DI KAKI LANGIT
Berlari di kaki langit senja itu
aku semakin pasti
aku semakin berani
bahawa putih ombak
yang memecah di bawah telapak kaki
adalah lontaran suara
semangat ku
yang tak pernah gentar
dengan ejekan suara sumbang mu
ketahuilah engkau
aku terlalu kental
dengan kemerdekaan ini
untuk kau kembalikan aku
di gua kelam itu
sebenarnya ketakutan itu bukan di hatiku
tetapi adalah di mata mu.
PESAN DATUK KAMI
Sekiranya engkau telah penat berlari
dan mau berhenti
di pengkalan ini
inilah kisah kami
seperti abang
aku mencari damai abadi
kerana begitulah pesan datuk
carilah damai dalam diri mu
supaya kalian dapat ceritakan
keseluruh pelusuk dunia
bahawa damai abadi
tidak kan tercapai di meja rundingan
selepas gelas-gelas anggur berserakan
kerana mereka bukan dari kalangan
yang percaya kepada cerita itu
lalu usah kau pinjam pakaian mereka
kerana tenteramnya satu dunia
bermula dengan damai abadi seorang manusia
jika itu yang kau cari
naiklah bahtera kami
kayunya cengal yang bernama taqwa
digam dengan Bismillahi tawakal Allalah
kerana betapa besar pun ombak yang melanda
ada kuasa sakti dari Nya
yang mengemudi kita ke pulau selamat
kalau pun kita tertewas olehnya
kita pergi dengan damai abadi mendakap sukma
dengan cinta seputih kemboja
yang memekar lama selepas kita sudah tiada
MAAFKAN AKU
Maaflah
sekiranya kalian tidak dapat mengalahkan aku
walau belati berkarat itu berkali kau tusukkan
maaflah
kalau setiap kali terkorban
akhirnya aku hidup kembali
dan kalian menjadi semakin payah semakin lelah
dan aku menjadi semakin sakti
Sunday, August 24, 2008
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 9:58 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment