Tuesday, January 20, 2009

Kita kekurangan naskah teater yang baik?

Menonton teater ' Saya....dari hujung Kota' yang merupakan kompilasi serta kolaj kepada skrip-skrip SN Dt. Nordin Hassan malam tadi mengingatkan saya kepada beberapa perbualan dengan beberapa orang rakan sedikit waktu lalu. Sutung Umar sering berkata masalah teater kita antaranya ialah kerana kita ketiadaan naskah yang baik. Dan naskah yang baik juga jarang-jarang dihasilkan sekarang kerana orang lebih banyak menulis skrip muzikal kerana itulah yang dikehendaki dan paling laku dan berharga sekarang ini. Saya tidak mahu bergaduh dengan Sutung tentang perkara ini kerana ada kebenaran dengan apa yang beliau katakan. Tetapi apakah ketiadaan naskah yang baik harus menyebabkan aktivis dan kementerian menolak tepi pementasan teater dan semuanya lari kepada muzikal sahaja?

Sebenarnya kita tidak ketandusan skrip-skrip yang baik. Dan saya sependapat dengan sahabat saya Ku Seman yang mengatakan skrip-skrip yang baik seperti tulisan Usman Awang patut dipentaskan semula. Dan dua tiga hari yang lepas sempena ulangtahun ke 80 Cikgu Nordin Hassan, seminar pemikiran beliau telah diadakan dengan di sebelah malamnya pementasan "Saya ...dari hujung Kota' diadakan. Malam semalam majlis menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Dt.Nordin. Dalam keterharuan dan titisan air-matanya selepas persembahan yang cukup baik arahan Rohani Yousuff, tiba-tiba saya merasakan kerinduan yang amat sangat kepada karya-karya tulisan Dt.Nordin yang cukup indah, kuat serta dalam filosofi Islamnya dan menjadikan saya manusia yang lebih kecil di sisi tuhan!

Siapa kata kita ketiadaan naskah? Maaf untuk berbeza pendapat tetapi apa yang perlu dilakukan ialah memberi penghargaan begini kepada penulis-penulis besar seperti Dt.Nordin, Syed Alwi,Usman Awang, A.Samad Said dll. Lagi pun, kalau Muzikal Puteri Gunng Ledang boleh dipentaskan berkali-kali, apa salahnya karya penulis-penulis besar kita dipentaskan setiap tahun pun? Istana Budaya akhirnya telah meletakkan dalam kalendar tahun ini untuk mementaskan Mana Setangginya karya Cikgu Nordin (tapi kenapa lewat sangat hujung tahun nanti baru nak dipentaskan?) yang sebenarnya telah ditulis untuk mengisi pementasan pertama sempena pembukaan Istana Budaya hampir 15 tahun lalu!! Suatu tragedi maruah bila Mama Mia dengan cerita anak luar nikah mencari bapanya mendapat sponsor RM 20 juta untuk dibawa ke Malaysia, tetapi karya Sasterawan Negara yang cukup halus dan tinggi falasafah agamanya tak dapat dipentaskan kerana kekurangan bajet!! Istana Budaya mesti memastikan sekurang-kurangnya satu skrip karya Sasterawan Negara yang cukup baik dipentaskan setiap tahun.

Melihat dan mengiringi Cikgu Nordin dalam keadaan yang amat daif disebabkan kesihatannya semalam membuatkan saya semakin marah dengan banyak perkara . Sebenarnya cukup bahaya meletakkan orang yang tidak berilmu dan tidak berpengetahuan menerajui sesuatu institusi yang dipertanggung-jawabkan untuk tugas tertentu dan KPKKW bukanlah suatu Kementerian yang boleh diambil mudah dan tidak penting dari sudut pembinaan negara-bangsa. Kerana seni bukan sahaja untuk hiburan dan peluang meraih Rm berapa biliun pun, tetapi ianya mengenai pembinaan pemikiran, falsafah, sikap dan pengisian spiritual sesebuah bangsa. Dan untuk suatu waktu yang terlalu lama, kita membuat kesilapan demi kesilapan.

Terima kasih kepada ASWARA yang cukup peka dengan keperluan pementasan karya-karya besar yang merupakan permata terbilang kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan kita seperti yang telah dilakukan kepada karya-karya Dt. Nordin selama ini. Karya-karya Dt.Nordin bukan saja penting kerana falsafah Islamnya, tetapi ia cukup universal dan mencakupi banyak perkara yang menyentuh kemanusiaan sejagat. Kehebatan muzikal PGL mungkin dalam genre nya yang tersendiri tetapi tidak ada sebab kita harus meminggirkan kehalusan Cindai, Lantai T.Pinkie dan Uda dan Dara. Kalau karya-karya Shakespeare boleh dipentaskan beratus tahun dan ilmu mengenainya tidak habis-habis digali sehingga kini kenapa tidak kita yang menobatkan karya besar sasterawan sendiri?

0 comments: