Tuesday, August 19, 2008

Cadangan Peminat P.Ramlee dan Saloma

Di Kongres baru-baru ini ada sahabat dari Persatuan Peminat P.Ramlee dan Saloma yang mencadangkan KPKKW membina muzium seni dan budaya. Saya setuju dengan cadangan ini, walau pun memorial P.Ramlee dah ada tapi bagaimana dengan penghargaan kepada seniman dan seniwati lain sejak dari dulu lagi? Bagaimana pula dengan berbagai genre seni persembahan tradisional yang banyak dah jadi fosil dan dinosaur dan artis-artis mereka yang juga patut diberi penghargaan. Tokoh Makyung macam Khatijah Awang, Tok Dalang Hamzah dan lain-lain lagi di mana tempat mereka selepas meninggal dunia? Kementerian memang patut timbang dan buat perancangan untuk berbagai bentuk muzium dan memorial selain dari seni dan kebudayaan.

Di Canberra saya masih ingat ada War Memorial Museum yang mempamerkan berbagai alat senjata, kapal terbang dll memorabilia dari Perang Dunia 1 dan 2. Malah surat seorang tentera kepada kekasih dan ibunya di Adelaide (kalau tak salah saya) juga ada dipamerkan bersebelahan gambar-gambar tentera Australia yang terkorban di Gallipolli dalam Perang Dunia 1. Begitulah seharusnya pemameran artifak dan tinggalan sejarah di muzium. Perlu ada wajah manusianya supaya jiwa atau soul manusia sesebuah negara bangsa itu turut terakam dan dipamer bersama. Muzium harus punya identiti dan jiwa sebab ia mempamer pemikiran,falsafah dan wajah manusia yang diwakilinya dan bukan artifak sejuk,lama dan tak bernyawa.

0 comments: