Wednesday, January 21, 2009

Muzikal lebih populer?

Entah kenapa untuk suatu masa yang cukup lama ada pendapat yang mengatakan teater muzikal adalah genre yang lebih populer dan itu sebabnya Istana Budaya lebih gemar untuk mempertontonkannya kepada khalayak. Benarkah contention ini? Sejak dua minggu lepas saya telah menonton 3 teater bukan muzikal di berbagai panggung di seluruh Kuala Lumpur dan mendapati ianya penuh dan hampir penuh setiap kali pertunjukan diadakan.

Di Lambang Sari semasa Makyung Raja Senyanya dipersembahkan, panggung hampir penuh setiap malam. Walau pun lebih 2 jam durasi persembahannya, tiada yang gelisah dan keluar masuk panggung sepanjang persembahan. Ini Makyung. Genre seni persembahan tradisional kita yang cukup populer dan terkenal. Walau pun sahabat saya Sidik menulis katanya dia duduk terlalu lama hingga kebas, tetapi mungkin mood Sidik tak berapa baik malam itu agaknya. Kami menonton pada malam yang sama tapi saya tak nampak pun dia gelisah dan nak keluar!

Ketika pementasan drama realisme Berani Mati dipentaskan di Stor, DBP saya duduk di sebelah Namron dan kami menikmati sebuah persembahan yang cukup baik dari segi lakonan dan skripnya. Dan panggung kecil itu hampir penuh juga walau pun saya menonton pada malam akhir . Dan semalam Panggung Eksperimen ASWARA juga hampir penuh ketika persembahan Saya...Dari Hujung Kota karya Dt. Nordin Hassan dipentaskan.

Mungkin panggung ini semua kecil dan tidak sukar untuk mendapat audien dan panggung jadi penuh. Tetapi tinjauan spontan saya terhadap beberapa penonton yang hadir mempamerkan mereka lebih suka genre bukan muzikal. Sebabnya? Ianya lebih mencabar intelektual dan lebih bermakna serta tidak sekadar menghiburkan kata mereka! Pastinya mereka yang datang ini peminat serta khalayak teater yang cukup tulin. Peminat susah mati (terjemahan anak saya kepada istilah die hard fans)! Jadi dari mana cerita serta kepercayaan bahawa muzikal lebih populer? Mungkin suatu penyelidikan terperinci perlu dibuat tentang perkara ini dan sebelum kita terus-menerus beranggapan demikian dan muzikal demi muzikal berbajet besar dan sekadar menghiburkan serta much to be desired nilai seninya menjadi menu tetap kalendar persembahan teater kita tahun demi tahun! Lainlah kalau orang-orang kita beranggapan seni itu hanya untuk hiburan dan suatu dosa besar mementaskan kerja seni yang membuatkan orang berfikir dan tersentuh hati nuraninya!

0 comments: