Thursday, March 19, 2009

Sisters in Islam dan anak-anak Mantan PM dan PM

Satu kertas kerja yang telah dibentangkan dalam Kongres Kebudayaan Melayu II baru-baru ini oleh Prof Madya Dr. Rahimin Affandi dari Universiti Malaya menyentuh banyak perkara tentang gerakan Islam Liberal di Malaysia serta Indonesia. Mengikut Dr.Rahimin lagi pertubuhan Sisters in Islam di Malaysia mempunyai kaitan rapat dengan beberapa pertubuhan Islam Liberal di Indonesia kebelakangan ini. Sewaktu sesi pertanyaan seorang peserta kongres bertanya kepada beliau benarkah Sisters in Islam didalangi oleh anak Mantan Perdana Menteri dan anak Perdana Menteri di belakangnya? Dr Rahimin menjawab bahawa perkara itu adalah benar.

Selepas sesi tersebut saya sempat bertemu dan bercakap dengan Dr.Rahimin sendiri dan menyatakan saya tidak yakin jawapan beliau itu tepat dan berjanji akan menyiasat tentang perkara ini kerana sekiranya tidak benar, dalam senario pemilihan UMNO sekarang perkara ini boleh menjadi sensitif, malah menjadi fitnah yang amat serius dari seorang Pensyarah Fakulti Pengajian Islam.

Semalam semasa pelancaran Hari Kraf Kebangsaan 2009 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur saya bernasib baik kerana berjumpa dengan kawan lama Datuk Leela Mohd Ali yang merupakan CEO Yayasan Budi Penyayang dan menceritakan apa yang berlaku dalam Kongres. Beliau amat rapat dengan Puan Nori Abdullah Pengerusi Yayasan Budi Penyayang anak kepada PM sekarang dan isteri kepada YB Khairy Jamaluddin Ahli Parlimen Rembau yang akan bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada 25 Mac nanti. Datuk Leela (yang saya panggil Kak Leela) menceritakan kepada saya dulu Puan Nori memang pernah aktif dalam Sisters in Islam, tetapi tidak lagi sekarang ini kerana terlalu banyak komitmen dan atas banyak sebab lain terutama kerana tanggung-jawab kekeluargaan dan dua orang anak kecil yang amat memerlukan perhatian beliau.

Pagi tadi saya menalipon Dr.Rahimin dan menerangkan kepada beliau apa yang saya ketahui dan meminta beliau membetulkan kesilapan fakta tentang Puan Nori. Semoga isu yang dibangkitkan tidak akan mendatangkan masalah kepada sesiapa pun terutama sekali kepada YB KJ yang sedang menghadapi ombak dan badai perjuangan UMNO. Dan semoga segala ujian dan apa juga yang dihadapi akan terus mengentalkan semangat beliau untuk meneruskan perjuangan. Jangan lupa dengan ayat Al-Quran yang mengatakan "Dan Kami akan menguji mereka dengan ujian yang berat supaya Kami mengetahui siapakah di antara mereka yang benar-benar sabar dan benar-benar berjuang ke jalan yang benar".

Maaf saya tidak mempunyai pengetahuan yang cukup untuk bercakap bagi pihak Datuk Paduka Marina Mahathir tentang penglibatan beliau dengan Sisters in Islam dahulu dan sekarang.

0 comments: