Monday, September 22, 2008

Di mana adik Sharlinie?

Beberapa hari lalu ada artikel mengenang kehilangan adik Sharlinie yang genap 1 tahun dalam Utusan Malaysia. Sudah setahun peristiwa ini berlalu dan statistik mempamerkan kira-kira 240 orang kanak-kanak di negara ini yang hilang setiap tahun. Suatu jumlah yang tinggi dan ratio nya lebih kurang 1 orang setiap dua hari. Hingga kini apa yang telah dilakukan tentang undang-undang penjagaan kanak-kanak di negara ini? Kata Dato Seri Shahrizat Jalil selepas kes Nurul Jazelin yang didera dan mayatnya dijumpai dalam beg sukan, beliau mahu memastikan perkara ini tidak akan berlaku lagi. Tapi kehilangan kanak-kanak berterusan juga dan tidak ada apa yang dilakukan hingga kini untuk mengubah senarionya. Apa yang telah berlaku? Walau pun bukan lagi menjadi menteri yang bertanggung-jawab, kedudukan beliau masih bertaraf menteri dan mempunyai kedudukan serta kuasa tertentu untuk menggubal undang-undang dan mengetatkan peraturan penjagaan kanak-kanak di negara ini.

Saya ingin bercerita lagi. Sewaktu tinggal di Sydney 25 tahun lalu, anak bongsu saya Lukman (beliau lahir di Sydney) kemalangan kali pertama dia mula berjalan. Tanpa saya sedari dia telah boleh berjalan, botol susunya yang saya rendamkan dalam bekas plastik berisi air panas telah ditariknya sendiri. Bekas plastik itu jatuh dan air panasnya tercurah ke badannya. Hanya bila terdengar jeritan beliau barulah saya menyedari apa yang berlaku. Anak saya diberi rawatan kecemasan di hospital yang berdekatan. Badannya yang melecur tidaklah teruk sangat kerana pakaiannya ketika itu agak tebal dan sewaktu terkena air panas itu cepat-cepat saya siramkan air sejuk. Hingga kini tiada parut apa pun di dadanya. Alhamdullilah, kerana jika ada parut tentu saya akan rasa bersalah sampai seumur hidup saya.

Pun begitu, ordeal saya tidak habis. Selepas rawatan kepada anak saya, berbagai pihak mula menginterviu saya. Polis, pekerja sosial, pihak hospital tidak habis-habis bercakap dengan saya. Bapa Lukman yang sedang bekerja ketika itu dipanggil ke hospital dan kenyataan polis yang berasingan diambil daripada beliau. Mereka mengesyaki Lukman didera!!! Hampir 5 jam saya di soal dan disoal barulah kami dilepaskan oleh pihak polis dan hospital. Dan cerita ini tidak habis di situ. Hampir 3 minggu berikutnya, saya dan jiran-jiran saya'dilawati' oleh pekerja sosial, polis dan hospital! Mereka bertanya kepada jiran-jiran saya samada anak-anak saya selalu menangis atau kedengaran seperti dipukul dll. Satu kemalangan kecil sahaja yang berlaku dan begitu perihatin mereka menangani kes itu.

Moral ceritanya ialah, undang-undang penjagaan kanak-kanak kita perlu diperketat. Saya yakin kesedihan dan beban perasaan bersalah yang ditanggung oleh ibu-bapa dan keluarga bila kemalangan , kehilangan begini menimpa anak-anak mereka mungkin seumur hidup akan ditanggung, tetapi kanak-kanak tidak boleh dibiarkan pergi ke kedai, ke pasar malam atau tinggal sendirian. Kalau depan mata ahli keluarga pun berbagai kemalangan maut boleh berlaku (apa pun cara dan sebabnya), bayangkan bila kanak-kanak di bawah umur ditinggalkan atau pergi ke kedai/pasar malam bersendirian. Adalah perlu dan penting memastikan kanak-kanak sentiasa bersama orang dewasa samada di dalam atau di luar rumah. Keadaan persekitaan kehidupan kita sudah jauh berbeza sejak kira-kira 20 tahun lalu. Sekarang segala macam manusia dengan kondisi mental yang berbagai juga berada di sekeliling kita. Macam-macam obsesi yang berkaitan dengan kesihatan mental yang tidak sihat banyak kelihatan dan mangsa kepada manusia sebegini selalunya adalah kanak-kanak.

COMPULSIVE OBSSESIVE BEHAVIOUR

Baru-baru ini, RTM dalam program Berita melaporkan tentang sindrom compulsive obssesive behaviour iaitu perlakuan orang yang memusnahkan orang lain jika dia tidak dapat menguasai/memiliki orang/sesuatu yang dia mahukan. Dalam konteks hubungan antara lelaki dan wanita, apa yang berlaku ialah seorang lelaki yang ingin memiliki seseorang wanita tapi tidak berjaya berbuat demikian akhirnya mungkin memusnahkan kehidupan wanita yang digilainya dan juga semua orang yang mendekati wanita tersebut. 'Jika aku tak dapat minah ni, orang lain juga jangan dapat!' Begitulah lebih kurangnya pemikiran orang-orang yang mempunyai penyakit
Compulsive Obssesive Behaviour ini.

Kebetulan pula, saya mengenali dengan rapat seorang kawan yang menjadi mangsa kepada deviant behaviour yang begini. Semenjak kira-kira 16 tahun yang lalu (bayangkan!), dia menjadi mangsa seorang mamat peminat setianya (yang tidak diperlukan) yang hingga kini tidak dapat menerima kenyataan bahawa kawan baik saya ini tidak mahu kepada dia. Kawan saya telah hampir 10 tahun bercerai dengan bekas suaminya (kawan saya yakin mamat itu di antara yang buat macam-macam hal menyebabkan perceraiannya) dan semenjak itu, ramai orang yang ditemuainya dan semua yang menunjukkan minat terhadap kawan saya ini, mesti tak jadi kerana dikacau, diganggu dan'dimusnahkan' dengan berbagai-bagai cara. Ada yang diperangkap dengan perempuan lain, ada yang difitnah masih beristeri dan macam-macam lagi yang terjadi. Saya amat simpati dengan kesengsaraan dan keperitan hidup sahabat saya ini, tetapi beliau tidak dapat berbuat apa-apa kerana bukanlah satu perkara yang mudah untuk mendapat bukti tentang apa juga yang dilakukan. Ini kerana mamat ini dulu mempunyai kedudukan yang tingga dan sangat berpengaruh dan ramai kawan-kawan yang menolong beliau.

Jadi, apa nak kita lakukan dengan orang macam ini? Untuk satu waktu yang lama, teman saya hanya mampu berdoa dan membaca Yassin selalu supaya mamat tu tak menggangunya lagi. Tapi kalau orang itu ada deviant behaviour yang begini apa pun dia tak peduli dan dia akan terus membuat inaya kepada orang lain yang di sukainya kerana dia tidak sedar dengan apa yang dilakukannya kerana dia ni seorang mamat yang sakit! Semoga Allah mendatangkan bantuan kepada kawan baik saya dengan apa cara pun. InsyaAllah.

Monday, September 15, 2008

Di Layar itu

Melihat mu di layar itu
aku semakin yakin
dengan perjalanan ini
kerna garis-garis luka masih terpamer di wajah mu
dan sukma ku turut perit merasakannya

di titik ini
ketahuilah
bahawa kita saling memerlukan
mungkin itulah hikmahnya
kita bertemu semula
dan segala puing kasih sepanjang jalan
sudah ku tahu
siapa yang menaburnya selama ini

terima kasih kerna kesabaran itu
keredaan ini tak perlu kau ragui lagi
kerna akhirnya ujud juga titik pertemuan itu
yang selama ini begitu sukar dicari

Ke mana Makyung yang di iktiraf UNESCO?

Beberapa tahun yang lalu, heboh satu Malaya Makyung dah mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai satu warisan dunia. Beberapa artikel mengenainya ada ditulis di dalam surat kabar tempatan tapi itu sajalah. Sampai sekarang, tak ada benda apa pun yang dibuat mengenai promosi atau pendokumentasiannya. Jadi apa yang teruk sangat kita bawa sampai ke UNESCO untuk di lobi sebagai world heritage? Lepas tu dah dapat senyap sunyi. Apa pun tak dibuat mengenainya. Malah perancangan mengenainya juga tak dengar cerita pun! Ada ke? Kawan-kawan di bahagian muzik tradisional Istana Budaya pun cakap macam tu juga. Mereka pun tak dengar apa! Helo, helo...ada sesiapa mahu bercakap tentang bab ni?
Memanglah bila ada KL Art Fest tu ada lah juga nampak persembahan Makyung ni, bukan tak ada langsung. Tapi kerana statusnya yang cukup bermakna dan berprestij, sepatutnya lebih banyak yang dilakukan untuk kesenian ini. Dan jangan lupa, Makyung ni di antara institusi teater Melayu yang awal, unik dan Melayu (dengan pengaruh Thai yang sangat besar dalam genre ini).
Di Jepun, persembahan teater tradisionalnya yang dinamakan Kabuki diadakan sepanjang tahun dan semua pelancong yang datang di bawa menontonnya melalui pakej pelancongan. Kenapa kita tidak buat begini kepada makyung ? Entah berapa banyak belanja yang dah dikeluarkan untuk mendapatkan status warisan dunia itu, tapi bila dah dapat, apa yang kita buat untuknya?
Berkaitan dengan hal ini, sedikit masa lalu RTM ada juga menyiarkan Bangsawan dll bentuk kesenian tradisional. Tapi sekarang dah tak nampak semua tu melainkan dikir barat yang sudah di modify dan tukang karutnya pakai jeans dan ramai orang Kelantan yang marah pasal tu. Apa yang RTM perlu lakukan ialah membuat rakaman apabila genre kesenian tradisional ini dipentaskan dan menayangkannya melalui satu slot khas kesenian tradisional. Selain ASWARA, Kumpulan Bangsawan DBKL, Kelab Seni Persembahan PETRONAS juga sering mempamerkan persembahan dramatari tradisional yang sangat baik dan bermutu dan patut dirakam dan disiarkan oleh RTM. Sedikit perancangan, kerjasama dan usaha pasti akan membuahkan hasil yang baik dan unik serta bermakna untuk pendokumentasian berbagai genre kesenian tradisional ini.

Saturday, September 13, 2008

Bob Geldof dan P Lah

Dalam tahun 1990han ketika saya baru balik dari Scotland dan banyak kali ke UK atas urusan tugas, Bob Geldof dengan konco-konconya yang terdiri dari penyanyi pop dan pelakon filem bertungkus lumus membuat kebajikan kepada rakyat Ethiopia yang kebuluran. Pada masa yang sama isu-isu alam sekitar mengambil center stage di negara maju. Hasil dari kajian dan penyelidikan saintis dan alam sekitar, telah dijangkakan dunia akan mengalami masalah kenaikan suhu yang akan mengakibatkan masalah ekosistem dan pengeluaran makanan dalam masa 10-20 tahun lagi. Jadi Di Malaysia kita pun ber'world aid' juga bila album lagu We are the World diedarkan.
Memang orang Malaysia baik hati dan pemurah tak boleh tengok orang susah.Malangnya, kita tidak membuat persediaan yang baik dan mendidik rakyat kita untuk jadi conscious dengan isu-isu alam sekitar dll. Bukan itu saja, dasar ekonomi kita juga tak menyediakan pelan dan perancangan untuk pengeluaran makanan yang mencukupi untuk rakyat kita sendiri. Sehingglah Pak Lah menjadi PM dasar dan sektor pertanian dihidupkan semula, walau pun beliau menerima kritikan yang hebat. Tapi, sehingglah baru-baru ini bila ternyata kita mengalami krisis ketidak-cukupan beras, barulah semua orang diam dan faham kenapa kita mesti menjadi pengeluar makanan yang cukup kepada rakyat kita sendiri, kalau pun tak melebihi dari konsumsi kita untuk dieksport.
Nasib baik Pak Lah punya kepala lebih kurang sama dengan dengan Bob Geldof! Kalau tidak tak tau apa nak jadi beras tak cukup. Geng-geng yang suka makan nasi lemak tu mesti tak boleh duduk punya. Tak kacau ke tu? Well Pak Lah, tak apa lah orang tak puji dan sapa pun tak canang satu dunia mengenai kejayaan ini, tapi geng suka makan nasi lemak mesti seronok, makanan kegemaran mereka masih boleh dinikmati bila-bila masa juga!! Tabik Pak Lah, Bob Geldof dan konco-konco mereka.Bayangkan 20 tahun yang lalu orang dah tau perkara ini akan berlaku!!

Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris

Mulai 2002 matapelajaran Sains dan Matematik di sekolah telah diajar dalam Bahasa Inggeris walau pun banyak protes dan bantahan dari pelbagai pihak terhadapnya. Untuk kesekian lamanya bantahan dan protes ini tidak berapa kedengaran melainkan di seminar pendidikan dan majlis ilmu mengenainya. Pun begitu, sejak beberapa tahun kebelakangan, dengan udara keterbukaan yang sangat menyegarkan dalam sistem politik kita, barulah kedengaran protes dan bantahan yang lebih jelas dan vokal.
Selain daripada itu, berbagai penyelidikan mengenai pencapaian murid-murid dalam kedua mata-pelajaran ini menunjukkan kadar casualty yang tinggi dan tidak membanggakan. Selain dari itu, pengajaran matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris yang bertujuan memperbaiki tahap penguasaan bahasa itu di kalangan murid-murid juga tidak menunjukkan pencapaian yang begitu.Tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam matapelajaran Bahasa Inggeris sendiri tidak menunjukkan improvement di semua sekolah walau pun murid-murid mencapai gred yang baik dalam mata pelajaran Matematik dan Sains.
Jadi di mana rasionalnya dan betulnya pendapat yang mengatakan pengajaran mata-pelajaran matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris akan secara automatik menjadikan murid-murid kita menguasai Bahasa Inggeris dengan baik? Kenapa jadi begini? Kerana penguasaan bahasa apa pun mesti dibuat melalui pengajaran dan metode pengajaran bahasa dan sastera. Dan penguasaan bahasa apa pun hanya boleh dilakukan melalui penggunaannya yang aktif di dalam dan di luar bilik darjah . Kalau pun semua mata pelajaran di ajar dalam Bahasa Inggeris tetapi interaksi murid-murid tak ada dalam bahasa itu di rumah mereka dll, mereka masih tidak akan menguasainya dengan baik.
Kajian dan penyelidikan mengenai hal ini juga menunjukkan tahap pencapaian murid-murid banyak bergantung kepada SES (status sosio ekonomi) keluarga mereka. Korelasi ini adalah sesuatu yang menarik walau pun tidak menghairankan kerana itu adalah perkara yang normal.
Jadi, buat apa kita nak tunggu sampai lama-lama sebelum menukarkannya balik untuk di ajar dalam Bahasa Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan dan di SRJKC dalam Bahasa Mandarin dan di SRJKT di ajar dalam Bahasa Tamil? Banyak pihak dari semua jenis sekolah membantah pengajaran dalam Bahasa Inggeris dan sudah sampai masanya perubahan dibuat. Suara-suara yang vokal semakin kedengaran dalam hal ini. Malah ada pihak yang sampai menuntut Menteri Pelajaran meletakkan jawatan kalau dasar ini tidak di ubah segera!!

Wednesday, September 10, 2008

Perjalanan Ini

Telah ku katakan
perjalanan ini
bakal mempamer siapa kita
bakal memperlihat isi hati
bakal mendefinisi rona kalbu

kita telah pun memulakan langkah pertama itu
dan aku yakin
di suci Ramadan ini
Dia pasti menunjuk segalanya.

Kiranya engkau mengerti

Tahu kah engkau
kufur nikmat itu
bukan sahaja bila kita tidak bersyukur
atau tika kita angkuh dengan taqdirnya
atau kita tak pernah cukup dengan apa yang ada
atau bila segalanya perniagaan cuma
dan plastik mewajahi kita
kerna ianya juga
tentang kepuraan kebinasaan dan kehancuran nurani manusia

sering ku dengar lontaran suara mu
menyuruh aku
menghias diri
dengan kemuliaan seorang perempuan
terima kasih ku ucapkan
kerna aku yakin
itulah manifestasi kasih cinta mu
dan ketahuilah
aku tidak meminta apa-apa dari mu
cuma doa
Dia menghapus kufur nikmat dari kita berdua.

Tuesday, September 9, 2008

Tentang komuniti Melayu Colombo

Baru-baru ini sewaktu berbual dengan orang-orang GAPENA tentang diaspora Melayu, saya teringat tentang komuniti Melayu di Colombo, Sri Lanka yang saya lawati dalam tahun 1998. Di Colombo saya tinggal di rumah Encik BNM Jurangpathy yang ketika itu merupakan Presiden Kelab Melayu Sri Lanka yang tidak membenarkan saya tinggal di hotel. Encik Jurangpathy baru bersara dari jawatan terakhirnya Timbalan Ketua Polis Negara Sri Lanka ketika itu. He was very much a policeman! Itu merupakan jawatan tertinggi yang pernah dipegang oleh orang Melayu Sri Lanka sehingga ke hari ini saya rasa. Isterinya Asmah seorang guru besar juga meniti hari persaraan ketika itu. Keramahan dan kebaikan hati mereka terpahat di jiwa saya sehingga ke hari ini. Ia juga mengingatkan saya tentang keramahan orang Melayu yang legendary di mana juga mereka berada. Ada sesuatu tentang orang Melayu yang tetap Melayu nya walau pun mereka sudah beratus tahun tercabut dari akar bangsanya di Nusantara.

Di Colombo, saya dibawa berjumpa dengan ramai orang Melayu . Berbagai majlis yang diadakan untuk menyambut kami dan ianya sangat menyentuh perasaan. Kadang-kadang terasa seperti balik kampung dan kita berjumpa dengan ramai saudara yang sudah terpisah untuk suatu waktu yang lama!! Dan orang Melayu Sri Lanka tidak banyak perubahannya dari orang Melayu di Malaysia. Cuma mereka bercakap dalam Bahasa Melayu yang lebih mirip kepada Bahasa Indonesia tapi kita masih dapat memahaminya. Tapi kebanyakkan mereka lebih banyak bertutur dalam Bahasa Sinhalese atau pun Tamil. Ketika itu ada kira-kira 40,000 orang Melayu di Sri Lanka dan mereka sangat rapat dengan komuniti Islam lain seperti etnik Moor yang berasal dari Afrika Utara.

Saya masih ingat perbualan dengan Encik Jurangpathy yang sering bercerita tentang banyak perkara mengenai keluarga beliau, dilema orang Melayu Sri Lanka dan juga kerjayanya sebagai top cop Sri Lanka. Setiap malam selepas makan, sambil minum kopi dia akan duduk bercerita kepada saya tentang berbagai hal termasuk tentang perang antara pihak berkuasa Sri Lanka dengan LTTE, Prabakharan yang merupakan pemimpin Tamil Tiger dan tentang rumitnya mengujudkan perdamaian. Hasilnya, walau pun Sri Lanka merdeka dari British lebih awal dari Malaysia, negara ini yang mempunyai banyak potensi tidak dapat dimajukan seperti negara lain.
Di waktu itu (hingga sekarang pun), saya terasa amat bertuah kerana Darurat 1948 telah lama ditamatkan dan kita aman dan damai. Semoga apa juga perbezaan pendapat dan masalah kita, opsyen kita hanya satu iaitu menamatkannya di meja rundingan dalam suasana damai untuk survival kita semua kerana kita hanya punya satu negara iaitu Malaysia!

Keraguan masih di wajah mu

Engkaukah yang tegak berdiri
di luar pintu tertutup itu
dalam renyai hujan dan pekat malam
dengan ombak rasa yang tak menentu bertahun lamanya
kerna ketidak-pastian ku?

engkaukah itu
yang terus berdiri di luar lingkaran hati ku
menguji dan terus menguji
kepastian rasa dan ketaqwaan ku kepada Nya?

dipersimpangan itu
aku punya pilihan sebenarnya
tapi engkau yang ku hampiri
kerna aku pasrah kepada ketentuan Nya
walau aku juga ingin menguji dan mencari kepastian
hangat dinginnya rasa di tasik sukma
tapi bukankah itu kufur nikmat namanya
jika itu yang ku lakukan?
kerna kepasrahan dan ketaqwaan ku kepada Nya
dirobek sudah oleh was-was permainan syaitan

maaf
titian putih ini tak kan ku cemar
walau dengan setitik rona keraguan
dan seperti kata ku
yang entah berapa ratus kali sudah
aku pasrah dengan ketentuan Nya
yang mempertemu kita semula

Monday, September 8, 2008

Pasar Kraf Ismailovo di Moscow

Saya kurang pasti samada tempat ini masih ujud lagi kerana beberapa tahun lalu dengarnya Pasar Kraf Ismailovo di Moscow telah musnah dalam satu kebakaran yang besar. Apa pun situasinya, saya punya kenangan tersendiri tentang tempat ini. Ia mengingatkan saya kepada seorang teman Allahyarhamah Fauziah yang saya lawati sewaktu dia dan keluarganya tinggal di Moscow. Al-fatihah.

Sewaktu di sana Fauziah membawa saya melawat ke pasar kraf Ismailovo. Saya kurang pasti, tetapi saya rasa inilah pasar kraf terbesar dan terbuka di dunia. Kalau mahu melihat dan membeli belah di pasar ini, anda mungkin memerlukan sehari suntuk untuk mengelilinginya dan melihat segala yang dijual di sana. Banyak pasar kraf telah saya lawati, tetapi Ismailovo adalah unik. Seunik Russia dengan kerencamannya. Di Ismailovo, anda boleh dapati apa saja kraftangan etnik Russia. Dari kraf ukiran orang Uzbek yang halus, kebab orang Tartar yang halal di makan kerana kebanyaknnya Islam, hiasan lace dari Kazakh, permaidani dari lembah Ural dll. Sebut saja kraf etnik mana yang anda mau cari, semuanya ada di sini. Dan bukan saja kepelbagaian dan kerencaman krafnya yang dipamer, tetapi mozaik etniknya yang berbagai dan berinteraksi di suatu situasi pasar yang unik juga amat menarik hati. Tak usah bercakap tentang bahasa dan rupa paras mereka yang berbagai dan' pulsating with everything about the Russian life!'

Sayang sekali, kita tidak punya pasar kraf yang begini. Dengan kerencaman dan kepelbagaian rupa bangsa dan etnik negara ini industri kraf kita tak ada tempat perniagaan yang dapat
mempamerkan kerencaman budaya kita kepada pelancong yang datang. Kompleks Kraf kita
terlalu menjurus kepada hanya beberapa budaya sahaja. Setahun sekali untuk seminggu diadakan pameran kraftangan yang jauh lebih baik koleksinya dari aspek partisipasi etniknya. Tapi itu hanya untuk seminggu. Apa jadi kepada 50 minggu lagi sepanjang tahun? Pelancong yang datang adalah sepanjang tahun bukan untuk beberapa minggu atau bulan yang tertentu sahaja. Dan pasar kraf begini bukan hanya untuk pelancong pastinya!

Di Layar Maya Ini

Tidak
aku bukan mau mengugut
bukan juga mau mencalar wajah
atau menambah luka mu nan seribu

tapi kadang-kadang ku fikir
engkau telah lupa
bahawa aku seorang manusia
untuk terus diragui sampai bila-bila
dan kerna aku tak pandai memujuk rayu
atau mempamer isi hati
harukah aku terus diuji?

lupakah engkau
aku hanya seorang perempuan
yang punya rasa
maruah dan harga diri

dengan penuh kepayahan
ku kumpul segala kekuatan sukma
dan dengan penuh keterpaksaan
ku kerah segala deria
dan di maya ini
ku hambur segalanya
biar kau tau
rasa dan luka ku
adalah tugu permainan
ragu dan cinta mu

Dendam Lelaki Itu (Untuk Y )

Dengan penuh keangkuhan
juga kebinatangan
dia terus menghukum
membinasakan
segalanya di keliling perempuan itu
kerna katanya dia telah diinaya selama ini
walau pun dia telah lupa
segala masalah antara mereka
dialah yang memulakannya

bertahun lamanya
dia melayan dendam
sehingga sewaktu ditemui perempuan itu sedikit pun tidak mengenalinya lagi
kerna di wajah itu tidak lagi ada cahaya keimanan
tapi yang terpancar hanyalah kerut buruk seorang pendendam

saudara ku
ku kira dendam mu kepada perempuan itu
sudah lama kau balas
dia telah membayarnya dengan harga mahal
kerna kesilapannya yang amat kecil
berkali dia telah memohon maaf
tetapi engkau belum puas juga

dia sudah cukup menderita
kalian rentap bahagia dan ketenteramannya
haruskah kau terus menikamnya dari setiap sudut sampai bila-bila?
lupakah engkau dendam mu lah
yang menghukum hidup mu sendiri
jadi kenapa kau masih memangsainya?

cukuplah sampai di sini
pulanglah ke pangkal jalan
lihatlah ke dalam diri mu sendiri
lepaskan lah perempuan itu
kerna setiap kali engkau menzaliminya
doanya semakin dekat dengan Dia
takut nanti
engkau yang semakin derita oleh hukuman Nya

di ramadan ini
isilah haari mu dengan taubat
mintlah keampunan Nya
kerna seperti yang ku lihat
engkau yang semakin terbelenggu
selagi dia tak kau lepaskan
dan itulah hukuman paling sengsara kepada seorang pendendam

Sunday, September 7, 2008

Litar F1Spa Francochamp

Menonton F1 di tv semalam di Spa Francochamp mengingatkan saya tentang tempat itu. Sangat cantik dan terletak di Belgium dekat dengan sempadan Perancis dan Jerman. Sangat unik kedudukannya. Tapi litarnya sangat simpel dan tak ada bangunan grandstand dan kompleks litar lumba yang sofistikated macam Sepang. Litarnya juga sangat natural dan menggunakan sebahagian dari pekan kecil Spa Francochamp sendiri. Pekannya sangat kecil hanya satu jalan raya dua lorong dan beberapa buah kedai kampung. Tapi tempat ini memang terkenal dengan kecantikan alam semula jadinya dan udara yang nyaman kalau musim panas walau pun sangat berkabus dan memandu di kawasan ini adalah satu cabaran besar juga tak payah masuk F1!

Di Monaco juga macam tu. Bandar dan jalan raya Monaco itulah litarnya. Dan Schumacher pernah mengatakan dia benci berlumba di situ melainkan berada di pole position! Cerdik dan teruk betul eccentricity Schumacher ni. Ini sebab kalau nak memotong di Litar Monaco memang sesuatu yang mustahil kerana litarnya bukan lebar sangat macam di tempat-tempat lain. Sama juga seperti di Francochamp, tak ada grandstand yang hebat dan mahal tapi penonton duduk di apartmen mereka pun boleh menonton perlumbaannya.

Di Silverstone pun macam tu juga. Kawasan lapang bersebelahan Freeway (lebuhraya) dijadikan kawasan litar perlumbaan yang sangat luas dan hanya di pagar dengan beberapa lapis pagar memisahkannnya dari kawasan Freeway. Tak ada grandstand yang cantik-cantik dan mahal. Tempat duduknya juga sangat simpel dan tidak fanciful macam di Sepang. Ini kerana perkiraan mereka ialah kenapa nak bina kompleks yang mahal dan cantik-cantik jika akan digunakan beberapa hari saja dalam setahun? Dan kontrak untuk menjadi hos F1 pun bukannya kita akan dapat secara automatik setiap kali habis tempohnya. Dan apa jadi bila kontrak itu tak diberikan kepada kita lagi? Litar tu nak buat apa pula? Japan GT dan lain-lain perlumbaan yang lebih kecil memang boleh dibuat, tapi ia tidak menarik penonton dan kemasukan pelancong macam F1.

Memanglah cantik granstand litar F1 kita dan unik serta ada identiti kita yang tersendiri. Tapi ia juga mahal dan kita masih menanggung kos pembinaannya yang tinggi sehingga ke hari ini. Ini adalah sebahagian kecil dari masalah projek-projek mega kita. Jadi itulah yang orang sekarang marah dan mereka tak mengundi kerajaan BN yang dilihat tak pandai mengurus ekonomi. Secara kritis, projek begini ada pro-kontranya. Ia menjana ekonomi dan sumber kewangan yang baik tetapi pada masa yang sama kos pembinaanya juga tinggi dan mahal dan akan mengambil masa yang lama untuk mendapat balik pulangan yang menguntungkan. Jadi inilah antara harga mahal yang perlu dibayar oleh projek-projek seperti ini.

Thursday, September 4, 2008

Al-Fatihah Kepada Pak samad

Salam takziah saya kepada keluarga Allahyarham Pak Samad Ismail dan Al-Fatihah. Saya tak mengenali beliau secara peribadi, tapi dia salah seorang wartawan yang saya kagumi dan tulisannya saya baca selalu dan antara orang yang saya rasa banyak mempengaruhi pemikiran saya. Sama seperti Dato Zam, Pak Samad seorang lagi yang tulisannya yang jarang saya miss sejak saya di bangku sekolah dan mula membaca artikel serius suratkhabar (lebih kurang di umur 15 tahun). Masa saya sekolah dulu, kawan-kawan saya cuma baca berita dan cerita tentang perkara biasa dan saya seorang yang suka baca artikel yang serius dan memeningkan kepala (kata kawan saya) sehingga guru saya pernah bertanya kenapa saya berfikir macam orang dewasa dan tak macam budak sekolah 15 tahun? Masa tu saya tak tau nak jawab apa, tapi sekarang saya tau kenapa. Malah bila dah bekerja pun saya punya hari Ahad rasanya tak lengkap selagi tak baca kolum dan analisis politik Awang Selamat. Sampai begitu!!

Ini mengingatkan saya kepada SN Samad Said yang selalu mengatakan pemikiran kita akan dibentuk dan dipengaruhi oleh apa yang kita baca. Betul Pak Samad!!Dan masa di sekolah lagi saya dah baca terjemahan Hemingway, Han Suyin. Pearl S.Buck dll. Selain dari Samad Ismail, Samad Said, Usman Awang, Keris Mas, Hamka, Moechtar Lubis dll. Bila dah di universiti saya jarang miss artikel Shamsul Amri, Zainal Kling, Ismail Hussein, Taib Osman dll. Well, isnt life interesting and full of coincidences my friends/mentors/whatever! No comment.

Tentang Mat Rempit

Ini satu lagi fenomena yang tak ada di banyak tempat lain selain dari Malaysia. Dan hingga kini hanya polis yang ditugaskan untuk memastikan merempit ni tak dilakukan dan membahayakan orang ramai yang tak mau merempit!

Saya sering memikirkan kenapa belia kita terutama orang Melayu ini yang merempit.?Memerhatikan gaya mereka merempit saya cuma dapat buat satu kesimpulan. Perbuatan mereka ini suicidal dan mereka bukan tak tahu tentang perkara tersebut, tapi mereka buat juga. Kenapa agaknya? Mungkin kawan-kawan saya sosiologis dan antropologis di IPT tempatan tu harus buat sesuatu tentang perkara ini dengan cara membuat kajian yang mendalam tentang gejala ini. Ini bukan suatu joke of the year sahabat, tapi saya sangat serius tentang perkara ini. Dan jangan hairan kalau dapatan dan respon dari penyelidikan ini akan menunjukkan adanya disguised social tension yang memerlukan analisis mendalam. Kenapa di negara maju yang penduduknya lagi affluenced, perkara ini tidak terjadi? Walau pun indulgence mereka berlaku dalam bentuk lain seperti mabuk, dadah dll tapi mereka tak merempit! Kenapa orang kita yang lahir dan besar di kampung, Islam dan kononnya tinggi akal budinya, boleh jadi begini? Mesti ada faktor lain yang menimbulkan gejala ini. So my friends, look into the Mat Rempit menace also.

Creche untuk kanak-kanak

Di Scotland semua kompleks membeli-belahnya ada creche. Creche adalah pusat jagaan sementara kanak-kanak semasa ibu/bapa mereka membeli belah. Anak-anak kecil akan ditinggalkan di creche dan bayaran yang sangat rendah akan dikenakan mengikut jam. Kira macam perkhidmatan baby-sitting sementara lah. Saya sering memerhati creche ini berfungsi walau pun jarang sekali meninggalkan anak saya di situ semasa membeli belah kerana mereka tak buat hal bila saya shopping.

Yang menariknya di creche ini ialah berbagai kegiatan pendidikan untuk kanak-kanak akan diadakan pada masa yang sama. Permainan boneka (puppet ), bercerita dan menyanyi lagu kanak-kanak yang amat menggembirakan, santai dan menjadikan kanak-kanak semua seronok dan tak mau mengikut ibu/bapa mereka membeli belah tapi meragam dan tarik muka 14 pada masa yang sama! Ini juga menjadikan kanak-kanak tak jadi tv-addict bila ditinggalkan di rumah dan stimulasi minda melalui boneka, bercerita dan menyanyi ini akan menjadikan mereka lebih sensitif kepada seni dan membaca kerana sentiasa dikelilingi oleh suasana tersebut. Dato Syed Alwi Seniman Negara pernah mengatakan kita tak ada khalayak dan institusi teater. Mana nak ada kalau anak-anak kita mengadap tv siang malam pagi dan petang!

Di negara kita ada kes anak-anak yang terkorban kerana rumah terbakar, jatuh dari kondo dll semasa ibu/bapa mereka keluar membeli belah dana anak-anak kecil ditinggalkan di rumah seorang diri. Di Australia dan banyak negara maju, adalah satu kesalahan di sisi undang-undang
meninggalakan anak-anak kecil tanpa orang dewasa. Baby sitter mesti berumur 15 tahun ke atas dan mereka sangat tegas tentang perkara ini. Jadi kenapa kita tidak mengkaji kembali undang-undang domestik kita supaya mengelakkan berbagai kes yang semakin meningkat yang melibatkan kanak-kanak? Bila ada kes kehilangan kanak-kanak atau jenayah ke atas mereka, baru satu negara heboh dan media pun turut menghebohkannya. Kita lebih banyak menumpukan perhatian kepada membaiki keadaan hanya bila sesuatu itu telah berlaku, tetapi kenapa tidak memikirkan tentang langkah-langkah mencegah perkara itu dari berlaku? Inilah masalahnya! Dah jadi sesuatu hal baru nak bercakap tentang itu dan ini bagaimana nak mengelakkannya dari berlaku lagi? Saya amat setuju dengan fokus bajet dan orientasi kerajaan sekarang yang lebih people centered dan kurangkan projek-projek mega. Tq P Lah!!Tahap dan standard kehidupan rakyat mesti ditingkatkan. Tak guna bercakap tentang nak jadikan Malaysia negara maju pada 2020 tapi masih banyak institusi2 sosial kita yang ditakuk lama dan berada ditahap negara dunia ketiga. Tak guna kita bina segala monumen yang hebat-hebat tapi kehidupan rakyat semakin terhimpit disebabkan oleh jurang perbezaan pendapatan dan kekayaan yang besar. P Lah, keep up the good job.

Wednesday, September 3, 2008

Tentang Harga buku

Rata-ratanya harga buku kanak-kanak di Malaysia masih tinggi. Bagi taraf dan kos kehidupan kita yang tidaklah tinggi, harga buku (kanak-kanank dan bukan kanan-kanak juga) masih tinggi. jadi macam mana orang nak beli buku dan nak galakan orang membaca? Walau pun di pameran buku dll jualan buku telah banyak meningkat, tapi mereka yang di luar bandar masih tidak berpeluang untuk membeli buku rujukan dan bacaan pengkayaan. Walau pun buku teks diberi percuma, murid-murid sekolah masih perlu buku-buku lain untuk menambah pengetahuan. Begitu juga dengan majalah-majalah ilmiah dan akademik. Pun begitu, agak menghairankan kerana majalah hiburan yang hanya mengandungi gosip artis dari mukasurat 1 hingga akhir boleh di beli pulak. Ini soal prioriti dan mentaliti masyarakat!

Tentang Sekolah lagi

Bercakap tentang sekolah di luar negeri, saya teringat sewaktu anak saya yang sulung bersekolah di Rainbow Street School di Kingsford, Sydney lama dulu. Satu hari mereka dibawa melawat ke stesen bomba yang berdekatan dengan sekolah mereka. Ianya satu pengalaman yang amat besar kesannya kepada anak saya dan beberapa orang kawan beliau. Hampir 2 minggu berikutnya dia bercerita kepada saya tentang kereta bomba, ahli bomba dan segala-galanya tentang kerjaya bomba. Malah untuk suatu ketika yang lama dia nak jadi ahli bomba! Sebagai seorang pendidik guru di sebuah maktab perguruan di KL sebelum ke Australia, saya amat memahami keterujaan beliau dan melayan semua pertanyaan dan kerenahnya tentang 'kebombaan'. Malah saya membeli buku Thomas Tank and the Fire Engines yang saya kena baca dan ceritakan kepadanya sebelum tidur tiap-tiap malam! Dan bila dah pandai membaca, dia pula membaca buku-buku itu kepada adiknya yang masih lagi bayi ketika itu. Saya tak tau macam mana kesannya, tetapi dalam umur 11 bulan, anak kedua saya sudah tau memilih bukunya sendiri setiap kali nak keluar dari pasaraya Woolworth di Anzac Parade dekat rumah kami. Dan dia akan memilih buku yang berlainan setiap kali sampai ke rak buku berdekatan kaunter bayaran. Saya tidak perasan tentang perkara itu, sehingga gadis di kaunter itu sendiri yang memberitahu saya. Suatu hari dia menguji anak saya yang duduk dalam kereta sorong bayi dengan memberikannya buku yang sudah pun dipunyainya dan anak saya menolaknya dan mencapai buku lain. "Your cheeky baby really knows about his books!' katanya kepada saya. Semua bayi di panggil cheeky baby sebab mereka suka senyum dan gelak kepada siapa pun, jadi Aussie menamakannya begitu!
Semasa di Sekolah Abercromby Tullibody, di Stirling perkara yang sama berlaku kepada anak kedua saya. Mereka dibawa melawat pameran Dinosaur di Muzium Edinburgh dan saya pergi bersama dengan beberapa orang ibu lain. Setiap kali ada trip ke luar, beberapa orang ibu akan bergilir mengiringi guru-guru dan kelas anak mereka. Sesuatu yang tak pernah difikir dan dilakukan oleh PIBG kita. Keterujaan kanak-kanak yang dibawa melawat pameran itu sangat nyata. Seminggu dua selepas lawatan itu, semua kanak-kanak akan ke perpustakaan awam dan meminjam buku mengenai dinosaur. Itu di antara caranya kita menggalakkan kanak-kanak membaca dan mencari ilmu yang berkesan.Stimulasi minda yang begini adalah sesuatu yang tak ada dalam sistem pendidikan kita dan perlu kita pelajari dan cuba di sekolah-sekolah kita.
Satu perkara yang tidak dinikmati oleh murid-murid sekolah kita ialah 'kemewahan masa' di luar bilik darjah yang juga merupakan bilik darjah yang baik dan berkesan kepada pembelajaran dan perkembangan sahsiah kanak-kanak. Jadi itu sebabnya sistem kita yang sangat-sangat exam oriented hanya mengeluarkan lulusan-lulusan sekolah yang belumba2 nak dapat sebanyak A yang boleh, tapi banyak kemahiran asas pendidikan yang mereka tak tahu dan tak ada. Dan perkara ini dibawa sehingga mereka masuk sekolah menengah, IPT dan juga ke alam pekerjaan.

Tuesday, September 2, 2008

Puisi Untuk J

Anak ku
taukah engkau
rindu ibu kepada mu
tak kan terubat
selagi tidak ku tatap wajah mu

Rajuk apakah
yang kau pendam dilubuk hati
luka apakah
yang terbenam hingga kini?

Anak ku
jangan kau hukum ibu hingga begini
jangan kau siksa diri ku
tanpa kau ceritakan pedih di hati mu

Anak ku
ingatlah bahawa hidup ini
adalah perjalanan panjang
yang telah ditakdirkan sejak azali
simpanlah kemarahan itu
dan jangan kau ulangi kesilapan ku
melayan kemarahan dalam pelarian
kerna akhirnya
kaki mu pasti tersadung tunggul kebenaran dan takdir Nya

Anak ku
dalam suci Ramadan Al-Mubarak ini
biar ku tatap
senyum dan kilas pandang nakal mu sepuas-puasnya sekali lagi