Friday, August 29, 2008

2 orang Senator? Itu cadangan karut!

Baru-baru ini ada orang heboh-heboh mencadangkan kerajaan patut melantik seorang lagi Senator untuk mewakili kepentingan sektor seni dan hiburan. Saya kurang pasti apa sebenarnya rasionnalnya kita perlu ada 2 orang Senator tapi saya rasa ia satu cadangan yang amat tidak lojik dan mengarut. Setiap lantikan Senator memerlukan pertimbangan yang amat rapi dan teliti. Ia bukan merupakan medan di mana sesiapa juga boleh melobi sesiapa yang mereka suka untuk dilantik sebagai Senator supaya kepentingan orang-orang tertentu boleh dilayan sepanjang masa.
Pada pandangan peribadi saya penjawat Senator sekarang sudah cukup sesuai dan mempunyai seorang lagi Senator hanya akan menjadi 'kacau daun' sahaja. Kalau ada pihak yang merasakan beliau tidak sesuai kerana selalu pakai songkok dan tidak naik ke Genting di hujung minggu atau apa-apa juga sebab lain, melantik seorang lagi Senator bukanlah penyelesai masalah industri seni dan hiburan. Di Kongres Kebangsaan baru-baru ini, perkara paling penting ditekankan ialah perpaduan dan kebersamaan semua orang yang terlibat dalam apa juga aspek industri seni dan hiburan untuk memartabat seni dan budaya ke tahap yang lebih tinggi dan membawa agenda yang lebih besar dan menyeluruh. Dan untuk itu kita tak boleh membiarkan apa juga bibit perpecahan disemai oleh sesiapa juga. Saya kurang pasti tapi mungkin ada pihak yang kurang senang dengan apa yang telah dicapai oleh Mahkota melalui Kongres Kebangsaan Industri Hiburan dan Seni baru-baru ini.
Apa pun saya kagum dengan dedikasi dan keterlibatan yang telah ditunjukkan oleh Senator Jins Shamsudin semasa di Kongres yang sentiasa bersama dan merasakan gejolak rasa semua yang berada di Kongres. Malah ada pihak yang selama ini cuba menonjolkan diri dan mendabik dada sebagai pejuang seni tak nampak muka pun di Kongres tersebut. Mungkin banyak lagi yang perlu dilakukan dan kita hanya perlu sentiasa berkomunikasi dan berunding dengan Senator Jins untuk membawa apa juga masalah yang perlu diperkatakan ke Dewan Senat. Apa juga kelemahan yang ada perlu dan boleh dibaiki melalui komunikasi. Tetapi mencadangkan seorang lagi Senator pada saya sangatlah 'bad taste' dan tidak wajar di masa ini. Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak.

0 comments: