Sunday, August 24, 2008

Lukmanul Hakim

Entah kenapa
sejak lahir mu
ibu seakan sudah mengetahui
jalan yang bakal di lalui
payah berliku penuh onak duri
tapi suatu perjalanan rohani yang maha tinggi
tak terjangkau hati dan kolam rasa
tidak terselam di tasik minda
akan tinggi makna mu di sisi ku

anak ku
sebenarnya Dia mendatangkan suatu syurga
setiap kali tasik mata mu ku dalami
dan menjadi kerdil aku oleh keluhuran mu
ingatkah engkau
sewaktu masih remaja amat
kala pintu multazam terbuka
kita pun memanjatkan doa tak henti-henti
dan seperti amat mengerti kocak rasa di kalbu
dengan tenang kau lalui waktu sukar itu
seringkali memimpin tangan ibu
agar tidak terdorong arus manusia di Safa dan Marwah
dan ibu jadi perkasa dengan semangat mu cuma

anak ku
keluhuran dan ketaqwaan mu
umpama gunung tenaga
yang menjana kekentalan ini
dan aku tidak pernah peduli
biar seribu belati menikam jantung
kejituan kepercayaan mu kepada perjalanan ini
tidak akan mengundurkan jejak bertapak ku
kerana kita telah menggenggam kejayaan itu

seorang Lukmanul Hakim
sebenarnya onak duri inilah
yang memberikan kita kemenangan demi kemenangan
tanpa perlu menjual maruah dan harga diri kepada sesiapa
andai nanti
hanya engkau penyambung langkah
ingatlah pesanan nenda
bahawa ada kesaktian dan kekuatan dalam kebenaran
mulakanlah segalanya dengan Bismillahi Tawakkal Allalah
dan dakilah puncak juang mu satu demi satu
kerana segala yang akan kau genggam selepas itu
terlalu manis untuk insan sekerdil kita.

1 comments:

simply j@a said...

read it twice...
almost forget about this initial name that was given to me...
meant alot for what you wrote...
hope i dont dissapoint you...

much luv
-lukman-