Beberapa hari lepas di rumah GAPENA dan sewaktu membelek Warta GAPENA terbaru keluaran April 2009 yang memuatkan banyak cerita dan gambar sepanjang Kongres Kebudyaan Melayu II pada 16-17 Mac lalu, barulah saya terfikir bahawa kami telah membuat satu kongres yang amat bersejarah selepas tahun 1957. 52 tahun selepas kongres yang pertama baru diadakan pula yang keduannya. Ramai orang yang berkata kepada saya Kongres itu diadakan tepat pada waktunya dan dalam senario politik-ekonomi-sosio yang sedang menghadapi cabaran dan perubahan serta ketidak-tentuan nasib bangsa yang amat menuntut renungan, pemikiran dan tindakan yang wajar, bijak dan tuntas.
Beberapa minggu sebelum kongres itu, beberapa kali kami duduk bermesyuarat di rumah GAPENA, Persatuan Sejarah Malaysia malah kami membuat kunjungan hormat dan menjemput DS Shafie Apdal Menteri Perpaduan Kebudayaan Kesenian dan Warisan berbagai perkara yang timbul dan diperkatakan, tapi ketika itu saya sedikit pun tidak menyedari bahawa kami telah melakukan sesuatu yang amat bersejarah serta mempunyai konsekuen yang penting dalam banyak aspek. Minggu-minggu sebelum kongres itu saya seperti terpukau dan tidak memikirkan hal lain selain daripada kongres yang kami cuba buat sejak tiga tahun yang lalu.
Bermula dari tahun 2006 saya dan Puan Halimah Hassan dari UPM mula duduk berbincang dengan Prof.Awang Sariyan dan merancang untuk mengadakan kongres ini di UPM . Kami merancang untuk menjemput PM merasmikannya dan pejabat PM telah diberitahu mengenainya.Beberapa rintangan yang tidak dijangka akhirnya memaksa kawan-kawan di UPM untuk duduk berbincang dengan Prof Madya Dt.Zainal Abidin Borhan dari Akademi Pengajian Melayu UM supaya bergabung tenaga dan cuba membuat kongres ini . Pun begitu kerana masih terdapat 'aral yang melintang' usaha itu terpaksa dibatalkan sehinggalah saya mula bercakap dengan TS Ismail Hussein dan Dt.Omar Hashim melontarkan cadangan mengenainya kepada Dt.Shafie Apdal tahun lepas. Tapi pada ketika itu saya masih tidak menyedari bahawa ianya akan menjadi satu batu-tanda yang amat bersejarah sehingga dua tiga hari yang lepas.
Memetik kata-kata Tuan Haji Mokhtar Yasin Ketua 1 IPM badan kerabat GAPENA yang merupakan segelintir kecil mereka yang menghadiri Kongres Kebudayaan Melayu I "Kongres Kebudayaan Melayu II ...telah memperlihatkan usaha yang amat berguna bukan setakat mengenang semula kongres yang lalu bahkan lebih dari itu . ...kongres pada kali ini disamping menghimpunkan para ilmuan Melayu dari berbagai jurusan bidang ilmu seperti undang-undang, ekonomi, jurutera, falsafah...bersama dengan sasterawan dan ahli politik bersatu untuk mempertahankan kedaulatan bangsa, bahasa dan agama. Sifat terbuka dan ikhlas dalam mempertahankan hak dan kedaulatan Melayu terdapat dalam perbincangan setiap sesi. Ia sebenarnya menggambarkan rasa kekecewaan Melayu pada awal abad ini. GAPENA (dan PSM) dalam usahanya menyatukan semua para cendekiawan tanpa mengira aliran fahaman politik untuk bersatu atas nama Melayu merupakan perintis yang berjaya yang sehingga ini tidak sanggup dilakukan oleh sebarang badan lain. Hendaknya usaha ini dapat diteruskan tanpa henti dengan izin Allah."
Saya masih ingat selepas pilihan-raya tahun 1999, Dt.Omar Hashim yang baru menamatkan tugas sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan-raya ketika itu pernah mengatakan kepada saya
bahawa orang Melayu amat memerlukan satu platfom yang tidak mengira kecenderungan politik untuk memperjuangkan kepentingan mereka. 'Kita kena bergerak dalam satu barisan sebagai orang Melayu kerana keputusan pilihan-raya (1999) bukan kali ini sahaja yang akan jadi macam ini' begitulah lebih-kurang kata-katanya kepada saya. Apa yang dikatakan oleh Dt.Omar Hashim memang tepat berlaku dan walau pun selepas 10 tahun baru cadangan beliau dapat dilaksanakan, ianya adalah satu permulaan yang baik. Saya cuma terkilan, di dalam 'keserabutan' senario politik semasa Kongres ini tidak dapat menjemput PM untuk merasmikannya.
Sekarang saya faham mengapa saya sebak dan menitiskan air mata bila melihat ayahanda Prof Madya Dt.Zainal Abdin Borhan iaitu Dt.Borhan Md Yamin (yang hadir dalam Kongres I) menitiskan air mata bila dia bangun bercakap dan berkongsi cerita tentang nostalgia, kedaifan serta kekurangan Kongres I yang mengungkap senario kemiskinan orang Melayu tetapi mereka kaya dengan semangat dibakar oleh bahang kemerdekaan yang baru dicapai ketika itu. Beberapa tahun lalu TS Aziz Tapa juga menceritakan kepada saya cerita yang hampir sama di rumahnya di Jasin.
Terima kasih kepada semua yang telah menggerakkan usaha sehingga Kongres Kebudayaan Melayu II berjaya dilaksanakan. Ianya merupakan satu usaha yang akan tercatat dalam sejarah merakam perasaan, pemikiran, resah dan gelisah orang Melayu. Hari ini kita bercakap tentang 1 Malaysia. Dan ianya bermakna setiap orang berfikir sebagai orang Malaysia dan bukan orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau apa saja. Dan untuk semua orang boleh berfikir sebagai orang Malaysia kita perlukan faktor penyatu-paduan yang mengikut lunas undang-undang seperti yang tertera dalam Perlembagaan Negara yang menjanjikan hak setiap orang di negara ini. Dan ia bermakna satu bahasa, satu budaya satu aspirasi negara walau dari mana juga keturunan dan latar-belakang kita. Kita tidak boleh ada 'multi-level multiculturalism' (istilah baru yang diperkenalkan oleh Prof Dt. Zinal Kling baru-baru ini) seperti yang sedang membiak dengan pantasnya dalam masyarakat hari ini atas nama hak asasi manusia dan landaan globalisasi!
Friday, April 17, 2009
Mengenang Semula Kongres Kebudayaan Melayu II
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 1:33 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment