Baru-baru ini sewaktu berbual dengan orang-orang GAPENA tentang diaspora Melayu, saya teringat tentang komuniti Melayu di Colombo, Sri Lanka yang saya lawati dalam tahun 1998. Di Colombo saya tinggal di rumah Encik BNM Jurangpathy yang ketika itu merupakan Presiden Kelab Melayu Sri Lanka yang tidak membenarkan saya tinggal di hotel. Encik Jurangpathy baru bersara dari jawatan terakhirnya Timbalan Ketua Polis Negara Sri Lanka ketika itu. He was very much a policeman! Itu merupakan jawatan tertinggi yang pernah dipegang oleh orang Melayu Sri Lanka sehingga ke hari ini saya rasa. Isterinya Asmah seorang guru besar juga meniti hari persaraan ketika itu. Keramahan dan kebaikan hati mereka terpahat di jiwa saya sehingga ke hari ini. Ia juga mengingatkan saya tentang keramahan orang Melayu yang legendary di mana juga mereka berada. Ada sesuatu tentang orang Melayu yang tetap Melayu nya walau pun mereka sudah beratus tahun tercabut dari akar bangsanya di Nusantara.
Di Colombo, saya dibawa berjumpa dengan ramai orang Melayu . Berbagai majlis yang diadakan untuk menyambut kami dan ianya sangat menyentuh perasaan. Kadang-kadang terasa seperti balik kampung dan kita berjumpa dengan ramai saudara yang sudah terpisah untuk suatu waktu yang lama!! Dan orang Melayu Sri Lanka tidak banyak perubahannya dari orang Melayu di Malaysia. Cuma mereka bercakap dalam Bahasa Melayu yang lebih mirip kepada Bahasa Indonesia tapi kita masih dapat memahaminya. Tapi kebanyakkan mereka lebih banyak bertutur dalam Bahasa Sinhalese atau pun Tamil. Ketika itu ada kira-kira 40,000 orang Melayu di Sri Lanka dan mereka sangat rapat dengan komuniti Islam lain seperti etnik Moor yang berasal dari Afrika Utara.
Saya masih ingat perbualan dengan Encik Jurangpathy yang sering bercerita tentang banyak perkara mengenai keluarga beliau, dilema orang Melayu Sri Lanka dan juga kerjayanya sebagai top cop Sri Lanka. Setiap malam selepas makan, sambil minum kopi dia akan duduk bercerita kepada saya tentang berbagai hal termasuk tentang perang antara pihak berkuasa Sri Lanka dengan LTTE, Prabakharan yang merupakan pemimpin Tamil Tiger dan tentang rumitnya mengujudkan perdamaian. Hasilnya, walau pun Sri Lanka merdeka dari British lebih awal dari Malaysia, negara ini yang mempunyai banyak potensi tidak dapat dimajukan seperti negara lain.
Di waktu itu (hingga sekarang pun), saya terasa amat bertuah kerana Darurat 1948 telah lama ditamatkan dan kita aman dan damai. Semoga apa juga perbezaan pendapat dan masalah kita, opsyen kita hanya satu iaitu menamatkannya di meja rundingan dalam suasana damai untuk survival kita semua kerana kita hanya punya satu negara iaitu Malaysia!
Tuesday, September 9, 2008
Tentang komuniti Melayu Colombo
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 7:46 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment