MAUT : GENRE FILEM BADA SEMAKIN JELAS
OLEH
SITI RUQAIYAH HASHIM
Malaikal Maut. Begitulah judul asal filem Bada Haji Azmi yang terbaru. Pun begitu, Lembaga Penapis Filem Malaysia mungkin merasakan judul tersebut terlalu mengejutkan dan akhirnya filem ini ditukarkan kepada Maut sahaja. Dan mengikut Bada sendiri, skrip filem ini banyak kali dirombak bukan sahaja setelah iannya siap, tetapi ketika masih diperingkat lakon layarnya lagi. Dan Bada sebagai seorang ‘budak baik’ yang tidak mahu bising-bising akur dengan nasihat JAKIM, LPF dan segala macam ajensi yang terlibat. Pun begitu, filem ini tidaklah teruk sangat jadinya, ada kekuatannya yang tersendiri terutama dari segi teknikal yang menghasilkan sinematografi yang cukup cantik dan ada kalanya cukup mencabar dan bukan semua pengarah kita sanggup dan mampu berbuat demikian.
Pengalaman yang cukup lama sebagai pengarah fotografi dalam banyak filem adalah aset Bada yang paling berharga. Dalam banyak filem arahannya kita dapat saksikan Bada sememangnya seorang pengarah yang passionate. Beliau berani bereksperimen dengan berbagai posisi kamera dan syot dari sudut yang tidak konvensional dan ini menghasilkan kerja kamera yang baik malah impressive. Tidak kurang menariknya adalah sudut pencahayaan yang begitu rapi dan teliti dibuat dan menghasilkan kesan artistik yang cukup baik. Babak kereta terbalik dengan Awal Shaari, Que Haidar dan dua pelakon wanita lain di dalamnya sangat mengesankan. Seperti kata Que mereka digoncang dan terasa seperti duduk dalam mesin pencuci pakaian dan dengan kamera yang diikat dalam kereta tersebut ternyata adegan ini sesuatu yang akan diingat oleh peminat filem tempatan untuk suatu waktu yang lama. Bada orang seni tulin yang sentiasa mencabar dirinya untuk menghasilkan sesuatu yang berlainan setiap kali dia berkarya dan tidak berpuas hati setakat menghasilkan ulangan betapa baik pun kerjanya yang lalu.
Bada ternyata dalam kategori yang sama seperti Kabir Bhatia yang cukup teliti dan halus menterjemahkan aspek teknikal filem-filem mereka menjadi kerja seni yang menarik untuk diperkatakan dan dalam kelas mereka yang tersendiri. Dan ini adalah suatu perkembangan sihat untuk industri filem kita bila semakin ramai sutradara dengan kekayaan pengalaman teknikal sebagai bekalannya. Kata-kata nakal Ray Reinhart pengarah fotografi ‘legenda’ filem-filem Oliver Stone (dalam filem Platoon, Born on The Fourth of July), Martin Scorcese dll yang ditemui semasa KLIFF 2008 baru-baru ini masih di- ingat. Saya ketawa bila mendengar Ray cukup jujur mengakui dia senang hati bila bekerja dengan sutradara yang tidak tahu apa-apa aspek teknikal dan fotografi dan Oliver Stone adalah salah seorang daripadanya. Dalam konteks ini yang pastinya ialah Bada lebih hebat dari Oliver Stone kerana legenda filem Amerika Syarikat ini tidak ada pengetahuan tentang segala macam aspek teknikal filem !
Filem ini membawakan tiga cerita yang berasingan dan berlaku dalam tiga bulan kalendar Islam yang berbeza iaitu Syaaban, Ramadan dan Syawal. Bahasa filem dan sinematik yang baik digunakan oleh Bada dengan falsafah yang cukup halus bila setiap bulan ditandai dengan sehelai daun dari pohon yang besar jatuh ke bumi yang menandakan dinamisme waktu. Suatu metafora halus tentang progression usia manusia yang semakin mendekatkan kita kepada ajal dan maut yang pasti tiba bila masanya? Tanpa apa juga penyamaran, ini filem dakwah yang cukup jelas dan cukup berani. Tayangan Unggul penerbit filem ini juga harus diberi pujian kerana berani membawakan filem yang berlainan dan tidak konvensional dari genre biasa hantu dan hantu lagi atau kisah cinta remaja kota mau pun milieu remaja kota dengan drift drag racing serta rempitnya yang menjadi tren masa kini. Dan ini sesuatu yang menyegarkan. Skrip filem ini cukup baik penulisannya walau pun saya lebih suka filem Bada sebelum ini iaitu Syaitan yang dari aspek temanya ternyata tidak klise langsung dan membawa pendekatan yang lebih berani mempamerkan hipokrasi manusia yang bertopengkan imej baik dan alim.
Cerita-cerita dalam filem Maut tidak membawa apa-apa kejutan dan mungkin inilah sedikit kelemahan filem ini. Ianya begitu dijangkakan dan sedikit didaktik ada kalanya. Dan seperti kata saya, Bada adalah ‘budak baik’ yang selalu berkompromi dengan jangkaan umum melalui filem-filemnya. Cerita ketiga tentang remaja dan black metal dalam filem ini dibawakan dengan lesen kreatif yang memberi ‘keselesaan’ kepada pemikiran dan jiwa kita. Ianya diakhiri dengan kematian watak yang dibawakan oleh Que Haidar dalam satu kemalangan yang dahsyat.
Filem pertama ialah tentang roh orang mati dibunuh yang berkomunikasi dengan gadis dalam bas yang sama dengan si mati yang kembali meminta tolong untuk menemukan jasadnya yang dibuang di tanah perkuburan. Lakonan Liyana Jasmay dan lain-lain cukup meyakinkan dan cerita ini berjaya mengekalkan unsur suspen yang cukup baik dan gripping dari awal hingga akhir. Malah dalam ketiga cerita filem ini, hampir semua pelakonnya mempamerkan lakonan yang meyakinkan dan sedikit pun tidak mengecewakan.
Cerita kedua mengisahkan pengalaman koma dan hampir mati watak yang dibawakan oleh Sabrina Hassan seorang peramugari yang hidup dengan stail kebaratan setelah berkahwin dengan seorang lelaki barat. Dan beliau diberikan peluang kedua setelah berpisah dengan suaminya ketika mau kembali ke pangkal jalan tetapi jatuh pengsan di depan masjid. Ketika tidak sedarkan diri di hospital, beliau mengalami keadaan di bawah sedar yang menyaksikannya berada di neraka dan dihukum oleh Allah Taala atas segala dosa dan kesalahan yang dilakukannya sewaktu hidupnya. Ini menyebabkan beliau berubah dan menjadi seorang Islam yang lebih taat kepada agama selepas bangun dari komanya.
(Reviu filem Maut arahan Bada Hj.Azmi ini telah disiarkan dalam Berita Minggu 25 Januari 2009 lalu).
Monday, January 26, 2009
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 8:09 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment