Monday, November 24, 2008

Politik Papan Tanda Jalan

Sehingga kini saya kurang pasti kenapa kerajaan negeri Pulau Pinang mahu meletakkan papan tanda jalannya dalam berbagai bahasa di negeri itu kalau tidak untuk menunjukkan kesempitan pemikiran politik mereka.Pergilah tengok di mana pun, negara mana yang ada buat begitu selain di Pulau Pinang? Amat memalukan bila melihat politik orang-orang tertentu di negeri itu.

Dikebanyakan negara dan pusat pelancongan di dunia, hanya papan tanda informasi pelancongan yang ditulis dalam berbagai bahasa. Di Switzerland,tanda arah kepada bank/pengurup wang memang ditulis dalam berbagai bahasa - Jepun, Arab, Inggeris, Perancis, Jerman dll untuk memudahkan pelancong mencari arah, tetapi nama jalannya tetap dalam satu bahasa sahaja. Begitu juga di Itali, Perancis, Jerman, Belgium malah seluruh Eropah anda akan dapati tidak ada satu jalan pun yang ditulis dalam berbagai bahasa. Hanya papan tanda informasi pelancongannya sahaja yang ditulis dalam berbagai bahasa.Apa yang cuba nak dilakukan oleh Sdr. Lim Guan Eng?

Saluran Art tiada sarikata

Sehingga kini, saya sedikit hairan kenapa saluran Astro 111 atau Art yang membawakan program dalam Bahasa Arab ada kalanya mempunyai sarikata tetapi lebih banyak tidak bersarikata Bahasa Melayu/Inggeris. Kenapa ini terjadi? Di negara ini mungkin ramai orang Islam/Melayu yang mahu menonton programnya tetapi kerana ketiadaan sarikata siapa yang nak faham apa yang diperkatakan? Mungkin bagi program bual-bicaranya yang dibuat secara live agak sukar mendapatkan khidmat penterjemah tetapi tak kan filem dan lain-lain program yang telah dirakam terlebih dahulu tidak boleh diusahakan sarikatanya. Banyak saluran di Astro yang mempunyai sarikata bagi programnya, tetapi sangat tidak patut kalau nak kata penterjemah/penulis sarikata dari Bahasa Arab ke Bahasa Melayu tak ada di negara ini. Lainlah kalau pihak Astro memang tidak mahu ramai rakyat Malaysia menontonnya!

REVIU BUKU: SURAT DARIPADA DR.MAHATHIR
OLEH:SITI RUQAIYAH HASHIM

Selepas Pilihanraya ke 12 dan dalam suasana yang begitu tidak menentu dan kejutan yang tidak sedikit kepada ramai orang, saya sempat menghantar SMS kepada beberapa orang rakan dan mencadangkan kepada mereka supaya menyuruh Dt. Zainuddin Maidin mantan Menteri Penerangan menulis banyak-banyak sebagai terapi kepada apa yang dilalui. Semasa kempen pilihanraya yang lalu saya berada di utara dan mendengar serta tahu apa yang berlaku di kawasan Parlimen Sungai Petani tempat Dt.Zam bertanding. Jadi saya amat gembira bila mendengar buku ini telah keluar dan mencarinya setelah membaca reviunya dalam Utusan Malaysia beberapa minggu yang lalu.

Impression pertama saya tentang buku ini ialah ia sebuah buku yang saya akan suka kerana kulitnya berwarna kegemaran saya. Berbagai tona warna coklat yang berlainan. Dari coklat cerah kepada coklat gelap. Dan inilah in color saya sejak beberapa tahun ke belakang! Jadi bila merayau di MPH Mid Valley baru-baru ini dan terjumpa buku ini saya terus membelinya.

Buku tulisan Dt. Zam salah seorang tokoh wartawan yang paling banyak saya baca sejak di bangku sekolah ini merupakan extension kepada buku tulisan beliau iaitu Mahathir Di Sebalik Tabir yang diterbitkan pada tahun 1994. Edisi tambahan ini hanya bermula pada m/s 279 dengan kisah pengumuman Tun Mahathir pada 22 Jun 2002 tentang persaraan- nya di Perhimpunan Agong UMNO sehingga m/s 447.

Seimbas lalu, saya dapati edisi tambahan ini ditulis dengan cukup candid,jujur dan terus–terang malah mungkin dengan luka yang tidak sedikit. Itulah impression saya setelah selesai membacanya. Dan bukan itu saja tetapi saya dapat rasakan banyak lagi yang tersirat dan hendak diperkatakan oleh pengarangnya, tetapi telah tidak diperkatakan.Berbanding dengan bahagian pertama buku ini yang ditulis 14 tahun lebih awal yang lebih analitikal dari minda kritis seorang wartawan, bahagian edisi tambahan ini lebih peribadi sifatnya dan memperlihatkan keterlibatan dengan subjek yang diperkatakan(Tun Mahathir) dengan pertalian dan hubungan pada jarak dekat.

Dan seperti semua hubungan yang melewati hal-hal profesional seseorang akan mempamerkan berbagai facet dan dimensi emosi dan rasionalisasi bila cuba meng- artikulasi perasaan serta pandangannya mengenai subjek yang diperkatakan. Pun begitu, pengarang tidak bermasalah untuk berbuat demikian dan tulisan ini menjadi rakaman peristiwa yang sekaligus cukup emotif dan analitikal tetapi paling penting frank and honest. Sesuatu yang mungkin tidak akan dilakukan oleh orang lain di waktu yang lain!

Entah kenapa saya merasakan seperti ada hubungan ‘love –hate’ di antara Dt.Zam dengan Dr.Mahathir. Saya lebih suka menggunakan frasa ‘sayang-benci’ dan bukanya ‘benci tapi rindu’ bila melihat senario antara keduanya. Sesuatu yang amat normal dalam hubungan antara dua orang manusia yang mempunyai perwatakan yang dominan (dan ada kalanya keras) serta cukup berpengaruh dan berkuasa dalam bidang masing-masing. Dan dalam situasi yang begini, fleksibiliti ada kalanya menjadi penyelamat kepada hubungan tersebut tetapi pada masa yang sama mungkin menyebabkan sebelah pihak ‘makan hati’ dengan pihak yang lagi satu. Betulkan saya jika tersilap dan apologi!

INTERVIU: KOPI KERAS, TONE BRULIN DAN ROH ANAI-ANAI

OLEH :SITI RUQAIYAH HASHIM


Kali terakhir saya bertemu dengan Profesor Tone Brulin selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1977 ialah sewaktu beliau mementaskan teater kanak-kanak ‘Tak Kotak-Kotak’ di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka pada tahun 1979. Bersama-sama Siti Fauziah Abd.Rahman yang menjadi pelakon teater tersebut ketika itu, mereka mementaskannya di beberapa lokasi institusi pendidikan di seluruh Malaysia. .

Tone Brulin merupakan pensyarah saya sewaktu di USM. Kepada 3 kumpulan pertama mereka yang membuat pengkhususan dalam bidang Teater dan Drama, Tone Brulin adalah satu-satunya pensyarah yang paling berpengaruh dan sangat terkemuka. Bukan kerana beliau tokoh teater besar dan amat berwibawa dari Eropah (kerana mendapat anugerah Order of Leopold II Belgium pada umur 26 tahun) dan merupakan ‘the lecturer’ , tapi dedikasi, konsep dan komitmennya kepada teater di mana juga beliau berada amat mengkagumkan saya dan ramai penuntut beliau yang lain. Beliaulah yang memulakan dan menggerakkan kumpulan teater Angkasaran (singkatan dari Angkatan Sasaran) yang merupakan kumpulan teater USM sebagai nucleas kepada aktiviti seni dan teater kami. Itulah sebabnya ia di namakan Angkasaran yang merupakan terjemahan dari konsep target groupe yang dikemukakan oleh Tone Brulin sewaktu panggung eksperimental USM siap dibina pada tahun 1972.

Selepas itu, segala-galanya adalah sejarah bila Angkasaran mementaskan teater Naga-Naga Siapa Kau, Naga-Naga Di Mana Kau (juga dipentaskan di Jakarta dan satu-satunya teater Malaysia yang reviunya keluar dalam jurnal The Drama Review ,USA hingga ke hari ini) diikuti Torando (yang mendapat jemputan ke Festival Teater Shiraz) dan Barong Display (dengan kumpulan teater dari USA) di bawah arahan Tone. Bukan saja sebagai pensyarah Tone Brulin meninggalkan impak yang besar kepada kami, personaliti dan perwatakannya yang mencari kesempurnaan, menuntut kejujuran dan komitmen yang total dalam kerja teater beliau ada kalanya turut mempengaruhi pemikiran kami dalam kehidupan. Setidak-tidaknya kepada saya!

Manakan tidak, rehearsals sehingga jam 2 atau 3 pagi, lima hari seminggu selama tiga atau empat bulan untuk suatu pementasan adalah perkara biasa dan no complain! Disiplin yang diterapkan menjadikan kami berfikir banyak kali kalau mahu ponteng latihan dan siapa pun tidak berani berbuat begitu kerana bukan Tone yang akan marah tapi satu kelas akan menyumpah siapa yang ponteng! Dan konsep lakonan teater Tone menuntut pelakonnya menjadi cukup lasak dan boleh buat apa juga samada merangkak di bawah tempat duduk penonton, memanjat gangway siling teater dalam gelap atau apa juga aksi yang cukup menyiksa dan sukar dibuat. Tapi di akhirnya anda menjadi manusia yang lebih bertujuan, fokus dan amat mementingkan kualiti dengan apa juga yang anda kerjakan.

Di kelas lakonan dan Western Theatre Tradition kami dipukau oleh Tone Brulin dengan kekayaan pengalaman dan ilmu pengetahuannya. Di kelas Western Theatre Tone tidak perlu buku, rujukan dan syarahan yang disediakan di atas kertas tetapi menghamburkan ilmu dan pengetahuan melalui pengalamannya sendiri kerana beliau adalah sebahagian daripada tradisi teater moden Barat..

Jadi baru-baru ini bila bertemu dengan Tone Brulin dan Siti Fauziah isterinya (Pudi kepada saya dan rakan rapat yang lain) yang ditawarkan mengajar dan akhirnya mementaskan teater Roh Anai-Anai dengan penuntut Diploma Seni Persembahan UITM saya seperti terlayang balik kepada masa lebih 30 tahun lalu sewaktu kami semua sering duduk melepak samada di Panggung Sasaran ataupun ketika duduk-duduk minum kopi di kantin ‘Fu Mancu’ USM sambil bercakap teater. Cuma kali ini di antara kopi keras (pekat dan tanpa gula) kesukaan Tone dan cakap-cakap mengenai Roh Anai-Anai dan lain-lain ‘kesengsaraan hidup’, kami berada di kafeteria Hospital Ampang Puteri. 3 hari selepas Aidil-Fitri yang lalu kira-kira 2 minggu sebelum Roh Anai-Anai dipentaskan, Tone kemalangan dan terpaksa menjalani pembedahan dan menghabiskan masa hampir 3 minggu di hospital.

Wawancara dengan Tone Brulin dan Fauziah dibuat dalam lebih dari 4 sesi panjang cakap-cakap dari Hospital Ampang Puteri beberapa hari sebelum mereka berangkat balik ke Antwerp. Saya katakan lebih dari 4 sesi kerana di antara perjalanan nak pergi makan di kedai Mamak pun kami tak henti-henti bercakap teater, seni, Roh Anai-Anai, Naga-Naga, Kapai-Kapai, Torando dan paling banyak mengenai kompeni teater mereka yang dinamakan Theatre of The Third World. Begitulah!
(Catatan: Sebahagian dari interviu yang akan disiarkan dalam majalah PENTAS yang akan datang disiarkan dalam beberapa segmen dalam blog ini).

SRH: Di Malaysia sekarang terlalu banyak teater muzikal dengan bajet besar yang diberi penekanan. Ia amat menghiburkan tetapi tidak memprovokasi minda untuk berfikir perkara yang serius seperti teater Roh Anai-Anai. Mungkin itu sebabnya?

Tone Brulin: Memang betul kata anda. Tapi itulah juga yang berlaku diseluruh dunia. Dan saya tak mahu bercakap tentang perkara itu kerana apa yang saya pentingkan ialah teater dan skrip seperti Roh Anai-Anai. Dan ianya bukan satu perbandingan kerana anda tak boleh membandingkannya! Saya bukan dalam bisnes teater, tapi dalam bisnes mencipta seni dalam konteks teater. Kami telah mulakan skrip ini sejak dua tahun yang lalu di Afrika Selatan dan saya tulis semula kerja-kerja Eugene Marais dengan seorang aktor Norway.

SRH: Apa peluang untuk aktor atau orang teater dari Malaysia berjaya dengan baik seperti anda di Eropah?

Siti Fauziah: Tidak mudah dan sangat sukar sekarang. Banyak grup teater internasional. Masa saya mula di Belgium pada tahun 1975 dulu tak ada grup lain macam kami. Dan sekarang amat sukar walau pun kepada orang Belgium sendiri. Dasar kerajaan juga lebih mementingkan rakyat tempatan. Sekarang semua pekerjaan adalah untuk orang Belgium dulu. Parti Nationalist Front yang menguasai hampir 25 peratus parlimen sangat kuat dan memastikan peraturan ini dipatuhi. Dan ini berlaku di seluruh Eropah, malah di seluruh dunia.

SRH: Pandangan anda tentang teater Malaysia?

Siti Fauziah: Saya rasa orang di sini tidak cukup serius tentang teater. Saya tak nampak sikap orang yang bermati-matian kerana teater dan mendedikasi kehidupan mereka kepada seni ini dalam teater Melayu. Dan penuntut pun macam tak tahu apa-apa. Dan dalam kegelapan. Di akhir kursus mungkin baru mereka faham sikit tentang teater tu mengenai apa!

SRH: Tapi kita dulu pun macam tu saya rasa. (Siti adalah senior saya di USM).

Siti Fauziah: Ya kita pun macam tu juga. Tapi kita banyak inisiatif sendiri dan bukan nak tunggu habiskan semester saja. Dan kita seronok sangat bila nak buat rehearsal di Panggung Sasaran dulu.
SRH: Ya yang tu memang saya akui. Kita tunggu saja bila nak buat latihan teater. Kita tak ponteng dan rasa seronok.

Siti Fauziah: Dan kita faham sangat tentang kerja berpasukan dan menghormati orang lain. Di UITM, hari ini 1 orang tak datang berlatih. Esok orang lain pulak. Jadi macam mana nak buat latihan kalau macam tu? Dan bila dekat pementasan mereka panik walau pun dah banyak kali kami ingatkan kepada mereka. Dan kostum hanya dapat dibuat beberapa hari sebelum pementasan dan hasilnya mereka tidak dapat bergerak dengan selesa kerana tak biasa berpakaian begitu.

(Catatan: Sewaktu mementaskan Torando di USM 30 tahun yang lalu, saya teringat kami mula berlatih dengan memakai kostum teater sekurang-kurangnya 1 bulan sebelum pementasan.)

SRH: Akhir sekali, apa yang anda berdua nak ucapkan kepada peminat teater dan penuntut anda di Malaysia?

Tone Brulin dan Siti Fauziah: Kami nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada semua yang terlibat dalam pementasan ini. Saya amat tersentuh dengan lawatan anda semua sewaktu saya di hospital, bunga yang diberikan dll. Tahun depan kami bercadang untuk pulang dalam bulan Jun/Julai dan jika ada undangan mementaskan teater di mana-mana kami akan pertimbangkan. Terima kasih.

CATATAN: ANTARA SKRIP DAN ADAPTASI YANG TELAH DIHASILKAN OLEH TONE BRULIN IALAH -:

Shadows
The Case of P.J.
The Good Lady of the Crabs
The Dogs
Vertical-Horizontal
The Night of the Burning Apes
Tavandot (Torando dalam Bahasa Malaysia)
Eyes of Chalk
Putopot
Mudhead
3 = too much, 2 = not enough
The Village Doesn’t Exist Anymore
Vincent Van Gogh
Kontiki
Uncle and the Jukebox
Leap Frog in West Berlin
The Goatriders
The Troglodites
The Kakoomakakoo
Stump Removal
Barong Display
A Djumbee at Crook’s Castle
The New costume of Friday
Asking Questions of A maid
Joshaphat
This is Not Eugene
Tales of the Mah-Meri
Sharkawa
The Last Days of Clover Fields
Torso
Stallochild
The Tail of the Mandarin
Tractor Dimitri

Sunday, November 23, 2008

INTERVIU: SITI FAUZIAH ABD.RAHMAN DAN TEATER SE ANTERO DUNIA

OLEH:SITI RUQAIYAH HASHIM


Di kalangan dunia teater Malaysia, nama Siti Fauziah Abd.Rahman mungkin tidak berapa dikenali . Pun begitu, wanita kecil molek yang berasal dari Kelang ini bukan calang-calang nama di kalangan orang-orang teater di seluruh Eropah malah di seluruh dunia. Isteri kepada Tone Brulin yang mengasaskan TIE 3 – Theatre in Europe of the Third World hampir 30 tahun yang lalu yang berpusat di Antwerp, Belgium adalah merupakan tenaga pengggerak penting grup teater ini. Malah dalam berpuluh-puluh buah teater yang diarahkan oleh Tone Brulin, Fauziah selalunya memegang peranan penting selain daripada turut menjadi pereka dan menjahit kostum, dan mencipta boneka dan topeng bagi banyak teater kanak-kanak yang mereka pentaskan.

Dilahirkan di Teluk Gadong Kelang pada tahun 1951, dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent Kelang sehingga tingkatan 3, Siti Fauziah datang dari keluarga besar seramai 14 orang. Beliau adalah anak ke tujuh dan bapanya adalah seorang guru besar di Kelang. Pada tahun 1968 beliau melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh Tun Fatimah di Johor Bharu sehingga tamat tingkatan 6 dalam jurusan sains. Dan di Sekolah Tun Fatimah lah, beliau mula menunjukkan bakat dalam lakonan dan pementasan. Kalau sewaktu di Convent Kelang, penglibatannya amat terhad kepada pengucapan puisi Shakespeare sahaja kerana budaya sekolah Convent yang amat ketat dan tidak membenarkan pementasan, lakonan dll di Sekolah Tun Fatimah, Siti mendapat peluang yang cukup banyak dan beliau cukup aktif dalam lakonan dan pementasan. Dan disitulah bermulanya kecintaan Siti kepada teater dan lakonan. Bukan itu saja, beliau juga suka melukis dan seringkali membuat poster untuk pementasannya.

Siti melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1972 dan merupakan seorang aktivis teater kampus yang cukup komited dan berbakat. Beliau mengambil bahagian dalam teater paling masyur USM iaitu Naga-Naga Siapa Kau, Naga-Naga di Mana Kau yang turut dipentaskan di Jakarta arahan Tone Brulin. Teater Torando dan Kapai-Kapai karya Ariffin C.Noer menyusul kemudian. Tamat dari Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1975 dalam jurusan Teater dan Drama , beliau meninggalkan tanah air dan bersama-sama dengan kumpulan teater pimpinan Tone Brulin mereka mementaskan cerita Tales of the Mah-Meri di seluruh Eropah dengan mendapat sambutan yang hangat di mana juga mereka berteater.

Skrip ini adalah cerita mengenai masyarakat orang asli di Pualau Carey, Kelang. Dan inilah skrip pertama yang dipentaskan di seluruh Eropah dengan berlatar-belakangkan cerita dari Malaysia walau pun masih ramai yang belum mengenali Malaysia di bidang teater di Eropah ketika itu. Teater ini turut dipentaskan di Malaysia pada tahun yang sama sebelum di kembangkan lagi skripnya dan ditukar namanya menjadi Tales of Nata Daha. Skrip ini terus dipentaskan di Caracas, Baltimore, St.Marten di Kepulauan Carribean, Stockholm dan di St.Andrew Scotland sebelum mendapat penghormatan dipentaskan di Festival Teater Nancy di Peranchis, iaitu salah satu festival teater terkenal dan penting di seluruh dunia. Di Nancy teater ini dengan Siti sebagai pemegang watak utamanya mendapat sambutan paling hebat dan nama wanita dari Malaysia ini mula meniti di bibir orang teater di seluruh dunia.

Selepas Tales of Nata Daha dipentskan di Antwerp, Siti Fauziah yang masih tidak fasih berbahasa Flemish diterima belajar di sekolah teater terkenal Herman Teirlinck sebagai pelajar biasa yang tidak perlu membayar. Belajar di situ membolehkan beliau menguasai bahasa Flemish dengan baik sebelum melanjutkan pelajaran di Holland iaitu di Toneel Akadamie of Maastricht yang sangat masyhur. Dan seperti di Antwerp, peluang belajar di Maastricht membolehkan beliau belajar dan menguasai bahasa Belanda. Sehingga ke hari ini, selain bahasa Inggeris, Flemish dan Belanda Siti Fauziah turut menguasai bahasa Sweden dan memahami bahasa Perancis dan Jerman. Kecekalan dan ketabahan Siti Fauziah menghadapi semua cabaran dalam menuntut ilmu sememangnya berbaloi kerana jika tidak beliau tidak akan dapat bertutur dalam lima bahasa asing pada hari ini

Beberapa tahun selepas itu mereka berada di Jakarta dan menjadi tetamu penyair terkenal Rendra. Tone mengadaptasi puisi protes termashyur Rendra dan menamakannya Prostitutes of Jakarta dengan Siti menjadi pelakon utamanya. Pementasan teater itu mendapat sambutan hebat dari penonton. Begitu juga ketika mereka mementaskan skrip tulisan Ariffin C. Noer yang paling masyhur iaitu Kapai-Kapai di Stockholm, Sweden. Itulah kali pertama Ingmar Bergman pengarah teater dan filem terkenal Sweden mengangkat sebuah skrip dari Indonesia dan mementaskannya selama 130 hari dalam bahasa Sweden dengan Siti Fauziah memegang peranan utamanya. Ariffin C.Noer turut dijemput ke Stockholm . Sambutan hangat yang diberikan kepada pementasan Kapai-Kapai bukan saja menyaksikan penduduk di Stockholm yang menonton, tetapi peminat teater dari Findland dan Norway juga menontonnya.

Pada tahun 1979 ketika Theatre of the Third World diiktiraf oleh Flemish Ministry of Culture di Belgium dan geran diberikan kepada grup teater ini, Siti Fauziah turut mendapat pengiktirafan. Beliau diberi gaji tetap sebagai pelakon dan selama 12 tahun berikutnya, bersama-sama kumpulan teater ini mereka terus menjelajah ke seluruh dunia sambil mementaskan berbagai skrip yang diambil dari sastera rakyat atau kisah dari negara yang mereka lawati. Melalui teater, Tone Brulin dan Siti Fauziah mendekatkan penduduk Eropah dan seluruh dunia dengan seni dan budaya masyarakat Dunia Ketiga. Mereka meruntuhkan tembok bahasa, budaya dan agama dengan memperkaya pengalaman budaya dan seni melalui pementasan teater .

Selain dari berlakon, Siti Fauziah juga sering bertindak sebagai pereka dan pembuat kostum. Jadi tidak hairanlah jika ke mana juga beliau pergi, mesin jahitnya adalah antara benda paling penting dan sentiasa dibawa bersama.Dengan skil menjahit yang baik, beliau juga belajar membuat boneka dan topeng. Sewaktu di Vermont Amerika Syarikat ketika menghadiri festival teater boneka, beliau belajar dari kompeni The Bread and Puppet Group yang sangat terkenal dengan boneka mereka yang ada kalanya setinggi 5 meter. Teknik membuat boneka mereka sangat mudah dan lebih mirip kepada konsep seni boneka Jepun. Hampir 7000 penonton menghadiri pementasan festival teater ini.

Di England Siti menghadiri festival The Welfare State International dan terus menggali ilmu pengetahuan membuat boneka dan topeng dari bahan-bahan terbuang dan murah seperti straw, buluh dan kayu. Festival yang unik ini disertai oleh ramai orang teater seluruh England dan Eropah yang mengembara dalam karavan. Mereka akan berkumpul di bandar tertentu dalam perkampungan karavan dan mementaskan teater serta permainan boneka dan teater kanak-kanak. Ianya adalah suatu pengalaman yang amat membuka minda kepada Siti. Sesuatu yang perlu dipelajari oleh kumpulan teater kita tentang mementaskan teater tanpa menggunakan kos yang tinggi jika kita benar-benar mahu mengembangkan teater dan seni ke seluruh negara dengan cara yag murah tapi berkesan.

12 tahun adalah suatu waktu yang lama bagi sesiapa juga mengabdikan diri kepada dunia teater profesyenal yang menjelajah dan membuat pementasan di seluruh dunia .Ianya memerlukan komitmen yang tidak berbelah-bahagi dan ternyata memerlukan semangat dan keinginan yang kental dan bukan semua orang mampu berbuat begitu. Pun begitu, pada tahun 1992 bersama-sama Tone Brulin yang sedang mengalami masalah kesihatan kumpulan Theatre of the Third World ini akhirnya diserahkan kepada Pengarah Artistik nya iaitu Eugene Berveos. Tone dan Fauziah meneruskan juga kerja-kerja teater mereka bila dijemput oleh pihak-pihak tertentu..

Selepas belajar di Studio Herman Teirlinck pada tahun 1979 Fauziah juga mula mengajar taichi di situ selama 5 tahun. Seiringan dengan kerjaya teaternya, Fauziah membuka kelas taichi di Anterwarp dan selama 16 tahun beliau mengajar di sebuah sekolah muzik di situ. Di Sekolah tarian P.A.R.T.S yand diketuai oleh Anne Therese de Keeirsmaker yangsering membuat pertunjukan di seluruh dunia, Fauziah turut mengajar taichi di situ selama 3 tahun. Sehingga sekarang, kelab-kelab sukan di sekitar bandar ini sering memanggil beliau untuk mengajar. Malah ke mana saja beliau pergi sewaktu mementaskan teater beliau turut mengajar taichi kepada orang-orang teater.

Selepas tidak lagi aktif dalam Theatre of the Third World Tone Brulin dan Fauziah masih terus berlakon dan mengarah teater di seluruh Eropah. Kebetulan ketika itu beliau mengalami sakit pada bahu kanannya yang serius dan perubatan moden tidak berjaya mengubatinya. Beliau mencuba akupuntur dan Fauziah mula berjinak dengan perubatan tradisional China untuk membantu suaminya.Beliau mendaftar di European University of Traditional Chinese Medicine yang terletak di Rotterdam, Belanda. Pengorbanan seorang isteri yang tidak terhingga besar maknanya kepada seorang tokoh teater terkenal yang mendapat anugerah bintang Order of Leopold II ketika berumur 26 tahun dan mendapat penghormatan dari UNESCO beberapa tahun yang lalu dengan menerbitkan buku mengenainya bertajuk An Exceptional Theatre Life. Fauziah belajar tentang perubatan menggunakan herba dan juga akupuntur dan sehingga kini mahir mengubat orang sakit melalui teknik perubatan China tradisional ini.


Selama lebih 30 tahun di Eropah beliau bukan saja berteater seantero dunia , tetapi turut mengajar taichi dan mempraktis akupuntur. Dan mungkin pengalaman sewaktu berteater inilah menjadikan beliau seorang yang cukup terbuka fikirannya, resourceful, tabah dan kental menghadapi sebarang ujian dan dugaan dalam hidup untuk mencapai cita-citanya . Teater yang disebutkan di atas hanyalah sebahagaian kecil daripada berpuluh-puluh pementasan yang telah mereka persembahan.

REVIU TEATER BUKAN DEJAVU : MENANGANI CABARAN DIDAKTISME

OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM


Seimbas lalu, set dan latar belakang cerita teater Bukan Dejavu amat mengingatkan saya kepada set Kampung Kambing dalam teater Salina adaptasi novel SN A Samad Said yang dipentaskan di Balai Budaya hampir 20 tahun lalu. Kisah kumpulan manusia kurang bernasib baik di kawasan setinggan dengan seribu satu permasalahan yang kusut dan mengusutkan. Dalam Salina seorang pelacur yang hidup dengan kekasihnya Abdul Fakar di Kampung Kambing ada watak Helmi, Haji Karman, Nahidah dan Narto yang terkapai-kapai dalam kompleksiti hubungan kehidupan antara mereka. Dalam Bukan Dejavu, Nora seorang GRO yang tinggal bersama Ustazah Salmi berjiran dengan imigran Narti dan Yanto berdepan dengan permasalahn Tahir yang merogol Jamilah anak tirinya sehingga mengandung dan melarikan diri dan diberi perlindungan oleh Ustazah Salmi. Nora pula menghadapi dilemma kepulanga anaknya dari seberang laut yang disangkanya
tidak mengetahui pekerjaannya.

Citra hitam pekat manusia-manusia malang ini tidaklah sama dengan tema dan plot dalam Salina, tetapi dinamisme dramatiknya bergerak pada landasan latarbelakang yang sama. Kalau dalam Salina penduduk-penduduknya berjiran dengan kupu-kupu malam masyarakat pasca perang dunia ke 2, kampung dalam skrip Bukan Dejavu dihuni bersama dengan penagih dadah dan pekerja-pekerja imigran dari Indonesia, Selatan Thailand dll. yang katanya berlatarkan sekitar tahun 80han. Pun begitu bukan soal pengaruh intertekstualnya yang perlu diperkatakan, tetapi skrip teater panjang ini ada kalanya terlalu didaktik. Sarat bermuat dengan mesej dan pengajaran halal dan haram itu dan ini. Mungkin terlalu langsung dialognya diolah, sehingga segala-galanya menjadi begitu didaktik dan membelakangkan subtleity yang harus ada dalam teks yang baik dan mencapai tahap yang cukup tinggi nilai seninya. Seperti kuih yang hanya diketahui selepas dimakan sedap atau tidaknya, begitu jugalah dengan skrip teater (juga filem). Ianya hanya diketahui baik tidaknya selepas dipentaskan atau difilemkan.

Bukan Dejavu juga sarat dengan beberapa plot besar dan berat dan cukup menarik di atas kertas tetapi menjadi cabaran yang cukup besar apabila dipentaskan selain daripada panjang dan meleret-leret. Permasalahannya ternyata mendapat treatment yang dangkal dan memberikan kesan superfisialiti yang amat ketara bagi sebuah skrip teater panjang. Dan inilah yang terpaksa dihadapi oleh sesiapa juga yang mementaskan naskah seperti ini. Dan seperti hukum menterjemah karya sastera ‘yang cantik itu tidak setia tetapi yang tidak cantik itu selalunya setia’ menginterpetasi skrip teater juga menuntut kreativiti dan sensitiviti yang sangat tinggi. Dan jika seorang sutradara terlalu setia kepada teks di depannya, beliau juga mungkin mengambil risiko besar menjadikan persembahan teaternya tidak cantik. Ada harga mahal yang perlu dibayar kerana kesetiaan? Mungkin itulah punca masalah besar pementasaan Bukan Dejavu arahan Rohayah Atan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.
Pun begitu, persembahan teater ini tidaklah buruk sama sekali. Lakonan Juhara Ayub sebagai Narti, cukup baik dan meyakinkan dalam watak wanita becok isteri Yanto yang membuka gerai makan tempat segala aksi dan cerita berlaku dalam teater ini.Jalaluddin Hassan sebagai Tahir bouncer dan ketua gangster yang bekerja di Kelab Karaoke Semarak Hati tempat Nora bekerja dan yang telah merogol anak tirinya juga sangat baik dan natural dengan penampilan yang amat meyakinkan. Shukor Yon (Yanto), Safura Ya’cob ( ustazah Salmi), Yussak Kasan (Parjo) dan Eyzendy Aziz ( Wan Dol) juga tidak mengecewakan dalam watak masing-masing dan menjadi penyelamat kepada pementasan yang bermula sedikit perlahan dan mencapai momentum pembinaan klimaks hampir setengah jam selepas itu sahaja.

Cuma Norish Karman yang entah kenapa sedikit kaku dan tidak mempamerkan lakonan yang sepatutnya jauh lebih baik pernah diperlihatkan di atas pentas. Pelakon-pelakon lain juga boleh di perkembang watak mereka dengan lebih baik sekiranya analisis watak yang cermat dan terperinci telah dibuat dengan kedalaman intelektual dan psikologi yang cukup teliti. Dalam pementasan teater apa pun, analisis dan interpetasi watak sama penting dan beratnya dengan penulisan skrip. Berlawanan dengan apa yang dipercayai oleh ramai, dalam teater aspek lakonan maha penting. Cerita yang merencatkan akal dan menghina intelektual pun boleh jadi persembahan teater yang baik jika lakonan dan interpetasi wataknya dibuat dengan cukup baik dan teliti. Kerana dalam melahirkan lakonan yang baik, natural dan meyakinkan prosesnya adalah lebih banyak merasai emosi watak yang dibawa bukannya memahami dan memikirkan tentang apa yang dilakukan oleh watak itu.

Mungkin kehadiran ‘gerombolan’ pekerja imigran dari berbagai bangsa yang juga penduduk kampung ini turut menjadi faktor penyebab dinamisme dan perkembangan ceritanya menjadi panjang dan meleret-leret walau pun ada kalanya ia membawa unsur kelakar yang amat menggelikan hati serta menyelamatkan babak-babak yang agak membosankan. Dan ‘gerombolan ‘ ini agak besar jumlahnya dan meramaikan pentas yang kecil sehingga menyesakkannya. Dialog-dialog mereka ini juga yang memperlahan tempo lakonan dan dinamisme penceritaan. Babak membuat persediaan kenduri aqiqah dan simulasi membantu Jamilah melahirkan kandungannya amat melucukan tetapi meleret dan melemaskan.

Entah kenapa untuk pentas yang tidak begitu besar, terlalu banyak set yang diletakkan? Rumah kosong untuk disewa dan tidak berfungsi sama sekali dalam pementasan teater ini juga diletakkan dan menggunakan ruang lakonan yang banyak. Mungkin untuk mempamerkan suasana sesak kampung setinggan? Pun begitu seperti penentuan blocking pergerakan pelakon, semua yang ada di atas pentas mesti mempunyai fungsinya yang tersendiri dan penting. Aspek teknikal lain seperti penataan cahaya cukup baik dan memadai kerana tidak ada kesan khas yang diperlukan. Begitu juga dengan kesan bunyi dan muziknya adalah cukup baik dan berkesan.

Reviu Filem: SEPI ITU INDAH

OLEH SITI RUQAIYAH HASHIM

Ada orang berkata ini filem wanita. Kalau ada filem wanita tentu ada filem lelaki. Benarkah begitu? Apa pula ciri-ciri filem wanita dan apa pula ciri filesm lelaki?
Apa pun perbezaan genre filem dan sudut pandangan seseorang, bagi saya ianya tidak lebih dari bagaimana sesebuah lakon layar itu ditulis dan bagaimanakah ‘treatment’ cerita
nya dihidangkan. Penulis skrip wanita lebih halus dalam mengungkapkan emosi terutama tentang cinta. Mungkin kerana wanita mengartikulasi emosi dengan lebih baik dan jelas dari lelaki. Jika tidak begitu, tidaklah ada kata-kata bahawa ‘lelaki dari Mars dan wanita itu dari venus’!

Satu perkara unik mengenai filem-filem Kabir Bhatia dan Mira Mustafa ialah adanya uniti paling integral yang cukup harmonis di antara kepengarahan dan penulisan skrip.
Mungkin hubungan mereka sebagai suami-isteri dalam bidang kerja yang sama dan kait-mengait menerangkan segala-galanya kenapa keharmonian itu begitu ketara. Kehalusan skrip Mira dan Ara diterjemahkan dengan subtleity yang begitu menonjol dalam lakonan, kerja kamera dan penataan cahaya yang menghasilkan sinematografi yang begitu indah dan baik. Sehingga kini, Sepi merupakan filem paling artistik pembikinannya dan terbaik yang ditayangkan bagi musim 2008. Syabas kepada Alternate Studio yang sekali lagi menerbitkan sebuah filem yang berada dalam kelasnya yang tersendiri walaupun ia tidak lebih dari sebuah filem air mata. Melodrama tapi amat meyakinkan begitulah frasa terbaik untuk menerangkan segala-galanya tentang filem ini.

Sebenarnya penceritaan filem Sepi adalah punca kekuatannya. Penceritaan begini bukanlah sesuatu yang baru dan tidak pernah dibuat orang, tetapi Mira ternyata jauh di depan dalam penulisan skrip dalam industri filem kita. Baik dalam Cinta maupun Sepi, stail penceritaan yang berkisar kepada beberapa kisah karekter yang berbeza yang berinteraksi secara langsung (dalam Cinta) dan berpusat kepada suatu kejadian yang sama (dalam Sepi) adalah sesuatu yang julung kalinya dieksploit dalam filem Malaysia. Pun begitu, ini tidak lebih dari pengaruh intertekstual karya lain dan bukan plagiat namanya. Kerana tema, plot dan segala-galanya cukup tulen dan tersendiri dan bukan dicedok dari karya lain secara terang-terang. Semua filem dan apa juga jenis fiksyen di dunia ini tidak terlepas dari pengaruh intertekstual karya lain yang meresap masuk dalam karya seseorang kadang-kadang secara paling tidak disedari.

Sepi mengungkapkan emosi manusia di sudut dan ketika paling rapuh (vulnerable) dalam kehidupan seseorang. Adam (Afdlin Shaufi) yang sering menggembirakan pasangan pengantin dengan ciptaan kek perkahwinan yang cantik merasa cukup sepi bila kawan-kawannya seorang demi seorang berkahwin. Dia bertemu dengan Illyana (Vanida Imran) dan tertarik kepadanya tetapi malangnya berada dalam situasi ‘bertemu dengan orang yang salah pada waktu yang salah’. Sufi (Tony Yusof) yang kematian isteri dan merasa cukup bersalah kerana tidak dapat menyelamatkannya dalam kemalangan akhirnya bertemu dengan Marya (Eja) dan jatuh cinta dengannya dalam situasi rumit kerana Marya adalah isteri yang kesepian kerana ketiadaan anak selepas tujuh tahun berkahwin dan menerima hakikat mereka bertemu untuk berpisah. .

Dan Imaan (Baizura) yang kehilangan Khalil (Pierre Andre) yang terbunuh dan masih belum dapat menerima kenyataan mengenai kematiannya bertemu Ean rakan sekolej yang jatuh hati kepadanya tetapi mendapati situasinya tidak lebih dari ‘buah hati kekasih orang’ dan melalui waktu serta ujian cukup sukar sewaktu Imaan berada dalam koma. Pun begitu, cinta itu ada kalanya indah dan menyakitkan pada waktu yang sama. Ada kalanya ia membuatkan seseorang menunggu bertahun-tahun lamanya tanpa sebab dan hanya berbekalkan harapan dan tidak lebih dari itu. Dan hanya cinta yang boleh menyembuhkan jiwa mereka yang perit menanggung kepedihan , kesedihan dan kekecewaan. Ini juga bukan tema baru, tetapi olahan ceritanya menjadikan filem ini unik dan tersendiri.

Satu keistimewaan Kabir Bhatia adalah menjadikan pelakon baik berlakon dengan cemerlang. Seperti Rahim Razali dalam Cinta yang mempamerkan lakonan beliau yang terbaik pernah disaksikan di layar perak, Sepi mencungkil bakat-bakat lakonan Pierre Andre, Vanida Imran, Nasha Aziz, Eja dan Tony Yusof ke tahap terbaik yang pernah disaksikan di layar perak sehingga kini. Baizura Kahar juga mempamerkan lakonan yang baik dan meyakinkan. Pun begitu, agak malang bagi Afdlin Shauki yang dalam karekter yang masih kelakar dan sedikit klise dengan watak-watak beliau yang lain dalam filem.

Penataan cahaya yang cukup baik dan teliti memberikan kesan artistik yang tidak dapat dipertikaikan. Begitu juga sudut-sudut kerja kamera yang kreatif menjadikan sinematografi filem ini cukup baik dan dalam kelasnya yang tersendiri. Tidak ada satu beat pun dalam filem ini yang terabai atau terlepas pandang. Begitu juga dengan muzik dan penataan bunyi yang cukup sesuai melatari filem ini. Filem ini mungkin hanya suatu versi lain kepada filem Cinta, tetapi fokusnya tentang manusia dan kesepian menjadikan ia cukup kuat untuk diperkatakan untuk suatu waktu yang panjang.

KAMI: STRUM UN DRANG REMAJA

OLEH

SITI RUQAIYAH HASHIM


Ada orang berkata di Malaysia ada dua genre filem sahaja iaitu filem seram atau tahyul dan filem remaja yang angst ridden dan melalui strum un drang. Pendapat nakal ini pastinya provokatif tetapi jika dianalisis secara kritis memang beginilah pola dan trennya kerana cuma beberapa buah filem tempatan yang menggarap tema yang berlainan. Sejak tahun lalu, filem bertemakan kehidupan remaja atau tahyul dihasilkan dengan begitu banyak sekali. Dan terbaru, filem Kami yang diangkat dari siri dengan nama yang sama terbitan 8 TV juga mengisahkan kegelisahan dan kehidupan remaja dalam dunia mereka yang dikaluti oleh kisah perceraian ibu-bapa, dadah, muzik indie dan pencarian identiti dalam seribu satu kekeliruan. Jadi apa yang barunya dalam filem Kami dibandingkan dengan Haru Biru, Anak Halal, Evolusi KL Drift dll yang se genre dengannya?

Filem dari pengarah muda suami isteri Effendi Mazlan dan Fariza Azlina Isahak ini memang tipikal mempamerkan treatment dan kepengarahan filem orang muda bandar. Pun begitu filem ini mempamerkan kerja serta pemikiran yang cukup matang, tidak menghukum tapi cukup kuat menuntut kefahaman penonton tentang isu yang dinyatakan. Filem ini membawakan tema dan plot yang cukup berat dan menuntut pemikiran yang serius dan persoalan yang mendalam walau pun disampaikan dalam naratif yang cukup santai, ringan dan dialog yang cukup ekonomikal. Suatu garapan kerja seni yang cukup
baik dan mempamerkan pemahaman penulis skripnya yang pastinya terlatih dalam krafnya. Beginilah seharusnya penulisan dialog yang natural - ringkas dan ekonomikal. Dalam situasi sebenar di luar filem tak ada manusia yang bercakap dengan kawan, adik atau suami dengan menggunakan ayat-ayat yang penuh seperti ‘ kemana awak nak pergi?’ Dialog ini dalam situasi sebenarnya mungkin saja menjadi ‘nak pergi mana?’.

Kami mengisahkan remaja masa kini dengan dunia dan permasalahan hidup sekarang. Abu (lakonan Nas-T) penghuni rumah pemulihan yang melarikan diri sebelum mengambil peperiksaan SPM nya terpaksa menumpang di rumah kawan sekolahnya Ali lakonan Syarul Ezani) yang sudah pun bekerja di ajensi pelancongan yang sedikit pun tidak diminatinya. Ibu bapa Ali sedang melalui proses perceraian dan ini memberi kesan yang mendalam kepada kehidupannya.Sementara itu tiga sahabat perempuan Lynn (lakonan Liyana Jasmay), Adii (lakonan Zayanah Ibrahim) dan Sofie (lakonan Juliana Evans) yang baru lepas menduduki peperiksaan SPM sedang merayakan ‘kemerdekaan’ mereka dari pakaian seragam sekolah, buku dan kerja rumah. Bersama dengan Abu dan Ali yang memandu kereta bapanya mereka semua keluar malam, berkumpul dan lepak di tempat-tempat yang sering dikunjungi remaja tanpa pengetahuan keluarga mereka sedikit pun. Sesuatu yang normal dalam kehidupan remaja di bandar masa kini.

Dalam interaksi antara mereka yang menerima tanpa syarat siapa pun kawan mereka samada anak ahli korporat atau juvana dari rumah pemulihan, persahabatan mereka mempamerkan keintiman dan keakrabannya dalam garapan plot dan dialog yang cukup natural dan mantap. Dan dalam fluidity penceritaannya filem Kami mengangkat dilemma dan isu-isu dan saat sukar berdepan dengan kenyataan hidup yang bercakap tentang kesilapan menjadi pengedar dadah masa lalu, menerima bakal bapa tiri yang tidak pernah diundang, perbuatan ibu yang menyorokkan surat penerimaan universiti luar negeri agar anak gadisnya tidak meninggalkannya dan trauma mengetahui kawan yang menjadi pelanggan dadah yang diedarkannya sendiri. Isu-isu yang cukup berat tetapi begitu effortless pemamerannya yang menjadikannya cukup cantik serta halus.

Aspek lakonan dalam filem ini adalah sesuatu yang perlu diperkatakan. Kesemua watak utama remaja filem Kami merupakan muka-muka baru yang belum banyak pengalaman dalam filem, tetapi lakonan mereka cukup meyakinkan dan mantap dengan eksploitasi pregnant pause yang menimbulkan subteks yang ketara tanpa perlu diperkatakan. Dan dibantu oleh pelakon cukup berpengalaman seperti Norish Karman, Rozie Ali, Mustapha Kamal, Dian P.Ramlee dll aspek lakonan filem ini mempamerkan sesuatu yang segar dan membanggakan.

Setiap kali menonton filem sebegini, pemikiran saya akan mula menerawang dan bertanya ke mana arah dan hala tuju filem-filem kita? Bagaimana pun istimewanya garapan artistik dan kekuatan tema dan plot ceritanya, filem begini menuntut penerimaan dan kefahaman kita tentang segala yang berada di sekeliling kita sahaja dan tak lebih dari itu. Ianya hanya rakaman dan kutipan anekdot dan peristiwa serta isu-isu semasa yang dipamerkan di seluloid. Dan apa selepas itu? Apakah kita tidak cukup faham dan menerima tentang hakikat gejala dan keruntuhan moral dalam masyarakat kita sekarang? Kaitan dengan isu ini ialah apakah filem masih terus hanya menjadi wadah seni perakam emosi dan pengalaman sosial sahaja? Bagimana dengan fakta bahawa seni harus secara sedar mengangkat pemikiran dan falsafah kehidupan yang melewati tahap penerimaan dan kefahaman isu-isu kecil dan besar dalam masyarakat?

Thursday, November 20, 2008

Tentang Bekas Suami

Seorang kawan baik saya (saya namakan dia Kay) seringkali bercerita tentang kehidupannya yang masih dibelenggu masalah dengan bekas suaminya. Mereka telah lama bercerai dan si suami sudah pun berkahwin lain dengan wanita muda sebaya anak sulungnya bekas pelajarnya setelah mereka lama tinggal bersama! Mereka kawin di negara jiran dan hingga sekarang perkahwinan itu tidak didaftarkan di negara ini. Tapi Kay tak kisah tentang hal tersebut kerana bagi beliau keputusan terbaik yang pernah dilakukannya ialah memulakan inisiatif perceraian hampir 10 tahun yang lalu dan Allah Swt mengizinkan perceraian itu dalam masa yang singkat sahaja. Begitu mudah sekali bagi Kay kerana dalam masa 6 bulan mahkamah telah membenarkan perceraian tersebut.

Kay amat bertuah, mungkin kerana dia telah lebih 20 tahun bersabar dan mencuba seberapa daya untuk mempertahankan perkahwinan mereka. Tetapi setelah 22 tahun beliau hilang kesabaran dan setelah ke Mekah membuat Umrah dsbnya, beliau memutuskan untuk memulakan prosiding perceraian. Mereka bercerai cara baik dan ianya bukanlah suatu keputusan yang mudah bagi seorang wanita berumur 47 tahun dengan 2 orang anak lelaki yang sedang meningkat dewasa dan bergantung kepada wang pencen sebanyak RM1200 sebulan ( Kay bersara awal setahun sebelum itu demi cuba menyelamatkan rumah tangganya)

Pun begitu, bekas suami Kay adalah seorang yang pendendam dan tidak menerima kenyataan bahawa teman saya sedikit pun tidak menyesal dengan keputusannya dan tidak pernah mahu kembali kepadanya. Suatu tragedi kemanusiaan! Setiap kali ada orang lain yang cuba merapati dan berkenan kepada Kay, macam-macam 'overture' yang akan dilakukannya. Daripada menghiasi bilik pejabatnya dengan gambar-gambar bekas isterinya, dia juga pernah menghantar gambar-gambar mereka berdua kepada ramai kawan-kawannya seolah-olah dia dengan bekas isterinya masih suami-isteri. Cerita 'mandrem' tak usah cakap lah. Macam-macam yang dilakukan supaya kawan saya tak boleh berkahwin dengan orang lain. Melalui seorang anggota keluarga, barulah Kay faham sebenarnya bekas suaminya tidak mendaftarkan perkahwinan barunya mungkin supaya senang dia menceraikannya sekiranya kawan saya ni nak balik kepadanya! Suatu teori konspirasi yang baik dan masuk akal!

Tidak cukup dengan itu bekas suami Kay juga membuat berbagai hal untuk menekannya dan anak-anak mereka supaya Kay tidak tahan dan akhirnya kembali kepadanya. Tidak cukup dengan itu, beliau berpakat dengan ahli keluarga, rakan-rakannya serta pihak-pihak tertentu yang dijadikan ally nya untuk memberi masalah kepada Kay. Dan kerana wajahnya yang baik macam malaikat segala ceritanya dipercayai orang. Kay adalah seorang penulis bebas macam saya juga tetapi dia mempunyai prinsip dan landasan perjuangannya sendiri.Jadi sesiapa juga yang tidak sependapat dengan Kay dijadikan musuhnya oleh bekas suaminya! Malah orang-orang politik juga terlibat sama dan di maneouvere oleh orang-orang tertentu untuk menyekat dan mensabotaj apa juga yang dilakukan oleh Kay dan ini termasuklah hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan peribadinya.

Kay bukanlah seorang wanita yang suka membebel tentang perangai buruk bekas suaminya semasa mereka berkahwin tak habis-habis sampai bila-bila!Malah beliau cuba berlaku adil kepada anak-anaknya dan sering menasihati mereka menghormati isteri baru bapa mereka walau bagaimana pun perangai beliau. Kay mendidik anak-anaknya dengan nilai agama dan sopan santun Melayu yang tinggi. Jadi anak-anaknya mungkin tidak dapat menerima kelakuan ibu tiri mereka yang macam bumi dengan langit dengan ibu mereka agaknya. Jadi anak-anak Kay bermasalah dengan ibu tiri mereka walau pun Kay cuba menasihati mereka supaya menerimanya. Mungkin masa akan mengubah segala-galanya dan Kay tetap bersabar dengan keadaan ini. Pun begitu, bekas suaminya dan suku sakat mereka masih tidak berubah dan masih memberikan masalah kepadanya.

Jadi seperti kata Tsun Tze untuk mempertahankan diri ada kalanya anda perlu melancarkan serangan! Sesekali beliau pun melancarkan 'ambush' nya kepada bekas suaminya dengan puak-puak yang se kepala dengannya . Kenapa tidak? Kalau saya pun kena macam tu mungkin akan buat begitu juga! Malah sesiapa juga. Saya amat simpati kepada Kay dan anak-anaknya tetapi ini pun sebahagian daripada Compulsive Obssesive behaviour. Manusia sakit yang tidak menyedari mereka sakit.

Mungkin saya perlu juga ceritakan apa masalah rumah-tangga Kay sehingga mereka bercerai. Suami Kay adalah seorang bi-seksual dan sangat liberal, tidak berapa pentingkan agama dan nilai-nilai kerohanian yang tinggi. Lama dulu, sewaktu anak sulung nya baru berumur 6 bulan, Kay' menangkap' sendiri bekas suaminya dalam keadaan yang terang-terang mengesahkan masalah dirinya setelah hampir 2 tahun berkahwin. Kay sudah mahu bercerai waktu itu, tetapi atas desakan dan pujukan keluarganya, dia tidak jadi berbuat demikian dan memberikan peluang kedua kepada bekas suaminya. Mereka bertahan 20 tahun lagi! Tetapi perkahwinan mereka sudah pun lama berakhir sebenarnya. Kay melalui waktu sukar selepas mengetahui tentang bekas suaminya tetapi melalui kaunseling dan sokongan rakan-rakan rapat beliau dapat melaluinya dan tidak sedikit pun menunjukkan penderitaan batinnya. Dia menjadi cukup kuat, cekal, sabar dan mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Pelik, tetapi itulah yang berlaku. Sepatutnya bekas suaminya yang patut di kaunseling, tetapi Kay yang cukup sober kepalanya
demi anak-anak yang masih kecil yang mendapatkan bantuan pakar psikologi! Begitulah dunia!!

Dan yang terbaru, sejak 2 tahun yang lalu bekas suami Kay dengan konco-konconya menyebarkan berbagai cerita dan fitnah yang teruk untuk menggagalkan Kay yang telah membuat keputusan untuk berkahwin lagi dengan seorang yang kebetulan sangat dikenali ramai. Berbagai fitnah yang dilemparkan kepada Kay disampaikan kepada keluarga lelaki yang telah lama berkenan kepadanya itu. Malah bukan itu saja, mereka juga turut mensabotaj dan memfitnah lelaki tersebut dalam kariernya supaya Kay mengubah fikiran. Tetapi Kay tidak berfikiran begitu kerana dia sudah lama mengenali lelaki tersebut dari jauh dan telah menyelidiki latar-belakang beliau dan keluarganya dan merasakan inilah yang terbaik untuk dia dan keluarganya dan juga di pihak lelaki tersebut. Malah mungkin juga untuk agama ,bangsa dan negara kerana mereka amat sefahaman dan boleh bekerja sama dalam susah dan senang sejak dari lama dulu.

Jadi, 'perang' peribadi Kay dengan bekas suaminya mengambil dimensi baru. Ianya sudah berubah menjadi peperangan antara dua puak yang berbeza pendapat dan pegangan hidup!! Siapa kata 'War of the Roses' tidak berulang? Semoga semua pihak waras dan tidak terus menginayakan Kay dan anak-anaknya serta lelaki pilihan dan keluarganya. Please Give them a break!!

Tuesday, November 18, 2008

Festival Filem dan Anugerah Mania

Sebulan dua kebelakangan ini berbagai festival dan anugerah mengenai industri filem telah berlangsung. Bagi industri yang tidak sebesar mana saiznya kita terlalu kaya dengan festival dan anugerah itu dan ini. Dan kebanyakannya lebih bersifat pesta-pestaan berdasarkan kerja-kerja seni (kalau boleh dinamankan begitu semuanya!) yang dinilai dari sudut populariti sahaja. Jadi bila ada festival atau anugerah yang secara serius cuba mengangkat aspek-aspek lain dalam perfileman seperti aspek teknikal ramai yang tidak kisah dan memandang berat tentang perkara ini dan ada saja alasan yang diberikan untuk tidak menyokongnya.

Mungkin syarikat media yang banyak terlibat dalam hal begini seperti Media Prima dan Astro patut berfikir semula tentang anugerah yang mereka anjurkan. Apa tujuan kita semua menganjurkan anugerah begini banyak? Hanya untuk pablisiti dan menaikkan rating stesen tv? Bagaimana dengan kesan jangka panjangnya kepada industri hiburan dan keseniaan kita? Adakah ia turut membantu dari aspek kualitatifnya untuk mengangkat karya kita ke taraf yang lebih tinggi hanya dengan pesta-pestaan untuk glitter dan glamor semata-mata? Apa yang dapat dibangunkan jika ukuran populariti sahaja digunakan untuk mengangkat sesuatu karya? Apakah perbuatan begini tidak lebih daripada cubaan membangun industri seni dengan tangan kanan tapi meruntuhkannya dengan tangan kiri (atau 'membonsaikannya') pada masa yang sama? Mungkin kerana terlalu ramai orang muda dan kurang pengalaman berada dalam syarikat media begini menyebabkan mereka tidak dapat melihat sesuatu yang lebih jauh dari faedah jangka pendek yang akhirnya tidak membawa ke mana-mana kepada industri kita?
Pemikiran serius dan soul-searching perlu dilakukan oleh semua orang yang terlibat dalam hal begini.

Pengerusi FINAS yang baru telah menyentuh tentang hal ini baru-baru ini, tetapi sebagai new kid on the block beliau perlu lebih perihatin sebelum membuat sebarang kenyataan yang mungkin akan menimbulkan berbagai kontroversi tidak berkesudahan!! Beliau perlu betul-betul tahu dan berpengetahuan tentang semua perkara dan tidak mendengar dari pihak-pihak tertentu sahaja. Pun begitu, pemerhatian beliau amat tajam dan saya suka dengan sikap yang begini.

Sehubungan dengan ini PPFM yang telah berjaya menganjurkan Malam Oskar baru-baru ini benar-benar menyentuh sensitiviti saya. Kepada Syed Hasan sahabat saya, tahniah diucapkan kerana walau pun dengan berbagai rintangan dan keterbatasan (serta demam beberapa hari), Malam Oskar telah berjaya meninggalkan impak yang besar kepada imej dan prestij untuk the one behind the camera semenjak 7 tahun yang lalu. Sejak 3 tahun yang lalu saya tidak pernah ketinggalan menghadiri Malam Oskar PPFM dan dapat merasakan sokongan yang diberikan kepada majlis ini semakin bertambah dan semakin besar walau pun begitu sedikit dana yang diberikan oleh pihak berwajib bagi menjayakan majlis ini. Alhamdullilah sokongan pihak media juga semakin kuat dan padu kepada PPFM dan Malam Oskar mereka.

Sememangnya anugerah untuk aspek-aspek teknikal perfileman amat perlu untuk menaikkan industri kita ke tahap yang lebih tinggi dan bermakna untuk memberi impak ke peringkat antarabangsa. Cuma seperti yang banyak kali saya katakan perlu dibuat post-mortem dan laporan penjurian untuk dikemukakan kepada semua pihak terlibat dalam industri ini. Bagaimana kita nak menambah-baikkan industri kalau pemain-pemain kita mempunyai jurang pemikiran dan pengetahuan yang besar antara penerbit, pengarah dan pekerja filem? Bukan semua penerbit mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang filem yang baik dan yang tidak. Terlalu banyak type-casting selain dari filem dan telemovie yang berasaskan genre yang sama diterbitkan sesuatu masa dan sesuatu perlu dilakukan tentang hal begini oleh mereka yang berilmu dan berwawasan! Tak payah cakaplah mengenai mereka yang tidak ada ilmu dan wawasan. Atau yang berilmu tapi tidak ada wawasan!

Monday, November 17, 2008

Monumen cinta mu

Dosa apakah yang telah ku lakukan kepada mu
kerna tidak habis-habis aku kau kecewakan
walau aku tetap meletak mu
di takhta tertinggi
dan dalam reda
aku bertelut di hadapan takdir
seinci pun tidak berganjak dari hukum Nya

ujian apakah lagi yang harus ku lalui
atau sebenarnya engkau kah
yang merasa kekurangan
dengan ragu tidak berkesudahan
kerna tiba-tiba
aku bukan lagi wanita kecil yang masih hijau
dengan ubun-ubun yang masih lembut
dan seperti seorang wira
engkau senang memujuk ku
dengan kata sakti yang membuatkan aku terlupa
kepada onak dan duri di perjalanan

tapi kini engkau menyedari
semua itu sudah bertukar
kerna ufuk dunia sudah ku jelajahi
dodoi mu tidak lagi menidurkan ku
aku tegar mengadap realiti
dan maknawi kehidupan

lelaki ku
aku kah yang belum bersedia meranduk kesengsaraan dalam kemanisan
atau engkau kah yang masih termangu penuh keraguan?

mungkin antara kita
ada kamar kecil nurani yang berbeza
dan kerna terlalu lama sendirian
hanya Dia menjadi pergantungan
tahajud dan istiqarah sering ku lewati
dan itu lah
kekayaan yang ku miliki
walau aku tidak punya apa-apa
dan engkau cukup tau
kekuatan itu
masih belum kau gapai hingga kini

lelaki ku
semoga Dia memberi kekentalan itu kepada mu

Thursday, November 13, 2008

Seperti Kata ku

Seperti kata ku
perjalanan ini
bakal mempamer siapa kita
jadi medan mengenal diri
mengukur dalamnya tasik rasa
dan akur dengan ketentuan Nya

Lelaki ku
aku tak pernah keliru tentang kasih mu
kerna ketahuilah
kadang-kadang aku senyum sendirian
melihat rajuk sendu dan cemburu
tapi di lain waktu
aku kasihan melihat engkau berlari kencang
menjerit minta perhatian
bila rasanya kau tidak dipedulikan

Ah! Itu permainan cinta namanya
dan tidak kira samada di umur 17 ataupun 70
cinta itu
adalah gejolak emosi
tidak terbendung oleh akal
dan tidak akan dapat dimengertikan
tapi itulah rasa
yang menolak segala halangan segala rintangan
kernanya kita sanggup berbuat apa saja
sanggup menghadapi apa juga
dengan kesabaran dan mata fikir
yang ada kalanya tidak terjangkau oleh maknawi kehidupan
kerna firasat itu yang memandu
dan itulah juga sebahagian
coretan di kanvas takdir Nya

Sunday, November 2, 2008

Muzikal oh Muzikal!

Sejak beberapa tahun kebelakangan, seperti ada suatu 'kegilaan' dalam pementasan muzikal di negara ini. Samada di KL PAC atau pun Istana Budaya malah di Auditorium Malaysian Tourism Centre juga, hanya muzikal yang banyak dipentaskan. Sebabnya? Dibandingkan dengan pementasan teater dan drama yang bukan dari genre muzikal, sambutan kepada pementasan muzikal begitu baik dan ramai ditontoni. Sebabnya? Ia menghiburkan, tidak berat dan tak perlu pening kepala berfikir banyak-banyak! Maknanya seperti fenomena filem remaja yang bercakap dan bercerita tentang milieu kehidupan remaja bandar, pementasan teater juga harus dibuat supaya penonton semua seronok menonton! Seronok saja dan tak payah fikir banyak-banyak!Memang betul perkara ini berlaku di seluruh dunia, bukan di Malaysia saja. Tapi wajarkah kita membiarkan perkara ini terus berlaku tanpa perlu berbuat apa-apa?

Apa yang berlaku kepada kita hari ini? Institusi yang patut mengembangkan kesenian dan kebudayaan mesti melihat perkara ini dengan serius dan berbuat sesuatu mengenainya. Kita ada auditorium DBKL dan DBP dll venue yang cukup baik untuk pementasan drama dan teater, tetapi seperti kata SN Dato Syed Alwi ' di mana teaternya?' Apalagi bila ada 'kebetulan-kebetulan yang tidak disengajakan' (ye ke?) setiap kali ada pementasan drama dan teater bukan muzikal, adalah pementasan lain atau konsert dll yang dianjurkan pada masa yang sama di tempat lain. Sudah lama saya perhatikan perkara ini berlaku dan ini membelah-bahagikan penonton- untuk ke teater atau konsert populer? Jumlah penonton kita adalah kecil dan bila ini berlaku semakin kecillah yang menonton teater bukan muzikal nya!

Pun begitu, di Lambang Sari yang boleh memuat kira-kira 200 orang penonton setiap kali diadakan pementasan ianya penuh setiap malam sekiranya tiada acara pementasan lain pada masa yang sama. Maknanya peminat teater/drama bukan muzikal masih ramai dan tidak berubah. Mungkin KPKKW perlu lebih 'berfikir' untuk mementaskan karya-karya bukan muzikal dan memberikan bantuan dan peruntukan kepadakumpulan teater yang ada atau membentuk kumpulan teater yang sekarang ini hanya ada di luar Lembah Kelang kebanyakannya.

Geran untuk grup teater

Dalam perbualan dengan Tone Brulin dan isterinya Siti Fauziah baru-baru ini saya diberitahu tentang grup teater mereka dari Antwerp yang dinamakan Theatre of the Third World. Selama 30 tahun mereka menjelajah ke seluruh dunia dengan kumpulan ini untuk mementaskan teater dengan mendapat geran dari kerajaan Belgium. Kumpulan teater ini turut dianggotai oleh beberapa orang warga Belgium lain, Senegal, Afrika Selatan, Mesir dll. Suatu kumpulan orang seni yang unik dan benar-benar menghidupkan konsep the melting pot masyarakat dunia. Pun begitu yang menariknya ialah pemberian geran kewangaan ini membolehkan mereka mementaskan dan memperkenalkan berbagai cerita rakyat dan kesusasteraan dari berbagai negara Dunia Ketiga ketika dijemput di festival teater negara yang dilawati. Suatu usaha yang murni dan baik sekali dengan pelaburan yang saya kira tidaklah begitu mahal untuk mengenal dan mengembang keseniaan dan kebudayaan sesuatu bangsa ke seluruh dunia. Bukan itu saja, Tone Brulin dan ahli grup teaternya membuat banyak adaptasi karya sastera dan mempelajari sastera tempatan negara-negara yang mereka lawati. Di Jakarta, puisi Rendra diadaptasi menjadi skrip teater Prostitutes of Jakarta, di Kaherah mereka mementaskan Sher Kawa, di Cape Town mereka mementaskan The Hammer Man dan berpuluh lagi teater dari Surinam dan Pulau Carribean hingga ke Hong Kong dll.

Apa yang ingin saya katakan di sini ialah mungkin kita perlu berbuat begitu juga. Pemberian geran dan penubuhan grup teater sebegini yang boleh dibawa berkeliling ke seluruh dunia atau untuk tidak terlalu ambitious kita mulakan dengan rantau Asean dahulu. Grup teater begini adalah jauh lebih baik dan berkesan dalam mempamer budaya dan keseniaan kita daripada setiap tahun kita membawa kumpulan kebudayaan ke luar negeri dengan Menteri dan pegawai-pegawai kementerian yang tidak mempunyai apa-apa fungsi tertentu selain daripada menjalin hubungan dengan negara yang dilawati. Kurangkah hubungan kita dengan negara lain sehingga kita perlu menggunakan wang rakyat untuk sesuatu yang tidak perlu dan lebih baik digunakan dengan cara lain yang lebih berkesan? Apa yang kita perlukan dalam lawatan ke luar negeri yang begini? Merapatkan hubungan atau mempamer dan mengembangkan kesenian kita kepada dunia luar? Begitu banyak kita bercakap tentang sistem delivery kita yang perlu diubah, anjakan paradigme dan entah apa-apa lagi namanya, tetapi orang kita masih tidak berubah mentalitinya!

Kita membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mengadakan festival filem di luar negeri untuk rakyat Malaysia di sana dan segelintir kecil rakan-rakan mereka orang tempatan. Sehingga kini,banyak mana filem kita berjaya dijual di Cannes atau pun Hong Kong? Kita pergi dengan pelakon, pengarah dan pegawai Kementerian dan Menteri, tetapi pernahkah kita tengok pelakon filem Perancis, Sweden, Jerman dll negara EU,Jepun atau Korea datang ke Malaysia setiap tahun mereka mengadakan festival filem mereka? Festival Filem EU, Jepun dan Korea diadakan tiap-tiap tahun sejak sekian lama di negara ini dan berjaya memperkenal budaya dan keseniaan mereka tanpa mereka heboh-heboh berpesta dan datang dengan pelakon, pengarah, Menteri dan orang Kementerian. Yang pentingnya ialah filem-filem yang ditayangkan dan kesannya, bukan memberi promosi kepada orang-orang filem dan Kementerian!!