Wednesday, September 3, 2008

Tentang Sekolah lagi

Bercakap tentang sekolah di luar negeri, saya teringat sewaktu anak saya yang sulung bersekolah di Rainbow Street School di Kingsford, Sydney lama dulu. Satu hari mereka dibawa melawat ke stesen bomba yang berdekatan dengan sekolah mereka. Ianya satu pengalaman yang amat besar kesannya kepada anak saya dan beberapa orang kawan beliau. Hampir 2 minggu berikutnya dia bercerita kepada saya tentang kereta bomba, ahli bomba dan segala-galanya tentang kerjaya bomba. Malah untuk suatu ketika yang lama dia nak jadi ahli bomba! Sebagai seorang pendidik guru di sebuah maktab perguruan di KL sebelum ke Australia, saya amat memahami keterujaan beliau dan melayan semua pertanyaan dan kerenahnya tentang 'kebombaan'. Malah saya membeli buku Thomas Tank and the Fire Engines yang saya kena baca dan ceritakan kepadanya sebelum tidur tiap-tiap malam! Dan bila dah pandai membaca, dia pula membaca buku-buku itu kepada adiknya yang masih lagi bayi ketika itu. Saya tak tau macam mana kesannya, tetapi dalam umur 11 bulan, anak kedua saya sudah tau memilih bukunya sendiri setiap kali nak keluar dari pasaraya Woolworth di Anzac Parade dekat rumah kami. Dan dia akan memilih buku yang berlainan setiap kali sampai ke rak buku berdekatan kaunter bayaran. Saya tidak perasan tentang perkara itu, sehingga gadis di kaunter itu sendiri yang memberitahu saya. Suatu hari dia menguji anak saya yang duduk dalam kereta sorong bayi dengan memberikannya buku yang sudah pun dipunyainya dan anak saya menolaknya dan mencapai buku lain. "Your cheeky baby really knows about his books!' katanya kepada saya. Semua bayi di panggil cheeky baby sebab mereka suka senyum dan gelak kepada siapa pun, jadi Aussie menamakannya begitu!
Semasa di Sekolah Abercromby Tullibody, di Stirling perkara yang sama berlaku kepada anak kedua saya. Mereka dibawa melawat pameran Dinosaur di Muzium Edinburgh dan saya pergi bersama dengan beberapa orang ibu lain. Setiap kali ada trip ke luar, beberapa orang ibu akan bergilir mengiringi guru-guru dan kelas anak mereka. Sesuatu yang tak pernah difikir dan dilakukan oleh PIBG kita. Keterujaan kanak-kanak yang dibawa melawat pameran itu sangat nyata. Seminggu dua selepas lawatan itu, semua kanak-kanak akan ke perpustakaan awam dan meminjam buku mengenai dinosaur. Itu di antara caranya kita menggalakkan kanak-kanak membaca dan mencari ilmu yang berkesan.Stimulasi minda yang begini adalah sesuatu yang tak ada dalam sistem pendidikan kita dan perlu kita pelajari dan cuba di sekolah-sekolah kita.
Satu perkara yang tidak dinikmati oleh murid-murid sekolah kita ialah 'kemewahan masa' di luar bilik darjah yang juga merupakan bilik darjah yang baik dan berkesan kepada pembelajaran dan perkembangan sahsiah kanak-kanak. Jadi itu sebabnya sistem kita yang sangat-sangat exam oriented hanya mengeluarkan lulusan-lulusan sekolah yang belumba2 nak dapat sebanyak A yang boleh, tapi banyak kemahiran asas pendidikan yang mereka tak tahu dan tak ada. Dan perkara ini dibawa sehingga mereka masuk sekolah menengah, IPT dan juga ke alam pekerjaan.

1 comments:

simply j@a said...

yeaaa........
im in ur blog again...
well thats the old days...
i still remember a 365 bed time story book that i forced you to read every nite at europe.
tho we always skip the one we didnt like. and straight ahead to our birthdate story...
such memories.....
till now,

I LOVE DINOSAUR....!
GRRRRRRR.............!

-j@a-