Tiada kata secantik bahasa
Nak ku puji adinda
Tiada gambar seindah lukisan
nak ku tunjukkan perasaan
Itu di antara bait-bait indah lirik lagu Tiada kata secantik bahasa nyanyian P.Ramlee. Tapi sejak dua tiga hari kebelakangan hampir semua media arus perdana negara ini mempamerkan perasaan sebegini kepada seorang Pak Lah yang hari ini melangkah keluar dari Bangunan Perdana Putra di Putrajaya sebagai seorang warga biasa setelah lebih lima tahun menjadi PM. Kepada seorang kawan dari sebuah syarikat akhbar ulung negara ini saya menghantar sms mengucapkan terima kasih kerana akhbar tempat dia bekerja 'melepaskan' Pak Lah dengan penuh kasih sayang dan rasa hormat yang tidak terhingga seperti yang ditunjukkan dalam artikel-artikelnya hari ini.
Di TV 3 petang tadi Dr.Atory Hussein bercakap panjang tentang Pak Lah dan pengorbanan besar yang dilakukannya dengan mengundurkan diri dan menyerahkan teraju pentadbiran kepada DS Najib Tun Razak kerana itulah keputusan terbaik demi agama bangsa dan negara. Pak Lah tidak berbuat apa-apa untuk terus berkuasa lebih lama seperti yang mungkin dilakukan oleh orang lain kalau berada dalam keadaan begitu tanpa mengira risikonya. Dan sememangnya itulah yang berlaku setelah semua opsyen difikirkan dan demi keutuhan UMNO dan BN, Pak Lah yang amat realistik dan memikirkan kepentingan parti lebih dari segala-galanya termasuk dirinya sendiri mengambil keputusan untuk mengundurkan diri. Bukannya beliau tidak berdaya melawan tetapi beliau tidak mahu melawan kerana ini hanya akan melemahkan UMNO dan BN seperti yang dikehendaki oleh orang tertentu di dalam dan di luar parti.
Dan seperti banyak kali diulang dan diucap oleh Pak Lah sendiri, dia dilahirkan dalam keluarga di antara pengasas awal UMNO dan tidak pernah keluar parti, tidak pernah belot kepada UMNO, tidak pernah bercakap atas platform pembangkang dan tidak akan berbuat demikian untuk menyelamatkan karier politik atau imejnya atau atas perkiraan apa juga!
Pak Lah bukannya spoiled brat who must get what he wants dengan apa cara juga termasuk
mengkhianati parti atau 'memeras-ugut' seluruh negara dengan cara-cara yang mungkin tidak salah dari segi undang-undang tetapi amat boleh dipertikaikan dari aspek etika moralnya .Malah dari segi keimanan seorang Islam.
Terima Kasih Pak Lah kerana segala-galanya. Terima kasih kerana mengajar saya tentang perjuangan dan pengorbanan. Saya bangga mempunyai seorang PM macam Pak Lah yang mengajar tentang impian dan kesabaran yang amat perlu untuk mencapainya. Semoga Allah memberikan kesejahteraan, ketenangan dan diberkati segala usaha yang telah dilakukan untuk negara ini di dunia dan akhirat. Tidak ada gunanya walau pun segunung intan yang telah dicurahkan sekiranya ia tidak diberkati oleh Allah Swt kerana tiadanya kejujuran dan keikhlasan dan segala-galanya hanyalah untuk memperlihatkan kehebatan diri dan apabila orang tidak memperkatakannya lagi kita jadi paranoid tak tentu hala! You are a much better person than that. Selamat Bersara untuk Tun Abdullah Ahmad Badawi dan
Tun Jeanne Abdullah yang dikasihi.
Friday, April 3, 2009
Terima Kasih Pak Lah
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 7:27 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment