Sebenarnya saya sudah mahu menghentikan wacana-intelektual tentang kehidupan manusia yang telah banyak kali dipaparkan melalui postings saya dalam blog ini. Tapi masih ada orang yang menghubungi dan meminta saya mensiberkan kehidupan mereka. Kesian pulak kepada kawan ini. Apa pun, semoga ianya menjadi iktibar dan menyelesaikan masalah semua yang terlibat. InsyaAllah.
Sewaktu pulang dari belajar di luar-negeri hampir 20 tahun yang lalu, Mira yang ketika itu berumur 35 tahun dan masih cantik agaknya telah dipanggil untuk temuduga di sebuah korporat terkenal. Mira pun pergi dan ditemuduga oleh seorang eksekutif kanan muda syarikat tersebut. Sejak dari awal. Mira kurang senang dengan pandangan yang dilemparkan terhadapnya kerana eksekutif tersebut meng'ogle' Mira dari hujung rambut sampai hujung kaki! Sewaktu nak keluar seorang calon yang sama-sama datang untuk ditemuduga telah berkata kepada Mira ' saya rasa anda akan dapat kerja ini kerana member kita tu mungkin dah jatuh cinta pandang pertama kepada awak!'. Mira tergelak tetapi tidak berkata apa-apa kerana dia tidak berapa kenal dengan orang yang bercakap dengannya. Dalam hatinya berkata, memang aku nak kerja ni, tapi tak nak si Mamat ni jatuh cinta pada aku kerana aku ada suami dan anak!
Lagi kes kemanusiaan dan potensi kepada permulaan peperangan dunia ke 3.
Dipendekkan cerita, Mira tidak diberikan jawatan yang dikehendakinya, tapi diberikan kerja sambilan di syarikat tersebut dan setiap minggu dia kena ke ofis Yus eksekutif muda yang memangnya mula jual minyak kepadanya dari masa ke semasa! Yus lah yang memberikan dia tugas tersebut kerana katanya untuk membiasakan Mira dengan jenis pekerjaan yang dipohonnya yang amat berlainan dengan tugasnya ketika tu di sebuah IPT. Si lurus bendul Mira pun buat lah apa yang disuruh dan walau pun kurang senang dengan Yus yang menggunakan kesempatan tersebut untuk mengorat beliau, tetapi kerana mahukan kerja yang dipohonnya, dia terpaksa memendam rasa setiap kali ke syarikat tersebut! Dia tak tahu kepada siapa nak mengadu kerana ni dah masuk kes sexual harrassment. Dan kes begini bukannya senang nak dibuktikan dan silap-silap dia yang kena balik.Apalagi bila mendengar cerita Yus adalah seorang eksekutif yang baik dan alim dengan dinding bilik ofisnya banyak tertampal seruan sembahyang dan berzakat dll. Macam mana orang alim boleh mengorat isteri orang? Sukar nak percaya tapi bukan perkara yang mustahil!
Setelah beberapa bulan, Mira mula geram dan meminta tolong suaminya yang merupakan kawan sekelas kepada salah seorang bos Yus. Apalagi, menggelabah lah kawan tu. Tujuan Mira berbuat demikian bukan untuk mengadu kepada kawan suaminya tetapi ingin meminta tolong untuk mendapatkan kerja yang dipohonnya. Tetapi Yus yang sudah salah terkam, panik dan mula menyibarkan cerita yang buruk mengenai Mira. Dia menterbalikkan cerita tentang apa yang sebenarnya berlaku mengikut kawan Mira yang bekerja di situ! Naya si Mira ni tak pasal-pasal. Lain yang nak dicari lain yang dia dapat. Kawan Mira menasihatkannya bertenang dan berjumpa dengan ketua lain di syarikat tersebut untuk meminta tolong. Mira pun pergi dan berjumpa dengan ketua pejabat Yus yang lain dan ditawarkan jawatan lain di syarikat yang sama tapi bukan yang dipohonnya. Seorang sepupu Mira yang juga bekerja disitu memberitahunya secara tidak rasmi berita tersebut tetapi sebulan kemudian tawaran itu ditarik balik. Tanpa diketahui oleh sesiapa pun, Yus memanipulasi keadaan dengan mempengaruhi orang-orang tertentu supaya Mira tidak diambil bekerja di syarikat tersebut. Yus pastinya takut Mira bekerja di situ walau di jabatan mana pun sebab dia banyak buat salah! Memang malang nasib Mira.
Mira mengadukan ceritanya kepada beberapa orang temannya dan mereka sepakat nak menakutkan Yus supaya dia serik dan tak buat lagi hal-hal macam ni. Nama saja alim, suruh orang sembahyang begitu dan begini tapi dalam bulan puasa bagi marriage proposal kepada Mira! Susah rupanya bila cantik dan ada otak pada masa yang sama. Patutlah masa saya kecil, nenek saya kata orang perempuan yang cantik-cantik tak payah belajar tinggi-tinggi nanti susah hidup. Betul cakap dia. Naib baiklah saya ni tak cantik dan tak pandai sangat macam Mira!! Kalau tidak mesti jadi macam Mira juga. Hawau betul! Apa yang mereka lakukan ialah menghantar surat layang kepada Yus . Macam-macam lah dalam surat tu. Mira pura-pura suka kepada Yus, tapi pada masa yang sama 'cili-apikan' dia dengan macam-macam hal secara tak langsung. Yus rupanya datang dari kumpulan manusia yang tak mahu perempuan bekerja dan percaya tugas wanita hanya di rumah jadi isteri dan jaga anak-anak. Apalagi, mereka 'berus' dia cukup-cukup dengan wacana-intelektual yang tidak berkesudahan dan bermulalah War of the Roses entah versi yang ke berapa!
Apa yang tidak diketahui oleh Mira dan kawan-kawannya ialah surat-surat mereka dijadikan 'peluru berpandu' (ICBM jugalah) oleh musuh-musuh Yus yang terdiri daripada kawan suaminya serta kawan-kawan mereka di syarikat lain. Sebenarnya puak yang sekepala dengan Yus telah lama menunggu peluang untuk menghapuskan puak-puak Yus dalam syarikat tersebut. Lebih kurang macam cerita puak Erdogan dalam parti PAS juga lah!! Hanya setelah keadaan tidak terkawal lagi, barulah Mira dan kawan-kawannya menyedari apa yang berlaku di syarikat tempat Yus bekerja. Rupanya Mira tersepit di antara dua puak tersebut dan dipergunakan untuk kepentingan orang yang tertentu dan dipendekkan cerita Yus dan puak-nya tersingkir dari syarikat tersebut. War of the Roses sudah jadi Bharatayuda. Pelik betul hidup ini, perang pun boleh tukar-tukar format!! Dan apa yang tidak diketahui oleh Mira lagi ialah orang-orang tertentu di IPT tempat dia mengajar juga 'direkrut' untuk memberi masalah kepada Mira . Dan kawan-kawan Mira yang pada mulanya bersama-sama dengannya untuk menakutkan Yus tidak mahu campur tangan lagi dan membiarkan Mira keseorangan! Double trouble.
Sementara itu, di pejabat tempat suami Mira bekerja, puak-puak Yus juga memasang strategi untuk mengenakannya. Seorang pekerja wanita di pejabat Hamirul (suami Mira) direkrut untuk menggoda dan memeningkan kepalanya dengan mempunyai banyak teman lelaki supaya Hamirul geram dan mengejar wanita tersebut dan ini akan memberi masalah kepada rumah-tangga Mira. Entah ilmu apa yang dipakai wanita tersebut tak tahulah, tapi Hamirul memang separuh gila dan tak ingat rumah-tangga. Hari Ahad pun nak pergi kerja dan isterinya masuk hospital pun dia tak pergi tengok!!! Mira akhirnya terpaksa mengadap semua masalahnya seorang diri dan menyedari kesilapannya walau pun sudah terlambat. Dia bertukar ke pejabat lain apabila kerja-kerjanya disabotaj oleh puak Yus dan akhirnya bila rumah-tangganya juga semakin teruk Mira berhenti kerja untuk memberi sepenuh tumpuan kepada keluarga. Pun begitu, setelah setahun lebih berhenti kerja, rumah-tangga Mira tidak juga dapat dipertahankan apalagi dalam keadaan dia tidak bekerja, suaminya menghinanya dengan berbagai cara yang amat memedihkan hatinya.
Mereka bercerai akhirnya. Dan walau pun Hamirul bagaikan nak gila selepas itu dan mahu rujuk semula dengan Mira, tetapi hatinya sudah tawar kerana begitu banyak yang telah dikata dan dilakukan sewaktu mereka berkrisis. Mira meminta izin daripada anak-anaknya untuk berpisah dengan bapa mereka dan memulakan hidup baru sebagai seorang ibu tunggal. Terlajak perahu boleh diundur, jodoh pertemuan di tangan tuhan dan walau pun Mira dan Hamirul pernah berkrisis lama dulu di awal perkahwinan mereka dan hampir bercerai, tetapi mereka tidak bercerai waktu itu tetapi ianya jadi 20 tahun kemudian!! Mira menerima segalanya dengan hati yang terbuka dan tidak pernah menyesali jalan yang dipilihnya walau pun dia masih beranggapan tanpa perbuatan dan strategi puak Yus jodohnya mungkin masih panjang. Pun begitu, masalah hidup Mira dan anak-anaknya tidak habis di situ saja. Yus, bekas suami Mira dan puak-puak mereka masih mendatangkan masalah kepada Mira dan keluargnya.
Anak sulung Mira disabotaj pengajiannya di sebuah IPT sehingga terpaksa meninggalkan pengajian sebelum tamat. Perniagaan yang dibuat untuk anaknya juga disabotaj dan terpaksa tutup kedai akhirnya. Dan si anak mula diracun pemikirannya oleh ahli keluarga Mira yang amat berimpati dengan bekas suami Mira dan mahukan mereka rujuk semula. Anak sulung Mira menyalahkan ibunya ata segala yang berlaku serta tidak mempunyai hubungan yang baik dengan ibunya. Tapi Mira cukup sabar kerana dia percaya, Jas anak sulungnya hanya punya seorang ibu dunia dan akhirat dan dia percaya suatu hari esok, Jas akan ok kembali dengannya.
Hingga sekarang, sudah hampir 16 tahun semenjak Mira menjejakkan kaki di pejabat Yus dan bermulanya perjalanan takdir yang mengubah banyak perkara dalam kehidupan mereka dan ramai orang di negara ini. Malangnya Mira dan anak-anaknya masih dimangsai oleh Yus dan puak-puak mereka sehingga ke hari ini. 16 tahun adalah suatu waktu yang panjang dan berbagai perkara berlaku. Tapi Mira yakin dia telah melakukan perkara yang betul dan tidak menyesali apa yang berlaku. Ia pasrah dengan apa yang telah dilaluinya dan mungkin kerana itulah Allah Taala memberikan dia ketenangan dan kekuataan dalam menjalani hidupnya. Dia mungkin tidak merancang kehidupannya jadi begitu, tetapi dia menerima segala ketentuan Allah terhadapnya. Dan dia sentiasa berdoa Allah mendatangkan pertolongan kepadanya sepanjang masa dan Dia tak pernah menghampakan Mira. Walau pun banyak broken dreams yang telah dilaluinya, Mira berjaya melakukan banyak perkara yang tidak dapat dilakukan oleh orang lain dalam karier ke 2 nya sekarang. Begitulah hidup ini, kita tidak mengetahui nikmat kejayaan jika tidak pernah mengenal kegagalan dan tidak tahu erti kebahgiaan jika tidak pernah melalui penderitaan. Dan Mira yakin Allah sentiasa bersamanya walau apa pun satu dunia nak kata tentang dirinya kerana hanya Dia yang mengetahui segala-galanya.
Friday, January 2, 2009
Kisah Kehidupan Lagi
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 8:54 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment