpa mengira risikonya. Dan sememangnya itulah yang berlaku setelah semua opsyen difikirkan dan demi keutuhan UMNO dan BN, Pak Lah yang amat realistik dan memikirkan kepentingan parti lebih dari segala-galanya termasuk dirinya sendiri mengambil keputusan untuk mengundurkan diri. Bukannya beliau tidak berdaya melawan tetapi beliau tidak mahu melawan kerana ini hanya akan melemahkan UMNO dan BN seperti yang dikehendaki oleh orang tertentu di dalam dan di luar parti.

Dan seperti banyak kali diulang dan diucap oleh Pak Lah sendiri, dia dilahirkan dalam keluarga di antara pengasas awal UMNO dan tidak pernah keluar parti, tidak pernah belot kepada UMNO, tidak pernah bercakap atas platform pembangkang dan tidak akan berbuat demikian untuk menyelamatkan karier politik atau imejnya atau atas perkiraan apa juga!
Pak Lah bukannya spoiled brat who must get what he wants dengan apa cara juga termasuk
mengkhianati parti atau 'memeras-ugut' seluruh negara dengan cara-cara yang mungkin tidak salah dari segi undang-undang tetapi amat boleh dipertikaikan dari aspek etika moralnya .Malah dari segi keimanan seorang Islam.

Terima Kasih Pak Lah kerana segala-galanya. Terima kasih kerana mengajar saya tentang perjuangan dan pengorbanan. Saya bangga mempunyai seorang PM macam Pak Lah yang mengajar tentang impian dan kesabaran yang amat perlu untuk mencapainya. Semoga Allah memberikan kesejahteraan, ketenangan dan diberkati segala usaha yang telah dilakukan untuk negara ini di dunia dan akhirat. Tidak ada gunanya walau pun segunung intan yang telah dicurahkan sekiranya ia tidak diberkati oleh Allah Swt kerana tiadanya kejujuran dan keikhlasan dan segala-galanya hanyalah untuk memperlihatkan kehebatan diri dan apabila orang tidak memperkatakannya lagi kita jadi paranoid tak tentu hala! You are a much better person than that. Selamat Bersara untuk Tun Abdullah Ahmad Badawi dan
Tun Jeanne Abdullah yang dikasihi.

Wednesday, April 1, 2009

Katharsis

Entah berapa lama
derita itu mengalir tanpa henti
entah berapa lama
luka itu disobek tanpa henti
entah berapa lama
kecewa itu kau layangkan ke muka ku
entah berapa lama
engkau ketawa melihat air mata ku terus mengalir

suatu ketika
aku seperti tidak percaya
putaran itu akan berhenti
tapi entah dari mana
entah kekuatan apa yang meresap dalam tubuh ku
aku jadi pemburu dan pembunuh maha pantas
rejaman demi rejaman
ku tebarkan di layar maya
tewas juga engkau akhirnya!

menangis isteri mu kerna kecewa
menangis puteri mu tertusuk malu nista dan cerca
menangis putera mu kerna kecundang

Ah! baru sekarang ku sedar
yang ku buru selama ini ialah melihat engkau tersungkur di tangga takdir
dan dendam siapakah yang yang ku genggam
serta ku bawa berlari hingga ke saat ini
kalau bukan dendam kami
yang sebati dalam perkasihan ini
tanpa ianya kami sedari!