Monday, September 8, 2008

Pasar Kraf Ismailovo di Moscow

Saya kurang pasti samada tempat ini masih ujud lagi kerana beberapa tahun lalu dengarnya Pasar Kraf Ismailovo di Moscow telah musnah dalam satu kebakaran yang besar. Apa pun situasinya, saya punya kenangan tersendiri tentang tempat ini. Ia mengingatkan saya kepada seorang teman Allahyarhamah Fauziah yang saya lawati sewaktu dia dan keluarganya tinggal di Moscow. Al-fatihah.

Sewaktu di sana Fauziah membawa saya melawat ke pasar kraf Ismailovo. Saya kurang pasti, tetapi saya rasa inilah pasar kraf terbesar dan terbuka di dunia. Kalau mahu melihat dan membeli belah di pasar ini, anda mungkin memerlukan sehari suntuk untuk mengelilinginya dan melihat segala yang dijual di sana. Banyak pasar kraf telah saya lawati, tetapi Ismailovo adalah unik. Seunik Russia dengan kerencamannya. Di Ismailovo, anda boleh dapati apa saja kraftangan etnik Russia. Dari kraf ukiran orang Uzbek yang halus, kebab orang Tartar yang halal di makan kerana kebanyaknnya Islam, hiasan lace dari Kazakh, permaidani dari lembah Ural dll. Sebut saja kraf etnik mana yang anda mau cari, semuanya ada di sini. Dan bukan saja kepelbagaian dan kerencaman krafnya yang dipamer, tetapi mozaik etniknya yang berbagai dan berinteraksi di suatu situasi pasar yang unik juga amat menarik hati. Tak usah bercakap tentang bahasa dan rupa paras mereka yang berbagai dan' pulsating with everything about the Russian life!'

Sayang sekali, kita tidak punya pasar kraf yang begini. Dengan kerencaman dan kepelbagaian rupa bangsa dan etnik negara ini industri kraf kita tak ada tempat perniagaan yang dapat
mempamerkan kerencaman budaya kita kepada pelancong yang datang. Kompleks Kraf kita
terlalu menjurus kepada hanya beberapa budaya sahaja. Setahun sekali untuk seminggu diadakan pameran kraftangan yang jauh lebih baik koleksinya dari aspek partisipasi etniknya. Tapi itu hanya untuk seminggu. Apa jadi kepada 50 minggu lagi sepanjang tahun? Pelancong yang datang adalah sepanjang tahun bukan untuk beberapa minggu atau bulan yang tertentu sahaja. Dan pasar kraf begini bukan hanya untuk pelancong pastinya!

0 comments: