Peperangan itu sudah lama berlaku
juga sudah lama berlalu
tapi puing-puingnya masih berasap
sesekali darah merah mengalir juga
walau pun kabarnya
perdamaian telah lama ditanda-tangani
Perang itu bermula
dengan suatu cerita lucu (pada pandangan ku)
seorang lelaki yang mengaku dirinya seorang abid
ditertawakan oleh jiran-jirannya
kerna tertangkap cuba menggoda isteri orang
lalu suami perempuan itu mengadu kepada sang jiran
wah! tujuh tahun mereka berpencak selepas itu
dan peperangan menjadi semakin ganas
banyak yang menjadi korban termasuk kanak-kanak dan perempuan tua tak berdosa
dan perempuan pencetus permusuhan itu
dimangsai sepuas-puasnya oleh lelaki yang mahu menjadi abid itu
bertahun-tahun lamanya
Di awalnya perempuan itu tidak mengetahui
dia sebenarnya tersepit antara dua pihak yang bermusuhan
dan dia di perguna oleh suatu pihak untuk melancarkan serangan
beberapa tahun selepas itu
keluarga perempuan itu ditakdirkan memegang kuasa
lalu dia dibawa ke persidangan dan dianjurkan untuk beralah
berdamai dengan pihak lelaki yang tidak jadi abid itu
Cubaan mereka
telah disalah erti oleh pihak yang lagi satu
lalu bapanya diserang habis-habisan
dituduh cuba mengkhianati perjuangan mau berbaik dengan pihak musuh
sedangkan si bapa hanya mahu anaknya selamat dan damai
kerna itulah rukun kehidupan yang dipegang
hampir berlaku perang saudara antara mereka
kalau tidak kerna kebijaksanaan seorang panglima yang menganjurkan perdamaian
lalu perempuan itu yang kehilangan suami dalam perang tujuh tahun itu
disuruh berfikir semula untuk dijodohkan dengan panglima penyelamat bapanya
(kerna dengarnya panglima itu sudah lama bertanya tentang perempuan itu kepada keluarganya)
walau pun perempuan itu hampir jatuh cinta
dengan teman lelaki yang tidak akan menjadi abid itu
(kerna tangannya terlalu banyak berlumuran darah membalas dendam)
insiden itu memulakan pertempuran baru
kali ini bukan anak-anak dan orang tua yang jadi korban
tapi beberapa panglima terbilang turut tumbang
termasuk bakal tunangan perempuan itu yang cedera parah
Cerita ini mungkin telah anda dengar
sedikit sinonim dengan Helen di Troy
sedikit sinonim juga dengan kisah Tun Kudu
tapi ceritanya masih sama
ada lelaki yang suka berperang
orang awam yang menjadi korban
dan perempuan malang yang terperangkap dalam pertempuran
saudara ku sekelian
cukuplah
kita tamatkan episod duka ini
biarkan perempuan malang itu merawat luka bakal tunangannya
kerna ku kira semua dendam telah berbalas
jadi apalagi mau kalian?
jangan diikut dendam kesumat lelaki itu
kerna yang pasti
lebih banyak syaitan dalam dirinya
dari putih bersih seorang abid
ku takut negeri itu tebakar
seperti Troy yang hangus kerna Helen yang malang oleh kejelitaannya
tapi biarkan negeri itu bertaut kembali
oleh keikhlasan dan pengorbanan seorang Tun Kudu
yang lebih banyak menghabiskan masa
memikir tentang nasib bangsanya di hari muka
dan bukan untuk menyelamat istana Melaka!
Friday, August 22, 2008
Perang dan Perempuan itu
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 8:09 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment