Sunday, March 8, 2009

GAPENA' GMP dan PPSMI

Sabtu lalu bila Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) dan Parti Pembangkang yang mengambil kesempatan mengadakan perarakan ke Istana Negara menimbulkan kecoh yang amat tidak diperlukan. Selepas sembahyang Jumaat sehari sebelumnya, dalam perjalanan menziarahi jenazah arwah Zubir Ali di masjid seksyen 14, saya dan Zurinah Hassan bertembung dengan Datuk Baha Zain yang baru pulang dari masjid yang sama. Kami diberitahu oleh Datuk Baha bahawa perhimpunan anjuran GMP yang dirancang esoknya akan terus diadakan di Masjid Negara. Sebelah malamnya ada orang menghantar SMS kepada saya bahawa perhimpunan GMP mendapat permit polis dan penyerahan memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong akan diteruskan seperti jadual. Tapi saya katakan saya bersama GAPENA dalam hal ini dan akan ke Ipoh esoknya.

Di rumah bapa, saya menonton berita Awani, Bernama dan juga TV 1 di sebelah malam dan melihat kecoh-kecoh bikinan parti pembangkang tentang PPSMI. GMP hanya mendapat permit untuk perhimpunan dan itulah yang telah mereka lakukan. Permit perarakan tidak diberikan, tetapi apabila ia dibuat juga undang-undang telah dicabul dan GMP serta beberapa orang kenalan rapat berada dalam kedudukan yang amat sukar dan menyedihkan. Mengenali Pak Samad Said sejak sekian lama, saya amat sedih melihat beliau turut sama menjadi mangsa lontaran gas pemedih mata yang tidak pernah di alaminya seumur hidup. Kalau Pak Samad berumur 55 tahun saya mungkin akan mengatakan kepada beliau 'Tak apalah Pak Samad, segala-galanya ada kali pertama!' Tapi saya tak tahu apa nak kata jika saya jumpa beliau selepas ini kerana beliau bukan berumur 55 tahun.

Respon Datuk Seri Hishamuddin tentang perkembangan terakhir PPSMI agak klise dan telah beberapa kali didengar. Sekali lagi beliau bertanya kenapa sekarang baru nak buat repot polis?
Saya kurang pasti samada beliau sedar atau tidak bahawa tindakan GAPENA, GMP dan pihak-pihak lain adalah berasingan dan berbeza. Dan tentang soal kenapa sekarang semua ini berlaku juga membuatkan ramai orang yang SMS kepada saya dan berkata 'ke mana menteri ini selama ini? Dia tak tahukah orang dah bising tentang PPSMI sejak ianya diimplementasi?'

Seingat saya, bantahan serta protes perlaksanaan PPSMI telah mula kedengaran sejak tahun 2003 lagi. Di banyak Seminar dan kongres kebudayaan dan pendidikan yang diadakan, bantahan terhadap PPSMI telah disuarakan dan mendapat laporan media. Jadi soalan beberapa orang rakan ke mana Datuk Seri Hisahamuddin selama ini tidak menghairankan dan merupakan jenaka yang tidak lucu. Percakapan saya dengan Ketua 1 GAPENA Tan Sri Ismail Hussein sedikit waktu lalu masih diingat. Kata Tan Sri Ismail, ' Kami dah sampai kepada kemuncak kekecewaan dan akan mengambil tindakan membuat laporan polis kerana PPSMI mencabul Pasal 152 Perlembagaan Negara. Kami dah banyak kali berbincang dan berdebat tetapi kerajaan masih tidak sensitif kepada soal ini. Dan membiarkan kerajaan yang didukung oleh UMNO sendiri melanggar Perlembagaan Negara dalam hal ini adalah tidak patut sama sekali.' "No way?' tanya saya. "No Way! 'kata Dt. Profesor Zainal Kling dan juga Dt. Profesor Zainal Abidin Borhan serentak. Semangat ini diulangi oleh Dt.Dr. Latif Bakar kemudiannya di depan beberapa orang petugas media selepas majlis baca Yassin bulan lalu.

Mereka membantah PPSMI kerana tidak mahu membiarkan UMNO dilihat menongkah arus perjuangan anak bangsa yang merugikan UMNO sendiri. Semoga tidak ada siapa pun mempertikaikan hal ini atau memandang serong kenapa baru sekarang repot polis dibuat. GAPENA ditunjangi oleh golongan budayawan yang amat berkaliber, intelektual, berwibawa, malah di antara 'best brains' di seluruh dunia dalam pemikiran budaya dan Pengajian Melayu dan tindakan mereka cukup berhemah walau pun kelihatan lambat dan tidak agresif.

Dalam dialog dengan Mantan PM Tun Mahathir di rumah GAPENA pada bulan Disember yang lalu, fakta yang sama telah diajukan kepada beliau oleh Dt.Profesor Zainal Abidin Borhan yang kelihatan macam nak menangis menahan sebak sewaktu bangun menyoal. Dan Mantan PM mengakui beliau telah membuat kesilapan tentang PPSMI tetapi meminta ianya tidak ditukar kembali kepada pengajaran matematik dan sains dalam bahasa ibunda semua aliran sekolah.
Sesuatu yang menimbulkan berbagai soalan kerana kalau sudah diketahui ianya silap kenapa diteruskan juga? Tun Mahathir mahu menambahkan enigma beliau agaknya! Semoga Datuk Seri Hishamuddin lebih faham dan mempunyai pengetahuan yang cukup sebelum beliau bertanya lagi kenapa baru sekarang nak buat repot polis tentang PPSMI yang mencabul perlembagaan.

GAPENA dan saya sendiri berpendapat Bahasa Inggeris amat penting dan tidak menolaknya. Ajarlah banyak mana pun Bahasa Inggeris kepada anak-anak kita supaya mereka dapat menguasai semua ilmu di peringkat paling tinggi di internet atau di mana juga, tetapi jangan dirosakkan Dasar Pelajaran Kebangsaan dan perlembagaan kita dalam Pasal 152.

0 comments: