Dalam Utusan Malaysia hari ini ada kisah isteri-isteri Nabi Ibrahim iaitu Siti Hajar dan Siti Sarah. Selepas membacanya saya teringat kisah bagaimana Siti Sarah iaitu isteri pertama Nabi Ibrahim yang sakit hati bila Siti Hajar isteri keduanya yang masih muda mengandungkan anak mereka. Dalam usahanya supaya Nabi Ibrahim tidak terlalu sayang kepada isteri barunya, Siti Sarah telah mencucuk sebelah telinga madunya supaya cacat dan tidak cantik lagi. Siti Hajar yang cukup sabar dan sedih dengan perbuatan Siti Sarah telah mengadu kepada Nabi Ibrahim . Nabi Ibrahim serba salah tetapi cukup simpati dan sedih terhadap apa yang telah berlaku kepada isteri mudanya. Beliau memujuk Siti Hajar dan akhirnya mencucuk sebelah lagi telinganya dan menggantung perhiasan menjadi subang di kedua belah telinganya. Siti Hajar nampak semakin manis dan cantik dengan perhiasan yang tergantung di telinganya. Sejak itulah disunatkan bertindik telinga kepada kanak-kanak perempuan.
Siti Sarah terus tidak puas hati dan semakin benci kepada madunya dan akhirnya menyuruh suaminya membuang Siti Hajar dan anak lelaki yang baru dilahirkan iaitu Ismail. Dari situlah kisahnya telaga zam-zam dijumpai oleh Siti Hajar setelah berlari ke sana-sini mencari air antara
Safa dan Marwah yang akhirnya menjadi ibadat sai dalam ibadat haji dan umrah hingga ke hari ini.
Saya mengenali seorang manusia yang ceritanya hampir sama seperti apa yang berlaku kepada Siti Hajar, cuma dia tidak dicacatkan telinganya tapi dicacatkan dengan serangan peribadi melalui fitnah dan cerita yang tidak benar terhadapnya. Dan seperti Siti Hajar, beliau menderita dan cukup tersiksa dengan fitnah-fitnah yang dilemparkan , tetapi Allah Taala terus mengangkat darjatnya dengan memberikan ketenangan, keimanan dan kekuatan dalaman yang tidak sedikit kepadanya dan beliau meraih kejayaan demi kejayaan dalam hidupnya hasil usaha dirinya sendiri. Ramai sahabat di sekelilingnya yang menyatakan mereka rasa cukup damai apabila melihat wajahnya kerana dia nampak tenang sepanjang masa. Kalaulah mereka tahu apa yang telah dilaluinya dalam hidup ini. Tapi alhamdullilah, rahmat Tuhan datang dalam berbagai cara kepada hambanya!
Moral ceritanya ialah kadang-kadang orang terlalu taksub cuba memburukkan orang lain supaya dibenci tetapi perbuatannya itu akhirnya memakan diri mereka sendiri dan orang yang diinayai itu semakin hebat dan kukuh peribadinya dan dilihat semakin menarik kerana cukup sabar dan tahan menanggung ujian Allah. Sebaliknya, orang yang cuba menginayai orang lain itulah yang semakin hari menampakkan keburukan peribadinya, walau pun pada mulanya orang tidak nampak keburukan tersebut kerana dapat dilindungi dengan berbagai cara.
Kepada Sdr.Rashid Yusuf, usahlah bimbang dan 'gabra' dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh berbagai pihak yang cuba menyekat anda dari mencapai kedudukan yang lebih baik. Apa pun sebabnya samada ia bertujuan politik atau tidak, orang-orang seperti itu akan sentiasa ada dan anda jumpai di mana-mana juga. Sabar,tabahkan hati dan kukuhkan peribadi anda yang cukup profesional dan tidak bermasalah dengan ramai orang lain. Usah biarkan dream-killers yang beberapa kerat itu menganggu hidup, dik! Dan jangan lupa berdoa kepada Allah SWT. InsyaAllah dan jangan lupa bahawa doa orang-orang yang terinaya itu amat dekat dengan Tuhan.
Seorang manusia yang cukup istimewa kepada saya baru-baru ini berkata ' terimalah dunia dan hidup ini seperti apa yang terjadi seadanya dan jangan harapkan hidup menjadi seperti apa yang kita mahukan.' Beberapa hari saya memikirkan apa yang beliau katakan kerana memang benar apa yang dikatakannya, tetapi saya juga teringat ayat quran yang mengatakan 'tidak akan berlaku qadak dan kadar itu melainkan dengan doa.'
Jadi Shid, berdoa banyak-banyak kerana hanya itu yang dapat mengubah segala kekecewaan yang telah ditakdirkan berlaku.
Tuesday, April 28, 2009
Kisah Siti Hajar dan Telaga Zam-Zam.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 9:22 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment