Kolum TS Mazlan Nordin dalam Mingguan Malaysia semalam mencatatkan kisah wartawan Singapura Alex Josey yang mendakwa orang Melayu adalah keturunan lanun. Dalam diskusi tentang Tun Razak minggu lalu, Dt. Zam juga menyentuh hal ini. Hari Sabtu lalu saya mengikuti sesi pengkisahan sejarah Perang Bt. Nanas anjuran Persatuan Sejarah Selangor dan Encik Siri Neng Buah menceritakan bagaimana orang-orang Raja Abdullah menjadi perompak yang hanya merompak kapal-kapal British, Perancis, Cina (dari Pulau Pinang) dll tetapi tidak akan menggangu kapal-kapal yang datang dari seluruh Kepulauan Melayu sewaktu menghampiri pantai negeri Selangor. Ini bukan cerita perompak yang mengamalkan pilih kasih atau apartheid , tetapi ianya membawa konotasi hanya kapal-kapal penjajah dan orang barat saja yang akan dirompak. Sekaligus ini bermakna pernyataan politik yang amat kuat tentang kebencian orang tempatan kepada kuasa barat dan penjajah yang mereka musuhi.
Saya masih kecil ketika kejadian ini berlaku ( sekitar 10 tahun) tetapi masih ingat membaca berita tentang kecoh yang ditimbulkan oleh Alex Josey ini dalam surat-kabar jawi Utusan Zaman. Banyak perkara yang tidak saya fahami ketika itu tetapi arwah ibu saya yang merupakan seorang guru sekolah menerangkannya kepada saya. Dan untuk suatu waktu yang lama saya mempunyai perasaan kurang senang yang saya tidak tahu kenapa dan sedikit keliru bila mengetahui seseorang itu bekerja sebagai pelaut. Balada seorang gadis kecil!
Sebenarnya cerita orang Melayu menjadi perompak itu adalah suatu fakta tetapi mereka bukan merompak kerana mereka memang keturunan perompak dan suka merompak. Mereka adalah pejuang nasionalis Melayu awal yang bergerak di bawah naungan golongan bangsawaan dalam usaha menentang penjajahan dan pengluasan tanah jajahan dan pengaruh kuasa-kuasa Eropah di abad 18 dahulu di seluruh Kepulauan Melayu. Jadi kita semua tidak perlu sensitif sangat tentang apa yang ditulis oleh Alex Josey. Lagipun dalam sejarah Inggeris, Walter Raleigh dan Francis Drake diberi gelaran Sir oleh Permaisuri Elizabeth I kerana mereka pun merompak kapal-kapal dagang terutama dari Sepanyol yang memang terkenal dengan armadanya yang tak dapat dikalahkan oleh mana-mana kuasa Eropah ketika itu. Seperti orang Melayu yang merompak sebagai penyataan politik menentang penjajahan, orang Inggeris telah lama melakukannya terlebih dahulu sebagai strategi melemahkan musuh. Dan seperti selalu, orang kulit putih sering merasakan apa yang mereka lakukan adalah betul, tetapi perkara yang sama kalau dilakukan oleh orang lain adalah salah!
Monday, April 20, 2009
Alex Josey, Melayu dan Lanun.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 8:10 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment